DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 3

FERHAD memerhati langkah Asma yang semakin
menghilang di sebalik pintu. Beberapa minit kemudian
kedengaran enjin motor dihidupkan dan bunyinya semakin
jauh sebelum terhenti lagi.
“Asma tu baik budaknya. Pandai dalam pelajaran.
Masak pun pandai. Paling penting, tahu hormat orang tua,”
cerita Nek Som tanpa ditanya.
“Ibu dan ayah dia orang Siam. Mualaf datang
merantau ke sini. Ayah dia meninggal dunia dalam
kemalangan jalan raya dengan adik dia 5 tahun lepas. Mereka
tu tak ada saudara-mara. Nenek dah anggap mereka tu macam
anak dan cucu nenek.”
Ferhad tekun mendengar sambil tangannya
menyuap nasi. Dia sudah menambah dua kali. Ini pun masih
rasa lapar lagi. Masakan Nek Som memang kena dengan
seleranya. Sebulan tinggal di sini mahu hilang six packs yang
dibina dan dipertahankan selama ini.
“Asma tu umur berapa? Tak sekolah ke dia?” tanya
Ferhad.
“Hesy, kamu ni... dia dah 18 tahun. Dah habis
sekolah.”
“SPM dia dapat berapa, nek?”
“Tak silap, 8A kut. Entahlah, nenek pun lupa. Tapi
dengar ibunya cerita, Asma ni pelajar terbaik SPM sekolah
dia.”
‘Oh, budak bijak,’ fikir Ferhad.
“Tapi itulah... dengan maknya tak berapa sihat,
kewangan tak stabil, nenek tak rasa dia akan sambung
belajar.”
“Sayanglah nek. Sekarang ni SPM je mana boleh
dapat kerja.”
Nek Som pandang wajah Ferhad, seolah-olah ingin
mengatakan sesuatu. Ferhad angkat kening.
“Apa dia, nek? Ferhad tahu ada benda yang nenek
nak cakap dengan Ferhad,” ujar Ferhad jujur. Melihat wajah
Nek Som yang penuh mengharap itu, membuatkan lelaki itu
rasa tak sedap hati.
“Nenek ada satu permintaan. Nenek harap sangat
Ferhad tidak hampakan nenek.”
“Apa dia, nek?”
Nek Som pandang wajahnya lama. Satu keluhan
keluar dari bibir Nek Som.
“Susah sangat ke permintaan nenek tu? Cuba nenek
cakap, insya-Allah Ferhad cuba tunaikan.”
“Nenek mahu...” Nek Som pandang wajah Ferhad
lagi sebelum terus berkata. “Ferhad ambil Asma sebagai
isteri.”
“Burrr... uhuk. Uhuk...” Air yang diminum tak sempat
masuk ke dalam tekak terus tersembur keluar. Perit tekaknya.
Hampir terjegil keluar matanya mendengar permintaan
tak masuk akal neneknya itu. Dia pandang wajah Nek Som.
Seolah-olah tak yakin dengan apa yang didengarinya tadi.
“Nenek nak Ferhad kahwin dengan Asma.”
“Nenek bergurau, kan?” Ferhad tidak percaya dengan
apa yang dia dengar.
“Tak. Nenek tak bergurau soal nikah kahwin ni,
Ferhad. Nenek nak Ferhad kahwin dengan Asma.”
“Selama ni nenek tak pernah minta apa-apa daripada
Ferhad. Inilah pertama kali dan satu-satunya permintaan
nenek,” sambung neneknya lagi, cuba memancing cucunya.
“Nenek, Asma tu budak lagi, baru 18 tahun. Beza
usia kami sepuluh tahun. Jauh sangat bezanya. Lagipun tak
mungkin Asma tu nak kahwin dengan Ferhad. Ferhad terlalu
tua untuk dia,” dalih Ferhad. Baru dua kali dia tengok Asma.
Bertegur pun dua tiga patah kata sahaja. Lagipun dia belum
bersedia lagi menjadi suami orang.
“Itu kau tak payah risau. Tahulah nenek uruskan.
