DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 16 April 2017

Adel... I Love You!- Bab 6

TOKKK!!! Tokkk!!! Kedengaran ketukan di daun
pintu yang diperbuat daripada papan. Novel Act Like It ditulis
oleh Lucy Parker ditutup dan diletakkan di atas tilam. Papan
lantai berkeriut apabila kaki memulakan langkah. Padanlah
kalau berbunyi sekali pun. Sudah berpuluh-puluh tahun
rumah pusaka ini didirikan. Tapi masih lagi utuh berdiri.
“Adel...” Sayup kedengaran suara Tok Embun dari
luar bilik.
“Ya, tok...” sapa Adel ketika membuka selak pintu.
Benar telahannya, wajah neneknya, Tok Embun di muka
pintu.
“Mak Cik Nab kamu datang tu. Nak bincangkan hal
yang tok beritahu petang tadi. Dia sendiri nak bertanya pada
kamu,” ujar Tok Embun sambil menatap wajah cucu yang
kesebelas di dalam keluarganya. Seorang cucu ini sajalah
yang rajin menjenguk mereka suami isteri. Cucu-cucu yang
lain, hari raya baru datang menjenguk. Sebab itu, mereka
berdua sayang sungguh pada Adel.
“Pergilah berbual dulu. Tok buatkan kopi. Wan
kamu pun sekejap lagi dah nak balik dari masjid. Kopi juga
dicarinya nanti,” tambah Tok Embun apabila Adel hanya diam
membisu saja.
“Yalah tok!” setuju Adel lalu menapak keluar dari
bilik tidur. Langkah kaki diatur menuju ke ruang tamu tidak
jauh dari situ. Terlihat kelibat Mak Jenab sedang menanti
kedatangannya.
“Mak Cik Nab...” sapa Adel lalu bersalaman dengan
Mak Jenab. Punggung dilabuhkan di sofa tunggal.
“Tok kamu dah beritahu rasanya. Macam mana?
Setuju ke tak?” Tanpa memulakan mukadimah, terus saja
Mak Jenab menyergah.
Adel menelan air liur sebaik saja menerima soalan
itu. Boleh luruh jantung dia dibuatnya.
“Berapa lama, Mak Cik Nab?” soal Adel membetulkan
cermin mata berbingkai hitam supaya terletak elok di atas
batang hidung.
“Tak sampai dua bulan pun! Ida cuti bersalin,” jawab
Mak Jenab, laju.
Adel berfikir sejenak. Dua bulan? Macam mana kalau
dia ada terima surat tawaran dalam tempoh itu? Tegarkah
dia meninggalkan mereka terkontang-kanting nanti? Hati
dia bukan sekering itu. Tapi... tawaran untuk menyambung
kontrak cikgu sandaran di sekolah lain selalunya mengambil
tempoh beberapa bulan.
“Tak sampai dua bulan eh?” soal Adel semula. Bibir
herot ke kiri dan ke kanan. Jari telunjuk mengetuk dagu.
Lagak gayanya comel saja.
“Bolehlah. Bila boleh mula?” Akhirnya, Adel
menyatakan persetujuannya.
“Esok! Pukul lapan pagi.” Melebar senyuman Mak
Jenab apabila Adel bersetuju dengan tawarannya.
Sudah beberapa hari Mak Jenab pening kepala
memikirkan hal ini. Apabila Tok Embun berceritakan
mengenai cucu kesayangan yang baru saja habis kontrak
guru ganti dan sedang bercuti di kampung, terus saja dia
membuat tawaran dan berbincang dengan Tok Embun.
Lega hatinya apabila cucu kesayangan Tok Embun bersetuju
dengan permintaannya itu.

