DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Sweet & Dangerous - Bab 7

RUTIN setiap kali berada di kampung ialah menemankan emaknya ke pasar. Namun sepanjang masa itu dia hanya menanti emaknya di kedai kopi sementara Mak Nab sibuk memilih ikan di pasar berdekatan.
Sedang tekak enak menikmati kopi O dengan nasi lemak daun pisang di hadapannya, tiba-tiba matanya terkesan kereta Toyota Corolla masuk ke kawasan parkir itu tidak jauh darinya. Ketenangan hati mulai berkocak apabila ternampak kereta itu. Fakhrul buat-buat tidak melihat. Bukannya dia tidak mengenali siapa pemilik kereta itu. Hati semakin tidak senang apabila ternampak kelibat Pak Ayob dan Mak Senah masuk ke kedai kopi itu.
“Ha! Ade juge kamu kat sini? Buat apa kamu kat sini?” Pak Ayob terus menegur Fakhrul di meja itu. Suaranya sengaja dikuatkan seolah-olah mahu menayang kepada semua pelanggan di kedai kopi itu yang dia sedang berusaha untuk berbaik dengan Fakhrul.
Fakhrul hanya tersenyum tawar kepada lelaki tua itu.
“Minumlah. Takkan gali kubur untuk Pak Ayob pulak,” jawabnya dengan nada selamba. Harapannya biarlah lelaki ini lekas berlalu pergi dan jangan mengungkit apa-apa di hadapannya.
Berubah sedikit wajah Pak Ayob mendengar jawapan Fakhrul. Seingatnya selama ini Fakhrul tidak pernah sebiadap ini biar sejahat mana pun mulutnya kepada anak muda ini.
‘Gali kubur untuk aku? Kurang ajar punya budak. Huh! Aku belum nak mati lagi...’ gerutu hati si tua itu.
“Hmm... anak aku dah kahwin. Kamu tahu, kan? Jangan kamu kacau Ira lagi. Dia dah elok dengan laki dia. Aku tak mahu nanti kamu jadi penyebab runtuh rumahtangga anak aku,” kata Pak Ayob lagi. Lagak angkuhnya masih tidak lekang.
Fakhrul sekadar tersenyum tawar kepada lelaki tua itu. Kopinya dihirup sehingga habis. Kemudian dikembalikan kepada piringnya. Dengan muka selamba Fakhrul bangun.
“Alhamdulillah. Baguslah. Lapang fikiran saya. Saya dah boleh cari pengganti nanti. Dunia belum kiamat. Saya pun tak ingin nak ganggu hidup dia lagi.” Fakhrul menyindir tajam.
“Eh! Kurang ajor benor budak ni,” celah Mak Senah tidak senang dengan jawapan Fakhrul. Dia menjeling meluat kepada Fakhrul yang kelihatan selamba sahaja.
“Sepatah aja saya dengar sesiapa menghina keluarga saya lagi.. nahaslah orang tu! Dengar, kan? Cakap banyak tarak guna!” ucap Fakhrul tegas. Matanya mencerlung tajam memandang Pak Ayob yang terpaku memandangnya.
“Kamu marah ke Syira tak kahwin dengan kamu sampai kamu nak cakap macam ni? Tadi kamu kata...”
“Saya takkan cakap benda ni banyak kali, Mak Senah! Lebih baik Mak Senah tutup mulut sebelum perkara yang tak elok berlaku. Saya pun tak berminat nak mendengar lagi. Jangan sampai saya jadi orang yang paling kurang ajar yang Mak Senah dan Pak Ayob pernah jumpa. Faham, kan?” Fakhrul terus memintas dengan nada tajam.
“Aku ni orang tua! Kamu jangan nak kurang ajor dengan aku, Fakhrul. Mentang-mentanglah..”
