DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 13

“Kau ni siapa sebenarnya?” Khalis tanya lagi.
Entah berapa banyak kali Khalis tanya, Suhaila dah
kehilangan angka. Semasa makan tadi Khalis tanyakan soalan
yang sama. Selepas makan pun Khalis tanya lagi. Sekarang
dalam kereta sedang memandu pun Khalis tanya.
“Kau nampak aku manusia atau alien? Apa yang kau
pilih, itulah aku,” jawab Suhaila. Malas sudah dia hendak
jawab soalan itu. Agak-agak Khalis percaya ke kalau dia
berterus terang? Gerenti rahang Khalis jatuh ke kaki.
Google saja nama Suhaila Al-Hakeem. Pasti keluar
Menara Ophelia yang glamor tu. Menara Ophelia terletak
jauh di Dubai sana, tapi itulah pencapaian terbaiknya. Menara
Ophelia sama setanding dan hebat seperti Menara Crescent
Moon. Bezanya Menara Crescent Moon bagaikan bulan sabit
jatuh ke bumi. Menara Ophelia sebenarnya ialah sebuah
piramid besar yang di dalamnya terdapat 60 puluh piramid
kecil yang mewakili satu unit kondo.
“Aku tanya, apa pekerjaan kau sebelum ni? Apa kau
buat sebelum kau jadi gila nak perangkap aku? Harga kereta
kau tu hampir setengah juta. Aku tak rasa kerja kau setakat
bibik aje.” Khalis tidak puas hati kerana Suhaila langsung
tidak mahu menjawab soalannya. Kalau Suhaila anak VVIP,
pasti dia kenal atau tahu. Tapi siapa Suhaila, dia langsung
tidak punya idea. Takkan Suhaila buat kerja terkutuk untuk
kaya cepat?
“That's for me to know and you to find out.”
“Kau isteri aku, Suhaila...”
“Kau dah mengaku aku isteri ke? Lepas ni kita boleh
shopping macam suami isteri lain. Kita honeymoon. Kita
panggil ‘sayang-abang’. Kita...” Suhaila buat-buat seronok.
Siap depa tangan apabila menyebut perkataan ‘honeymoon’.
“Kau jangan perasan, boleh tak? Aku tak ingin pun
isteri macam kau ni.”
“Kalau macam tu, bila aku dah jadi isteri Tengku
Khalis Aiman, baru kau akan tahu siapa aku sebenarnya. Dah
sampai kan? Yang kau rajin sangat bawa aku tawaf ofis kau
sampai sepuluh kali ni buat apa?” Suhaila perasan Khalis
berpusing jauh dari pintu masuk bangunan Nusa Jaya. Bukan
sekali, tapi dua tiga kali. Saja aje hendak duduk lama-lama di
dalam kereta.
Soalan Khalis tidak akan dia jawab. Lantaklah. Siapa
suruh buruk sangka saja.
Khalis pandang Suhaila. Misteri sungguh isteri
segeranya. Baru hendak bawa pusing-pusing, Suhaila lebih
dulu kenal bangunan Nusa Jaya. Khalis tidak mahu tanya
lagi. Dia terus mencari tempat letak kereta kosong untuk
memarkirkan keretanya. Dia berpusing-pusing di kawasan
itu.
“Kau jangan main-main, boleh tak? Aku tahu kau
ada parking VVIP kat sebelah lif sana.”
Khalis pandang Suhaila. Mana pula perempuan ini
tahu dia ada tempat letak kereta VVIP? Siap lokasinya lagi.
“Tak payah nak pelik. Bos-bos memang tak suka
rebut parking. Bangunan sendiri kut, takkan tak ada special
parking untuk bos. Memang biasanya bos ni malas nak
jalan jauh.” Suhaila sebenarnya terlanjur cakap. Takkan dia
hendak beritahu dia hafal setiap inci bangunan Nusa Jaya ini.
Bangunan baru Nusa Jaya ini hasil ilham Badri dengannya.
Cuma dia tidak pernah berjumpa dengan Tengku Khalis.
Rasanya Tengku Khalis berpindah ke Malaysia lepas bangunan
ini siap.
Khalis memarkirkan kereta di tempatnya. Jawapan
Suhaila memang pelik. Tapi dia tidak ambil pusing sangat.
Dia perlu memperkenalkan Suhaila kepada Umie Farihah,
pembantu peribadinya. Umie tahu bagaimana rupa semua
perempuan yang pernah menjadi pendampingnya. Suhaila
lain daripada yang lain.
Mereka berdua berjalan menuju ke lif. Dia rasa
berdebar-debar pula hendak membawa Suhaila bersama.
Sebaik sahaja sampai di tingkat 12, Khalis terus masuk ke
biliknya. Suhaila setia mengekori.
“Selamat petang tuan, puan.” Umie menegur Khalis
dan Suhaila.
“Akak panggil saya puan?” Suhaila begitu teruja. Dia
tengok muka Khalis sudah masam mencuka. Suhaila senyum
sampai ke telinga. Niat Khalis hendak rahsiakan siapa dia
tidak kesampaian.
