DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Bukan Encik Sempurna - Bab 6

One is loved because one is loved. No reason is
needed for loving.
~Paulo Caelho, The Alchemist~

“MAK tok...” Aku garu kepala memandang
mak tok yang melabuhkan duduk di sebelah Hani.
“Jodoh ni, kita kena usaha pi cari. Bukan boleh buat
lagu dulu-dulu. Duk senyap kat rumah sambil tunggu orang
mai meminang. Zaman la ni lelaki yang stok baik-baik sikit.
Perempuan lagi ramai. Kalau hang duk tunggu, tak buat apa,
memang bye-byelah jawabnya.”
Tu dia! Mak tok sudah memulakan madahnya
berkenaan dengan jodoh. Aku terus mencari umi, mahu
meminta pertolongan. Umi hanya sengih sambil kembali
bersembang dengan kak long yang sedang meriba Hawa.
“Umi hang ada cerita kat mak tok yang hang ni kerja
sibuk mengalahkan menteri. Keluaq kerja pagi, balik malam.
Cuti pun pi kerja. Bila masa nak pi cari jodoh?”
Aku terkebil-kebil memandang mak tok.
“Sebab tu mak tok buat projek spesial untuk hang.”
Mak tok tarik senyum.
Aku pandang Hani, Hani pandang Haura dan Haura
buat-buat tak nak pandang aku. Bertuah betul budak berdua
ni!
“Kita kena usaha sampai hang boleh kahwin sebelum
hujung tahun ni. Yang penting usaha, lepas tu tawakal sebab
jodoh tu di tangan Allah.”
“Projek Kak Uya kena kahwin sebelum hujung
tahun.” Hani tersenyum simpul.
“Mak tok...” Aku membuat muka kasihan. Bagilah
aku masa untuk memburu encik sempurna aku sendiri.
“Mak ngah ada calon. Anak jiran sebelah rumah mak
ngah.” Kedengaran suara mak ngah.
“Mak usu pun nak kenalkan Uya dengan anak kawan
satu pejabat mak usu. Budak tu...” sampuk mak usu pula.
“Mak lang pun.”
“Pak long pun.”
Ah, sudah! Kenapa semua orang ada calon untuk
dikenalkan dengan aku ni?
SALAH SATU trick untuk mengelat daripada ditanya soalan
maut seperti: “Uya, hang bila nak kahwin? Uya, awat hang tak
kahwin lagi?” atau... “Uya, adik hang pun dah ada boypren.
Kakaknya bila?”
Trick untuk menyelamatkan diri adalah dengan
mengelak daripada berada di tempat-tempat golongan ibu
sedang berbual. Contohnya seperti sekarang.
“Awat pengapit duduk kat sini? Pi tolong mak long
hang sambut tetamu dekat depan tu.” Kedengaran suara mak
tok yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam bilik yang
menjadi tempat Haura bersiap-siap.
Bak kata orang, bukannya senang nak jadi pengapit
raja sehari ni. Pengapit raja sehari ibarat ‘babysitter’
dan right-hand man raja sehari. Bukannya tugas setakat
mengipas pengantin di atas pelamin sahaja. Disebabkan itu
jugalah, jika ada sepupu perempuan yang berkahwin, aku
yang akan menjadi pengapit. Bak kata mereka, aku ni sudah
berpengalaman! Agaknya memang aku patut membuka
perniagaan ‘Pengapit Untuk Disewa’.
“Kak Uya, nanti akak tolong passkan ni dekat
pengapit Fayed ya?” Haura mencapai button badge yang
tertulis ‘pengapit lelaki’ kepadaku.
“La... awat akak pula yang kena? Fayed tak ada benda
ni ke?” soalku.
“Dia lupa nak ambil.”
“Akak mana kenai sapa pengapit Fayed tu.”
“Sat lagi akak kenailah.”
Pulak!
“Yalah...”
Aku turun ke tingkat bawah rumah mak tok
dan menolong mak long menyambut tetamu di depan
pintu gerbang. Disebabkan Haura seorang sahajalah anak
perempuan mak long dan pak long, majlis perkahwinan ini
diadakan dengan meriah sekali.
“Uya, pengantin lelaki dah mai tu. Hang pi tolong
bagitau Rara dekat dalam bilik.” Laung abah dari luar rumah.
Aku terus masuk ke dalam rumah dan naik ke
tingkat atas.
“Haura, Fayed dah sampai.”
Terus berubah pucat wajah putih bersih Haura
sedangkan geng-geng ‘dulang girls’ Haura sudah bersorak
gembira.
“Jom, turun.” Aku pegang tangan Haura dan
membantunya untuk berdiri. Mak aih, sejuk betul tangan
budak ni!
“Rara rasa cuak pula.” Bisik Haura di tepi telingaku.
“Amboi, baru sekarang nak rasa cuak? Tadi bukan
main bergelak ketawa.” Usikku dan Haura mencebik.
“Kak Uya tak merasa lagi, bolehlah cakap macam tu.
Tunggu hujung tahun nanti, baru Kak Uya tahu.”
“Kenapa nak kena tunggu hujung tahun pula?”
“Yalah, dah nama pun projek Kak Uya kena kahwin
sebelum hujung tahun.”
“Rara!”
Haura terus ketawa senang sambil mengeratkan
pegangan tangannya pada lenganku.
“TAK SANGKA betul, kan?”
Aku yang sedang meneguk air bandung soda di
bawah khemah terus tersedak. Sudahlah air manis, ada rasa
bergas pula tu. Memang peritlah anak tekak menelan.
“Hana, are you okay?”
Pantas sehelai tisu dihulur dan aku menyambut.

