“NENEK nak masuk mengaji,” beritahu Nek
Som sebelum melangkah meninggalkan mereka.
Sunyi. Tiada lagi suara orang berbual-bual di dalam
rumah. Semalam meriah, hari ini telah kembali sunyi.
Gamaknya beginilah perasaan yang Nek Som rasakan setelah
semua anak-anaknya berangkat meninggalkannya sendirian.
Asma pandang suaminya. ‘Siapa sangka dia jadi
suamiku. Bersuamikan seorang lelaki kacak dan berjaya,
siapa tak bangga, kan? Siapa aku untuk terus bermimpi hidup
bahagia di sampingnya? Namun selagi dia ada di sisiku, aku
akan cuba mencintai selayaknya.’
Malas melayan perasaan yang semakin melayang ini,
Asma capai penyapu lidi. Dia mahu menyapu dan mengemas
halaman rumah. Banyak cadar dan selimut perlu dibasuh.
Pinggan mangkuk yang telah digunakan untuk kenduri
semalam juga perlu disimpan.
“Asma nak buat apa?” tanya Ferhad kepada isterinya.
“Kemaskan rumah.”
“Tak payah, temankan abang tidur.”
Cepat-cepat Asma menggeleng, menolak.
“Asma kena kemaskan rumah. Banyak kerja kena
buat ni. Nanti tiada siapa yang nak buat?”
“Nanti-nantilah kita buat. Lepas ni nenek pasti
kemaskan.”
Asma pandang wajah suaminya. Rasa tak percaya itu
yang keluar daripada mulut suaminya. Tidak ada sensitiviti
langsung!
“Abang, nenek bukannya sihat sangat. Mana dia
boleh kemas semua ini. Sebelum ni pun, lepas semua
anak-anak nenek balik, Asma dan ibulah yang datang tolong
nenek kemaskan rumah.” Asma geleng kepala.
“Kalau abang nak tahu, setiap kali bila semua anak
cucu nenek pergi, nenek selalu menangis,” sambung cerita
Asma.
“Selalunya dia akan bercerita, luahkan apa yang dia
rasa kepada Asma dan ibu. Dia pernah cakap, anak cucunya
tidak pernah nak memahami perasaannya. Anggap rumah ni
macam rumah persinggahan. Datang dan pergi ikut suka,”
cerita Asma. Perbuatannya terhenti seketika. Dadanya dilanda
sebak.
Asma pandang suaminya. Dia senyum tawar. Dia
mahu suaminya tahu perasaan Nek Som yang sebenarnya. Di
sebalik senyuman dan tutur katanya, ada hati yang terluka
sebenarnya.
“Abang pernah ambil tahu, apa yang nenek rasa?”
Perlahan Ferhad geleng kepala. Matanya memandang
wajah isterinya.
“Cuba abang pergi tengok nenek. Apa sebenarnya dia
buat dekat dalam bilik tu,” saran Asma.
Berkerut dahi Ferhad mendengarnya.
“Pergilah... temankan nenek. Asma nak siapkan
kerja mengemas ni,” pinta Asma lagi kepada suaminya.
“Tapi... biar abang tolong Asma dulu.”
“Tak perlu. Abang tolong temankan nenek. Pasal
rumah ni, biar Asma uruskan,” gesa Asma lalu meneruskan
kerja-kerjanya membersihkan rumah Nek Som.
Nak tak nak, Ferhad tuju juga ke bilik neneknya.
Dia ketuk terlebih dahulu sebelum membukanya. Sempat dia
melihat neneknya mengesat air mata.
“Mata nenek berair bila mengaji. Terasa semakin
hampir masanya nenek pergi.”
“Nek... baru semalam Ferhad bernikah dengan Asma.
Hari ni nenek dah cakap pasal nak pergi.”
“Tak hari ini, esok lusa bila sampai masanya nenek
akan pergi, Ferhad. Lama nenek hidup di dunia ni. Sudah
hampir masanya nenek akan pulang. Atuk kau pun dah lama
pergi.”
“Soal maut ni biar Allah SWT yang tentukan, nek.
Ferhad selalu berdoa agar nenek terus sihat sehingga umur
100 tahun.”
“Isy, kau ni... nak nenek mereput sorang-sorang
dekat rumah ni ke?”
“Ferhad ada... Asma ada...”
“Korang dah ada kehidupan sendiri. Kau pun
bukannya lama mana pun lagi kat sini. Asma pula hujung
bulan ni dah daftar masuk universiti.”
