HENDAK menangis Hanan. Sudah elok marah Haji Hasan mereda terhadapnya, kini tambah satu lagi masalah. Menyesal betul dia pakai baju Hafiz. Niat hendak mengenakan lelaki itu, alih-alih dia juga yang menjadi mangsa. Benci!
“Hanan ni perempuan ke lelaki?”
Terkulat-kulat dia disoal oleh Haji Hasan. Wajahnya masih tunduk ke bawah.
“Atuk tak tahulah macam mana lagi nak ubah perangai Hanan. Janganlah bebas sangat. Hafiz tu lelaki. Nak bergaduh pun, janganlah buat aksi melampau.”
Merah padma wajah Hanan. Teringatkan peristiwa tadi, jantungnya berdegup laju. Pertama kali dia dipeluk oleh lelaki asing. Dengan Hafiz pula tu. Adui...
“Beritahu atuk, Hanan nak tukar jantina ke?”
“Hesy... tak naklah.” Rambut pendeknya disentuh perlahan. Takkanlah gara-gara dia berambut pendek, terus dikatakan lelaki?
“Mulai hari ni, atuk tak nak lagi Hanan berperangai macam jantan. Bersyukurlah Allah dah jadikan Hanan perempuan.”
“Hanan memang bersyukur sangat. Takkanlah Hanan nak jadi manusia tak bersyukur.”
“Menjawab!”
Tersengih-sengih Hanan. Lengan atuknya dipeluk kemas.
“Atuk janganlah marah. Nanti dada atuk sakit. Betul! Tadi Hanan nak jatuh. Tu yang dia sambut.”
“Sambutlah sangat. Sampai terselak baju tu.”
Hanan berdeham perlahan. Dia sendiri pun bodoh juga. Nyaris nak buat tayangan percuma di hadapan lelaki itu. Nasib baik Hafiz tidak mengambil kesempatan. Terpaksalah dia berbohong kononnya dia nyaris terjatuh.
“Lain kali jangan nak berdua lagi dengan dia. Ingat sikit, Hanan tu perempuan bukannya jantan.”
Hanan menggaru kepala yang tidak gatal. Malu juga disindir begitu.
“Tadi Pak Salim ada beritahu atuk tentang rancangan Hanan. Betul ke Hanan nak kerja dengan dia?”
“Haah. Lepas STPM, Hanan kerja untuk sementara waktu. Itu pun kalau Hanan dapat tawaran belajar.”
Haji Hasan menarik nafas berat. Jika dia masih ada tenaga, dia takkan sesekali membiarkan Hanan bekerja. Tubuhnya semakin uzur. Ditambah pula dengan sakit dadanya yang semakin melarat.
“Atuk dah setuju dengan Pak Salim. Habis STPM, Hanan boleh kerja, tapi dengan syarat.”
“Pulak... Syarat apa lagi?”
“Lagi sebulan Hanan nak periksa. Masih ada masa untuk Hanan belajar. Atuk dah minta tolong Hafiz. Kalau ada yang tak faham, boleh tanya dia.”
Tegak terus tubuh Hanan. Memang taklah dia nak berguru dengan Hafiz. Lagipun mereka bukannya sekelas.
“Tak naklah! Hanan boleh belajar sendiri.”
“Jangan nak degil. Cubalah dengar cakap atuk ni. Nak atuk tarik balik ke permintaan Hanan tadi?”
Berdecit lidah Hanan. Nak tak nak, terpaksalah dia bersetuju.
“Hanan nak masuk bilik. Nak rehat.”
“Solat dulu. Jangan nak terbongkang terus atas katil tu.”
Hanan malas menjawab. Lagipun dia uzur. Malulah nak bercerita kepada atuk. Masuk ke dalam bilik, punggung dihempas sedikit kasar ke atas tilam. Dia memandang wajahnya di cermin. Melihat baju yang tersarung di tubuhnya, semakin mendidih darahnya. Terus ditanggalkan baju-T daripada tubuhnya dan dicampak kasar ke lantai. Dek terlalu geram, dipijak-pijaknya baju kesayangan lelaki itu.
