DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 1





Suhaila mendongak ke arah langit. Sungguh
indah malam ini. Bintang-bintang bertaburan menghiasi dada
langit. Bulan bersinar dengan megah malam ini. Alangkah
indahnya kalau hatinya juga begitu. Namun dia pasti hatinya
sedang gelap ibarat mendung hitam yang sarat dengan air.
Angin malam yang menampar pipi mula terasa
sejuk. Sudah lama dia berdiri di situ. Perutnya sudah
mula berkeroncong. Dia terpaksa menginap di hotel
memandangkan dia sudah menempahnya sejak awal lagi. Bilik
hotel ini ditempah untuk menjadi tempat penginapan Jenab
dengan Karlisa yang kononnya akan menjadi bridesmaid dan
pengapitnya.
Namun, nasib tak menyebelahinya apabila tunang
tersayang memutuskan hubungan mereka sekali gus
membatalkan pernikahan yang dirancang. Seketika, dia
bagaikan hilang arah. Mujur ada Karlisa yang membantu.
Memulihkan semangatnya dan berjanji akan menguruskan
segala urusan pembatalan persiapan perkahwinannya. Duit
tempahan hotel dan wedding planner sudah dibayar habis.
Sepatutnya saat ini dia sedang bersanding dengan
Saiful di ballroom hotel ini. Tapi apakan daya, semua yang
dirancang tidak menjadi. Dia pun tak pasti kenapa Saiful
tiba-tiba memutuskan hubungan mereka. Keluarga Saiful
sendiri datang berjumpa ibu angkatnya, iaitu ibu Karlisa
untuk memutuskan pertunangan mereka. Manakala Saiful
memilih untuk berdiam. Puas dia cuba menghubungi Saiful,
tapi gagal. Akibatnya hampir sebulan dia nanar seorang diri.
“Kau kuat Su. Suhaila kuat. Chaiyok! Chaiyok!”
Suhaila mengucapkan kata-kata semangat buat dirinya
sendiri. Dia sudah penat menangis. Takdir Allah menentukan
dia bukan suri hidup Saiful.
“Pergi makanlah.” Suhaila mengambil handbag
jenama Fendi di atas kerusi. Dia berazam untuk membuang
semua kesedihannya hari ini. Lupakan Saiful yang
menyakitkan hati. Mungkin jodohnya belum sampai lagi.
Saiful bukan temannya hingga ke jannah.
Tiba-tiba hatinya tergerak untuk melihat ballroom
yang sepatutnya menjadi tempat persandingannya hari
ini. Niat untuk keluar makan ditangguhkan dulu. Kakinya
melangkah ke Ballroom Matahari. Mungkin ada majlis orang
lain sedang dilangsungkan. Majlis yang dirancang hari ini
diuruskan oleh keluarga angkatnya kerana dia anak yatim.
Ini semua perancangan ibu Karlisa dan ibu Saiful.
Mata Suhaila terbuntang melihat imej yang dilihat
pada gegantung yang diletakkan di luar dewan. Kakinya
tiba-tiba menggigil. Seluruh tubuhnya menggeletar. Betul ke
apa yang dilihatnya? Dia berharap apa yang terjadi hanyalah
mimpi. Tak mungkin ini semua terjadi. Perlahan-lahan
Suhaila melangkah masuk tanpa disedari sesiapa pun.
Kedua-dua mempelai yang bersanding dalam
persalinan biru di pelaminan memang tidak asing pada mata
Suhaila. Dia kenal mereka berdua. Senyuman manis yang
tidak lekang dari bibir kedua-dua mempelai ibarat racun
berbisa buatnya. Hatinya bagaikan disiat-siat. Tanpa disedari,
kakinya melangkah hingga ke pelamin.
Dia tercegat di hadapan kedua-dua mempelai.
Suasana tiba-tiba menjadi gempar. Dua tiga orang perempuan
datang untuk menariknya pergi. Namun, entah dari mana
kekuatan yang ada, selamba dia menolak mereka. Sakit
hatinya memang tidak terbendung. Suasana senyap seketika.
Lagu yang dipasang DJ juga menjadi perlahan. Seluruh
dewan menumpukan perhatian ke arah pelamin. Layar besar
di belakang juga memaparkan imej Suhaila.
“Tahniah Karlisa. Selamat pengantin baru. Korang
kawan baik aku, tapi terlupa nak jemput aku datang. Kau
dah lupakan BFF till jannah kau Lisa...” sindir Suhaila. Dia
cuba untuk senyum, namun tidak mampu. Air mata tidak
dapat ditahan daripada jatuh. Saiful bekas bakal suaminya
bersanding dengan kawan baiknya sendiri, Karlisa. Patutlah
tiba-tiba Karlisa seakan-akan senyap seminggu ini.
“Su... aku... aku...” Karlisa tergagap-gagap bersuara.
Saiful tunduk.
“Ini impian perkahwinan aku, Lisa. Kau sepatutnya
jadi pengapit aku hari ini, bukan pengantin! Dan tu... suami
kau tu, lelaki yang paling aku cinta dalam dunia ni!” tempik
Suhaila sambil jari telunjuknya lurus ke arah lelaki yang
berdiri di sebelah Karlisa. Hatinya remuk melihat pasangan
merpati dua sejoli yang sedang bersanding. Kenapa dia
harus menyaksikan drama terhebat ini? Kenapa dia yang
dipilih untuk melalui semua ini? Kenapa Karlisa pilih
untuk mengkhianatinya? Kenapa Saiful pilih Karlisa sebagai
pengganti? Kenapa Karlisa terima Saiful?
“Bukan salah dia. Saya yang meminang dia.”