“Pak Kodeh, tolong kira ni berapa!” Fakhrul memintas dengan laungan itu. Kata-kata Mak Senah enggan didengarnya. Lebih baik dia berlalu sebelum dia hilang sabar dengan mulut celupar isteri Pak Ayon itu. Sebelum rasa hormatnya benar-benar hilang lebih baik dia menghindar. Kesabarannya terhad dan ada harga. Itu yang lelaki tua itu perlu tahu sekarang ini!
“Ai! Cepat benor kamu nak balik, Fakhrul?” tegur Pak Kodeh yang datang ke meja itu. Dia tersengih-sengih kepada Fakhrul tanpa menyedari sengketa yang berlaku di situ.
“Banyak lalatlah kedai Pak Kodeh ni. Saya tak selesa duduk sini. Kotor!” cemuh Fakhrul selamba.
“Kamu jangan nak kurang ajor dengan aku! Aku pukui kamu nanti!” jerkah Pak Ayob hilang sabar. Tubuh gempalnya dihenyak kepada anak muda itu dan leher baju Fakhrul dicekaknya.
“Pukul aku sekarang kalau kau berani,” ucap Fakhrul tajam. Penumbuknya sudah dikepal. Tinggal mahu dihayun sahaja kepada lelaki tua itu. Namun Pak Kodeh lekas-lekas membentengi anak muda itu.
“Sudah! Jangan bergaduh dalam kedai aku!” Pak Kodeh menjerit memarahi mereka berdua. “Ape kene dengan kome ni? Tak cukup-cukup lagi nak bermusuh ke apa?” marah Pak Kodeh lagi. Pengunjung yang lain juga sudah mula berdiri melihat pergaduhan itu. Ada yang menghampiri cuba membantu.
“Budak kurang ajor! Mak bapak kamu tak ajor kamu baik-baik gamoknye! Jangan disebabkan aku tak bagi kamu kahwin dengan anak aku, kamu nak kurang ajor dengan aku. Cermin dulu moke kamu tu...”
“Hey! Saya pun tak hadaplah nak bermentuakan orang tua macam Pak Ayob ni! Ramai lagi perempuan dalam dunia ni saya boleh cari. Tak mati saya tak berbinikan Ira tu!” Fakhrul lebih pantas membalas cemuhan lelaki tua itu.
“Habis tu yang kamu nak marahkan aku ni kenapa???”
“Sudahlah tu, Ayob. Kamu ni orang tua. Jangan kamu bawak budak-budak jadi kawan kamu bergadoh. Cukuplah tu...” Pak Kodeh mencelah cuba mendamaikan.
“Ni... kamu tanye budak kurang ajor ni. Apa yang dia benci sangat ke aku ni. Sebab anak aku dah kahwin dengan orang lain, dia nak kurang ajor dengan aku. Suruh dia balik cermin muka dia sebelum dia berangan nak jadi menantu aku!” Pak Ayob dengan muka merah menahan marah cuba menunding Fakhrul walaupun telah dihalang oleh orang lain.
“Siapa yang kemaruk nak jadi menantu Pak Ayob? Siapa yang teringin nak jadi menantu kepada lelaki sombong macam Pak Ayob ni? siapa yang datang jumpa saya kat sini???” tekan Fakhrul sengaja menayang mimik wajah jengkel.
“Budak kurang ajar!” Pak Ayob menerpa lagi mahu memukul Fakhrul. Namun kali ini Fakhrul lebih pantas mencekak leher baju kolar bulat lelaki itu. Kekuatannya juga tidak mampu ditandingi oleh tiga lelaki yang cuba menahan perbuatannya.
“Kau sentuh aku sekarang, kau akan mati hari ni, orang tua...” tekan Fakhrul tajam. Matanya merenung lelaki tua itu dengan cukup tajam. Terasa kecil benar lelaki gempal itu di matanya. Cukuplah dia dicabar selama ini. Dia tidak ingin terus membiarkan lelaki ini menggadai maruahnya.
