DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 10

Pagi ini Khalis sengaja bangun awal untuk
berjumpa Suhaila. Hendak tahu bagaimana keadaan Suhaila
selepas kejadian semalam. Tapi dia risau juga kalau-kalau
Suhaila akan menerkamnya kerana dia sesuka hati
mengangkat gadis itu semalam.
Keluar sahaja daripada bilik, Khalis terjengah-jengah
mencari kelibat Suhaila. Tiada. Dia memperkemaskan
pakaiannya. Kunci yang terletak di atas meja diambil. Dia
terpandang Suhaila sedang duduk di balkoni merenung
langit.
“Aku sayang kau Lisa, tapi kenapa kau biarkan aku
derita demi kebahagiaan kau? Kenapa aku rindukan kau?
Kenapa aku tak boleh bencikan kau?”
Khalis berdiri di belakang pintu gelangsar yang
ditutupi langsir. Suhaila masih menangis lagi.
‘Siapakah Lisa? Kenapa dia menangis kerana Lisa?’
hati Khalis tertanya-tanya sendiri.
“Lisa... hati aku sakit sangat. Sakit sampai rasa tak
sanggup nak hidup lagi.”
Khalis cuak. Takkan Suhaila hendak bunuh diri? Dia
risau kalau-kalau Suhaila betul-betul ada niat begitu. Kenapa
dia dapat isteri yang langsung tidak menyenangkan hati?
Pagi-pagi lagi sudah buat dia risau.
Khalis garu pelipisnya. Telefon diambil.
“Apa? Tukang cuci toilet saya berhenti kerja? Kamu
tahu kan toilet tu mesti bersih dua puluh empat jam. Cari staf
baru secepat mungkin!” Khalis sengaja meninggikan suara.
Helahnya berkesan apabila dia lihat Suhaila bangun. Dia
nampak Suhaila kesat air mata. Nampaknya dia kena pastikan
Suhaila sentiasa dengannya.
Khalis kembali ke tengah ruang tamu. Dia
berpura-pura menyemak pesanan di telefon. Dia menjeling
Suhaila yang menutup pintu gelangsar. Wajah itu nampak
muram.
Khalis mendekati Suhaila.
“Kau kerja sebagai tukang cuci sebelum ni, kan?”
Khalis tanya Suhaila.
Suhaila angkat muka dan pandang Khalis. Dia
berfikir sejenak. Bila masa pula dia cakap dia bekerja sebagai
tukang cuci? Nak angguk ke tak nak? Biarlah Khalis dengan
prasangka buruknya. Suhaila angguk.
“Tukang cuci toilet peribadi aku dah berhenti kerja
dua puluh empat jam. Aku nak kau ganti dia sementara aku
dapat pekerja baru.”
“Aku tak nak kerja dengan kau.” Suhaila menolak.
Tidak pernah pula dia dengar jawatan tukang cuci toilet
peribadi.
“Kau mesti kerja dengan aku. Kau anggap aje ini
sebagai bayaran denda kau.” Khalis terus mendesak.
“Denda apa pulak?” Suhaila kerut dahi. Tidak faham
dengan perangai lelaki di hadapannya ini.
“Dendalah, sebab aku terpaksa kahwin dengan kau.”
“Macam tu pulak. Aku malaslah. Nak duduk rumah.”
“Jangan lawan cakap suami. Pergi tukar baju cepat.”
Khalis guna kuasa veto sebagai suami. Dia cuma hendak
memastikan Suhaila tidak tinggal di rumah seorang diri.
Kalau betul-betul Suhaila sudah penat hidup, bagaimana?
Suhaila hentak kaki tanda protes. Mukanya sudah
masam. Pagi-pagi lagi moodnya dirosakkan oleh Khalis yang
gila ini.
Khalis ketawa. Comel pula dia lihat wajah merajuk
Suhaila. Tapi dia masih mengesan sendu gadis itu. Nampak
sangat mata Suhaila merah kerana baru lepas menangis.
Khalis melepaskan keluhan. Kenapa dia rasa isteri segeranya
itu sangat cantik lepas menangis? Matanya dah rosak ke?
Khalis menghadap pintu gelangsar. Menarik langsir
ke tepi untuk membenarkan cahaya masuk. Pemandangan
luar dinikmati seketika.
“Pagi-pagi macam ni kalau ada breakfast kan
bagus.” Khalis kuatkan suara. Berharap isterinya itu dengar.
Dia hendak tengok reaksi Suhaila. Lebih baik dia bergaduh
dengan Suhaila daripada asyik teringatkan wajah itu.
“Setakat cuma ada pinggan dengan mug sebiji kat
dapur tu, tak payah mimpi nak breakfast ke apa. Kau minum
ajelah air paip tu untuk sarapan. Tak pun kau buka mulut
luas-luas, makan angin aje.”