“Apa papa beritahu akak ni?” Khalis tidak puas hati.
Dia sudah berpesan kepada papanya bahawa dia tidak mahu
sesiapa pun tahu perkahwinan segeranya.
“Tengku Zabidi cakap, Tengku Kaz yang hebat
dah kena ikat.” Umie tergelak kecil. Sebut pasal kahwin,
memang pantang besar Khalis. Apabila pasal kahwin disebut,
memanjang tidak mahu. Tapi sekarang kena kahwin terpaksa.
Suhaila gelak sama.
“Hebat saya ni dapat tambat Tengku Kaz yang hebat
ni, kan?” Suhaila sengaja menambah perencah. Sindir Khalis
yang tengah sakit hati. Nampak gayanya bolehlah dia geng
dengan Umie.
“Hei Suhaila, jangan nak perasan boleh tak? Kalau
tak kerana kau perangkap aku, tak mungkin aku kahwin
dengan kau.” Khalis sakit hati.
“Tengku Kaz jangan risau, akak sorang aje tahu.
Tengku Zabidi ada pesan, kalau Puan Suhaila datang sini, dia
nak jumpa.” Umie menyampaikan pesanan. Isteri majikannya
nampak baik dan tidak sombong. Rupa pun boleh tahan
cantik. Dia pasti lambat-laun Khalis akan jatuh cinta dengan
isterinya itu.
“Kau beritahu papa ke nak datang sini? Kau call papa
aku ke?” Khalis luruskan telunjuk ke arah Suhaila.
Naik juling mata Suhaila lihat telunjuk Khalis. Dia
geleng kepala. Khalis sudah tidak betul nampaknya.
“Telefon aku dah berenang dalam lautan sabun masa
kau tarik aku kat hotel hari tu. Dah rosak pun. Macam mana
aku nak telefon papa kau? Kau ni macam nak bagi telunjuk
kau untuk aku gigit ke?” Suhaila buka mulut luas-luas.
Pura-pura nak telan jari Khalis.
Khalis nampak cuak. Cepat-cepat dia menyimpan
semula jarinya. Diselitkan ke dalam poket. Dia menjauh
sedikit daripada Suhaila.
Umie angkat kening melihat adegan tidak berapa
mesra suami isteri itu. Nampaknya Khalis macam takut
dengan ugutan Suhaila.
“Puan nak pergi sekarang ke? Akak call Tengku
Zabidi,” tanya Umie.
Suhaila angguk.
“Lepas jumpa papa, kau cuci toilet aku. Jangan lupa
tu. Itu tujuan aku bawa kau datang sini.”
Suhaila angkat kening.
‘Pak cik ni betul-betul nak aku jadikan tukang
cuci toilet peribadi dia ke? Tahulah kaya dan banyak sangat
duit. Tapi bagus juga. Tengah sengkek ni. Nak minta gaji
banyak-banyak.’
“Lepas aku jumpa bapa mentua kesayangan aku tu...
aku nak tumpang tidur dalam bilik kau. Aku tunggu kau dari
subuh gajah tadi, tahu tak?” Suhaila tunjuk muka garang dan
berlalu. Dia perlu berjumpa Tengku Zabidi. Entah apa pula
yang bapa mentuanya mahukan.
“Mana dia tahu dalam ofis saya ada bilik tidur? Dia
jalan lenggang kangkung tu, dia tahu mana bilik papa ke?”
Khalis pelik. Tiada tanya apa-apa pun?
Umie jongket bahu sekali lagi. Tengku Zabidi pun
sudah pesan, biar Khalis kenal sendiri siapa Suhaila. Dia tidak
boleh bocorkan rahsia siapa sebenarnya gadis itu.
Misteri siapa Suhaila makin menarik bagi Khalis.
Rasanya cuma staf Nusa Jaya yang tahu dalam bilik pejabat
Tengku Khalis dan Tengku Zabidi ada satu ruangan khas
untuk mereka berehat. Ada katil bujang dan sebuah bilik
mandi. Apa yang lebih aneh, Suhaila seakan-akan tahu
selok-belok bangunan itu.
Khalis mula berfikir negatif. Mungkin Suhaila sudah
study mengenainya dan keluarganya. Sah! Memang dia kena
perangkap. Suhaila memang buat kerja terkutuk untuk hidup
senang. Dia pula yang menjadi mangsa Suhaila.
‘Tak boleh jadi ni. Aku mesti buat dia jatuh cinta
pada aku. Biar perempuan tu lenyap daripada pandangan aku.
Lagi cepat lagi bagus!’
“Aileen, duduklah. Selamat datang ke Nusa Jaya. Aileen
tak datang pun masa pelancaran pejabat baru ni tempoh
hari.” Tengku Zabidi bersandar di kerusinya yang lebar dan
empuk. Kedatangan Suhaila memang dinanti-nantikan.
