DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 20 January 2022

Sayangku Hanan - Bab 1


TURUN naik nafas Hanan. Memang sekarang ini dia rasa seperti hendak dikerjakan si Hafiz itu. Dasar lelaki tak guna! Tak cukup beritahu cikgu, sekarang diadukan pula kepada atuk.

“Kenapa diam?” jerkah Haji Hasan. Di tangannya sudah tersedia rotan. Memang kesabarannya telah menipis sebaik saja diberitahu cucunya tidak pergi ke sekolah.

Kecut perut Hanan. Nak menipu, dah terkantoi. Alasan apa lagi yang dia nak bagi? Takut-takut dia memandang wajah atuk.

“Beritahu atuk, kenapa tak pergi sekolah dua hari ni? Hanan pergi mana selama ni?” Rotan di tangan dilibas ke betis Hanan. Menjerit gadis itu. Belum sempat dia merotan sekali lagi, Hanan cepat-cepat menangkap kedua-dua tangan itu.

“Hanan kerja!”

Ternganga Haji Hasan. Wajahnya semakin tegang. Nak dipukul, umur dah nak masuk 19 tahun. Nafas dihela kasar.

“Hanan sekolah lagi. Siapa suruh Hanan kerja?”

“Hanan cuma kerja untuk beberapa hari aje. Tak lama lagi nak STPM.” Hampir tak terkeluar suara Hanan.

“Habis tu, Hanan ingat atuk tak mampu?”

Wajah Hanan tunduk ke bawah. Serba salah dia hendak menjawab. Dia tahu selama ini atuk bersusah payah mencari wang demi menanggung kehidupan mereka dua beranak. Selepas arwah abah meninggal lima tahun yang lepas, kehidupan mereka semakin sempit.

Haji Hasan terduduk lemah di kerusi. Naik semput nafasnya menghadap perangai cucu tunggalnya itu.

“Atuk masih ada tulang empat kerat ni lagi. Masih mampu nak sara Hanan. Jangan nak pandai-pandai bekerja. Pergi sekolah. Belajar dan jadi orang yang berguna. Atuk tak nak Hanan jadi macam atuk.”

Sebak Hanan mendengar nada suara Haji Hasan. Cepat-cepat dia mendekati lelaki itu.  Dia duduk melutut di lantai.

“Hanan tak nak atuk pinjam dengan sesiapa lagi. Cukuplah kita berhutang. Hanan sebenarnya dah tak berminat nak belajar.”

“Maksud Hanan?”

Kepalanya digaru sedikit. Memang dia sudah lama berniat untuk berhenti belajar. Pergi sekolah pun bukannya dia pandai sangat. Apa yang menyakitkan hati, hampir setiap hari diejek hanya disebabkan penampilannya seperti lelaki. Keputusan SPM pun cukup-cukup makan sahaja.

“Jawab!”

“Hanan nak berhenti sekolah!” Tanpa sedar ayat itu terkeluar daripada mulutnya. Laju Hanan menekup mulut. Habislah dia...

Tegak terus tubuh orang tua itu. Dek terlalu marah, rotan diambil dan dilibas berkali-kali ke belakang tubuh Hanan. Menjerit gadis itu menahan sakit.

Hanan segera berlari ke pintu. Haji Hasan turut mengejar. Sakit hati betul dia mendengar permintaan tidak masuk akal cucunya itu.

“Sakit atuk.”

“Ke sini! Hari ni biar atuk sedarkan Hanan sikit. Otak kamu ni dah tercicir agaknya. Tiba-tiba nak berhenti sekolah.” Sampai ke tanah Haji Hasan mengejar Hanan. Makin tebal wajah gadis itu apabila ada beberapa orang kampung melihat kejadian itu.

Astaghfirullahalazim! Kenapa ni Pak Hasan?” Mak Siti segera menarik tubuh Hanan. Terkejut dia melihat lelaki itu memukul Hanan dengan teruk. Habis berbirat lengan Hanan dikerjakan lelaki itu.

“Bawa mengucap, Pak Hasan. Malu orang keliling kampung ni tengok.”

“Biar dia malu. Dah besar panjang, tapi otak tak matang. Dia ingat, berhenti sekolah tu perkara baik!”

