DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 4

Sudah lebih sebulan Azzahra menghabiskan
masa yang terluang membantu mak ngahnya yang sibuk
mengusahakan perniagaan katering. Jadualnya sentiasa
sibuk. Walaupun kini sudah masuk bulan Ramadan, namun
ada saja permintaan daripada orang persendirian mahupun
syarikat-syarikat yang ingin menaja majlis iftar untuk
pelbagai lapisan masyarakat.
Mak ngahnya, Liana, merupakan kakak kepada ibu
Azzahra dan adik kepada mak longnya. Mereka hanya bertiga
beradik dan mempunyai hubungan yang agak rapat. Hanya
keluarganya dan keluarga mak longnya yang tinggal dalam
taman yang sama. Tetapi mak ngahnya tinggal tidak jauh pun.
Di taman yang sama dengan Naim. Mak ngahnya tidak pernah
berkahwin, namun kehidupannya serba-serbi mencukupi.
Liana seorang wanita yang sangat berdikari.
“Mak ngah, agar-agar ni dah keras. Ara potong ya?”
“Beres!” balas Liana. Dia yang baru selesai membantu
para pekerjanya memasukkan bekas lauk-pauk ke dalam van
melabuhkan penat di sebelah Azzahra.
“Minggu depan dah nak raya. Mula raya ketiga je,
bertali arus tempahan untuk open house. Ara nanti tolong
mak ngah tau. Ada pekerja mak ngah nak balik kampung
untuk raya. Tak menang tangan mak ngah nanti.”
“Insya-Allah mak ngah. Lagipun, tahun ni mak
dengan ayah raya kat KL je. Kita orang takde nak pergi
mana-mana kut.”
“Baguslah macam tu. Kalau ada kawan-kawan Ara
nak duit poket lebih pun boleh join sekali. Orang nak tolong
mak ngah masak ada, tapi mak ngah perlukan orang yang nak
jaga kat majlis tu nanti,” jelas Liana.
“Kira macam mak ngah perlukan pelayan ke?” soal
Azzahra inginkan kepastian. Kepala sudah ligat memikirkan
kawan-kawan yang sanggup membantu pada musim raya
nanti.
“Haah.”
“Nanti Ara cuba tanya kawan-kawan Ara. Tapi Ara tak
janji tau, mak ngah. Takut semua balik kampung.”
Liana mengangguk tanda mengerti.
“Hai... lepas ni mak ngah akan sibuk masak untuk
kenduri Farouklah pulak,” ujar Liana tiba-tiba. Mata
memandang ke arah siling sambil memikirkan permintaan
kakak sulungnya baru-baru ini.
Tangan Azzahra yang memegang pisau pemotong
agar-agar berubah statik. Dia menelan liur.
“Abang Farouk?” Nada suara cuba dikekalkan
bersahaja.
Mata Liana kembali berlabuh ke wajah Azzahra.
“Ara tak tahu ke? Abang Farouk nak balik Malaysia
untuk sambut hari raya. Dia dah habis belajar. Mak long kata,
balik je nanti dia nak terus bertunang.”
“Oh, ya ke? Baguslah...” mendatar saja suara Azzahra.
Wajah Liana bertukar keruh tiba-tiba. Ya Allah! Mahu
saja diketuk kepalanya dengan tukul besi. Kenyataannya tadi
sungguh tidak sensitif.
“Ara... mak ngah minta maaf. Mak ngah lupa yang
Ara...”
“Mak ngah...” potong Azzahra laju. “Ara okey.”
Senyumannya hambar. “Mak ngah tak perlu minta maaf.”
Liana melabuhkan tangan ke atas lengan Azzahra.
“Ara... Ara tak dengar berita ke?”
Lambat-lambat Azzahra menggelengkan kepala.
“Mak tak cerita apa-apa pun kat Ara. Mak long pun
tak...”
Suatu keluhan berat dilepaskan Liana.
“Mungkin diaorang tak cerita pada Ara sebab nak
jaga hati Ara, kut.”
Tangan Azzahra kembali bekerja.
“Agaknyalah. Mungkin diaorang ingat Ara masih
gilakan Abang Farouk macam dulu. Kalau Ara fikirkan balik
kan mak ngah, Ara rasa malu sangat. Terang-terang Ara
kejar Abang Farouk tu, siap umum pada semua orang yang
Abang Farouk tu akan jadi suami Ara.” Azzahra memejamkan
matanya seketika. Cuba menelan pahit. “Ara betul-betul tak
malu, kan mak ngah?”
