DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 16 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 12

“AKU balik dulu. Good luck untuk malam
pertama. Aku tahu kau pasti takkan kecewa,” bisik Aida nakal.
Asma bulatkan matanya. Tangannya pula mencari sasaran
mencubit.
Aida ketawa perlahan dalam sakit menerima
cubitan Asma. Dia melambaikan tangan sebelum berjalan
bergandingan dengan ibu Asma.
Asma tarik nafas. Majlisnya telah selesai. Suaminya
telah masuk ke bilik. Hanya dia yang masih lagi di depan
melihat pekerja katering berkemas. Sebenarnya dia rasa
segan nak masuk ke bilik. Tambahan pula di rumah orang,
bukan rumah sendiri.
“Tahniah. Akhirnya kau jadi kakak ipar aku. Tapi
jangan harap aku akan terima kau sebagai kakak ipar aku.
Kau tu tak layak, tahu tak? Budak kampung tak sedar diri!”
cemuh Fatin Nur.
Asma berpaling melihat Fatin Nur. Ini kali pertama
Fatin Nur bercakap dengannya sejak dia tiba tengah hari tadi.
Dia tidak tahu kenapa Fatin Nur memberi layanan bahu sejuk
kepadanya. Padahal ini kali pertama mereka bertemu. Apa
masalah perempuan ni yang sebenarnya?
“Terima kasih. Saya sedar diri, saya ni budak
kampung,” balas Asma.
Fatin Nur ketawa sinis. Dia semakin geram bila
Asma menjawab kata-katanya. Bersikap bersahaja pula tu.
Lagi sakit hatinya.
“Nasib baik sedar diri. Mari sini aku ceritakan satu
rahsia dekat kau. Biar kau sentiasa beringat. Jangan berangan
tinggi melangit nak hidup bahagia dengan abang aku. Sebab
kau tu tak layak!”
Asma diam menunggu.
“Abang aku tu dah ada kekasih bernama Tiffany dekat
London. Dia kahwin dengan kau sebab nenek paksa. Aku pun
hairan, kenapa nenek sayang sangat dengan kau. Kau tahu
tak, abang aku tu tak sampai hati nak kecewakan nenek, jadi
dia terima kau. Bila dia bagi alasan tak boleh kahwin sebab
terikat dengan kontrak kerja, nenek tetap paksa. Jadi dia tak
ada pilihan selain terima je permintaan nenek tu. Kau jangan
berangan dia akan bawa kau ke sana. Abang aku tu cinta mati
dengan Tiffany... Dia tak akan sesekali melukakan hati dia.
Dia tak akan gantikan Tiffany dengan kau. Faham?”
Asma tergamam. Lidahnya kelu mendengar cerita
Fatin Nur. Manakala Fatin Nur pula tersenyum puas.
‘Haha... padan muka kau. Biar kau rasa, berangan tak ingat.
Sememangnya kau tak layak jadi ahli keluarga aku ni.’ Sebaik
saja habis bercakap semua itu, Fatin Nur terus masuk ke bilik.
Tangan Asma terketar-ketar menahan rasa. Matanya
panas. Hatinya sakit. Belum sempat dia merasa bahagia,
hatinya telah retak seribu. Dia menggigit bibir kuat menahan
tangisan yang mahu keluar. Perlahan dia menuju ke dapur.
Dia mahu pujuk hati. Tenangkan diri sebelum melangkah
masuk ke dalam bilik Ferhad.
Asma duduk di meja makan. Dia minum air masak
segelas. Dia berusaha tenangkan dirinya. Mengutip sisa-sisa
sabar yang masih berbaki.
“Asma, kenapa duduk kat dapur lagi ni? Masuk
berehat. Jangan biarkan suami menunggu lama kat dalam
bilik tu,” tegur Fadhilah.
Asma ukir senyum kaget. Dia sedaya upaya cuba
memaniskan wajah. Cerita yang didengar dari mulut Fatin
Nur telah mengacau-bilaukan perasaannya.
“Nak masuklah ni, mak ngah. Asma dahaga, nak
minum air sekejap.” Asma bangun ke singki. Sebolehnya
dia tidak mahu mak ngah Ferhad nampak kesan air mata di
wajahnya. Dia cepat-cepat membasuh gelas yang digunakan.
Dia mahu cepat berlalu dari situ.
“Asma...”
“Ya...” Nak tak nak Asma terpaksa juga berpaling
mengadap mak ngah Ferhad.
Fadhilah memandangnya dengan wajah penuh soal.
Tapi Asma tayang senyum.
“Bawa air masak segelas untuk suami. Mulai
malam ini, Asma tak boleh fikirkan diri sendiri lagi. Suami
yang pertama, selepas itu barulah diri sendiri. Melangkah
masuk ke alam rumah tangga ni macam baru pindah tempat
baru. Banyak benda nak kena tahu dan belajar. Kemudian
perlahan-lahan serasikan diri. Ada masa kita menerima
dan ada masa kita memberi. Paling penting kita kena tahu
kedudukan dan hak kita sebagai isteri. Asma faham kan?”
Asma sambut gelas di tangan mak ngah Ferhad. Dia
