“LAMBAT bangun hari ni, Asma?” tegur Rohani.
Asma pandang wajah ibunya sambil sengih-sengih.
Pagi ini dia terlajak tidur. Sebabnya dekat pukul 4 pagi baru
tertidur, solat subuh pun terasa di awangan kerana tak cukup
tidur. Selepas subuh dia tumbang lagi.
“Tak dapat tidur semalam, ibu. Dekat pukul 4 baru
rasa mengantuk.”
Rohani geleng kepala.
“Kenapa tak datang bilik ibu?”
“Kasihan kat ibu pulak. Lagipun ibu baru nak sihat.
Nanti tak cukup tidur, sakit lagi. Asma pulak yang risau,”
balas Asma.
Sebenarnya semalam dia ada menjenguk ibunya di
bilik. Ingatkan nak tumpang tidur. Tapi bila tengok ibunya
lena, tidur pun berdengkur, dia tak jadi kacau. Dia mahu
biarkan ibunya itu berehat secukupnya. Lagipun dah hampir
seminggu ibu batuk waktu malam. Malam tadi baru okey.
“Tak dapat tidur sebab hari ini Asma akan jadi isteri
orang?”
Asma diam. Dia tuang teh O panas ke dalam cawan.
Dia tenung air tersebut. Hatinya terasa berat. Betul ke ini
keputusan yang tepat untuknya?
“Ibu, Asma takutlah.” Asma gigit bibirnya.
Rohani tarik kerusi di sebelah anaknya. Dia duduk
dan pandang Asma di sisinya. Dia faham perasaan anaknya
sekarang. Apa yang dialami oleh Asma juga pernah dialaminya
hampir 20 tahun lalu. Ketika itu, dia juga berumur seperti
Asma.
“Ibu pun kahwin umur 18 tahun. Malam nak nikah
tu, satu malam ibu tak dapat tidur langsung. Ibu kena kahwin
sebab nak langsaikan hutang bapak ibu. Ibu langsung tak
kenal ayah Asma pun ketika itu. Tapi sebab nak selamatkan
bapak ibu, ibu akur.”
“Ayah Asma pun kena paksa juga. Akhirnya kami
kahwin. Ayah Asma tu kacak dan gagah, ibu jatuh cinta
pandang pertama. Malam pertama tu, ayah Asma terus terang
dengan ibu. Dia tertarik dengan Islam. Lepas ni dia akan
peluk agama Islam. Dia tak paksa ibu ikut dia. Tapi ibu cakap
ibu akan ikut dia sebab dia dah jadi suami ibu. Susah senang
ibu akan lalui dengan dia. Datuk Asma belah ayah ni terkenal
dengan bengis dan garangnya. Dia pantang anak-anak tak
ikut cakap dia. Dia dah rancang siap-siap hidup anak-anaknya.
Ayah Asma patutnya mewarisi harta dan pangkat datuk, tapi
ayah tolak. Dia cakap dia nak tinggalkan Buddha dan masuk
Islam. Mengamuklah orang tua tu. Ayah Asma kena kurung.
Ibu beranikan diri lepaskan dia. Kami diam-diam larikan diri
dari kampung dan duduk di sini, mulakan hidup baru. Kami
kahwin semula dan tukar nama.”
Asma terlopong. Inilah kali pertama dia mendengar
kisah ayah dan ibunya.
“Ibu tak menyesal?”
Rohani senyum sambil geleng kepala.
“Ayah Asma seorang suami dan kekasih yang baik.
Kami saling mencintai selepas berkahwin. Kami belajar
mengenali diri masing-masing selepas kahwin. Banyak
masam manis, pahit maung kami lalui bersama dan itu
yang menguatkan cinta kami. Asma lahir hasil cinta kami.
Anugerah terindah buat ibu dan ayah.”
“Ibu yakin jika ayah masih hidup sekarang, tentu
dialah paling gembira. Anak manjanya akan jadi isteri orang.
Kemudian akan bergelar pelajar universiti juga. Kami yakin
Asma akan jadi seorang isteri solehah. Bersemangat tinggi.
Sudah sampai masanya Asma membina hidup sendiri. Tapi
ibu tetap ada di sini jika Asma inginkan nasihat ataupun
telinga untuk mendengar setiap luahan hati Asma. Namun
paling penting jaga hati suami, hormat dia, cinta dia dengan
sepenuh hati Asma. Insya-Allah... Asma akan memperoleh
bahagia nanti,” sambung Rohani lagi sambil membelai kepala
anaknya itu dengan penuh kasih.
“Terima kasih, ibu.” Asma peluk ibunya. Hatinya
lega. Jika ibunya mampu bahagia dengan ayah, dia juga
mampu bahagia dengan Ferhad. Ketidakpastian itu, adalah
cabarannya.
“Assalamualaikum... Assalamualaikum... Asma...
Ooo... Asma...” panggil orang di luar sana apabila salamnya
masih tidak berjawab.
“Pergi tengok siapa yang datang tu.”
“Rasanya macam suara Aida, ibu.”
Asma pantas menuju ke pintu utama rumahnya.
“Waalaikummussalam,” jawab Asma. Sebaik sahaja
pintu dibuka, wajah Aida terus dilihatnya.
