HANAN terjaga daripada lena. Perlahan-lahan dia bangun dan bersandar di kepala katil. Sejak akhir-akhir ini, mudah betul dia terjaga. Boleh dikatakan hanya beberapa jam saja dia dapat tidur dalam sehari.
Botol air yang ada di atas meja segera dicapai. Kosong. Nafas lemah ditarik perlahan. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Hanya lelaki itu yang selalu prihatin dengan memastikan botol air ini sentiasa penuh.
Tubir matanya terasa hangat. Sungguh dia rindukan lelaki itu. Mahu saja dia pulang ke sana. Namun teringatkan peristiwa beberapa minggu lepas, dia tak mampu untuk terus melihat wajah si suami. Jujur dia malu. Malu kerana pernah mengaibkan lelaki itu.
Dengan langkah yang berat, dia keluar dari bilik untuk mengisi air. Ketika dia ingin ke dapur, anak matanya mengecil sedikit. Kedua-dua matanya ditenyeh sekali lagi. Sah, lelaki itu berada di sini. Bukan main lena lagi tidur di kerusi rotan.
Berhati-hati dia melangkah ke arah lelaki itu, lalu duduk bersimpuh di atas lantai. Lama dia merenung wajah si suami. Mulutnya ditekup laju. Takut esakannya bakal terlepas.
Rambut yang semakin panjang itu diusap lembut. Senyuman penuh ikhlas terukir di bibirnya. Betul kata atuk, kadang-kadang jika dengan cara berpisah dapat membahagiakan pasangan kita, relakan dia pergi. Mungkin itu perkara yang paling baik untuk kita hadiahkan kepada si dia.
“Hanan ikhlas lepaskan abang pergi dalam hidup Hanan. Hanan harap, abang dapat isteri yang lebih baik daripada Hanan.”
Ciuman diberikan ke dahi lelaki itu. Cukuplah dia pernah merayu dahulu. Tak perlu dia mengemis kepada orang yang tidak sudi.
No comments:
Post a Comment