“Sayang, semua orang faham yang Ara masa tu masih
budak-budak lagi, masih mentah. Takde siapa pun yang fikir
bukan-bukan pasal Ara,” tutur Liana cuba menenangkan hati
anak saudara kesayangannya. Rasa simpatinya tumpah buat
Azzahra. Mengharap pada yang tidak sudi. Mencurah kasih
kepada lelaki yang sedikit pun tidak pernah berbuat baik
kepadanya.
“Tapi Ara malu dengan Abang Farouk, mak ngah.
Terus terang Ara tak tahu macam mana Ara nak berdepan
dengan dia. Mesti dia ingat yang Ara masih tergila-gilakan
dia,” luah Azzahra. Berkerut wajahnya. Kejur wajahnya
memikirkan kelakuannya selama ini. Malu! Kenapa rasa malu
itu tidak pernah singgah di dalam hatinya dulu? Kenapa?
Dalam renungan mata Liana pada Azzahra.
“Ara masih tergila-gilakan dia ke?”
Azzahra melawan pandang mata ibu saudaranya.
“Mak ngah percaya tak kalau Ara cakap tak?”
Liana tersenyum kecil.
“Mak ngah akan percaya apa saja yang Ara beritahu
pada mak ngah.”
Sorotan sayu singgah di wajah ibu saudaranya.
“Mak ngah, hari yang Abang Farouk tinggalkan
Malaysia untuk sambung belajar ke England tu, hari tu jugak
Ara dah buang semua perasaan Ara pada dia. Ara sedar yang
Abang Farouk tak sukakan Ara. Dia anggap Ara ni adik dia je.
Adik yang selalu menyakitkan hati dia.” Jeda. “Lagipun, Ara
tahu dia dah ada kekasih hati. Ara ni bukan sesiapa pun...”
Azzahra meletakkan pisau pemotong ke atas meja.
“Bukanlah sekelip mata Ara dapat lupakan dia, mak
ngah. Sebab seingat Ara, dari Ara kecil, dunia Ara ni hanya
ada Abang Farouk. Bila Ara dah tingkatan lima, baru Ara sedar
apa yang Ara impikan takkan menjadi kenyataan. Pelan-pelan
Ara belajar untuk lepaskan perasaan Ara pada dia...”
Simpati kepada Azzahra datang bertimpa-timpa.
Azzahra terlalu luhur dalam mengakui perasaannya. Seluruh
ahli keluarga mereka sedar tentang perasaan Azzahra
terhadap Farouk. Ketika Azzahra masih kecil, mereka hanya
melayan obsesinya itu kerana yakin perasaannya pasti akan
berubah.
Ketika Azzahra di sekolah menengah, adik-adik
Farouk yang lain mula mentertawakan dan menjadikannya
bahan usikan mereka. Kesian Azzahra. Tidak patut Farouk
melayannya endah tidak endah begitu. Kalaupun perasaan
Azzahra tidak mampu dibalas Farouk, tidak perlulah Farouk
melayannya seolah-olah gadis itu seorang pengemis yang
terlalu mendambakan perhatiannya.
“Ara... akan ada lelaki lain untuk Ara. Percayalah...”
Liana cuba memujuk. “Ara pun muda lagi. Ramai lagi lelaki
kat luar tu.”
“Lelaki untuk mak ngah pun mesti ada,” usik Azzahra.
Wajahnya yang suram tadi kembali berwarna. Sedar betapa
mak ngahnya ini terlalu menyayanginya. Sesungguhnya,
Azzahra sangat beruntung. Ada ibu kandung, ada mak long
dan ada juga mak ngah yang menatangnya bagai minyak yang
penuh. Disebabkan Azzahra cucu perempuan sulung dalam
keluarga sebelah ibunya, Azzahra memang disayangi serta
dimanja oleh semua.
“Hesy Ara ni! Mak ngah pulak. Orang tengah cakap
pasal dia.” Bibir Liana memuncung. Tidak suka dikaitkan
dengan isu-isu seperti lelaki, jodoh atau perkahwinan.
Telah lama dia menerima takdir hidupnya. Biarlah dia
masih bujang, namun diri masih dikelilingi orang yang
menyayanginya. Adik-beradiknya pun sudah lama tidak
mendesak. Masing-masing sedar yang jodohnya ditentukan
oleh Allah. Kalau ditakdirkan dia bersendirian sampai ke
akhirnya, dia reda.
