DUA jam berkurung menerima rawatan muka
dan badan, Asma terasa segar dan bersemangat positif.
Hatinya gembira. Keluar dari bilik rawatan, dia menuju ke
tempat pakaian pengantin. Ferhad dan Nek Som sedang
menunggunya di sana.
“Dah siap pun. Wah, naik dah seri pengantin,” tegur
Achik Zana apabila melihat Asma menghampiri mereka.
Asma merasakan langkahnya canggung bila mata
helang Ferhad turut memandangnya tanpa berkelip. Dia
tunduk dan berjalan mendekati Nek Som. Lengan Nek Som
dipautnya.
“Lagi 2 hari nak nikah, mestilah dah naik seri. Kau
ni pun Zana, macamlah tak pernah tengok bakal pengantin,”
celah Nek Som. Dia bangga melihat wajah asli Asma yang
mempunyai auranya tersendiri. Hatinya juga cantik. Sebab
itulah dia mahu Asma menjadi isteri Ferhad. Dia berharap
nanti Ferhad akan nampak keistimewaan Asma sebagaimana
mata hatinya nampak.
“Asma ambil baju ni, pergi cuba kat bilik persalinan
sana. Kalau ada yang kena alter, kita alter hari ini juga. Achik
nak baju Asma dengan Ferhad siap hari ini.”
Asma akur. Dia ambil baju tersebut dan melangkah
ke bilik persalinan.
“Jurugambar mana?” tanya Nek Som.
“Tadi dia ada. Nanti kejap, Zana telefon dia.”
“Minta dia ambil gambar pra perkahwinan mereka
ni. Kita bergambar kat sini je. Tak perlu banyak-banyak
gambar pun tak apa. Janji ada kenangan manis.”
“Tanggung beres, Mak Som.” Achik Zana tunjuk
isyarat okey kemudian melekap telefon pintar ke telinganya.
Ferhad keluar dari bilik persalinan dengan memakai
baju Melayu berwarna krim. Baju tersebut terletak elok di
badannya. Dia mengadap cermin untuk memakai samping
songket. Jurugambar terus menjalankan tugasnya mengambil
gambar pra perkahwinan Ferhad dan Asma.
Jurugambar itu mengambil gambar saat-saat Asma
keluar dari bilik persalinan dan mata helang Ferhad terus
memandang di pantulan cermin di hadapannya. Ferhad
kagum melihat pengantin perempuannya yang kelihatan
cantik dan berseri. Asma tertunduk malu apabila bertentang
mata dengan Ferhad menerusi cermin.
Achik Zana membantu Asma membetulkan bajunya.
Dia memakai baju kurung berpotongan moden berwarna
krim, sedondon dengan baju Melayu Ferhad. Dihiasi dengan
manik dan labuci berwarna merah jambu dan perak. Shawl
juga berwarna krim dan dihiasi dengan batu Swarovski. Aksi
mereka ketika mencuba baju pengantin terus dirakamkan
oleh jurugambar.
Momen Asma tersenyum malu-malu berbalas
pandang dengan Ferhad dilihat dengan penuh gembira oleh
Nek Som. Dia harap, kelak, dua hati ini akan berpaut sayang,
berbunga cinta.
Ferhad mendekati Asma yang sedang memandang
cermin. Setiap langkah Ferhad diperhati oleh Asma. Ada
senyum malu menghiasi bibirnya. Langkah tegap Ferhad
membuatkan hati Asma berdegup laju. Rasanya dia telah
jatuh cinta dengan bakal suaminya sendiri.
“Asma cantik hari ini,” puji Ferhad apabila dia berdiri
di belakang Asma. Rapat tetapi masih lagi ada jarak. Mereka
saling berbalas senyuman di hadapan cermin.
Jurugambar terus memetik lensa kameranya.
Dia puas hati dengan kerjasama dan keserasian yang bakal
pengantin tonjolkan. Semuanya nampak spontan dan
semula jadi. Mereka ada tarikan magnet yang kuat tanpa
mereka sedari. Telatah dan gelagat mereka yang malu-malu
membuatkan jurugambar tersenyum.
“Abang pun kacak. Handsome,” balas Asma
malu-malu. Gugup. Dia memberanikan diri menatap mata
bakal suaminya. Seakan-akan mimpi. Dalam usia baru
menjangkau 18 tahun, dia bakal bergelar isteri kepada seorang
lelaki yang tidak pernah terlintas pun akan jadi suaminya.
Dalam rangka perancangan masa depannya, dia cuma mahu
menghabiskan masa membahagiakan ibunya dahulu sebelum
mengejar kebahagiaan sendiri.
Tapi di sini, hari ini, dia sedang mencuba baju yang
bakal dipakai pada hari besarnya. Hari yang akan mengubah
segala-galanya, status dan juga keutamaan di dalam hidupnya.
