DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Adel... I Love You!- Bab 9

PADA pagi itu, Adel ditugaskan untuk menanti
dan juga menjemput para pelajar di hadapan pintu pagar
taska. Senyuman manis sentiasa terukir di bibir setiap kali
dia menyambut kedatangan para pelajar ke taska. Malah,
dia turut beramah mesra dengan ibu bapa yang datang
menghantar anak-anak mereka.
“Bye, mama.” Adel masih lagi tersenyum manis
apabila terlihat gelagat Harraz yang melambai-lambai
mamanya. Malah, Harraz turut melemparkan ‘flying kiss’
kepada mamanya yang sudah pun berada di dalam perut
kereta.
Adel menghantar orak langkah Harraz ke dalam
bangunan dengan iringan pandangan mata. Anak mata
dikalihkan semula ke arah persimpangan jalan. Kelibat Aisy
dan juga si ayahnya masih lagi tidak kelihatan. Tak datangkah
Aisy ke taska pada hari ini? Tak sihatkah dia?
Adel sedikit menggelisah apabila kelibat yang
dinantinya masih lagi tidak kunjung tiba. Anak mata
masih lagi leka memandang ke arah persimpangan jalan.
Tiba-tiba, muncul sebuah motosikal di persimpangan jalan.
Serta-merta bibir Adel terlukis segaris senyuman. Anak mata
hanya terlekat di motosikal tersebut sehinggalah ia berhenti
di hadapan pintu pagar tadika.
“Assalamualaikum, cikgu!” sapa Aisy, ceria.
“Waalaikummussalam,” sahut Adel. Tanpa dipinta,
Adel membantu Aisy untuk turun dari motosikal.
“Encik...” Adel memberanikan diri untuk menegur
ayah Aisy. Selama ini, dia hanya berpandangan saja dengan
lelaki beranak dua ini. Tetapi, sudah kerap kali dia melihat
Aisy dihantar ke tadika dengan motosikal. Lalu dia berasa dia
patut menegur akan satu perkara.
“Ya, saya,” sahut Firas.
“Lain kali nak datang hantar Aisy ke sekolah,
pakaikan Aisy topi keledar. Bahaya kalau tak dipakaikan topi
keledar. Malang tak berbau! Kita pun tak tahu kalau terjadi
apa-apa perkara buruk ketika dalam perjalanan,” tegur Adel,
dengan nada cukup berhemah. Bimbang juga jika tegurannya
itu menggores hati si ayah Aisy pula.
Firas ketawa kecil.
‘Eh! Eh! Ketawa pula!’
“Encik pakai je topi keledar. Tapi, Aisy? Tak sayangkan
anak ke? Saya faham ni kawasan kampung. Tapi, kawasan
kampung pun tak mustahil kalau nak terjadi apa-apa perkara
buruk. Kan?” Adel sedikit tidak berpuas hati dengan respons
lelaki yang berada di hadapannya itu.
Firas ketawa lagi. Spontan tangan mendarat di atas
kepala Aisy dan dia mengusap-usap di situ. ‘Sejak bilalah Aisy
jadi anak aku?’
“Encik jangan pentingkan diri sendiri je. Fikirkan
sama anak encik!” Adel masih lagi tidak berpuas.
Firas masih lagi tetap dengan tawanya. ‘Kelakarlah
cikgu baru ni! Adoilah... sakit perut kalau macam ni gelak
setiap hari.’
“Cikgu... ni pak...”
Sepantas kilat Firas menutup mulut Aisy yang becok
saja mahu berterus terang akan hubungan mereka berdua.
Mulut sama besar je dengan saiz badan. Isy! Budak gemuk
nilah.
“Baik, cikgu. Hari ni juga saya belikan topi keledar
untuk Aisy. Maaf sebab saya terlupa akan keselamatan Aisy.”
Tawa Firas reda. Dia mengiakan saja teguran Adel.
“Cikgu...” Susah payah Aisy menarik tangan pak
sunya daripada menutup mulut.
“Ya, Aisy.” Adel memberi perhatian kepada Aisy.
“Aisy...” Meleret saja nada suara Firas memanggil
Aisy. Terselit sesuatu daripada nadanya itu. Malah, dia turut
memandang Aisy dengan penuh makna.
“Kenapa Aisy?” Adel pelik dengan gelagat dua
beranak itu. Macam ada sesuatu yang disembunyikan.
“Okey.” Aisy mengalah.
“Macam tulah anak ayah. Belajar elok-elok, tau.
Jangan nakal-nakal.” Sengaja Firas menekankan nada
suaranya ketika menyebut perkataan ayah. Kepala Aisy
kembali diusapnya dengan sepenuh kasih sayang. Kembang
kuncup hatinya apabila menggelar dirinya ayah kepada Aisy.
Sengaja dia mahu meneruskan drama ‘ayah’ ini.
“Okey, ayah,” sahut Aisy, menurut kata.
“Salam tangan ayah.” Firas menghulurkan tangan
untuk Aisy menyalami tangannya.
Aisy akur dan menyalami tangan tersebut. Bibirnya
turut mencium nipis tangan yang selalu saja mendukung dan