KEESOKAN PAGINYA, usai menunaikan solat subuh, Adel
tak kembali menyambung tidur seperti kebiasaannya. Dia
perlu berada di tadika sebelum pukul lapan pagi. Adel berdiri
di hadapan cermin solek sambil memikirkan persoalan yang
berselirat di dalam kepala.
‘Hmmm... macam mana aku nak handle budak-budak
tadika ni? Dulu aku handle budak-budak sekolah menengah.
Macam mana eh? Kena rasuah apa-apa ke? Kalau garang
terlebih, aku juga yang kena hentam dengan parents nanti.
Hmmm...’
“Adelia Zahra...” Sayup kedengaran suara Tok Wan
Hassan memanggil nama penuh Adel.
“Ya, wan!” sahut Adel.
“Jangan leka. Karang lewat sampai di tadika. Jom
sarapan dulu sebelum keluar pergi kerja.” Jelas kedengaran
suara Tok Wan Hassan di hadapan pintu bilik tidur.
Adel menyisir rambut dengan jari-jemari untuk
tampak lebih kemas.
Adel keluar dari bilik tidur dan melewati ruang tamu.
Kemudian, anak kaki mengatur langkah dengan berhati-hati
semasa menuruni anak tangga menuju ke ruang dapur. Tok
Wan Hassan dan Tok Embun sudah pun menunggunya di
meja makan.
“Assalamualaikum. Selamat pagi,” sapa Adel dengan
nada ceria. Kerusi ditarik dan terus punggung dilabuhkan.
“Lawa cucu tok hari ni,” puji Tok Embun apabila
melihat Adel di dalam persalinan baju kurung.
“Macam nilah cucu wan,” puji Tok Wan Hassan pula.
Tersenyum lebar Adel dengan pujian-pujian tersebut.
“Wan... Adel pergi tadika naik...” Belum sempat
Adel menghabiskan kata-katanya, Tok Embun lebih pantas
memintas.
“Jangan berangan nak naik motor kapcai lama
tu. Pergi tadika dengan kereta.” Tegas saja nada suara Tok
Embun. Bukan boleh dilayan permintaan cucunya seorang
ini. Sudahlah motor kapcai itu belum lagi dibaiki sepenuhnya.
“Ala, tok...” Nada merengek manja sudah kedengaran.
Baru Adel bercadang nak merempit pergi ke tadika. Cepat
sikit sampai! Jimat minyak. Jimat masa. Sambil-sambil tu,
boleh menikmati pemandangan kampung.
“Tak payah! Karang tak pasal-pasal kena menolak
pula nanti. Petang nanti tok suruh Firas bawa motor kapcai
lama tu ke bengkel.” Semakin tegas nada suara Tok Embun.
‘Kita risaukan dia, dia pula tak hairan. Haih...’ rungutnya
dalam hati.
“Firas?”
“Anak Haji Sulaiman kolam ikan tu.” Tok Wan
Hassan mencelah apabila mulut selesai mengunyah kuih
bingka ubi.
“Ooo...” Spontan mulut Adel turut membulat. Sekali
lagi dia buat-buat kenal.
“Selagi tak bersua muka, memang itu jelah jawapan
dia,” perli Tok Embun yang sudah kenal benar akan perangai
Adel.
“Cepat makan! Karang lewat sampai pula.” Nasi
goreng sudah pun siap dicedok ke dalam pinggan Adel. Malah,
air kopi panas turut dipenuhkan di dalam cawan untuk Adel.
“Bismillah...” Tangan ditadah untuk membaca doa
makan. Tok Wan Hassan turut menadah tangan sekali lagi
untuk berdoa bersama-sama Adel. Bibir Adel mengukir
senyuman geli hati dengan telatah wannya itu.
“Amin...” Kemudian, kedua-dua belah tangan
meraup wajah untuk mengaminkan doa.