Saiful membela isterinya. Dia berdiri di hadapan Suhaila
untuk melindungi Karlisa. Air mata Suhaila yang mengalir
seakan-akan tidak terkesan dalam hatinya. Dia mencebik.
“Kalau korang bercinta, kenapa tak cakap awal-awal?
Aku boleh undur diri. Kenapa korang sanggup sakitkan hati
aku? Apa alasan awak putuskan pertunangan kita Saiful???”
Suhaila mahukan penjelasan. Suaranya jelas didengari tetamu
yang duduk dekat dengan pelamin itu. Masing-masing mula
memanjangkan leher.
“Saya nak perempuan yang jelas asal usulnya jadi
isteri saya. Awak tak ada asal usul.”
Suhaila sudah jangka itu alasan Saiful. Dia dibesarkan
di rumah anak yatim. Dia tidak kenal siapa orang tuanya. Tapi
Saiful tahu itu semua dan dia tidak kisah pun sebelum ini.
Sekarang apa alasan sebenar Saiful?
“Awak dah tahu kan saya anak yatim. Kenapa baru
sekarang isu ni timbul?” Suhaila tidak puas hati.
“Tapi awak tak beritahu saya yang kemungkinan mak
awak pelacur. Orang yang hantar awak kat rumah anak yatim
tu pelacur!” Saiful berdiri. Dia tak berniat untuk mengaibkan
Suhaila. Dia pernah sayangkan Suhaila.
Suhaila diam. Hanya ada beberapa orang di dunia
ini yang tahu perkara itu. Dia, ibu dan juga Karlisa serta
anak-anak yatim yang membesar dengannya. Ibu merupakan
salah seorang pengasuh di rumah anak-anak yatim tempat
dia membesar. Ibu sudah pesan jangan beritahu sesiapa. Ini
aibnya. Ibu pun tak pasti pelacur yang menghantarnya ke
rumah anak yatim itu ibu kandungnya ataupun tidak. Tapi
dia beritahu Karlisa sebab dia sudah anggap Karlisa seperti
saudara sendiri. Sampai hati Karlisa. Sanggup kawan baiknya
itu menikam dari belakang. Orang yang paling dipercayai
mengkhianatinya.
“Lisa... kau pernah cakap kau terhutang nyawa
dengan aku, tapi kenapa sekarang kau sendiri sanggup
tikam aku? Kau dah bunuh aku Lisa. Kau bunuh jiwa aku.
Kau cabut nyawa aku, Lisa.” Suhaila pandang tepat Karlisa
dengan mata yang berkaca-kaca. Tidak disangka semua ini
akan terjadi. Dia tidak pernah menjangka semua ini daripada
Karlisa. Dunianya seakan-akan berhenti berputar.
“Aku takkan maafkan kau sampai bila-bila walaupun
nyawa kau berada di leher sekalipun.” Suhaila pandang tepat
Karlisa yang sedang menangis.
Saiful cuba untuk berkata sesuatu, namun Suhaila
lebih dulu menyambung bicaranya.
“Dan kau, Saiful... jangan lupa sesuatu. Kebahagiaan
yang kau bina hasil air mata orang lain, tak akan kekal lama.
Karlisa hanya kenal kau luaran sahaja. Bila dia tahu siapa
sebenarnya Saiful bin Dato Shahiran, aku harap dia akan
kuat. Dan kau jangan lupa, kau sebenarnya bukan sesiapa
kalau tiada pangkat Dato pada nama ayah kau.” Suhaila
senyum sinis.
Wajah Saiful mulai pucat.
“Kau bongkar aib aku sekarang Karlisa, sebab kau
nak hidup bahagia. Tapi jangan lupa, Allah Maha Adil. Aku
doakan aib kau terpelihara.” Suhaila tidak beri peluang Saiful
bercakap. Hatinya terlalu sakit sekarang. Dia benci untuk
terus lama-lama di situ. Muak dia lihat wajah sombong Saiful.
Kalau dia berdiri lebih lama, mungkin dia hilang sabar dan
buat sesuatu yang lebih teruk.
Suhaila turun dari pentas. Matanya terlihat kek
setinggi lima tingkat di hadapan meja pengantin. Kek yang
dia ilhamkan sendiri rekaannya.
“Kek ni aku yang pilih Lisa. Kau tak berhak potong
kek ni!” Dengan sepenuh tenaga Suhaila menolak kek
berwarna pink putih itu.
Kedengaran jeritan dari meja hadapan. Suhaila
pandang tajam keluarga Saiful. Hipokrit sungguh mereka.
“Tak nak menantu tak ada asal usul, tapi sanggup
pula terima menantu yang suka tikam belakang macam Lisa
tu. Semua yang ada kat sini, hati-hati sikit. Jangan beritahu
rahsia apa-apa kat perempuan tu. Mana tahu, esok lusa dia
jaja rahsia tu pulak!” Sengaja Suhaila menguatkan suaranya
di hadapan keluarga Saiful dan Karlisa. Alang-alang Karlisa
sudah buat jahat, dia pun dengan senang hati membalas.
Terdengar raungan Karlisa di pelaminan. Suhaila
langsung tidak pandang belakang. Berpasang-pasang mata
memandangnya dengan penuh tanda tanya. Pandai-pandailah
Saiful hendak terangkan. Hatinya sudah hancur berkecai.
Semangatnya sudah hilang.
“Maaf.” Suhaila hanya mampu menuturkan kata maaf
kepada lelaki yang berlaga bahu dengannya. Dia cepat-cepat
berlalu dari situ sebelum lelaki tadi marah.
Suhaila berdiri di pintu masuk hotel. Dia tidak tahu
ke mana harus dia tuju. Pulang ke rumah, hatinya bakal sakit.
Terus tinggal di sini, dia juga akan sakit.

No comments:

Post a Comment