“Macam mana boleh kenal dengan Fayed?” soalku
dan membetulkan duduk.
“Satu uni, satu rumah waktu study dulu.” Jawab
Hud dan wajahku dipandang lama.
Ya, Hud Harrazlah pengapit Fayed pada hari ini.
Punyalah aku terkejut tadi sehinggakan button badge yang
sepatutnya aku serahkan kepadanya terlepas dari pegangan
dan jatuh berguling-guling sebelum berhenti tepat di depan
kasutnya. Drama sebabak pengapit sungguh!
“Tak tahu pula yang Haura tu cousin you.” Tambah
Hud lagi.

“What a small world, kan?” balasku.
“Dalam kes ni I lebih prefer ayat yang kita memang
berjodoh.” Hud tarik senyum lebar.
Sweet talker betul!
Aku perasan Hani dan kak long yang sedang
menguntum senyum lebar dari jauh sambil berbisik-bisik. Tu
duk mengata akulah tu!
“Lagipun, sebenarnya...”
Bicara Hud terhenti memandangkan mak tok datang
bersama seorang lagi wanita yang anggun berjubah, mungkin
sebaya dengan mak tok.
“Uya.” Panggil mak tok sebelum tersenyum
memandang kawannya itu.
“Mak tok kenalkan... ni Ungku Harlina, kawan mak
tok yang baru aje pindah masuk banglo sebelah rumah kita
ni.”
Aku terus bersalaman dengan kawan mak tok yang
bernama Ungku Harlina itu.
“Panggil nenda aje.” Ungku Harlina tersenyum
manis.

“Eh, Hud?” Riak wajah Ungku Harlina berubah
terkejut sebaik sahaja menyedari kehadiran Hud di situ.
“Nenda?” soal Hud, turut terkejut.
Aku dan mak tok saling berpandangan.

“UYA MEMANG kenai dengan Hud tu ke?” soal mak tok
sebaik sahaja Ungku Harlina berlalu ke tempat bufet bersama
Hud.
“Tak adalah kenai sangat, mak tok. Uya kenal dia
waktu dalam flight ke Miri beberapa minggu lepas. Tak sangka
pula Hud tu cucu kawan mak tok.” Balasku dan membuang
pandang ke arah rumah banglo 3 tingkat di sebelah rumah
mak tok ini.
Menurut mak tok, rumah banglo besar itu sebelum
ini diduduki oleh keluarga lain sehinggalah Ungku Harlina
berpindah ke situ. Aku tidak begitu perasan bila Ungku
Harlina berpindah masuk memandangkan sudah agak lama
banglo mewah ini dibiarkan kosong.
“Mana mak tok kenai Ungku Harlina tu?” Yalah, mak
tok kenal Ungku Harlina, aku pula mengenali Hud. Macam
berjanji pula.
“Kenai dah lama dah. Bila Lina pindah pi Dubai ikut
arwah suami dia, mak tok dah tak jumpa dia. Alhamdulillah,
jumpa balik dekat kelaih mengaji agama. Bukan senang nak
jumpa orang kaya tapi hati baik lagu tu.” Puji mak tok.
Yalah, mak tok sentiasa berfikiran positif dan
bersangka baik dengan orang.
“Lina tu baru kematian suami dia. Tu yang selalu juga
cucu dia balik menjenguk. Yalah, sunyi duduk sorang-sorang
dalam rumah besaq tu.”
“Hud tu ke?” soalku pantas.
“Dak aih. Cucu lelaki dia yang sorang lagi. Uya pun
kenai sangat dengan dia.”
Kali ini senyuman mak tok sudah bertukar lain
macam.
“Uya kenal? Siapa?” soalku pantas. Satu-satunya
cucu lelaki Ungku Harlina yang aku kenal ialah Tengku Hud
Harraz. Selain Hud, siapa lagi?
“Uya kenai Hud tu sorang ja, mak tok.” Balasku
setelah sekian lama memerah ingatan sendiri.
“Ada, hang tak ingatlah tu.”
Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Aku ni bukan
senang nak lupa orang.
“Sebab itulah mak tok dengan Lina nak buat
partnership.” Senyuman lain macam mak tok kembali
semula membuatkan perutku terasa kecut dan jantungku
mula bertukar rentak.
“Partnership apa ni, mak tok? Buat business tudung
ka? Collagen? Bagi kulit jadi putih?”
Mak tok terus ketawa.
“Partnership nak menjayakan Projek Uya Kena
Kahwin Sebelum Hujung Tahun. Nanti cucu lelaki Lina akan
join sekali.”
Habislah! Pengsanlah! Mampuihlah...
Awat jadi drama klise kahwin paksa ni?

No comments:

Post a Comment