Hanan masih bersembunyi di belakang Mak Siti. Air matanya jatuh juga di pipi. Salahnya juga sengaja mencari pasal. Belum pernah lagi atuknya itu mengamuk seteruk ini.

“Dahlah. Benda boleh bawa bincang. Pak Hasan janganlah ikutkan sangat perasaan tu. Nanti saya nasihatkan dia.”

“Budak ni memang tak makan saman. Dah berbuih mulut aku nasihat, tak ada nak didengarnya.” Haji Hasan duduk di atas tangga. Dadanya diurut perlahan. Rotan di tangannya dicampak ke atas tanah.

Mak Siti memandang ke arah Hanan. Jatuh kesian dia melihat wajah itu yang sudah berubah keruh. Patutlah Hafiz mendesaknya supaya ke sini. Rupa-rupanya ada perkara buruk yang berlaku.

“Macam inilah, hari ni biar Hanan tidur rumah saya. Nanti saya suruh Hafiz ke sini.”

“Ikutlah. Aku pun dah malas nak menghadap muka dia. Kerja nak menyusahkan orang aje.” Haji Hasan terus masuk ke dalam rumah.

Makin sebak dada Hanan. Dia tahu atuknya tidak berniat bercakap begitu. Tapi hatinya tetap sakit. Tanpa dapat ditahan, tangisannya pecah sehingga dia teresak-esak.

Mak Siti cuba menenangkan gadis itu. “Janganlah ambil hati. Atuk Hanan tu memang hati  tengah panas, macam-macam yang diluahkannya. Kejap lagi, menyesallah tu.”

“Hanan tak ada niat nak buat atuk marah.”

“Ya. Mak Siti tahu. Tapi cara Hanan tetap salah. Kenapa sampai ponteng sekolah?”

Mati esakan Hanan. Kedua-dua pipinya diseka perlahan.

“Mana Mak Siti tahu?”

Mak Siti tersenyum nipis. Rambut pendek Hanan dielus lembut. Setiap kali dia melihat wajah ini, dia pasti teringatkan seseorang. Seseorang yang sudah lama menghilang selepas Hanan dilahirkan.

“Balik rumah Mak Siti dulu. Nanti kita berbual panjang di rumah.”

Hanan terpaksa mengalah. Lagipun, dia tidak berani hendak menghadap wajah atuk. Dia berjalan sambil dipimpin oleh wanita itu. Tak sampai 10 minit, mereka tiba di rumah Mak Siti.

“Mak. Macam mana dengan Ha...”

Mendengar suara itu, terus menyirap darah Hanan. Dia menyingsing lengan pendeknya hingga ke bahu. Makin mendidih darahnya melihat wajah tidak bersalah itu.

“Kau...” Dek terlalu marah, dia terus meluru ke arah Hafiz. Rambut lelaki itu ditarik kasar.

Arghhhh... sakitlah! Lepaslah rambut aku!”

“Kau ni memang suka cari pasal. Suka sangat jaga tepi kain orang!”

Tercengang Mak Siti. Bergegas dia cuba meleraikan pasangan itu. Hanan yang masih belum puas, terus menyepak ke bahagian bawah. Kaku tubuh Hafiz sehingga dia jatuh terduduk di atas lantai.

“Kau...” Menggeletar tubuh Hafiz menahan senak. Kedua-dua tangannya memegang tempat yang ditendang Hanan tadi.

Tertelan air liur Mak Siti. Tidak tahu siapa yang perlu ditenangkan terlebih dahulu.

“Sekarang baru puas hati aku. Jom, Mak Siti. Hanan lapar. Mak Siti ada masak apa-apa tak hari ni?” Selamba saja dia mengheret tubuh wanita itu menuju ke dapur. Lantaklah kalau Hafiz hendak mati pucuk di situ. Memang dasar pondan agaknya. Kerja nak mengadu 24 jam aje!

 

HAFIZ MENJELING tajam. Kalau tahu dirinya bakal dikerjakan oleh Hanan, memang taklah dia memujuk emaknya ke sana. Menyesal dia berniat baik.

“Sedapnya lauk ni, Mak Siti.”

Hafiz menjulingkan biji matanya. Habis seperiuk gulai ayam dicekik oleh Hanan. Dia pun tidak sempat hendak menjamah.

