DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 13 January 2022

Intrigue Cinta Zarif - Bab 5


IFFAT bersandar ke belakang sambil menarik nafas lega. Selesai kerja untuk hari ini. Setelah 2 tahun, penggabungan di antara Apex Corporation bersama Mosaic Construction akhirnya semakin menghampiri penghujung. Hanya tinggal beberapa fasa sahaja lagi untuk mereka menyelesaikan projek di Nusajaya ini dan setelah 2 tahun berkampung di sini, dia akan kembali semula ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

Masih segar dalam ingatan, Afiq adalah orang yang paling gembira menerima tawaran dari pihak Apex dan dia yang sentiasa menyokong apa sahaja keputusan kekasihnya itu turut menyambut baik penggabungan tersebut. Atas persetujuan semua pihak, dia dilantik sebagai pengurus projek yang dipantau oleh Zarif selaku COO Apex Corporation.

Baru sahaja dia ingin mengemas meja yang bersepah dengan fail dan kertas, telefon yang diletakkan di sebelah meja berbunyi. Terpampang nama Afiq pada skrin. Panjang umur betul. Macam tahu-tahu sahaja orang sedang teringatkan dia.

“Hai sayang, dah sampai ke?”

“Ya sayang, baru touchdown. How’s your day?”

“Macam biasa, tak ada yang menarik pun. Tak sabar nak balik KL.”

“Maaf sayang tak dapat jemput you dekat sana. You tahu kan event dekat sini penting untuk pelaburan syarikat kita.”

Iffat tersenyum tawar. “Ya I tahu Afiq. Fokus pada kerja you dekat sana, I dekat sini okey je.”

“You balik naik apa esok?”

Drivelah, takkan nak tinggal kereta I dekat sini pula. Lagipun I balik lama nanti.”

“I minta maaf sangat-sangat sayang sebab tak dapat jemput you. Kalaulah...”

“Tak apa Afiq, I okey je dekat sini. Dah biasa berdikari.” Dia mula mengemas meja yang berselerak memandangkan jam sudah menghampiri pukul 7 malam.

Kedengaran Afiq menghela nafas perlahan. “I’m so sorry sayang. I janji, balik dari Jakarta nanti I akan beri sepenuh perhatian I pada you. Okey?”

“Yeah Afiq, whatever.”

“Sayang, I cakap betul-betul ni.”

Pergerakan Iffat terhenti. Sejujurnya dia berjauh hati dengan kekasihnya itu. Walaupun dia cuba untuk faham keadaan Afiq tetapi ada ketika hatinya memberontak mahukan  perhatian dari kekasihnya itu. Namun Afiq langsung tidak faham, sebaliknya dia pula yang perlu sentiasa memahami keadaan lelaki itu.

“Ya Afiq baiklah. I tuntut janji dengan you nanti.”

“Apa saja untuk you sayang. I’ve got to go, nanti I call you semula. Jaga diri.”

“You jaga diri juga.”

Sebaik sahaja panggilan tamat, pintu bilik Iffat ditolak dari luar. Kelihatan Zarif menapak masuk sambil melipat lengan kemeja ke paras siku. Iffat hanya memandang sambil terus mengemas barang di atas mejanya.

Selama 2 tahun dia bertugas di sini, dia sudah biasa dengan Zarif yang tiba-tiba muncul dan masuk ke dalam bilik dia seperti bilik ini dihuni oleh mereka berdua. Malah bila tiba hari Jumaat, dia sudah mengagak yang Zarif akan datang kerana sememangnya setiap petang Jumaat lelaki itu akan muncul di sini. Itulah rutin Zarif yang telah melekat dalam kepala sejak dia bekerja di bawah pemantauan lelaki itu.

“Mana laporan minggu ni?”

Fail yang telah kemas disusun ditolak ke hadapan Zarif. “Is it necessary?

“Apa?” soal Zarif semula dengan mata memandang isi kandungan laporan yang disediakan oleh gadis itu.

“Turun JB setiap minggu. I can just e-mail you...

“Projek dah nak siap pun, sekarang baru nak tanya. Awak tak suka saya datang ke sini?” Percakapan Iffat terus dipotong dengan mata mula menala ke wajah manis di hadapannya itu.

“Bukan itu maksud saya.”

“Jadi apa maksud awak?”

Travel tiap-tiap minggu sangat memenatkan. Lebih-lebih lagi kalau memandu sendiri.” Tenang Iffat menjawab.

“Ada apa-apa masalah dekat tapak projek?” Laporan kembali dibelek tanpa mengendahkan kata-kata Iffat. Tidak penting untuk dia menjelaskan isu ini.

Jeda.

