USAI mengaminkan doa selepas solat, Firas
menyalami jemaah yang berada di kanan dan juga kirinya.
Firas melemparkan pandangan ke arah ayahnya yang sedang
bersalaman dengan Tok Wan Hassan. Firas bangun dari
duduk. Beberapa orang jemaah masih lagi menghulurkan
salam kepadanya. Firas tersenyum seraya menyambut
huluran tangan itu.
Apabila jemaah mula reda, Firas menghampiri ayah
dan Tok Wan Hassan yang sedang leka berbual dengan imam
masjid, Haji Zakaria. Firas tunduk menyalami tangan mereka
sebagai tanda hormat. Kemudian, Firas berdiri di sebelah Tok
Wan Hassan.
“Hujung minggu ni tok imam nak adakan
gotong-royong bersihkan kawasan masjid. Belakang sana dah
meninggi rumput dan semak. Firas ajaklah kawan-kawan
datang. Kudrat orang muda ni kuat sikit berbanding kami
yang dah tua ni,” ujar Haji Sulaiman, ayahnya.
“Insya-Allah. Boleh, ayah. Nanti Firas ajak
kawan-kawan datang,” sahut Firas dan mengangguk kecil.
“Jangan kamu sogok dengan duit atau rokok pula
untuk mengajak diaorang datang.” Tegas sekali Haji Sulaiman
memberi teguran. Perangai anaknya yang satu itu sedikit
berbeza dengan abangnya, Fatih Marzuki. Kadang-kadang
naif!
“Baik, ayah,” sahut Firas lagi.
“Kamu ni, Firas. Jangan disogok macam tu. Biarlah
diaorang tolong dengan hati yang ikhlas,” tegur Tok Wan
Hassan pula.
Firas tersenyum nipis. Kemudian, mengangguk
lagi. Tiada kata untuk dijawab. Salah dia juga sebenarnya.
Anak-anak muda zaman sekarang lebih berminat dengan
aktiviti yang lain berbanding aktiviti kemasyarakatan.
Maka terpaksalah dia menggunakan alternatif yang lain
semata-mata mahu menarik perhatian mereka. Termasuklah
rakan-rakannya juga. Liat benar untuk melibatkan diri
dengan aktiviti kemasyarakatan.
“Fatih tak datang?” soal Haji Zakaria yang
tertanya-tanya akan kelibat anak sulung Haji Sulaiman.
“Si kecil demam. Asyik nak berlingkar dengan ayah
dia jelah,” jelas Haji Sulaiman. Haji Zakaria mengangguk
kecil.
“Aku undur diri dululah. Embun dengan cucu aku
dah tunggu di luar,” ujar Tok Wan Hassan.
“Cucu yang mana pula, Pak Hassan?” soal Haji
Zakaria, tertanya-tanya.
“Anak arwah Aliya, Adelia,” jawab Tok Wan Hassan.
“Oh! Yang belajar di luar negara tu eh?” celah Haji
Sulaiman pula. Ternyata Haji Sulaiman mengenali cucu Tok
Wan Hassan.
“Yang itu satu je yang belajar di luar negara, macam
papa dan arwah mama dia. Lahir dan membesar pun di sana.
Balik sini bila papa dan arwah mama dia dah habis belajar.
Dah besar panjang, dia balik sana semula untuk sambung
belajar. Alhamdulillah... dia yang paling rajin bertanya khabar
dan jenguk kami berdua di sini,” cerita Tok Wan Hassan akan
gerangan cucu kesayangannya itu.
“Alhamdulillah,” sahut Haju Sulaiman dan Haji
Zakaria, serentak.
“Aku balik dululah. Assalamualaikum.” Mereka
berempat bersalaman sekali lagi sebelum Tok Wan Hassan
beredar dari situ.
“Jomlah kita pun beransur.” Haji Zakaria pula
bersuara. Sekali lagi mereka bertiga bersalaman lalu Haji
Zakaria beransur pergi.
“Jomlah kita balik. Risau pula ayah pada Ecah. Dia
menangis waktu kita nak keluar tadi.”
“Jomlah ayah.” Firas bersetuju dengan ajakan
ayahnya itu.
Ketika mereka berdua tiba di rumah, Aisyah sudah
pun tertidur di dalam buaian. Fatih pula sedang berehat
di sofa, tidak jauh dari buaian. Riak keletihan terpancar di
wajahnya. Firas berlabuh di sofa tunggal, manakala Haji
Sulaiman pula mengambil tempat di sebelah Fatih.
“Panas lagi badan Ecah?” Haji Sulaiman memulakan
perbualan.
“Kebah dah sikit. Tapi, nak bermanja tu lebih.
Langsung tak nak pada Hawa,” adu Fatih.
“Aisy?” Haji Sulaiman bertanyakan tentang cucu
pertamanya pula.
“Tengah makan. Hawa suapkan,” jawab Fatih.
“Firas,” panggil Fatih, melemparkan pandangan ke
wajah adiknya.