Azzahra ketawa. Tawa yang mengundang rasa lega
di dalam hati Liana. Ceria kembali anak saudaranya ini.
Yakin bahawa Azzahra telah berkata yang benar. Liana turut
yakin yang tiada lagi nama Farouk terukir di dalam hati anak
saudaranya itu. Dan tawa Azzahra menerbitkan senyuman
lebar di pinggir bibirnya.
“Eh, Ara! Apa kau buat kat sini?”
Azzahra mengangkat wajah. Tangan yang sedang
mengemas bekas hidangan lauk-pauk terhenti seketika.
“Aku tolong mak ngah aku. Kau buka puasa kat
masjid ke hari ni?”
“Haah. Mak dengan ayah aku ada jemputan buka
puasa kat mana entah. Malas aku nak fikir nak makan apa, aku
bawak adik-adik aku buka puasa kat sini. Padanlah berselera
aku makan. Rupa-rupanya mak ngah kau yang masak ek?”
balas Naim.
“Haah...”
“Kau dah makan ke Ara?”
“Aku dah jamah kurma dengan kuih tadi. Tak sempat
nak makan nasi lagi sebab lepas solat tadi terus dah kena
siapkan hidangan ni semua.”
“Kesiannya kau. Pergilah makan,” suruh Naim.
“Nasi dengan lauk semua dah habislah, Naim. Aku
makan kejap lagilah dengan mak cik aku,” balas Azzahra.
“Kau dengan mak cik kau je ke yang bertugas?”
“Taklah... ada lagi dua tiga orang. Diaorang tengah
kemas kat belakang tu,” jelas Azzahra seraya menunjuk ke
suatu arah.
“Abang, jom balik,” ajak suatu suara yang datang
dari belakang Naim. “Eh, Kak Ara!” sambung suara itu lagi.
Suara yang mulanya kedengaran seperti malas, terus berubah
teruja.
Azzahra melangut. Mata melihat adik Naim, Saiful
menghampiri meja tempat dia bekerja.
“Apa khabar Epul?” soal Azzahra mesra. Manis
senyuman yang dihulurkan buat Saiful.
“Baik je. Lamanya tak jumpa Kak Ara. Kak Ara ni
makin cun arrr,” puji Saiful sambil tersengih gatal.
“Amboi, Epul! Geli pulak telinga pak cu ni,” celah
suara garau yang tiba-tiba menyampuk perbualan mereka.
Zayn mengerling ke arah Azzahra. Pada waktu yang sama,
Azzahra turut memandang ke arahnya. Mereka saling
berbalas anggukan sebagai tanda hormat.
Naim menoleh.
“Memang geli pun,” setuju Naim. “Tak habis-habis
nak menggatal. Umur baru setahun jagung dah pasang
makwe keliling pinggang.” Ini tidak lain belajar daripada pak
cunyalah tu!
“Alah bang... kau janganlah jealous. Aku hot and
spicy. Ramai peminat. Bukan macam kau tu. Dull and boring,”
balas Saiful. Sempat dia mengenakan Naim. Matanya masih
setia menjamah wajah Azzahra. Walaupun wajah itu agak
lesu dan sedikit berpeluh, namun di mata Saiful, kecomelan
Azzahra tetap terserlah.
“Takde masa aku nak jealous. Kau jangan nak kacau
Ara. Dia takde masa nak layan budak hingusan macam kau
ni.” Naim melaungkan amaran.
Saiful mencemik. Azzahra tersengih. Di telinga
Zayn, kedengaran seperti Naim amat mengawal Azzahra.
Cemburu pun ada.
“Kau nak balik dah ke, Ara?” Naim menyoal.
“Emmm... kejap lagi kut. Aku nak makan dulu arrr.
Lapar.” Rengekan Azzahra kedengaran manja di telinga Zayn.
Dia menelan rasa meluatnya.
“Jomlah aku teman kau makan,” pelawa Naim. “Rasa
bersalah pulak aku kita orang semua dah kenyang, tapi kau
buka puasa dengan kuih je.”
“Eh, takpe... ni bukan kali pertama aku macam ni.
Bulan puasa ni je, hampir setiap malam Jumaat, hari Sabtu
dan Ahad aku tolong mak ngah aku. Dah biasa dah...”