ADEL MEMARKIR kereta di kawasan yang disediakan untuk
tenaga pengajar. Kemudian, Adel keluar dari kereta dengan
sebuah beg tangan yang disandang ke bahu. Anak mata Adel
beradu pandangan dengan salah seorang tenaga pengajar
yang sedang menanti para pelajar di hadapan pintu pagar.
Spontan bibir mengorak senyuman.
“Assalamualaikum,” sapa Adel sebaik saja
menghampiri wanita berbaju kurung itu.
“Waalaikummussalam. Adelia ya? Pengganti Kak
Ida?” teka wanita tersebut.
“Ya, saya.” Kepala mengangguk.
“Cikgu Jenab ada beritahu kitorang pagi tadi, ada
cikgu pengganti untuk Kak Ida. Cikgu Jenab dah tunggu
Adelia di dalam,” ujar wanita itu.
“Baik. Terima kasih, errr...” Adel jeda seketika.
“Hidayah. Panggil Dayah je.” Wanita itu seperti
memahami apa yang sedang difikirkan oleh Adel.
“Adelia Zahra. Panggil Adel je.” Adel turut
memperkenalkan dirinya.
Salam perkenalan dihulurkan. Apabila huluran
tersebut bersambut, mereka berdua saling bertukar
senyuman. Senyuman mereka berdua mati apabila diganggu
dengan deruman motosikal yang laju menuju ke arah mereka
berdua. Pandangan dikalih ke arah bunyi tersebut.
Sebuah motosikal berhenti di hadapan mereka
berdua. Penutup wajah topi keledar dibuka. Adel dan Dayah
memandang anak mata yang sedang memandang mereka
berdua. Kemudian, pemilik anak mata itu berkalih wajah
ke belakang. Seorang kanak-kanak lelaki yang lengkap
berpakaian seragam turun dari motosikal.
“Jangan beritahu mama yang kita merempit tadi.
Nanti mama marah.” Dia meninggalkan pesan kepada
kanak-kanak tersebut.
“Okey! Janji hujung minggu ni kita pergi
memancing.” Kanak-kanak lelaki tersebut turut mengiakan
saja. Malah, nada suaranya turut riang saja.
“Maaf, Dayah. Aisy lambat sikit hari ni.” Dia
memandang wajah Dayah kembali. Kemudian, anak mata
turut menjamah wajah Adel yang berada di sebelah Dayah.
“Cikgu Adelia, cikgu baru yang akan menggantikan
Cikgu Ida. Dia akan mengajar kelas Aisy.” Dayah
memperkenalkan Adel.
“Cikgu Aisy?” Kanak-kanak lelaki yang dipanggil
Aisy itu mencelah. Dia sedikit terkejut dengan perkenalan itu.
“Ya. Cikgu Adelia akan mengajar kelas Aisy.” Dayah
menekankannya sekali lagi.
“Cikgu garang tak?” Aisy memandang Adel. ‘Macam
garang je,’ fikirnya.
Adel menarik senyuman kecil dan memandang Aisy.
“Kalau Aisy nakal, cikgu akan jadi garanglah. Kalau
Aisy jadi budak baik dan behave dalam kelas, cikgu tak
akan garanglah,” jawab Adel, langkah pertamanya untuk
memenangi hati kanak-kanak kecil seperti Aisy.
“Okey. Jom kita masuk kelas!” Tanpa disangka, Aisy
terus mencari tangan Adel dan menarik lembut tangan itu
untuk melangkah masuk ke dalam tadika.
“Ai? Tak nak salam dah ke?” tanya lelaki yang
memakai topi keledar itu. Selamba saja Aisy mahu beredar
dari situ.
“Eh! Lupa pula.” Aisy kembali menghampirinya
dengan sengihan menampakkan barisan gigi. Dia menyalami
tangan tersebut. Adel dan Dayah sama-sama ketawa kecil
dengan gelagat Aisy tu.
“Cikgu... kalau Aisy nakal, jangan piat telinga dia eh.
Tapi, sebat dengan rotan je.”
“Aisy tak nakallah,” gumam Aisy, manja.
“Jangan nakal-nakal tau,” pesan lelaki itu lagi
sebelum dia beredar dari situ.
“Baik!” Aisy akur dengan pesanan itu.
Dayah, Adel dan Aisy menghantar kelibat gerangan
yang menghantar Aisy itu sehingga hilang dari pandangan
mata. Kemudian, Adel memandang Aisy yang sudah pun
menggenggam kemas tangannya. Pandangan mereka berdua
bertaut lagi. Adel dan Aisy sama-sama mengukir senyuman.
“Jom, cikgu!” ajak Aisy dan terus menarik lembut
tangan Adel.

No comments:

Post a Comment