Ferhad, bakal suaminya. Hanya dikenali lewat
cerita yang disampaikan oleh Nek Som. Ferhad, anak muda
yang sedang mencipta nama dalam bidang arkitek di United
Kingdom. Sentuhan emasnya sentiasa dinanti-nantikan.
Seorang anak muda yang tidak betah berbakti di negara
sendiri. Menurut Nek Som, kata Ferhad, peluang untuknya
mengembangkan bakat dan kebolehannya di sini terhad.
Kata Nek Som lagi, dia dengan Ferhad sepadan. Sama-sama
bertangan seni walaupun minat berbeza.
Cuma adakah hati mereka berirama yang sama?
Ferhad pandang Asma. Ini kali pertama mereka
sedekat ini. Dia mampu melihat wajah mulus Asma. Kulitnya
cantik. Tanpa secalit mekap, wajahnya tetap menawan.
Tanpa secalit gincu, bibirnya tetap basah merah memukau.
Ingin sekali dia merasai kemanisannya. Adakah rasanya
seperti madu bunga mawar yang segar. Halkum Ferhad
bergerak-gerak.
“Ehemmm... hemmm.” Dehaman jurugambar
mematikan khayalan yang semakin jauh. Dia pandang sekilas
jurugambar yang tersengih perli. Wajahnya memerah. Segan
apabila tertangkap basah begini.
Asma yang polos memandang tanpa mengerti.
“Kak Zana, rasanya dah cukup gambar untuk pra
ni. Kita ambil masa majlis pulak. Lagipun saya nak berkejar
ke majlis tunang orang lain pulak ni,” beritahu Zarul,
jurugambar rasmi untuk butik Achik Zana.
“Okey. Kak Zana pun fikir macam tu jugak.
Lebih-lebih lagi bila tengok bakal pengantin kita ni nampak
‘lapar’, macam nak telan je bakal isteri dia.” Achik Zana
senyum perli sambil jeling Ferhad.
Zarul sudah melepaskan ketawa yang tertahan tadi.
“Itulah sebabnya aku nak buat cepat-cepat,” celah
Nek Som pula.
“Dah namanya bakal isteri, kalau cicip sikit pun
jadilah.” Ferhad tidak mahu kalah. Mana mungkin dia biarkan
dirinya dibahan depan-depan.
“Jangan nak melalut, lepas nikah nanti, nak cicip ke
nak makan ke, nenek dah tak kisah. Sekarang ni nenek kisah
sangat, sebab perut nenek lapar nasi.”
Serentak mereka yang berada di situ ketawa dengan
reaksi Nek Som. Asma yang mulanya tak faham, tertunduk
malu.
“Pergi tukar baju. Lepas ni kita pergi makan dan
balik. Petang nanti Zana nak datang pasang pelamin kat
rumah nenek.”
“Haaa... ada pelamin jugak ke, nek? Kata tak ada
apa-apa majlis.” Asma mula gelabah. Malulah dia nanti.
Dipandang Ferhad minta simpati.
“Untuk ahli keluarga kita je. Malam nanti tentu anak
cucu nenek sampai. Majlis kecil-kecilan untuk ahli keluarga.
Tak ada orang luar. Jangan risau,” terang Nek Som.
“Lagipun inikan majlis nikah kau. Takkanlah kau tak
nak merasa duduk kat atas pelamin?” sambung nenek Ferhad
lagi.
“Buat simple-simple pun saya tak kisah, nek,” balas
Asma.
“Tapi nenek teringin tengok kau berdua kat atas
pelamin. Nenek jugak nak sarungkan cincin tunang kat jari
kau.”
“Okey. Ferhad setuju, nek. Lagipun inikan sekali
seumur hidup.”
Ferhad bagi isyarat mata kepada Asma supaya ikut
sahaja apa yang nenek rancangkan.
“Jadi bolehlah Asma berangan jadi Cinderella
sekejap.” Akhirnya dia mengalah. Tak salah kan
menggembirakan hati Nek Som?
Achik Zana yang jadi pemerhati, menguis hujung
matanya. Melihat kegembiraan Mak Som, hatinya sebak.
Sudah lama dia tidak melihat Mak Som bersemangat
begini. Walaupun bibir wanita tua itu sentiasa senyum, tapi
hatinya sentiasa menangis. Dek merindui anak cucu yang
jarang-jarang mahu menziarahi dan mengambil tahu tentang
kesunyian hati tuanya.
“Gembirakan hati nenek selagi boleh, Asma dan
Ferhad,” titip Achik Zana ketika mereka mahu beredar.
“Insya-Allah.”
Perlahan mereka menjawab, serentak.
No comments:
Post a Comment