Khalis terkejut apabila Suhaila bersuara betul-betul
di belakangnya. Perempuan ini memang sengaja hendak
menyakitkan hatinya. Cepat betul Suhaila tukar baju.
“Amboi. Nak jadi tukang cuci toilet aje kut, baju
merelit tak ingat. Kau ingat kita ni nak pergi raya ke?” Khalis
menegur pakaian Suhaila. Terlebih cantik dan sarat dengan
hiasan.
“Aku ni bibik milenium. Bibik milenium sangat
menjaga penampilan. Mesti vogue walaupun setakat cuci
tandas. Faham?” Suhaila luruskan telunjuk ke arah dirinya
sendiri.
Khalis sudah malas berlawan cakap. Lantaklah
Suhaila hendak pakai apa. Asalkan dia boleh nampak Suhaila
dan gadis itu tidak membunuh diri. Namanya sudah tercatat
sebagai suami Suhaila dalam surat nikah. Kalau Suhaila
bunuh diri, dia akan terpalit dengan kesalahan. Tidak pandai
jaga isteri.
“Tak kisahlah kau pakai apa pun. Jom, dah lambat ni.
Aku pun belum sarapan lagi.”
“Buka mulut besar-besar bagi angin tu masuk, lepas
tu kau telan angin tu. Dah kenyang.” Suhaila ketawa.
Khalis suka tengok Suhaila ketawa. Apabila ketawa,
Suhaila pasti akan tutup mulutnya dengan tangan. Tidak
nampak sangat gelak ketawa Suhaila. Khalis kelipkan
mata. Kenapa tiba-tiba semuanya rasa aneh? Dia sukakan
perempuan sengal ni ke?
“Dah... jangan nak mengarut, boleh tak? Lembab
macam labi-labi.” Khalis menolak badan Suhaila supaya
bergerak bersamanya, namun Suhaila asyik ketawa saja. Betul
ke gadis ini ada niat hendak membunuh diri? Siap boleh buat
lawak lagi.
“Labi-labi lawan buaya... labi-labi menang. Yeay!”
Suhaila bersorak. Khalis gagal menolak badannya. Ingat
senang hendak buli dia? Dahlah kena paksa jadi tukang
cuci toilet. Dia mana ada pakaian biasa. Kalau ada pun
t-shirt lengan pendek dan seluar pendek untuk dipakai di
rumah. Baju yang ada semua seluar slek dan blaus atau baju
Muslimah. Takkanlah dia nak pakai sut Dolce & Gabanna
untuk mencuci toilet? Ada yang biji mata masuk cili nanti.
Terpaksalah dia pakai baju kurung tahun lepas.
“Dahlah, kau ni saja buat aku lambat.” Khalis
bersuara geram. Dicapai beg bimbitnya dari sofa.
Suhaila mengekori langkah Khalis. Takkan nak
marah kut?
“Kau ni, tak boleh ke jadi macam perempuan lain
yang aku kenal? Cakap lemah lembut, sopan santun. Tak
adalah aku rasa telinga aku ni bernanah dengar suara kau.
Macam perempuan sewel pun ada.” Khalis sempat lagi
membebel sambil tangannya mengunci pintu. Pakaian sudah
cantik, tapi mulut langsung tiada keindahan.
Suhaila panas mendengar kata-kata Khalis. Tengku
Kaz yang hebat ini memang saja hendak cari pasal. Ada yang
kena karate nanti. Carilah pasal dengan Suhaila.
‘Nanti kau Tengku Kas-kas.’ Suhaila menolak badan
Khalis rapat ke pintu. Sementara dia sendiri merapatkan
badannya ke arah Khalis.
“Kau nak buat apa ni perempuan?” Khalis terkejut
dengan tindakan Suhaila. Kenapa pula tiba-tiba perempuan
ini jadi berani?
Suhaila mendekatkan wajahnya ke pipi Khalis.
Khalis berdebar-debar. Janganlah Suhaila buat drama di situ.
“Tengku Kaz tersayang... aku dah cakap banyak kali,
aku tak berminat nak jadi perempuan Tengku Kaz. Bahagian
mana yang kau tak faham ni?” Suhaila berbisik di telinga
Khalis. Dia hendak pastikan Khalis dengar dengan teliti apa
yang dia cakapkan.
Khalis rasa tercabar. Spontan dia menarik pinggang
Suhaila dan memeluknya. Wajah Suhaila tersembam di dada
bidang Khalis. Suhaila tergamam. Pelukan Khalis terlalu
kuat hingga dia sukar untuk bernafas.