“Makanlah, Hanan. Malam nanti Mak Siti masak lauk lain.”

Tegak terus kepala Hafiz. Telinganya dikorek dengan jari kelengkengnya. Takkanlah dia tersalah dengar tadi? Biar betul Hanan bermalam di sini?

“Susahkan Mak Siti aje. Terima kasih tumpangkan Hanan dekat sini.” Sempat lagi dijelirkan lidahnya kepada Hafiz.

Sah! Dia tak salah dengar. Hafiz memandang ke arahemaknya.

“Mak! Takkanlah dia nak tidur rumah kita?”

“Memang mak yang ajak. Kejap lagi Hafiz pergi rumah Pak Hasan. Temankan atuk malam ni.”

Hafiz merengus kasar. Tak pasal-pasal dia pula yang harus menggantikan tempat Hanan.

Mak Siti beredar dari dapur untuk menunaikan solat asar. Peluang itu terus diambil oleh Hafiz untuk mengajar Hanan.

Woi, perempuan!”

Hanan berpura-pura tidak dengar. Makin berselera dia meratah gulai ayam.

“Berhentilah makan. Aku pun tak makan lagi lauk tu.” Pinggan makan Hanan ditarik ke arahnya. Dia menghabiskan sisa makanan gadis itu.

Bulat mata Hanan. Dia cuba mengambil pinggan itu semula tetapi cepat saja Hafiz mengelak.

“Kau ni pengotorlah. Ambillah yang lain.”

“Kau jangan nak buat bodoh. Lauk celah mana lagi aku nak ambil? Semua kau dah bedal.”

Hanan menjeling geram. Dia bangun dan bergerak  ke arah singki. Menghadap muka Hafiz, memang hidupnya tak pernah aman.

“Kau nak pergi mana?”

“Tidur.”

Hampir tercekik Hafiz mendengar alasan Hanan. Lengan gadis itu ditarik kuat dan dipaksa duduk di kerusi kembali.

“Hesy, lepaslah! Kau nak aku tendang lagi dekat situ?” ugut Hanan.

Hafiz terus mengepit kedua-dua kakinya. Masih terasa senak gara-gara ditendang oleh Hanan tadi.

“Duduklah dulu.”

“Kalau ya pun, lepaslah. Sakit.”

Hafiz memandang ke arah lengan Hanan. Matanya terpaku di situ. Baru dia perasan lengan gadis itu sudah berbirat.

“Ini...” Kelu lidah Hafiz tiba-tiba.

“Puaslah hati kau sekarang. Disebabkan mulut longkang kau tu, aku kena balun dengan atuk. Semua orang kampung ni dah tahu atuk aku mengamuk.”

Hafiz masih terdiam.

“Aku tak pernah ganggu kau. Kalau sebab aku baik dengan Mak Siti, tu memang alasan bodoh. Takkan sebab tu kau nak cemburu?”

“Siapa yang cemburu?” Hampir ternaik suara Hafiz.

Mencebik bibir Hanan. Tak cemburu konon! Setiap kali dia bermanja dengan Mak Siti, lihat riak Hafiz pun dia sudah dapat meneka.

“Aku tak sengajalah. Petang tadi aku terjumpa atuk. Aku tanyalah, kenapa kau tak datang sekolah dua hari lepas, manalah aku tahu kau ponteng.” Sumpah dia tidak berbohong. Selama dua hari ni, dia tidak nampak batang hidung Hanan di sekolah. Selalunya ada juga orang yang boleh diajak bergaduh.

“Pelik pula aku dengar alasan kau tu.”

“Apa yang pelik?”

“Sejak bila kau ambil berat pasal aku? Jangan nak membongaklah. Orang macam kau ni, sebesar hama pun aku tak percaya.”

Hanan terus naik ke tingkat atas menuju ke bilik tetamu. Badannya pun sudah mula sakit-sakit. Sah kejap lagi ada yang demam.

Hafiz mengeluh perlahan. Tak sangka sampai begitu sekali tindakan atuk. Menyesal pula dia bertanya tentang Hanan. Tak pasal-pasal gadis itu teruk dipukul.

No comments:

Post a Comment