Suhaila duduk. Mulutnya bagaikan terkunci untuk
menjawab. Tentu Tengku Zabidi sudah ingat siapa dia.
Sebelum ini beberapa kali dia pernah berurusan dengan
Tengku Zabidi. Cuma malam itu, dia boleh tidak kenal rupa
Tengku Zabidi.
“Pagi hari tu papa tahu Aileen buat-buat tak kenal
papa. Nama Aileen pun bukan kecil. Ramai yang kenal siapa
Suhaila Al-Hakeem. Cuma Khalis aje yang tak perasan. Dia
baru enam bulan balik Malaysia. Papa paksa dia balik sini
sebab papa tak nak dia terus sesat. Tapi perangai dia tak
berubah pun.”
Suhaila masih lagi diam. Dia tidak tahu apa yang
patut dia katakan. Dia tahu cerita itu. Tapi masih ramai
perempuan yang mahu berdampingan dengan Tengku Kaz
walaupun reputasi buruknya. Apa yang dia dengar, Tengku
Kaz sangat romantik dan penyayang.
“Aileen kerjalah dengan papa. Papa boleh tubuhkan
Nusa Jaya Architect untuk Aileen. Semua projek Nusa Jaya,
Aileen akan uruskan reka bentuknya. Aileen boleh ajak
sesiapa pun yang Aileen suka untuk kerja kat sini.”
Suhaila angkat muka. Tidak sangka bapa mentuanya
begitu percayakan dia. Dia memang pernah bercita-cita untuk
membuka syarikat sendiri. Itu impiannya dengan Saiful
dahulu. Sebelum Tan Sri Azman memberitahu niat untuk
mewariskan Nilam Kencana kepada Saiful. Tapi sekarang, dia
tidak pasti mahu menerima tawaran bapa mentuanya ataupun
tidak. Dia masih belum bersedia untuk kembali ke dunianya.
“Papa tentu tahu apa yang baru Aileen lalui,
kan? Mungkin papa nampak Aileen tolak kek pada majlis
perkahwinan anak Dato Shahiran beberapa hari lepas. Papa
mungkin kenal anak Dato Shahiran sebagai bekas tunang
Aileen. Dengan sejarah hitam tu, Aileen belum mampu
kembali ke dunia Aileen.” Suhaila memohon pengertian
bapa mentuanya. Buat masa ini biarlah dia melayan kerenah
Khalis dahulu.
“Terlebih dahulu papa minta maaf banyak-banyak.
Memang papa nampak drama masa perkahwinan tu, tapi papa
tak sangka itu Aileen. Sewaktu papa nak balik, papa tergerak
hati nak jumpa Khalis di biliknya. Papa nampak seorang
perempuan masuk bilik Khalis. Papa marah sangat masa
tu. Papa yang panggil kawan papa dari pejabat agama. Dan
kebetulan mereka ada dekat hotel tu juga sebab dapat aduan.”
Suhaila terkejut. Baru dia tahu perkara sebenar.
Patutlah cepat sahaja orang-orang dari pejabat agama muncul
bersama Tengku Zabidi.
“Papa cuma nak ajar Khalis, tapi bila papa nampak
kamu, papa yakin semua ini aturan Allah. Suhaila Al-Hakeem
tak perlu nak perangkap anak jutawan untuk jadi kaya. Papa
tahu latar belakang Aileen dan semua hasil kerja Aileen.
Aileen boleh aje kembali ke Dubai atau pergi ke mana saja.
Tak perlu perangkap Khalis. Papa tak kisah sangat pasal
kamu anak pelacur atau apa. Siapa ibu atau bapa Aileen tak
mencerminkan Aileen sekarang. Lagipun orang lain yang
besarkan Aileen. Dan papa yakin Aileen seorang yang baik.”
“Aileen tak tahu macam mana Aileen boleh
masuk dalam bilik Khalis. Aileen memang tak ada niat pun
nak perangkap dia,” ujar Suhaila bersungguh-sungguh.
Ditangkap berdua-duaan dan berpelukan dalam bilik hotel
bersama Khalis ibarat ditimpa malang baginya. Lebih teruk
lagi ditangkap oleh idolanya, Tengku Zabidi.
“Mungkin kunci rosak, atau apa pun kita tak tahu.
Apa yang papa pasti, Allah dah hantar Aileen sebagai jodoh
Khalis. Dan papa yakin Aileen orang yang tepat untuk bawa
anak papa ke jalan yang betul. Papa bangga dapat menantu
sebijak Aileen.”
“Tapi papa, Khalis tak suka Aileen. Dia benci Aileen.”
“Khalis akan jatuh cinta pada Aileen. Percayalah...”
“Khalis jatuh cinta? Susah nak percaya. Kami asyik
gaduh aje. Bila pulak nak jatuh cinta?”
“Then, jalankan tugas Aileen sebagai isteri. Curi hati
dia.”

*KELUARAN JUNE 2017, BOLEH DAPATKAN DI PASARAN










No comments:

Post a Comment