DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 8

“PELAMIN siapa tu, mak? Ada orang nak
kahwin ke?” soal Fadhilah, anak kedua Nek Som.
“Ferhad. Esok nak akad nikah,” beritahu Nek Som.
Anak cucunya semuanya telah sampai kecuali Fahim, adik
Ferhad yang sedang belajar di Australia dan keluarga anaknya,
Fatimah. Sudah lama Fatimah tak balik kerana berkecil hati
dengan sikap Nek Som yang melebihkan Rohani dan Asma.
Semuanya tercengang dan keliru.
“Kahwin dengan siapa? Tiffany ke? Bila dia peluk
Islam?” tanya Fatin Nur, adik Ferhad.
“Siapa Tiffany?” soal Nek Som dan Fakrul, papanya
serentak.
Fatin Nur gigit bibir. Tak sengaja membocorkan
rahsia abangnya.
“Kawan saya kat UK,” jelas Ferhad ringkas.
Sebolehnya dia tidak mahu keluarganya tahu tentang
kewujudan Tiffany.
“Habis tu, Ferhad nak kahwin dengan siapa? Orang
mana? Bila pergi meminang? Kenapa mama tak tahu pun?”
soal Mariana yang berkecil hati saat mendengarnya.
“Tak ada siapa yang tahu. Ni semua rancangan aku.
Permintaan terakhir sebelum aku tutup mata. Ferhad saja
cucu aku yang paling rapat. Selalu telefon aku tanya khabar
walaupun duduk di seberang benua tu.”
Semua orang terdiam.
“Ferhad juga cucu aku. Kau tak boleh paksa dia
kahwin dengan pilihan kau,” tegas Mariam, mak Mariana.
“Aku tak paksa. Dia pun suka dengan budak tu,”
jawab Nek Som tegas.
“Siapa nama dia? Aku nak kenal.”
“Nama dia Asma, opah. Ferhad yakin bila opah jumpa
dia, opah juga akan suka.”
“Asma? Anak Rohani tu ke?” soal Fadhilah inginkan
kepastian.
“Betullah tu.”
“Mak... budak tu masih sekolah lagilah, mak. Mak
sedar tak apa yang mak buat ni?” keluh Fadhilah.
“Mana kau tahu dia tu masih sekolah? Tahun bila?
Tahun lepas ke? Asma dah habis sekolah. Hujung bulan ni
sambung belajar kat UPM,” jelas Nek Som.
“Samalah tu, mak. Budak lagi tu. Satu apa pun
tak tahu lagi. Macam mana mak boleh fikir nak nikahkan
diaorang?” balas Fadhilah yang masih tak puas hati.
“Siapa yang tak tahu apa? Macam anak kau yang
tak tahu satu apa pun. Tahunya suap nasi terus ke mulut.
Tahunya belek-belek muka kat cermin 24 jam. Kemas rumah
pun tak tahu. Tak pun tahu perabih duit beli entah apa-apa
yang tak guna tu. Tak reti nak fikir lagi,” sindir Nek Som.
“Ala... macamlah si Asma tu tahu sangat,” bebel Fatin
Nur perlahan. Dia cukup tak suka apabila neneknya mula
mengungkit tentang kelemahannya dan sepupu-sepupunya
yang lain. Bagi mereka, mereka muda lagi, banyak masa nak
belajar. Lagipun apa guna ada pembantu rumah kalau segala
kerja rumah kena buat sendiri?
“Bila aku cakap, tahu pulak nak menjawab. Aku
tak pernah ajar anak-anak aku menjawab bila orang tua
bercakap.” Tajam Nek Som menjeling Fatin Nur.
“Fatin, jangan nak kurang ajar dengan nenek,” pinta
Ferhad lembut.
“Biarkan budak tu jawab. Dia ada mulut nak
pertahankan diri. Jangan sebab dah suka sangat dengan
budak tu, yang busuk baunya wangi,” balas Fadhilah.
Nek Som terdiam. Hatinya pedih. Ferhad kasihan
melihat neneknya.
“Saya tak kena paksa pun. Saya sendiri yang rela
kahwin dengan Asma tu. Nantilah mama, papa, mak ngah
dan opah kenal dia, tentu akan suka dia.” Akhirnya Ferhad
bersuara.
“Farah kenal Asma tu. Dia cantik, mama,” celah
Farah Nur. Rasanya dia pernah bertemu dan berbual dengan
Asma ketika datang bercuti awal tahun baru-baru ini.
“Dia tolong maknya jual sayur dekat pasar, kan
Abang Ferhad?” tanya Farah Nur kepada abangnya itu.
Ferhad angguk.
“Betullah. Dia buat kek coklat moist sedap. Hari tu