“Hmmm...” sahut Firas.
“Telefon tu asyik berbunyi dari tadi. Qisya yang call.
Kak Hawa jawabkan tadi. Kak Hawa kata Firas ke masjid.
Qisya pesan suruh call semula,” ujar Fatih. Firas mengangguk
kecil. Tapi, punggungnya masih lagi bergam di sofa.
“Pergilah call. Tadi dia call berulang kali walaupun
Kak Hawa dah kata Firas ke masjid,” bebel Fatih apabila Firas
masih lagi tidak berganjak.
“Yalah!” Firas mengalah dan bangun berdiri.
“Ayah makanlah dulu kalau lapar. Firas makan
kemudian,” ujar Firas sebelum beredar ke bilik tidur.
Suis lampu dan kipas siling di bilik dipetik. Punggung
dilabuhkan di birai katil. Telefon bimbit jenama Nokia 3100
dibelek dan ditekan pada butang telefon. Kemudian, ditekap
ke telinga. Firas sabar menanti panggilannya disambungkan.
“Abang!” sapa Qisya di hujung talian apabila talian
disambungkan.
“Assalamualaikum,” sapa Firas.
“Waalaikummussalam,” sahut Qisya, perlahan.
“Kenapa tadi Qisya call abang banyak kali?” soal
Firas.
“Qisya nak share berita gembira dengan abang,”
jawab Qisya dengan nada riang.
Firas menghela nafas. Kini, Firas bersandar pula di
kepala katil. “Qisya nak kongsi berita apa dengan abang?”
“Qisya dah dapat result sambung degree.”
“Alhamdulillah. Sambung belajar di UiTM Shah
Alam lagi?” duga Firas. Di dalam hati memanjat rasa
syukur dengan rezeki yang tertulis untuk Qisya. Niat untuk
menyunting Qisya sebagai teman hidup terpaksa dipendam
sekali lagi, semata-mata untuk impian Qisya.
“Tak.” Pendek saja jawapan itu.
“Ke mana pula kali ni? USM ke?” teka Firas.
“Hmmm... tak. Kali ni, jauh lagi.” Jawapan daripada
Qisya itu membuatkan Firas diam kelu seribu bahasa. Jauh?
“Jauh? Apa maksud Qisya?” Firas menagih
penjelasan.
“Abang...” panggil Qisya dengan jawapan meleret.
“Qisya...” sahut Firas kembali.
“Qisya dapat sambung belajar di luar negara.”
Pap!
Terkaku Firas dengan jawapan itu. Luar negara?
Allahuakbar! Kali ini memang jauh benar. Setakat UiTM
Shah Alam, boleh saja dia berulang alik setiap minggu untuk
menjenguk Qisya. Kalau di luar negara, dia tidak mampu ke
sana untuk menjenguk Qisya.
“Abang?” Qisya yang berada di hujung talian sedikit
tertanya-tanya dengan reaksi Firas. Kenapa diam pula?
“Huh?” Firas terkejut, serta-merta.
“Abang okey?” tanya gadis di talian sebelah sana.
“Abang... okey!” jawab Firas dengan perasaan berat.
“Abang?” panggil Qisya.
“Abang okey,” tekan Firas sekali lagi dengan jawapan
yang sama. Terpaksa!
“Jangan tipu Qisya,” desak Qisya apabila menyedari
perubahan nada suara Firas. Masakan dia tak mengenali Firas
Mikhail. Sudah bertahun mereka berdua menjadi pasangan
kekasih.
Firas melepaskan sebuah keluhan. Otak ligat
menyusun kata. “Qisya...” Firas diam sejenak.
“Abang... Abang akan selalu sokong apa jua
keputusan Qisya. Ini masa depan Qisya. Impian Qisya! Kan
abang pernah cakap, abang tak akan halang Qisya untuk
kejar impian Qisya. Asalkan di antara kita berdua mesti ada
kepercayaan dan juga kesetiaan. Qisya pergi belajar di benua
mana pun, satu je yang abang pinta. Saling mempercayai dan
juga saling setia di dalam hubungan kita berdua,” jelas Firas
dengan panjang lebar.
“Abang kan tahu Qisya macam mana. Bertahun-tahun
Qisya belajar di UiTM, Qisya masih lagi dengan abang. Kan?”
tukas Qisya apabila Firas menekankan apa yang diingininya di
dalam hubungan mereka berdua.
Firas melepaskan helaan nafas. Tengkuk yang tidak
lenguh digosok berulang kali untuk melepaskan ketegangan
di situ. Sedaya upaya Firas cuba mengawal perasaan yang
mula berkecamuk. Di antara bersyukur, memahami, berat
hati, sayang atau rindu. Allahuakbar! Hanya itu mampu
disebutnya berulang kali di dalam hati.
“Alhamdulillah kalau Qisya masih lagi ingat semua
tu. Dan abang bersyukur Qisya masih lagi bersama-sama
dengan abang,” ucap Firas. Dalam masa yang sama, dia cuba
menyembunyikan perasaan yang lain di dalam hati.
