DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 30 July 2015

PERMAISURI HATI - BAB 1

PERMAISURI HATI - BAB 1



Aku menggeleng-geleng melihat gelagat Haikal yang sudah boleh berjalan itu. Penat betul aku melihat tingkahnya. Aku yang tukang tengok inipun seakan lelah, aku tidak tahu la apa yang dirasai anak kecilku ini. Pipinya aku cubit geram.
Haikal membalas dengan gelak perlahan. Dia menepis manja tanganku.
Nizam yang berbaring di sofa aku pandang penuh cinta. Setiap kali kupandang dirinya, ada cinta yang mengalir. Tiga tahun hidup bersamanya, aku tahu pilihanku tidak salah. Aku mengalih pula pada buku-buku yang berselerakan di meja belajarku. Letih rupanya menjadi pelajar dan ibu dalam masa yang sama. Mungkin sebab itu ramai yang menolak berkahwin muda. Tapi aneh, aku boleh mengatasi semua itu, mungkin kerana aku bahagia dengan kehidupanku. Tentulah kadang-kadang perasaan serabut itu ada bila Haikal meragam sedangkan assignmentku masih banyak lagi yang tertunggak.
Aku mengahwini Nizam seawal umur 19. Dialah cinta pertamaku. Sudah sekian lama aku menyulam cinta dengannya dari Tingkatan 1, akhirnya kami tekad untuk hidup bersama. Biarpun pada mulanya keputusan kami mendapat tentangan dari keluarga terutamanya abah dan abang-abangku, akhirnya mereka mula menerima takdir hidupku.
Aku kini menjadi penuntut di UITM Kuala Lumpur manakala Nizam pula berada di UPM. Kami bahagia begini sekalipun mungkin ada yang tidak percaya bagaimana aku mampu menerima beban ini tatkala remaja seusiaku masih galak menikmati zaman muda mereka.
“Kenapa Lina termenung ni? Tak baik untuk kandungan tu”. Aku dikejutkan dengan suara Nizam yang sedang tersenyum melihatku. Aku tergelak. Dah bangun nampaknya suamiku ini.
Aku menyentuh perut yang masih tidak kelihatan itu. Dua bulan yang lalu aku dikejutkan dengan berita kehamilanku buat kali kedua. Aku menerima rezeki ini dengan penuh syukur. Aku tahu Nizam juga menginginkan zuriat cinta ini.
“Abang pergi mandi dulu. Busuklah. Nanti Haikal tak nak dekat dengan ayah dia lagi”. Balasku.
“Kejap lagi abang mandi. Sayang… abang lupa..abang dah janji nak chat dengan kawan abang dari oversea. Alamak, kesian dia”. Nizam menepuk dahi tiba-tiba lantas cepat-cepat bangun dari pembaringan  dan membuka laptopnya.
Aku tergeleng melihatnya. Kata Nizam, dia berkenalan dengan seorang lelaki di Facebook yang juga mengambil jurusan yang sama dengannya di luar Negara itu. Mereka saling bertukar pendapat mengenai course masing-masing. Pertama kali, aku mendengarnya, macam pelik sahaja hatiku.. tetapi bila dia tidak kisah aku menyendeng di sebelah bila di berchatting dengan ‘pakwenya’ itu, aku tahu dia jujur dalam meluahkan kata.

AKU hanya mampu terkebil-kebil tidak percaya mendengar perkhabaran yang singgah di telinga dua hari yang lalu. Perit hatiku menerima semua itu. Bagaikan ada tusukan di dada dan kemudian aku ditikam pula bertubi-tubi. Aku hanyut dalam pelukan emak. Aku menangis dan terus menangis. Sungguh, aku tidak dapat menerimanya.
Bagaikan masih terbayang rempuhan motosikal yang mengena tubuhku tatkala aku berjalan di sekitar kampus dua hari yang lalu. Aku tidak tahu dari mana datangnya motosikal berkuasa tinggi yang bergerak laju. Aku yang sedang berjalan mengusung perut bagaikan terpaku. Kakiku bagaikan dipaku. Tidak sempat aku mengelak, aku jatuh bergolek di atas jalan tar. Serentak itu juga, darah pekat mengalir di celah kelangkangku dengan banyak sekali. Aku pula hanya mampu meraung sebelum pandanganku bertukar gelap.
”Sabarlah.. tak ada rezeki Lina agaknya”. Pujuk Abah yang sedari tadi hanya melihat aku menangis dalam pelukan emak. Terkejut aku melihat ketiga-tiga abangku turut memandangku sayu. Bila mereka pulang? Ibu bapa mertuaku juga sama. Kata emak, aku koma selama seminggu. Nizam hilang entah ke  mana bersama bersama Haikal. Aku tahu dia kecewa dengan berita keguguranku sedangkan tinggal 3 bulan lagi kami bakal menambah ahli baru. Tapi apakah dia juga tahu, aku lebih terluka daripada dirinya. Aku yang mengandungkan anak kami. Aku merasai tendangannya, pergerakannya. Akulah ibunya. Bukankah seharusnya dia berada di sini, menemaniku, memujukku. Apakah Nizam marah di atas kecuaianku?
Namun dalam diam aku mengerti sendiri, bukan itu yang membuatkan Nizam kusut. Aku terdiam, meleraikan pelukan emak.
“Berlaku kecederaan yang agak teruk pada rahim Puan Amalina. Berdasarkan pemeriksaan, puan disahkan tidak dapat mengandung lagi”. Masih terngiang-ngiang ucapan doktor di telinga. Aku bagaikan mati kata. Dapat aku lihat raut wajah Nizam yang berubah keruh. Dia kecewa.
“Mana Nizam pergi agaknya ni?”. Kedengaran bapa mertuaku bertanya, mungkin geram dengan tindakan Nizam yang masih tidak menjengukku di sini sejak semalam. Ya, sejak dia dengar berita itu, Nizam hilang entah ke mana.
“Lina tak boleh mengandung lagi, mak”. Ucapku tiba-tiba. Seisi bilik  bagaikan terkedu.
“Apa Lina cakap ni?”. Abang sulungku bertanya. Jariku diusap lembut.
“Doktor dah sahkan semalam”. Sambungku bersama air mata

No comments:

Post a Comment