Sabar sajalah bila bercakap dengan Zarif ni. Sejak mereka bekerjasama, semakin lama dia mengenali karakter Zarif yang sebenarnya. Ada ketika nampak santai, ada ketika nampak dingin. Tapi yang pasti, Zarif tidak akan melayan apa-apa sahaja yang tidak penting buat dirinya. Contohnya seperti tadi. Sebab itu kadang dia malas nak bertanya tentang hal remeh dengan lelaki ini, but knowing his... Mulut mana pernah boleh kontrol.

“Tak ada. Setakat hari ini semuanya under control.”

Zarif angguk faham dengan kepala yang masih menunduk.

“Zarif.”

Hurm?”

“Saya nak balik KL sekejap. Selesaikan kerja dekat sana.”

Fail ditutup dan ditolak ke hadapan Iffat semula.

“Bila?”

“Esok.”

“Berapa lama?”

“Tak pasti.”

“Projek dekat sini?” Kedua-dua belah tangan naik memeluk badan dengan kaki kanan naik menindih kaki kiri.

“Macam biasa, Imran akan e-mel laporan kepada saya nanti dan saya akan update awak laporan tu semua.”

Lama Zarif pandang wajah Iffat sebelum dia angguk dan bangun daripada duduknya.

“Okey.”

Hanya sepatah itu yang dia tuturkan. Sekelip mata dia berlalu keluar dari bilik Iffat. Zarif terus menghilang seperti angin lalu dan Iffat hanya diam memandang kerana dia sudah biasa dengan keadaan itu. Keadaan di mana lelaki itu datang tanpa diundang dan pergi tanpa pamitan.

 

DENGAN DIBALUTI jubah mandi serta tuala yang membungkus rambut, Iffat terus merebahkan badan ke katil dengan kedua-dua belah tangan didepangkan seluasnya. Nafas ditarik dalam dan dihela sekuatnya bagaikan membuang segala beban yang melelahkan.

Penat.

Tapi beg pakaian masih belum berkemas. Ikut perancangan, awal pagi esok dia akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Tak sabar nak balik rumah dan baring atas katil sendiri. Rindu! Walaupun bilik hotel yang disediakan oleh pihak syarikat lebih hebat daripada bilik tidurnya di rumah, namun masih kurang selesa jika hendak dibandingkan dengan bilik tidur sendiri.

Selama 2 tahun dia menginap di sini, bilik ini tetap terasa begitu asing buat dirinya. Lebih lagi bila tinggal bersendirian begini. Terkebil-kebil matanya memandang siling bilik hotel 5 bintang itu.

Sedang dia leka melayan perasaan sendiri, ruang bilik yang sunyi mula bingit dengan bunyi telefon miliknya. Menggagau tangan dia mencari telefon yang entah di mana dia selitkan sebelum masuk mandi seketika tadi.

Helo...”

Panggilan terus dijawab tanpa melihat nama pemanggil.

“Turun sekarang, saya tunggu awak dekat bawah.”

“Zarif?”

“Ya Iffat.”

“Tunggu saya buat apa?”

“Pergi makan.”

“Malaslah.”

Now Iffat.” Panggilan terus ditamatkan.

Terkebil-kebil matanya memandang skrin telefon yang gelap. Dengan badan penat, serius dia malas nak keluar. Tanpa berfikir panjang dan tanpa memikirkan tentang perasaan Zarif, satu pesanan ringkas dihantar.

‘I’m not going.’ 

Telefon dicampak ke tepi dan badan ditolak bangun dari perbaringan. Rambut yang berbungkus dengan tuala dibuka dan sambil bernyanyi dia mengesat rambutnya itu. Diurai perlahan-lahan rambut yang baru dipotong ke paras bahu.

Sedang dia asyik membelai rambutnya, loceng bilik berbunyi. Bukan sekali tetapi bertalu-talu. Sungguh membingitkan. Pantas dia bangun menuju ke arah pintu dan dengan kaki yang terjongket, dia mengintai.

“Awak buat apa ni?” Terus dia menyoal setelah pintu biliknya dibuka dengan kasar.

Zarif diam memandang Iffat yang tegak di hadapan pintu dengan memakai jubah mandi serta rambut yang masih lembap.

“Bersiap sekarang dan ikut saya keluar makan.”

Nafas dihela keras. “15 minutes.”

“10,” balas Zarif tanpa rasa bersalah.

“30 minutes,” jawab Iffat tidak mahu kalah.

“5.”

“Okay fine, 10 minutes!” Dum! Pintu bilik ditutup kuat.

Zarif yang memandang perlahan-lahan mengukir senyuman sinis.