“Nasib baik aku sempat brek tangan aku ni, kalau tak
benjol muka kau. Tak lawa dah nak naik pelamin nanti.” Aida
terus menyerang Asma.
“Mana kau tahu aku nak kahwin hari ini? Ingatkan
sekejap lagi nak pergi rumah kau. Nak ajak kau temankan aku
malam nanti.”
Aida juih bibir.
“Ginilah kawan. Perkara sebesar ni, malam ni nak
jadi isteri orang, pagi ni baru nak cari aku.”
“Weh... Aku pun kelam-kabut ni. Baru 2 hari lepas
Nek Som dan ibu beritahu aku. Semalam, seharian kita orang
pergi cari baju nikah. Mana sempat aku nak cari kau, nak
ceritakan semuanya pada kau,” terang Asma.
“Jadi betullah ni, kau nak nikah dengan abang
Ferhad? Cucu Nek Som yang handsome tu?”
Asma berkerut dahi.
“Bukan kau cakap semua cucu lelaki Nek Som ni
handsome belaka ke?”
“Abang Ferhad ni ekstra-ekstra handsome tau.
Arkitek pulak tu. Duduk overseas. Bertuah kau. Nampaknya
lepas ni kau ikut dia ke overseaslah ya?” Macam bertih pulak
mulut Aida pagi ni.
“Tak ada maknanya aku ikut dia. Kan hujung bulan
ni kita akan sambung belajar. Mana boleh aku ikut dia.
Lagipun aku tak sanggup tinggal jauh beribu batu dengan
ibu,” jawabnya.
“Habis tu, kenapa kau nak kahwin dengan dia?” soal
Aida hairan. Yalah, kalau dah kahwin mestilah ikut suami. Ni
suka hati Asma pulak tak nak ikut.
“Kami kahwin sebab nak tunaikan permintaan Nek
Som. Dia nak sangat tengok Ferhad ni kahwin dengan aku.
Dia nak aku betul-betul jadi cucu dia.”
“Sayang betul Nek Som kat kau ya. Tapi kan, kau
memang bertuahlah. Tak kisahlah kahwin sebab apa, asalkan
Ferhad jadi suami kau yang sah. Jealous aku,” sengih Aida.
Walaupun ada sedikit rasa cemburu, tapi Aida turut
tumpang bahagia jika Asma bahagia. Asma seorang kawan
yang baik. Sebelum menjalani peperiksaan SPM, Asma
tidak berputus asa membantunya mengulang kaji pelajaran.
Jika tidak kerana Asma, sudah tentu dia tidak akan merasa
menyambung pelajaran ke universiti. Alhamdulillah, dia
berjaya mendapat tempat di UiTM.
“Kau kena temankan aku tau malam ni, jangan
tak...”
“Ya, aku temankan. Akad nikah nanti kat masjid kan?
Siapa jurusolek kau? Baju pengantin mana? Aku nak tengok.”
Aida terjenguk-jenguk melihat ke dalam bilik Asma. Ketika
ini, pintu bilik Asma terbuka luas.
“Akad nikah dekat rumah Nek Som. Jurusolek Achik
Zana, anak saudara Nek Som.”
“Yang ada butik pengantin dekat Kubang Kerian tu
ke? Weh mahal gila tau upah dia. Baju pun ambil dengan dia
juga ke?”
Asma angguk.
“Cayalah kau. Dia mekap cantik. Kak long aku pun
pernah ambil dengan dia juga.”
“Aku ikut je. Semuanya Nek Som yang uruskan,”
keluh Asma.
“Tak kisahlah weh. Asalkan kau jadi pengantin paling
cantik malam ni. Eh lupa pulak, tema warna apa? Aku nak
pakai baju warna apa?” tanya Aida yang seperti tak sempat nak
bernafas lajunya.
“Tema putihlah. Kau pakailah warna apa pun tapi
yang pasti, aku nak kau temankan aku. Lagipun majlis ni
untuk saudara-mara je.”
“Saudara-mara pun, dekat 200 orang jugak tau. Satu
kampung ni ada bau-bau bacang dengan Nek Som.”
Terkejut Asma mendengarnya. Alamak! Ni bukan
majlis kecil-kecil lagi.
“Aku kena pergi rumah Nek Som tengah hari ni.
Kau kena ikut aku sekali tau. Kena temankan aku. Jangan
tinggalkan aku. Aku tak kenal anak cucu Nek Som yang lain.
Aku takutlah,” luah Asma.
“Isy... tak ada apalah. Abang Ferhad kan ada,” balas
Aida.
“Tak ada. Nanti tengah hari dia akan tumpang
sekejap kat rumah Pak Ali. Akad nikah malam nanti baru dia
ada. Kau kena temankan aku. Jangan tinggalkan aku,” pinta
Asma lagi, benar-benar berharap pada sahabatnya itu.
“Ya... Yalah aku temankan. Aku kena balik dulu,
cakap kat mak aku dan ambil barang. Nak pilih baju mana
paling cantik nak pakai malam ni.”
Asma angguk. Dia tarik tangan Aida dan genggam
erat. Dia berterima kasih sangat. Selain ibunya, ada Aida
menemaninya malam ini.
No comments:
Post a Comment