Azzahra mula mengangkat perkakas yang telah
dikumpulkan.
“Aku gerak dulu wei. Nak kemas ni semua masuk
van.”
“Mehlah sini aku angkat.” Belum sempat Azzahra
menahan, bekas-bekas hidangan di tangan Azzahra sudah
ditarik Naim. Perkakas lain yang masih di atas meja kini
diangkat oleh Saiful serta Zayn. Mereka mengekor langkah
Naim ke ruangan letak kereta di bahagian tepi masjid.
Sekelip mata kerja-kerja Azzahra selesai. Azzahra
bersandar di dinding van. Melabuhkan penat seketika.
“Kau tak tunggu isyak dengan terawih ke, Naim?”
“Tak sempat arrr. Pak cu aku nak drive ke Penang
kejap lagi. Jadi aku kena balik rumah dulu.”
Azzahra mengerling ke arah pak cik Naim yang
kini sedang giat menekan kekunci di skrin telefon. Teringat
kata-kata Naim sebelum ini tentang projek yang sedang
dijalankan oleh pak ciknya di Pulau Pinang. Tidak ingat
pula dia projek apa. Tapi atas sebab itulah, Zayn sering
berulang-alik ke sana.
“Naim, raya nanti kau balik kampung tak?”
“Rasanya tak. Kenapa?”
“Mak ngah aku nak pakai orang masa raya nanti. Ada
banyak open house. Kau boleh tolong tak?”
“Kak Ara, Epul pun boleh tolong,” sampuk Saiful
tiba-tiba. Nampak sangat dia memasang telinga mencuri
dengar perbualan antara Naim dengan Azzahra. “Kak Ara
punya pasal, Epul sanggup buat apa saja.”
“Awww... so sweet,” puji Azzahra ikhlas. “Tapi Epul
kena belajar. Tahun ni nak SPM,” tegur Azzahra lembut.
“Alah, bukannya kerja berat pun. Macamlah orang
buat open house 24 jam sehari. Orang buat siang je selalunya,
kan? Malam Epul study arr.” Laju saja Saiful membalas.
Azzahra kehilangan kata-kata untuk membidas.
“Diamlah kau!” tegur Naim ingin mendiamkan
adiknya.
Saiful mendengus keras tanda tidak berpuas hati.
“Nanti kau beritahulah hari apa yang mak cik kau tu
nak pakai orang. Nanti aku confirm sama ada boleh ke tak,”
ujar Naim.
“Thanks, Naim...” ucap Azzahra terharu.
Naim memang terbaik! Jarang sekali lelaki itu akan
mengecewakannya. Lelaki itu sentiasa sudi membantunya
dan bersusah payah untuknya. Bertuah dia mendapat teman
sebaik Naim.
Tatkala itu, Zayn mengangkat wajah dari skrin
iPhone 7 miliknya. Sempat matanya menangkap senyuman
yang dihantar Azzahra kepada anak saudaranya. Manis betul
senyuman gadis itu. Terserlah betapa Naim begitu bermakna
buat Azzahra. Hati semakin yakin gadis itu ada menyimpan
perasaan terhadap Naim. Sinis senyuman yang terukir di
bibirnya. Sahabat konon! Pirah!!!
“Abang, Epul, jom balik? Nanti lambat sangat pak cu
gerak ke Penang,” ajak Zayn. “Mana Ayie? Pergi panggil dia.”
Langkah mula diatur menyusur ke kawasan parkir menuju
ke kereta.
Pelik Azzahra melihat Zayn yang sempat menjeling
ke arahnya. Dah kenapa pulak tu?
“Okey, jom,” setuju Naim. Dia melambai untuk
memanggil adik bongsunya Azri yang baru kelihatan. Dia
berpaling seketika ke arah Azzahra. “Ara, aku balik dulu.
Nanti jumpa masa raya, ya?”
“Hah... nanti Epul datang beraya kat rumah Kak
Ara,” sampuk Saiful.
“Hesy kau ni, sibuk je!” getus Naim.
Sekali lagi Azzahra tersenyum.
“Takpe. Datang je, Epul. Nama pun hari raya, kan?”
Gembira tidak terkata Saiful mendengar ajakan
daripada Azzahra.
“Yeay!” Dia melambai ke arah gadis itu. Tidak sabar
tibanya Hari Lebaran!

No comments:

Post a Comment