“Udoh! Udoh! Udoh kome oi! Usohlah berkelai dalam kedai aku ni!” bentak Pak Kodeh.
“Aku dah terlalu kenyang makan caci cerca kau. Sekali lagi kau hina aku... aku bagi kau makan penumbuk aku. Lebih baik kau berundur sebelum aku jadi gila kat sini!” ucap Fakhrul tajam. Kata-katanya bukan mainan. Jika Pak Ayob meneruskan juga tabiatnya itu maka penumbuknya ini akan menghentam muka tua itu tanpa belas kasihan.
Pak Ayob tidak terkata memandang Fakhrul saat itu. Peluh memercik di dahinya menyatakan kegerunannya melihat keberanian Fakhrul. Mak Senah juga tidak terkata sebaliknya dia menarik suaminya agar menjauhi anak muda yang sedang naik berang itu.
“Aku nak jumpa aboh kamu nanti. Biar dia tahu anak jantan dia ni kurang ajor!” ucap Pak Ayob perlahan.
“Uban dah banyak tapi nak mengadu macam budak tadika. Eh! Pegi daa...” balas Fakhrul lantang. Kata-katanya disambut oleh tawa beberapa orang lelaki yang mendengar.
Pak Ayob mendengus. Akhirnya tanpa kata mereka berdua berlalu dari situ enggan lagi menadah pandangan kepada orang ramai yang mengerumuni pergaduhan mereka itu.
Sepeninggalan dua manusia itu, Pak Kodeh menepuk bahu Fakhrul seketika untuk menenangkan anak muda itu.
“Sudahlah! Jangan kamu layan dia tu. Duduk, Fakhrul! Tenangkan hati tu..” ucap Pak Kodeh lembut.
Fakhrul hanya diam. Malah memandang orang di sekelilingnya juga tidak! Cuma dia seperti tidak percaya apa yang telah dilakukannya sebentar tadi. Benarkah dia hampir memukul lelaki separuh umur itu? Benarkah dia berdendam sehingga membuatkan dia senekad itu? Entah! Apa yang dia tahu dia sudah hilang sabar!
‘Pergi mamposlah dengan kau, orang tua!’ Cemuh hati Fakhrul sakit.

PASKAU atau Unit Khas Udara merupakan pasukan komando bagi Tentera Udara Diraja. Setelah berjaya menyarung beret biru kebanggaan bagi setiap anggota tentera udara, dia telah dipilih menganggotai Skuadron Sayap Tempur dan ditempatkan di Kem Sungai Besi.
Dilatih sebagai komando ketahanan fizikal dan mental itu sudah menjadi keutamaan. Dan pantas membuat keputusan dan tindakan dalam keadaan genting juga itu adalah kepakarannya.

Jam 12 tengah malam. Motor yang dipandu bergerak perlahan menuju ke rumah. Jalan sudah mulai lengang. Fakhrul perasan ada sinaran cahaya lampu kereta datang mendekat dari arah belakang. dia membawa haluan motornya ke tepi sedikit bagi memberi laluan kepada kereta itu. Sayangnya kereta itu terus mengekorinya buat seketika.
Fakhrul menoleh ke belakang seketika. Tidak jelas model kereta dan nombornya dek kerana suluhan cahaya lampu hadapan kereta itu. Hati merasa tidak sedap. Fakhrul segera memecut motornya. Namun kelajuan motor sudah tentu tidak dapat menandingi kereta. Motornya disodok dari belakang sehingga dia terbabas ke tepi lalu jatuh.
Sebelah kakinya tersepit di bawah motor. Fakhrul sedikit terkial-kial mahu mengalihkan motor itu dalam pada dia melihat empat lelaki keluar dari kereta dan menghampirinya. Empat lelaki itu kelam kabut mengambil segala barangan pada tubuh Fakhrul dek kerana ada kehadiran kereta lain menuju ke arah mereka. Namun hanya dompet yang berharga kepada mereka.