juga menggeleteknya apabila ada saja peluang. ‘Pak su ni...
perasan! Berlagak jadi ayah pula. Tapi, kenapa?’ hairan Aisy.

PADA PETANG itu, Firas membawa Aisy mengikutnya
untuk memancing di sungai. Janjinya kepada Aisy perlu
ditunaikan. Masing-masing melemparkan pandangan kosong
ke arah sungai. Menanti pelampung kecil itu ditarik-tarik,
menandakan umpan sudah mengena. Kedua-duanya menyepi.
“Kenapa ayah tak macam pak su?” Aisy memecah
tembok kebisuan antara mereka berdua.
“Sebab pak su adalah pak su. Sebab ayah adalah
ayah. Tak baik bandingkan ayah dengan orang lain. Ayah
dah bertungkus lumus besarkan Aisy dan Ecah,” jawab Firas
dengan penuh berhemah. Bukan boleh jawab sebarangan,
nanti lagi panjang pertanyaan daripada anak saudaranya itu.
Semakin panjang akal!
“Tapi, muka ayah dan pak su sama,” tukas Aisy.
“Itu sebab ayah abang pak su!” jawab Firas.
Aisy kembali menyepi daripada soalannya. Anak
mata masih lagi leka memandang air sungai yang mengalir
ke muara. Tangan Firas mendarat di kepala Aisy dan
mengusap lembut rambut Aisy. Anak saudaranya itu amat
manja dengannya, sejak dari kecil lagi. Tidur pun masih lagi
tercari-carinya.
“Cikgu baru tu ada tanya apa-apa tak pada Aisy?”
tanya Firas.
Aisy menggeleng.
“Tapi... kenapa pak su pura-pura jadi ayah Aisy?”
Aisy tidak berpuas hati selagi tidak mendengar alasan bapa
saudaranya itu.
“Saja. Pak su tak nak ada orang mengurat pak su.
Nanti Mak Su Qisya cemburu pula.” Selamba saja Firas
menjadikan Qisya sebagai alasan. Padahal... dia langsung tak
kisah jika Qisya berasa cemburu.
Aisy mencebik. “Perasannya pak su ni. Perasan
handsome!”
“Pak su memang handsome, apa? Kekacakan Aisy tu
diwarisi daripada pak su, tau. Bukan daripada ayah!” Semakin
galak Firas mahu mengusik Aisy. Sengaja mahu mencari
gaduh dengan si budak gemuk ini.
“Pak su hitam! Ayah putih!” tempelak Aisy.
“Hitam tulah manis. Putih tu lesu! Macam zombi.
Menurut pakar, ramai wanita lebih sukakan lelaki yang
berkulit hitam. Itu tanda macho, tau!” Sepantas kilat, Firas
menarik topi yang tersarung di kepala Aisy.
“Pak su!” Aisy membentak manja. Geram apabila
diusik oleh bapa saudaranya itu.
“Budak gemuk, manja!” usik Firas. Topi disarungkan
kembali ke kepala Aisy.
“Yang penting ayah dan mama sayangkan Aisy,”
bidas Aisy lalu bangun dan menjauhi Firas.
Firas ketawa dengan rajuk Aisy.
“Budak gemuk, merajuk!”
“Huh!!!” Aisy mendengus dan menjeling tajam ke
arah Firas.
Tiba-tiba, kedua-dua belah mata Firas ditekup
dengan sepasang tangan dari belakang. Firas tersentak!
Pewangi yang dipakai menyapa hidung. Firas tersenyum