“Suhaila tersayang... suka atau tak suka, kau dah
jadi perempuan Tengku Kaz. Dan yang lagi menyeronokkan,
aku boleh pakai kau bila-bila masa aku nak. Kau pun tak
boleh lari daripada aku, sebab talak kat tangan aku.” Giliran
Khalis berbisik di telinga Suhaila dan sekilas kata-katanya
dia mencium pipi gadis itu. Siapa suruh cabar Khalis a.k.a.
Tengku Kaz yang hebat ini.
“Kau jahat...”
“Diam, jangan meronta. Nanti aku cium lagi
sebelah.”
Kedengaran pintu jeriji ditolak dari unit sebelah.
Suhaila meronta ingin melepaskan dirinya dari pelukan
Khalis. Tapi rontaannya terhenti sebaik sahaja terlihat
jirannya keluar. Dua susuk tubuh berdiri melihatnya dan
Khalis yang sedang berpelukan. Buntang mata Suhaila. Apa
pula mimpi Khalis, seronok sangat peluk dia sampai tak nak
lepas.
Suhaila tunduk apabila pasangan itu berlalu
melepasi mereka. Air matanya mula gugur satu per satu.
Kenapa dugaan seberat ini perlu dia pikul? Kenapa dia tidak
diberi peluang untuk hidup tenang?
“Kau dah kenapa?” Khalis panik. Takkan sebab kena
cium? Atau malu pada jiran sebelah rumah mereka? Baru
Khalis perasan rumah yang kosong sejak sebulan lalu sudah
berpenghuni.
“Takkan kena cium sikit dah nangis? Tak rocklah...”
Suara Khalis sudah tidak kedengaran. Suhaila
hanyut dalam perasaannya sendiri. Dia menyembamkan
wajah ke dada Khalis dan menangis sepuas hatinya. Kenapa
dia ditemukan dengan Karlisa dan Saiful saat semangatnya
hampir pulih?
“Aku tak nak ikut, boleh tak?” Suhaila bersuara
lemah. Tangisan yang gugur tidak mampu ditahan.
Khalis membiarkan Suhaila menangis. Dia
lemah mendengar tangisan Suhaila. Belakang Suhaila
digosok-gosoknya. Suhaila pasti marahkannya kerana ciuman
curi tadi. Tidak pernah pula ada perempuan menangis di
dadanya sebelum ini.
“Sambung nangis kat dalam jom,” bisik Khalis
perlahan.
Suhaila mengangguk. Khalis membuka pintu dan
mereka berdua masuk bersama-sama. Tubuh Suhaila masih
dalam pelukannya.
“Aku minta maaf. Salah aku sebab cium pipi kau
tanpa izin.”
Suhaila pandang Khalis. Dia lihat keikhlasan dalam
kata maaf Khalis. Dia tidak pernah kisah pun soal ciuman
itu. Khalis telah sah menjadi suaminya. Setiap inci tubuhnya
milik Khalis. Dia tahu, lambat-laun Khalis akan menuntut
haknya juga.
Khalis tidak tahu dia menangis kerana jiran baru
mereka. Begitu berat ujian yang Allah turunkan. Kenapa
mesti Saiful dan Karlisa tinggal di sebelah rumah Khalis?
Baru Suhaila teringat Saiful pernah cakap ada kejutan selepas
mereka menikah nanti. Mungkin inilah kejutannya.
“Kau maafkan aku tak?” tanya Khalis, mematikan
lamunan Suhaila.
“Aku maafkan, tapi janji... jangan buat lagi.”
“Okey, aku janji...” jawab Khalis. Ringan saja
jari-jemarinya mengesat air mata di pipi Suhaila. Sah,
memang matanya sudah rosak. Suhaila sangat comel apabila
lepas menangis. Pipi putih Suhaila jadi merah.
Suhaila terkejut dengan aksi spontan jari nakal
Khalis. Dia mendongak dan memandang wajah Khalis. Khalis
berbaik hati menyapu air matanya. Tapi dia sangsi. Seorang
playboy berjanji tidak akan menyentuh perempuan. Sangat
tidak boleh dipercayai!
“Boleh percaya ke janji buaya Tengku Kaz yang hebat
ni?” tanya Suhaila.
Khalis mengangkat kedua tangannya tinggi-tinggi.
“Sekarang siapa yang peluk siapa? Kau yang peluk
aku, jadi kaulah yang gatal.” Khalis tersengih.
Suhaila tengok tangannya elok melingkar di
pinggang Khalis. Mukanya bertambah merah kerana malu.
Terus dilepaskan pelukan dan lari masuk ke dalam bilik. Sejak
bila pula dia peluk Khalis? Mesti Tengku Kaz yang hebat itu
berlagak nanti.

No comments:

Post a Comment