“Mana yang lain???” seorang lelaki mengeluarkan pisau lalu mengacu ke arah Fakhrul.
“Aku tak ada apa-apa. Itu aja yang aku ada,” jawab Fakhrul. Lelaki yang mengacu pisau itu asyik memandang ke belakang. bimbang orang lain melihat dia sedang menyamun. Kereta yang datang itu memperlahankan kenderaannya untuk melihat apa yang berlaku.
Lelaki itu menyembunyikan pisaunya dan melambai kepada pemandu kenderaan mewah itu.
“Ada apa ni?” tanya si pemandu itu sebaik sahaja menurunkan cermin.
“Jatuh motor. Tak ada apa-apa ni. kami dah panggil ambulan,” ujar lelaki itu biasa.
Si pemandu mengangguk lalu menaikkan cermin semula. Dan kereta itu terus berlalu.
“Blah!” cepat-cepat lelaki itu mengajak kawan-kawannya berlalu. Tujuannya tiada lain. Mahu mengejar kereta mewah itu pula!
“Dompet aku???” ucap Fakhrul.
Empat lelaki itu berpaling. Lelaki yang memegang dompet Fakhrul itu, mengambil duit di dalam dompet itu lalu dompet itu dicampaknya kepada Fakhrul. Mereka bergegas masuk ke dalam kereta.
“Kurang ajar!” desis Fakhrul. Kakinya ditarik sedaya upaya dari bawah motor. Menyakitkan. Fakhrul bangkit mengangkat motornya dalam keadaan sebelah kakinya tidak dapat memijak tanah. Enjin motornya dihidupkan semula. Seterusnya dia memecut ke arah haluan kereta penyamun itu pergi.
Tidak sampai lima minit dia melihat dua buah kereta itu tersadai di tepi jalan.
“Jaga kau!” ucap Fakhrul lantas mematikan enjin. Motor itu meluncur dalam keadaan senyap ke arah kereta itu. Dia terpandangkan seorang penyamun sedang berdiri di tepi kereta memandang ke arah teman-temannya yang sedang rancak menyamun kereta mewah tadi.
“Agi idup agi ngelaban!”
Dush! Motornya merempuh lelaki itu dari belakang. Salah seorang penyamun itu tercampak ke hadapan. Seterusnya motornya terbabas ke dalam semak. Fakhrul bangkit semula. Tiga lelaki lagi meluru ke arahnya. Matanya segera terkesankan pisau di tangan salah seorang lelaki itu. Lelaki itu cuba membenamkan pisau ke perutnya. Tetapi pergelangan tangan lelaki itu segera disambut Fakhrul. Kepalanya dihantukkan kepada salah seorang penyamun yang datang. Dan seorang lelaki penyamun segera memaut leher Fakhrul dari arah belakang. Penyamun di hadapan pula sedaya upaya mahu menikam lelaki itu.
Dalam keadaan begitu, dia tahu dia akan kalah kepada kekuatan lelaki itu. Spontan Fakhrul melepaskan sebelah tangannya yang sedang menahan pergelangan tangan lelaki itu. hanya sebelah tangan masih berusaha menahan pisau itu. Namun Fakhrul lekas-lekas mencengkam rambut si penyamun di belakangnya lalu ditariknya kuat. Lelaki itu menjerit nyaring akibat kesakitan sekaligus dia berkalih ke hadapan Fakhrul untuk melepaskan cengkaman tangan Fakhrul pada rambutnya.
Peluang yang sedang terbentang luas segera digunakan. Sebelah tangan yang masih menahan pergelangan tangan si penyamun dari menikamnya segera dilonggarkan. Malah dia ikut menarik pergelangan tangan lelaki itu agar pisau itu maju lebih cepat ke arahnya. Akibatnya salah seorang penyamun itu melolong akibat dibenam pisau itu.
