DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Bukan Encik Sempurna - Bab 8

When love is not madness, it is not love.
~Pedro Calderon de La Barca~

HANDBAG yang tersandang di bahuku terus
melurut jatuh dan automatik mulutku turut ternganga.
Selalunya kalau mulut ternganga sebab nampak lelaki
geng-geng drop dead gorgeous. Tak! Ini bukan drop dead
gorgeous. Ini drop dead crazy! Aku ingat aku aje yang
acah-acah gila. Rupanya ada yang lagi gila!!!
Anak mataku singgah pada t-shirt hitam berlengan
pendek tanpa kolar yang tersarung di badan lelaki itu.
Tertulis perkataan ‘The Rolling Stones’ berserta gambar
lidah berwarna merah lagi. Yalah, memang dah trademark
kumpulan rock yang berasal dari London itu. Tapi, banyak
kali tengok, aku rasa macam lidah tu tengah menjelir ke arah
aku pula.
Anak mataku turun pula memandang seluar jean
yang dipakai oleh lelaki itu. Terus anak mataku membulat.
Seluar jean itu ada kesan koyak di beberapa tempat pada
bahagian bawah lutut. Ala... fesyen seluar jean ala-ala koyak
yang selalu kita lihat.
Akhir sekali, aku lihat sepasang kasut Converse
berwarna hitam yang tersarung di kakinya dan sepasang
cermin mata yang melindungi anak mata tajamnya itu. Tidak
lupa, gaya rambut samurai yang sama seperti aku lihat di Miri
dulu. Oh ya, dan parut dia di hujung kening kanannya yang
memang aku selalu ingat.
Aku menarik kerusi di hadapan Luth dan
melabuhkan duduk di situ. Beg tangan yang melurut jatuh
tadi kuletakkan ke riba. Aku tebalkan kulit wajah menahan
pandangan pasangan yang duduk di meja sebelah.
Nak sangat acah-acah gila, kan dah dapat yang gila
betul-betul. Padanlah dengan muka aku!
“No wonderlah nenda beria-ia sangat nak kenalkan
aku dengan kau.” Luth berpeluk tubuh memandang aku.
Sebenarnya, lebih kepada meneliti fesyen colour block a.k.a.
fesyen traffic light aku.
Tiba-tiba dia ketawa, sinis. Aku mulai takut. Anak
mata melihat ke kiri dan kanan; mencari jika dua orang lelaki
yang bersama-sama dengannya dulu turut ada bersama.
Yalah, kumpulan ‘L, M, N’.
“Kau mesti ingat aku ni gila dan aku rasa kau
pun gila. So... gila kuasa dua, kan? Great, we will make a
perfect pair.” Luth tersenyum senget sambil menjongketkan
keningnya. Waktu ini, baru aku perasan ada lekuk kecil yang
terbentuk di pipi kanannya apabila dia tersenyum senget.
Gilalah dia ni! Betullah umi kata, biar tak cantik, tapi
jangan gila.
“Awak ni betul ke cucu Ungku Harlina?” soalku
sambil anak mata memerhatikan kawasan kafe itu sekali
lagi. Manalah tahu cucu sebenar Ungku Harlina itu lambat
sampai. Kebetulan pula hanya Luth seorang sahaja yang
memakai baju hitam di dalam kafe ini.
Luth ketawa lagi.
“Kenapa? Disappointed dengan siapa yang kau
jumpa?” Dia menjongketkan keningnya memandang aku.
“Sebab awak dengan Ungku Harlina macam langit
dengan bumi. Entah-entah awak ni cucu angkat tak? Ke
tertukar waktu lahir?” soalku selamba. Dalam kepala, aku
membandingkan Ungku Harlina yang nampak sopan dan
elegan itu dengan Luth yang sedang duduk di hadapanku ini.
Isy, takkanlah mereka ni mempunyai pertalian darah? Kalau
Luth ni cucu Ungku Harlina, maksudnya Hud tu sepupu
Luthlah, kan?
Anak mataku naik semula memandang Luth dan kali
ini aku cuba membandingkan dia dengan Hud pula. Isy, tak
payah dibandingkanlah. Memang sudah nyata yang mereka
berdua ni lain sangat. Aku boleh nampak yang Hud itu seperti
seseorang yang mempunyai pertalian dengan Ungku Harlina,
tapi mamat dekat depan aku ni...
Macam samurai! Okey... bukan samurai sebab
samurai tak wujud dah.
Macam mafia! Tak pun, ahli kongsi gelap.
Entah-entah dia ugut Ungku Harlina tak? Sembunyikan cucu