angguk dan senyum walaupun nampak sangat dibuat-buat.
“Insya-Allah, mak ngah.”
“Ini baru permulaan, Asma. Banyak lagi halangan
dan godaan menanti di hadapan. Paling penting kena percaya
dekat suami. Apa yang keluar dari mulut orang lain jangan
mudah percaya. Kena lebih percayakan suami sendiri. Jika
masih lagi ada kesangsian, tanya dan bincang dengan dia.”
“Kita manusia biasa, ada kelemahan masing-masing.
Sebab itulah orang kata, suami isteri kena saling melengkapi
barulah sempurna. Mak ngah harap Asma ingat dan hadam
nasihat mak ngah ni. Insya-Allah bahagia menanti Asma dan
Ferhad nanti. Dah, pergilah masuk.”
“Terima kasih, mak ngah.” Asma terharu. Mulanya
dia ingat mak ngah Ferhad sama seperti opah Ferhad yang
tidak menerimanya.
Mak Ngah Fadhilah tepuk perlahan bahu Asma.
Memberikan dia galakan agar tidak mudah larut dalam emosi
sendiri. Asma angguk faham sebelum menuju ke bilik Ferhad.
Asma tolak pintu bilik Ferhad. Ops, bilik pengantinnya
malam ini. Hanya lampu tidur sahaja yang terpasang. Sebaik
sahaja dia masuk, suhu sejuk menggigit kulitnya.
‘Hmmm... berapa suhu dia pasang air-cond ni?
Sejuknya,’ rungut Asma. Berdiri bulu romanya.
Ferhad angkat wajahnya daripada memandang iPad.
Dia ukir senyum. Asma melangkah perlahan ke arahnya
sambil membawa segelas minuman.
“Asma bawakan air masak untuk abang.” Asma hulur
gelas tersebut kepada Ferhad.
“Terima kasih, sayang.” Ferhad menyambutnya.
Asma angguk. Dia jadi kekok berdepan dengan
lelaki itu dalam keadaan berdua-duaan di dalam bilik. Untuk
menenangkan dirinya, Asma bergerak ke arah beg pakaiannya
di tepi almari. Dikeluarkan tuala dan pakaian tidurnya.
Diletakkan di atas katil. Asma buka tudung dan melepaskan
ikatan rambutnya.
Pergerakan Asma diperhatikan oleh Ferhad.
Membangkitkan rasa dalam dirinya. Dalam cahaya lampu
tidur, gerak-geri Asma membuatkan dia rasa tergoda. Terasa
ingin membelai rambut panjang mengurai itu. Mahu saja
dia melepaskan satu per satu pakaian yang masih melekat di
badan isterinya. Tanpa dapat menahan rasa, Ferhad mendekati
Asma. Tangannya memaut pinggang ramping isterinya.
Terhenti pergerakan Asma. Dia terkaku. Ini kali
kedua mereka berpelukan selepas sesi bergambar tadi. Jika
tadi mereka menjadi tumpuan ramai, kali ini hanya mereka
berdua. Jantung Asma berdetak hebat. Rasa penat tadi mula
menghilang diganti dengan rasa gemuruh. Dia turut merasai
jantung suaminya berdegup kuat, seirama dengan degupan
jantungnya. Perlahan dia angkat tangannya kemudian
diletakkan pada dada suaminya.
Asma mendongak memandang wajah Ferhad yang
tunduk memandangnya. Mereka saling berbalas renungan.
Ferhad tunduk mencium dahi Asma. Haruman Asma
melonjakkan rasa hatinya. Tapi dia perlu bersabar. Malam ini,
masing-masing penat. Sedangkan dia mahu malam pertama
mereka malam yang meninggalkan kenangan manis yang
tidak dapat dilupakan sepanjang hayat mereka.
“Asma nak mandi dulu.”
“Sekejap. Bagi abang lima minit peluk Asma,” balas
Ferhad sambil menarik Asma rapat ke dalam pelukannya.
Seakan satu arus elektrik mengalir ke dalam badannya.
Membuatkan dia berasa tenang.
Asma diam. Dia juga turut menikmati pelukan
suaminya. Disandarkan kepalanya ke dada Ferhad. Nasihat
Mak Ngah Fadhilah akan diingat sentiasa. Dia mahu mulakan
perhubungan ini dengan meletakkan sepenuh kepercayaan
kepada suami sendiri. Dia akan biarkan suaminya menentukan
arah kehidupan mereka. Dia akan mengikut setia setiap
langkah yang suaminya ambil. Jika sampai masanya dia
disingkirkan, maka dia tetap akan berpuas hati kerana dapat
membahagiakan suaminya walaupun seketika.
“Pergi mandi. Abang tunggu Asma,” bisik Ferhad
sambil melepaskan pelukannya.
Asma ambil pakaiannya dan berlalu ke bilik air.
Ferhad kembali melihat iPadnya. Ada WhatsApp masuk
daripada Tiffany tetapi dibiarkan tanpa dijawab. Malam ini dia
mahu melupakan dunia luar seketika. Dia mahu menikmati
malamnya bersama isteri yang baru dinikahinya.

No comments:

Post a Comment