Tidak cepat dan tidak terlewat, tepat 10 minit Iffat keluar dengan sehelai jean biru dan baju-T putih lengan pendek yang agak longgar tersarung pada badan. Rambut yang lembap disikat kemas dan dibiar lepas bebas. Getah pengikat rambut dipakaikan pada pergelangan tangan sebagai persediaan untuk mengikat rambut bila dah kering nanti. Pada wajahnya pula hanya dicalitkan sedikit pemerah bibir agar tidak kelihatan pucat. Beriringan mereka menuju ke lif dan Iffat hanya menurut sahaja apabila Zarif membawa dia keluar dari kawasan hotel. Masing-masing diam melayan fikiran sendiri sehinggalah mereka tiba di restoran makanan laut yang terletak di Stulang.

“Balik dengan siapa esok?” Zarif memulakan bicara setelah selesai membuat pesanan untuk makan malam.

“Sorang.”

“Drive?”

“Yup.” Tangan yang berada di atas meja naik menongkat kepala. “Takkan nak tinggal kereta dekat sini.”

“Balik dengan saya.”

Iffat menggeleng. “Susah nak bergerak dekat sana nanti kalau tinggal kereta dekat sini.”

“Balik naik kereta awak tapi saya yang drive.”

Terkebil-kebil mata Iffat memandang Zarif sebelum terlepas tawa halus daripada bibir.

“Habis tu kereta awak nak tinggal dekat sini?”

“Yang itu biar saya uruskan.”

Nafas dihela perlahan. “Kalau boleh saya tak nak menyusahkan awak. Tapi memandangkan awak sendiri yang offer diri... okey, saya setuju.”

“Good,” balas Zarif tanpa riak.

Seketika kemudian makanan yang dipesan tiba. Satu set hidangan makanan laut yang nampak enak semuanya. Tetapi paling leceh untuk dimakan kerana harus dikopek kulitnya. Kerana itu, Iffat hanya menjamah sotong dengan ikan siakap sahaja.

“Kenapa tak makan udang? Tak suka?”

Iffat menggeleng dengan mulut yang penuh. Tadi beria cakap malas nak keluar makan tapi sekarang mulut dia tidak henti mengunyah. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.

“Malas nak buang kulit. Tak reti.”

Beberapa ekor udang diletakkan ke dalam pinggan dan satu per satu dibuang kulitnya. Lebih besar saiz udang lebih mudah untuk dibuang kulit. Kemudian diletakkan udang di dalam pinggan gadis itu.

Bulat mata Iffat bila melihat isi udang yang merah dan lazat di dalam pinggan. Sekelip mata isi udang licin dimakan olehnya. Dan Zarif terus bertindak membuang kulit udang untuk Iffat.

“Terima kasih.”

Hanya anggukan yang diberikan sebagai menyambut ucapan terima kasih si gadis.

“Baik rupanya Tuan Zarif kita ni,” usik Iffat dengan tangan menyanggul tinggi rambut yang lepas bebas.

Seperti selalu, Zarif hanya tersenyum sinis apabila mendengar pujian yang diberikan kepadanya sama ada dalam bentuk usikan mahupun serius.

“Saya baik dengan orang yang baik dengan saya.”

That’s not right, Tuan Zarif. Kita kena berbuat baik dengan semua orang.”

“Walaupun orang tu buat jahat dengan kita?”

“Ya. Arwah ibu saya selalu pesan macam tu. I know it’s not easy. Well, it is definitely not easy. Kalau tak mampu berbuat baik dengan orang yang telah menyakiti kita, jauhkan diri dari mereka. Itu yang sebaiknya.”

Zarif diam berfikir.

“Macam mana kalau mereka tetap datang cari kita? Apa yang perlu kita buat?”

“Mereka datang atas sebab apa? Kalau masih berniat jahat, cubalah jauhkan diri selagi kita mampu. Tapi kalau mereka datang dengan niat yang baik, contohnya nak berbaik dengan kita ke, maafkan saja mereka. Dengan memaafkan bukan sahaja mengurangkan beban kesalahan di bahu mereka malah turut meringankan bahu kita yang menggalas dendam terhadap mereka.”

“Do you get what I mean?

Lama Zarif diam sebelum nafas dihela perlahan. Serentak itu dia bangun daripada duduk.

“Nak ke mana Zarif?”

Kotak rokok diangkat tanpa dia berpaling ke arah Iffat. Langkah diatur sedikit menjauh ke ruangan yang tersorok. Tidak lama kemudian sebatang rokok diletakkan ke bibir dan Zarif terus menikmati tanpa mengendahkan Iffat yang masih memerhati.

No comments:

Post a Comment