Ungku Harlina yang sebenar.
“Kau tengah merepek apa dekat dalam kepala kau
tu?” suara garau Luth mengejutkan aku.
“Nenek awak nama apa?” soalku, tidak mempedulikan
sindiran lelaki itu.
“Nenek belah mak aku ke belah bapak aku?” soal
Luth semula.
Aku diam.
Luth ketawa kembali. Setelah dia puas menggelakkan
aku, dia mengeluarkan telefon pintarnya dan mula
menghubungi seseorang.
“Nah.” Tiba-tiba telefonnya dihulurkan kepada aku.
“Apa?”
“Ambil ni, nenda aku on the line.”
“Hah???”
“Ambil ajelah.”
Dengan penuh terpaksa, telefon pintar milik Luth
bertukar tangan.
“Hana, nenda ni.” Kedengaran suara wanita dari
hujung talian.
“Nenda?” soalku sambil mengerutkan dahi.
“Nenda, Ungku Harlina.” Kedengaran suara Ungku
Harlina tergelak kecil.
Terus anak mataku bertembung dengan Luth dan
dia menjongketkan keningnya sambil menikmati cupcakes
dengan selamba.
“Luth buat perangai gila dia tu ya?” soal Ungku
Harlina lembut.
Perangai gila? Bukan mamat ni memang betul-betul
gila ke? Aku pandang sahaja telatah Luth yang masih ralit
menikmati cupcakes.
“Nenda...”
“Ya, Hana.”
“Luth ni memang cucu nenda ya?” Takut-takut aku
menyoal tetapi aku tiada pilihan lain.
Terus Ungku Harlina ketawa.
“Sahlah, Luth memang buat perangai gila dia tu.
Nenda dah pesan, nak jumpa orang ni kena behave elok-elok.
Hana maafkan ajelah Luth tu, ya? Nenda harap Hana tak serik
nak jumpa Luth lagi selepas ni.”
Tak serik nak jumpa mamat ni? Memanglah aku
serik lepas ni.
Selepas itu, perbualan kami berakhir.
“So, dah percaya? Patutlah orang kata auditor
ni selalu sangat skeptikal dengan orang. Kalau tak ada
reasonable evidence, dia tak nak percaya.” Sindir Luth.
Aku terus menghadiahkan pandang maut ke arah
lelaki itu dan dia terus menikmati cupcakes yang seterusnya.
Tiba-tiba, aku nampak jarinya menggosok perlahan
biji matanya. Cermin mata tidak ditanggalkan dan jarinya
juga bukan mencelah di bawah cermin mata tetapi terus
menyentuh ruangan kanta. Aku kembali mengerutkan dahi.
Maksudnya... cermin mata mamat ni tidak mempunyai kanta
langsung? Semata-mata bingkai sahaja???
“Specs awak tu...” Jariku naik menuding cermin
mata tanpa kanta yang sedang dipakainya.
“Oh, ni? Memang tak ada cermin pun. Ada bingkai
aje. Cool right? Kalau mata gatal ke, masuk habuk ke, terus
boleh gosok tanpa perlu buka cermin mata.” Balas Luth
selamba.
Tak ke gila namanya tu? Ini bukan calon encik
sempurna. Calon penduduk Hospital Bahagia Ulu Kinta,
bolehlah!
“Nak cupcakes?” Kotak comel yang masih berbaki
kek cawan itu dihulurkan kepadaku dan aku pantas
menggelengkan kepala.
Takut noks!
“Aku rasa aku dah banyak kali terserempak
dengan kau. Kan?” Luth kembali menikmati cupcakes yang
seterusnya.
“Dekat Miri hari tu, dua kali.” Jawabku, dalam hati
mahu cepat-cepat angkat kaki dari situ.
“Tak.” Nada suaranya bertukar serius.
“Tiga kali termasuk saya nampak awak dekat KLIA2.”
“Tak.”
“Hah???”
“Empat kali. Hari ni masuk kali yang kelima.”
Aku mengerutkan dahi. Empat kali? Bila masa lagi
aku terserempak dengan mamat ni? Aku sangat pasti hanya
tiga kali; dua kali di Miri dan satu kali sewaktu di KLIA2
tempoh hari.
“Bonda aku kata, kalau kita terjumpa orang yang
sama sampai sepuluh kali, itu bermakna memang berjodoh.”
Kali ini wajahku dipandang tepat.
“So, aku dengan kau...”
Aku pantas menekup kedua-dua belah telinga sambil
menggelengkan kepala. Lepas ni kena pastikan aku tak jumpa
mamat sewel ni lagi. Jangan sampai cukup sepuluh kali. Yang
paling penting, kena beritahu mak tok yang ‘Projek Uya Kena
Kahwin Sebelum Hujung Tahun’ dah gagal!!!

No comments:

Post a Comment