Yang paling penting, kau setuju dengan permintaan nenek
ni.”
“Saya cuma cuti sebulan je, nek. Tak mungkin
sempat uruskan hal kahwin dalam masa terdekat ni. Lagipun
lepas ini saya akan balik semula ke UK. Saya terikat dengan
kontrak kerja. Tak boleh kahwin selagi kontrak tak habis,”
kelentongnya.
“Nenek tak suruh pun kau bawa Asma. Nenek cuma
nak kau kahwin dengan Asma. Tanggung dia belajar sampai
habis. Selepas itu terpulang pada kau dan Asma nak teruskan
perkahwinan ini atau tidak. Cuma satu je, nenek mahu nasib
Asma terbela.”
“Tapi...” Nek Som jeda sambil pandang cucunya
dengan penuh berharap.
“Nenek tetap berdoa agar perkahwinan kau ni kekal
sehingga ke anak cucu.”
“Tapi, nek...”
“Ibu Asma ni ada kanser paru-paru. Tapi Asma tak
tahu. Dia cuma tahu ibu dia sakit asma. Mereka sebatang kara
di sini. Harapan tipis untuk ibu dia pulih sebab kanser dah
tahap 4. Lagipun ibu dia tak nak buat kemoterapi. Selama ni
neneklah tempat mereka menumpang kasih. Asma tu nenek
dah anggap macam cucu nenek sendiri. Tapi mak teh kamu
tu asyik kata mereka ni sengaja nakkan harta nenek. Padahal
selama ini, papa kau dan adik-adiknya tak ambil kisah pun
pasal nenek. Sakit demam nenek, Asma dan ibu dia yang
ambil peduli. Nenek tak nak duit, nenek nakkan perhatian
dan kasih sayang daripada anak cucu nenek.” Menitis air mata
Nek Som ketika meluahkan isi hatinya.
“Tapi...”
“Nenek mahu dia betul-betul jadi cucu nenek. Tak
nak orang mencemuh dan mengata dia yang bukan-bukan
lagi. Merekalah yang ada di kampung ni untuk nenek
menumpang kasih. Nenek nak Asma sambung belajar dan tak
payah risaukan ibu dia dan nenek di kampung. Nenek cuma
mahu kau tanggung Asma belajar sampai setakat mana dia
mahu belajar. Selepas itu terpulang pada kau. Nenek takkan
paksa kau teruskan pernikahan ini jika kau tak nak teruskan.”
Ferhad garu kepala. Dia hilang kata nak berhujah.
Hatinya memang tak nak tunaikan permintaan nenek. Tapi
akalnya menyeru agar dia fikirkan perkara ini sebaiknya.
Neneknya dah tua. Sudah tentu lelaki itu tak sampai hati nak
tolak permintaannya itu. Tapi bagaimana dengan dirinya?
Sanggup ke dia masuk sendiri ke dalam sangkar?
Ferhad garu kepalanya. Aduh, pening pulak. Nasib
baik perut dah kenyang.
“Asma ni seorang anak gadis yang tak banyak
kerenah. Nenek yakin dia dapat jadi isteri yang baik. Kau akan
bahagia bila kahwin dengan dia nanti.”
Ferhad tarik nafas panjang. Dia pandang Nek Som
yang sedang memandangnya dengan penuh harapan. Tak
sampai hati nak tolak tapi dia tak sanggup pula menjadi
‘suami segera’.
“Mana sempat nak kahwin dalam masa seminggu dua
ni, nek.” Akhirnya dia mampu cari alasan untuk mengelak.
“Itu kau jangan risau, nenek akan uruskan. Nenek
akan telefon papa dan mama kau untuk suruh diaorang balik.
Sempat kalau kita buat akad nikah Jumaat depan.”
Ferhad pandang Nek Som tak percaya. Nampaknya
dia tidak boleh mengelak lagi.
“Keluarga Asma dah tahu ke rancangan nenek ni?”
“Nenek ada cakap dengan ibu dia. Petang ni, lepas
asar kita pergi rumah dia.”

No comments:

Post a Comment