senang hati. Dia amat cam akan bau itu. Tangan itu ditarik
daripada menekup matanya.
“Sakan ketawa. Kenapa?” tanya Qisya, terus
melabuhkan punggung di sebelah Firas.
“Saja usik budak gemuk ni, ha! Anak manja mama
dan ayah dialah katakan.” Firas melemparkan pandangan ke
arah Aisy yang duduk membatukan diri tidak jauh darinya.
Protes tanda merajuk. Sogok ABC hilanglah rajuknya tu
nanti. Dia dah faham sangat!
“Berani Qisya keluar. Mak tak bising?” Firas
memandang wajah bakal tunangnya yang duduk di sebelah.
“Qisya bagi alasan nak keluar ke kedai.” Qisya turut
membalas pandangan Firas. Kedua-duanya saling bertukar
senyuman.
“Aisy...” panggil Qisya.
“Ya, Kak Qisya,” sapa Aisy kembali.
“Lepas ni kena belajar panggil mak su. Tak boleh
panggil Kak Qisya lagi,” tegur Firas. Aisy tersengih-sengih.
“Dah dapat ikan apa?” Qisya menjenguk ke dalam
baldi biru yang dibawa oleh Firas dan Aisy. Terdapat dua ekor
ikan di dalam baldi tersebut.
“Pak su, zero! Itu semua hasil pancing Aisy,” balas
Aisy dengan nada bangga dan gembira.
“Pak su tunggu mermaid tersangkut di mata kail
kut.” Seloroh Aisy mengundang tawa Qisya. Firas turut
tertawa bersama.
“Mermaid tu apa?” soal Firas apabila tawanya
kembali reda. Sekali lagi meletus tawa Qisya dan Aisy.
“Abang... Mermaid tu ikan duyung,” jawab Qisya.
Firas tersenyum dan mengangguk kecil. Tak ada terasa hati
dengan tawa Qisya dan Aisy.
Qisya memaut tangan Firas. Kemudian Firas
melemparkan pandangan ke wajah Qisya. Terjongket kening
Qisya lagak gaya seperti bertanyakan sesuatu kepada Firas.
“Kenapa?” Firas menyoalnya.
“Abang dah ready nak jadi tunangan Qisya?” Manja
saja nada suara Qisya.
Firas tersenyum kecil. “Lepas Qisya jadi tunangan
abang, Qisya akan pergi tinggalkan abang pula. Selepas empat
tahun baru Qisya kembali semula ke pangkuan abang. Qisya
dah bersedia ke belum nak tinggalkan abang selama tu? Mana
tahu kot-kot ada orang lain yang berjaya menarik perhatian
dan juga hati abang ke?” soalnya pula kepada Qisya.
“Abang! Jangan macam-macam eh.” Laju tangan
Qisya menampar lengan Firas. Malah, cubitan turut singgah
di lengan sasa itu.
“Aduh! Sakitlah.” Firas mengaduh sakit. Memang
terasa sakit pun.
“Jangan nak menggatal dengan perempuan lain
eh. Walaupun Qisya tak ada, mak dan ayah ada je untuk
tengok-tengokkan abang. Kalau abang buat hal, memang
Qisya terus balik dan cari abang.” Qisya mengugut kecil.
Tetapi, nada manja masih lagi kedengaran.
Sekali lagi Firas ketawa besar. Qisya memang manja.
Manjanya tidak kelihatan di mata. Tetapi, masih lagi terasa
kemanjaannya. Ada ke gadis seperti ini selain Qisya?

No comments:

Post a Comment