“Macamlah aku nak sangat pakai baju dia. Memang malang betul perempuan yang dapat suami kedekut macam kau.” Hanan merebahkan tubuhnya sambil memejamkan mata. Nafas dihirup dalam-dalam. Walaupun baru sehari dia tidak bermalam di sini, terasa rindu benar dia dengan bau bilik sendiri.
Bantal peluk diambil dan dipeluk kemas. Dia berguling-guling di atas katil. Tiba-tiba dia terasa ada sesuatu yang lembik di atas perutnya. Matanya dibuka sedikit. Saat dia perasan ‘benda’ itu berada di atas perutnya, jeritannya bergema di dalam bilik. Merinding bulu romanya ketika cuba membuang ‘benda’ itu. Makin kelam-kabut Hanan apabila ‘benda’ itu melompat-lompat di atas katil.
Bergegas dia berdiri di sudut bilik. Tuala dicapai dan dia menutup tubuhnya yang terdedah. Hampir terjatuh rahangnya melihat ada beberapa ekor katak di atas katil dan di lantai bilik. Sah, semua ni kerja seseorang!
“Hafiz!!!”
TERSEDAK HAFIZ. Cepat-cepat dia mencapai gelas di atas meja. Hampir separuh air di dalam gelas itu dihabiskan. Siapa pula yang menyebut namanya?
“Makan tu baca bismillah tak?”
“Baca, mak. Ada orang mengumpat Hafiz agaknya.” Tersengih-sengih Hafiz. Dihabiskan makanan di dalam pinggannya kembali.
Mak Siti termenung seketika. Dia tahu adiknya telah menceritakan kisah ibu bapa Hanan kepada anaknya petang tadi. Sebab itu sikap Hafiz berbeza sekarang. Wajah anaknya direnung lama. Wajah itu, saling tidak tumpah seperti arwah suaminya. Arwah suaminya telah meninggal beberapa tahun selepas arwah abah Hanan pergi.
“Mak takkan paksa Hafiz.”
Hafiz mengangkat kepalanya. Hampir bertaut keningnya seketika.
“Paksa apa?”
“Tentang rancangan mak petang tadi.” Mak Siti sudah fikir dengan masak. Tiada gunanya dia memaksa Hanan dan Hafiz untuk bersama jika masing-masing tiada hati. Cukuplah ibu Hanan pernah membuat kesilapan dahulu.
Hafiz terdiam seketika. Selepas dia mendengar kisah keluarga Hanan, dia akui perasaannya berubah sedikit terhadap gadis itu. Tak sangka selama ini pak su terpalit dalam kisah hidup Hanan. Patutlah emak dan pak sunya terlalu mengambil berat terhadap gadis itu.
“Mak rasa, mak Hanan masih ada lagi ke?”
“Kenapa Hafiz tanya?” duga Mak Siti.
“Ermmm... Hafiz dah tahu. Yang Hafiz tak boleh terima, tergamak ibu Hanan buat macam tu.” Baginya, tak kira apa kesalahan pun, tidak patut wanita itu meninggalkan Hanan. Tergamak seorang ibu meninggalkan anak yang baru dilahirkan tanpa merasa kasih sayang seorang ibu.
“Jangan salahkan ibu Hanan. Dia mungkin ada alasannya sendiri. Kita tak berada di tempat dia. Mak Cuma berdoa, suatu masa nanti dia balik ke sini.”
“Mak yakin ke dia masih hidup?” Hafiz bangun dan pergi ke singki. Pinggan yang sudah kosong dibasuh terlebih dahulu.
“Entah. Kali terakhir mak jumpa dia, selepas beberapa hari dia melahirkan Hanan.” Terkilan Mak Siti kerana dia tidak sempat berbual panjang bersama wanita itu. Ketika itu, dia masih berpantang melahirkan Hafiz.
“Tak ada gunanya mak berharap. Hafiz tak rasa Hanan akan terima dia semudah tu.” Hafiz kembali ke meja makan dan duduk di situ.
“Mungkin,” lemah Mak Siti menjawab.
Melihat raut wajah emaknya yang keruh, nampak sangat wanita itu risaukan Hanan. Kalau dulu, mungkin dia cemburu. Sekarang dia lebih rasa bersalah kerana selalu menyindir gadis itu.