waktu Farah datang bercuti, kebetulan birthday Farah. Dia
yang buatkan kek tu.”
“Eleh, entah-entah beli dekat kedai,” kata Fadhilah
sinis.
“Beli apa pulak? Dia memang buat. Depan mata
Farahlah,” sampuk Farah Nur.
“Tunggu kejap. Farah ada bukti.” Dia buka galeri foto
iPhonenya, mencari gambar yang sempat dirakamkan pada
hari itu. Rasanya banyak juga yang dia ambil pada hari itu.
‘Ha... jumpa pun.’ Lalu diserahkan iPhone kepada
Mariana.
“Lawa orangnya,” puji Mariana.
“Lawa pun budak lagi. Orang kampung pulak tu.
Entah-entah bila kahwin dengan Ferhad, terus lupa diri,”
cemuh Mariam.
“Mak ayah dia orang Siam. Merantau ke mari,”
beritahu Nek Som tanpa ambil endah dengan cemuhan
besannya.
“Dia tak ada saudara-mara ke dekat sini?” tanya
Mariam.
“Setahu aku, tak ada. Aku inilah keluarga mereka
sejak mereka pindah sini waktu Asma dalam kandungan
mak dia. Lima tahun lepas, ayah Asma meninggal dunia
sebab kemalangan jalan raya. Aku bukannya main suka-suka
tangkap muat. Aku pilih yang terbaik untuk cucu aku.”
“Terbaik apa kalau tak tahu asal usul? Bukan asal
orang beragama Islam pun,” cemuh Mariam lagi.
“Lagi baik orang yang baru peluk Islam daripada
Islam sejak lahir. Nama saja Islam tapi perangai mengalahkan
orang bukan Islam. Dah tua-tua masih tak sedar diri,” sindir
Nek Som sambil menjeling besannya.
‘Dah tua tapi tak tahu nak tutup kepala. Masih
lagi berlagak muda dengan pakai pakaian mengikut fesyen
semasa. Aku tengok pun malu nak mengaku besan.’ Nasib
baik Mariana, menantunya itu tidak mengikut perangai
maknya.
“Saya tahu, mak. Tapi sebagai ibu bapa dia, saya
pun berhak juga nak kenal siapa bakal menantu saya. Latar
belakang keluarganya.”
“Ai, tahu pulak peranan kau sebagai mak dia. Selama
ni, lepas dia buat silap besar dulu, ada kau ambil berat
tentang dia? Sakit sihat dia? Tak ada, kan? Sebab kau ikut
sangat cakap anak lelaki aku tu, konon nak mengajar anak.
Tapi menjahanamkan anak!” marah Nek Som.
Terdiam Mariana dibuatnya.
“Mak... perkara tu dah lama. Ferhad ni dah berjaya.
Tak perlulah mak nak ungkit-ungkit lagi,” keluh Fakrul kesal.
Dulu dia pernah buang Ferhad kerana Ferhad terlibat dengan
pil ecstasy. Ditangkap polis dan hampir-hampir dipenjarakan.
Dia menghukum Ferhad tanpa memberinya peluang membela
diri. Kononnya nak mengajar Ferhad, dihalau Ferhad dari
rumah lalu dihantar duduk ke kampung. Ketika itu, Ferhad
baru berusia 16 tahun. Sejak hari itu, Nek Somlah yang
menjaga Ferhad. Hubungan kekeluargaan mereka renggang
sehinggalah Ferhad mendapat keputusan cemerlang SPM.
Kemudian Ferhad kembali ke rumahnya namun hubungan
mereka tidak serapat dulu.
“Nek, saya pun dah lupa dah nek,” ujar Ferhad pula.
Dia tidak mahu keluarganya bertengkar kerana perkara yang
lepas. Lagipun dia lelaki, tidak ada istilah paksaan dalam hal
ini. Memang mulanya dia mahu bantah. Tapi bila dah melihat
dan kenal Asma, dia sudah mula dapat menerima Asma
sebagai bakal isterinya.
“Jadi, jangan nak pertikaikan apa yang aku buat.
Aku tahu apa yang terbaik untuk cucu aku,” tegas Nek Som
sebelum beredar masuk ke dalam biliknya.
Namun langkah kakinya terhenti. “Makanan yang
korang makan malam ni semuanya Asma yang masak.”
Masing-masing terdiam. Ayam masak merah yang
cukup segala rasa. Air asam ikan bakar cukup menyelerakan,
gulai lemak daging salai cukup memikat. Sambal belacan
cukup rasa. Masing-masing dua kali tambah. Jadi mereka
diam tak terkata.
Dalam diam, Ferhad senyum sinis.

No comments:

Post a Comment