“Kalau macam tu, nenek tinggal dengan papalah.
Dekat dengan Asma. Farah dan Fatin pun ada. Nenek takkan
sunyi lagi.”
Nek Som mendengus tak suka apabila mendengar
cadangan cucunya itu.
“Aku tak nak jadi patung bernyawa kat rumah papa
kau. Biarlah aku hidup sendiri kat rumah aku ni lagi baik.
Ada juga teman nak berbual petang-petang. Ada juga orang
sudi layan aku. Kat rumah papa kau, aku jadi macam tunggul
kayu,” luah rasa hati Nek Som.
Mana-mana rumah anaknya, dia tetap berperasaan
yang sama. Macam orang tak berguna. Kerjanya makan dan
tidur. Mana ada orang mahu layan cakapnya. Mereka sibuk
dengan kerja dan aktiviti masing-masing.
Ferhad terdiam. Mendengar luahan neneknya, dia
jatuh simpati. Rasa macam dirinya tak berguna. Sebab tidak
mampu buat neneknya rasa bahagia dan dihargai. Dia juga
malu dengan sikap mama, papa dan adik-adiknya.
“Tapi nenek sangat berterima kasih dekat kau. Sebab
sudi tunaikan permintaan nenek ni. Bila lihat kau selamat
jadi suami Asma, nenek syukur sangat. Nenek harap kau
hargai Asma sebaiknya sebagai isteri kau. Jika betul kau tak
dapat cintakan dia, jangan sesekali lepaskan dia dengan cara
menyeksanya. Bentuk dia, biar dia boleh hidup berdikari
tanpa kau,” pinta Nek Som dengan senyuman.
Ferhad tekun mendengar nasihat neneknya. Dia
mahu menjawab tapi dibiarkan nenek meluahkan perasaannya
terlebih dulu.
“Nenek yakin sangat, Asma mampu jadi isteri yang
baik dan tak banyak kerenah. Dia dah biasa hidup susah
dengan ibunya. Dia juga dah biasa hidup berdikari. Jadi
jangan sesekali buat dia jadi isteri yang lemah.”
“Nenek...”
“Nenek tahu hidup kau macam mana dekat UK tu.
Sebab itulah nenek nak kau nikah dengan Asma. Nenek harap
dalam masa 3 minggu kau bersama Asma ni, cukup masa
untuk kau rasa manisnya memiliki seorang isteri. Nenek tak
nak kau terus hanyut dan tergoda dengan keindahan palsu
dunia. Nenek mahu kau rasai keindahan perhubungan yang
halal.”
Ada sebak mencengkam jiwanya. Ferhad langsung
tidak menyangka neneknya tahu apa yang cuba dirahsiakan
selama ini. Memang diakui, corak hidupnya di sana bebas.
Tanpa fikir dosa dan pahala sebagai orang Islam.
“Satu lagi harapan nenek sebelum menutup mata,
nenek nak kau kembali menetap di bumi Malaysia ni.”
Ferhad tarik tangan Nek Som lalu menciumnya.
Tangan inilah yang menariknya bangun ketika dia tersilap
jalan dulu. Tangan ini jugalah yang memimpinnya ketika
dia hampir jatuh. Menyokongnya supaya bangun dan berlari
mengejar cita-cita. Menjadi manusia berjaya seperti hari ini.
“Nenek tak nak kau jadi macam papa kau. Bila
serabut dan nak tenangkan diri, teguk arak. Macamlah arak
itu ubat penenang. Janji dekat nenek. Jangan ikut jejak papa
kau. Kau ada agama. Ada Allah SWT untuk mengadu. Ada
isteri untuk hiburkan hati, lepaskan nafsu kau. Jangan cari
yang haram.”
“Ferhad janji...” tutur Ferhad. Perlahan dan tak pasti.
‘Mampukah dia tunaikan janji ini?’ ucap Asma. Tanpa
mereka sedar, Asma melihat dan mendengar setiap perbualan
mereka. Hatinya sebak melihat kelakuan dua beranak itu.
‘Semoga aku juga mampu menjadi isteri yang baik
dan menyenangkan suamiku. Semoga suatu hari nanti,
suamiku akan kembali ke pangkuan-Nya.’
Lantas, tanpa ingin mengganggu, dia berlalu dari
situ. Menyelesaikan kerja mengemas rumah. Petang nanti dia
mahu pulang ke rumah untuk menjenguk ibunya.
No comments:
Post a Comment