“Hafiz nak masuk bilik. Nak buat ulang kaji.”
Baru beberapa langkah dia menaiki tangga, terdengar namanya dipanggil. Dia berpaling ke belakang.
“Nanti Hafiz tolonglah ajarkan Hanan tu.”
“Hafiz ajar Hanan?” Terbeliak biji mata Hafiz.
“Yalah. Kamu berdua kan nak STPM. Tapi belajar masa atuk ada di rumah. Mak tak nak jadi macam tadi.”
“Mak! Kami bukannya sekelas. Hafiz mana tahu subjek yang dia ambil.” Ingat senang ke dia hendak mengajar minah tu? Kalau otak cergas, lain cerita. Kalau terpaksa berulang kali mengajar, silap hari bulan, dia pula yang naik darah.
“Jangan nak tipu mak. Walaupun tak sekelas, ada aje kan subjek yang masih sama. Ingat mak tak tahu ke semua tu.”
Terdiam Hafiz. Memanglah ada subjek yang sama. Masalahnya, nak ke minah itu terima apa yang dia ajar?
“Tengoklah dulu, mak.” Hafiz terus melangkah masuk ke dalam bilik.
Hendak menghadap wajah Hanan pun dia tidak sanggup. Malu pun ada. Dia pun lelaki normal. Tipulah kalau nafsunya tidak tercuit ketika melihat kulit mulus gadis itu. Masih terbayang lagi adegan yang berlaku petang tadi.
Duduk di kerusi belajar, buku rujukan dikeluarkan dari beg sekolah. Tinggal tiga minggu lagi dia bakal menghadapi peperiksaan penting. Sudah lama dia menyimpan impian untuk belajar di luar negara.
Bunyi pesanan masuk menarik perhatiannya. Telefonnya dicapai. Melihat nama ‘Hanat’ di skrin telefonnya, dia tersenyum sinis. Pasti gadis itu sedang mengamuk disebabkan perbuatan nakalnya semalam.
Kau memang sengaja nak pedajalkan
aku! Kenapa tak letak anak-anak dia
sekali atas katil aku?
Berdekah-dekah Hafiz ketawa. Padan muka! Nak sangat kenakan dia.
Best tak tidur ditemani putera katak?
Kau belai-belailah dia. Mana tahu, kejap
lagi bertukar jadi seorang putera, kau
akan kembali ke fitrah sebenar.
Bukan sekali dia pernah menegur Hanan. Sampai berbuih mulutnya hendak menyedarkan Hanan supaya mengubah perangai seperti seorang gadis. Ini tak, sibuk hendak berperangai seperti lelaki. Lebih ganas daripada dia pula tu.
Best sangat. Kau nak tahu tak, apa dah
jadi dengan katak-katak tu sekarang?
Mati ketawa Hafiz. Apa pula kerja Hanan kali ini? Tidak lama kemudian, dia menerima gambar daripada gadis itu. Sebaik saja membuka gambar tersebut, terus dia berdiri tegak. Bergerak-gerak rahangnya menahan marah.
Kau buat apa dengan baju aku hanat!
Hampir saja dia membaling telefonnya ke dinding. Boleh pula Hanan mencampakkan baju kesayangannya ke dalam paya. Tak cukup dengan itu, ada pula katak yang sedang bertenggek di atas baju kesayangannya itu.
Aku pulangkan dia ke tempat asal.
Dengan baju tuan dia sekali aku letak
dekat sana. Nanti kau ambil sendirilah.
Mesti wangi baju tu kalau kau pakai.
Menggigil tubuh Hafiz menahan marah. Punyalah dia bersudah payah mengumpul duit hanya disebabkan baju-T itu, senang-senang sahaja Hanan mencampakkan baju kesayangannya itu ke dalam paya.
Sekali lagi Hafiz menerima gambar daripada gadis itu. Semakin mendidih darahnya melihat imej Hanan yang sedang menjelirkan lidah sambil menjulingkan biji matanya.
Tak guna!
“Hanan!!!”
No comments:
Post a Comment