“Qisya...” panggil Firas.
“Kenapa, abang?”
“Esok kita jumpa di tempat biasa. Ayah dah tunggu
abang di meja makan,” alasan Firas untuk menamatkan
talian. Dia tidak betah untuk meneruskan perbualan lagi
sementelah hatinya tidak tenang. Lebih-lebih lagi apabila
memikirkan tawaran belajar yang diperolehi Qisya.
“Okey! Abang makan eh. Jangan tak makan pula.
Esok petang kita jumpa di tempat biasa.”
“Okey. Assalamualaikum,” katanya lalu mematikan
perbualan. Lebih baik Firas mengundur diri saja daripada
meneruskan perbualan.
“Waalaikummussalam. Jaga diri.” Sempat lagi Qisya
meninggalkan pesanan.
“Insya-Allah,” sahut Firas. Seketika kemudian, talian
dimatikan.
Firas kembali bertenggek di birai katil. Termenung
memikirkan perbualannya bersama-sama Qisya sebentar tadi.
Sambung belajar di luar negara? Pasti untuk tempoh yang
lama. Allahuakbar! Mahu dihalang, itu impian Qisya. Namun
jika diturut, hatinya akan sering kali kerisauan.
“Firas...” Sayup kedengaran suara Haji Sulaiman di
luar bilik.
“Ya ayah,” sahut Firas.
“Dah habis berbual dengan Qisya? Jom makan,” ajak
Haji Sulaiman.
Firas bangun dan membuka daun pintu bilik. Haji
Sulaiman berdiri di hadapan muka pintu. Firas dan Haji
Sulaiman saling berpandangan. Firas banyak mewarisi raut
wajah dan perangai daripada arwah isterinya, Naimah. Hanya
perangai nakal Firas saja mewarisi daripadanya.
“Kenapa ayah tunggu Firas? Perut ayah masuk angin
nanti,” tegur Firas.
“Saja nak tunggu Firas,” balas Haji Sulaiman,
bersahaja. Bahu Firas dipaut dan langkah diatur menuju ke
ruang dapur. Dan Firas terpaksa mengekori langkahnya.
KETIKA SEDANG sama-sama menikmati makanan, Haji
Sulaiman perasankan riak wajah anaknya. Firas kelihatan
tidak berselera. Suapan ke mulut pun lemah saja. Anaknya
itu seakan-akan sedang mengelamun jauh.
“Bergaduh dengan Qisya?” teka Haji Sulaiman.
Firas menoleh pada ayahnya. Kepala digeleng
perlahan. Kemudian, Firas kembali memandang pinggan
yang masih lagi berisi nasi dan lauk-pauk.
“Habis tu, kenapa diam je lepas berbual dengan Qisya
di telefon?” duga Haji Sulaiman sekali lagi.
“Qisya dapat sambung belajar,” balas Firas, perlahan.
“Baguslah begitu. Alhamdulillah,” sahut Haji
Sulaiman.
“Tapi kenapa Firas macam tak happy je?” celah
Hawa yang turut berada di meja makan. Fatih yang turut
bersama-sama di meja makan hanya diam mendengar.
“Entahlah. Rasa tak senang hati. Mungkin itu
mainan perasaan je,” ujar Firas.
“Sambung belajar di UiTM lagi?” Giliran Fatih pula
menduga. Firas menggeleng kecil.
“Luar negara,” jawab Firas, masih lagi dengan nada
yang sama. Perlahan dan lemah saja.
“Luar negara? Di mana?” Haji Sulaiman kembali
menguasai perbualan. Firas hanya menjongketkan bahu.
“Entah.” Pendek saja jawapannya.
Haji Sulaiman memandang Hawa dan Fatih, silih
berganti. Kemudian, keluhan kecil dilepaskan. Luar negara?
Agak terkesan jika Firas melepaskan Qisya pergi ke sana. Jauh!
Di tempat orang pula tu. Orang tempatan taklah seramai
seperti di negara sendiri. Kalaulah berlaku apa-apa kepada
Qisya di sana, pasti tak senang duduk Firas yang berada di
sini. Cepat-cepat Haji Sulaiman mengusir perasaan negatif
itu. Allahuakbar!
“Tak apalah. Esok Firas berbincang dengan Qisya
macam mana. Mahu dihalang, ini impian Qisya. Kalau
diturutkan...” Firas matikan saja kata-katanya di situ. Dia
sendiri tak tahu bagaimana mahu menamatkan kata-kata itu.
“Firas...” panggil Haji Sulaiman.
Sekali lagi Firas berpandangan dengan Haji
Sulaiman. “Ya, ayah.”
“Bertunang. Ikat hubungan kamu berdua dengan
pertunangan,” cadang Haji Sulaiman. Tidak betah dia melihat
wajah sugul si anak. Walaupun Firas ketika kecil sangat nakal,
tetapi dia seorang anak yang rajin. Malah, lebih rajin daripada
Fatih.
No comments:
Post a Comment