Salah seorang penyamun itu segera melepaskan pisau yang masih terbenam di pinggang rakan seperjuangannya. Tubuh yang sudah longlai itu ditolak oleh Fakhrul ke tepi. Terhencot-hencot Fakhrul mengejar seekor lagi makhluk jahat yang sedang cuba melarikan diri dengan keretanya. Belum sempat dia mengunci pintu Fakhrul terlebih dahulu masuk dan duduk di sebelahnya.
“Kau belum dapat lari dari aku.” Fakhrul sempat menyengih saat lelaki itu memandang kepadanya. Penyamun itu agar panik memandangkan dia ketandusan senjata untuk melawan.
“Dengar sini baik-baik...” ucap Fakhrul. Seterusnya dia memaut belakang kepala lelaki itu lalu ditarik ke arah stereng kereta agak kuat.
“Aku...” satu hentaman mengenai stereng itu.
“Nak...” sekali lagi aksi itu diulanginya tanpa belas kasihan.
“Duit...” penyamun itu lembik serta merta setelah sekali lagi wajahnya ‘mencium’ stereng kereta.
“Aku! Aku nak duit aku balik! Mana duit aku???” jerit Fakhrul lantas menghantuk lagi wajah si penyamun di stereng kereta.
Lelaki itu tidak mampu berkata-kata dalam keadaan darah sudah berjuraian dari hidung hingga ke dagu. Hanya dua tangan disatukan, meminta belas kasihan agar tidak diperlakukan begitu lagi. Seterusnya dia menyeluk poket jaketnya. Duit milik Fakhrul segera dikembalikan semula.
“Bagus! Lain kali jangan menyamun! Dasar penyamun!” desis Fakhrul lantas mengira semula duitnya. Cukup semuanya! Fakhrul sempat memandang lelaki itu semula. Rambut lelaki ditariknya agar dia dapat berkata sesuatu ke lubang telinga lelaki itu.
“Aku nak bagi tips pada kau untuk kau jadikan pedoman menyamun di hari muka. Jangan cuba-cuba menyamun duit aku lagi ya? Tengok muka ni baik-baik. Ingat sampai mati! Kalau tidak, buruk akibatnya.”
Lelaki itu hanya terdaya mengangguk semata. Rahangnya sudah tidak boleh digerakkan lagi. Seterusnya Fakhrul keluar dari kereta itu. Terhencot-hencot mendapatkan motornya yang sudah bersarang di dalam semak. Dua penyamun itu bangun mendapatkan kereta mereka semula. Setelah berjaya memasukkan teman seperjuangan yang berdarah teruk, kereta tadi terus bergerak pergi. Sempat diperhatikan oleh Fakhrul dan pemilik kereta mewah itu. Tertinggal seorang lagi rakan penyamun yang masih tidak sedarkan diri akibat dirempuh motorsikal tadi.
“Woi! Ni seorang lagi. Dia tinggal kawan dia macam tu aja. Tak guna punya kawan,” bebel Fakhrul seorang diri.
“Encik...” seorang lelaki datang menyapa.
“Lebih baik kau call polis sekarang,” ucap Fakhrul sekadar menoleh sedikit. Lelaki itu mahu mendekatinya, mungkin juga mahu memberikan bantuan. Sudahnya lelaki itu ikut menarik motorsikal itu keluar dari semak samun di tepi jalan itu.
“Ada apa?” tanya Fakhrul sambil dia cuba menghidupkan motornya semula. Namun gagal. Bau minyak petrol kuat menyengat.
“Terima kasih sebab tolong aku tadi.”
“Aku tak tolong kau. Aku hanya ambil duit aku yang si bedebah tu samun tadi,” jawab Fakhrul selamba.
“Aku Arman. Aku rasa kau perlukan bantuan,” ucap lelaki itu lagi.
Fakhrul mendecit. Memang sahih petrol sudah tertumpah. Bahagian tepi motor itu basah oleh minyak. Berkali-kali dia mencuba untuk menghidupkan motor itu. Namun gagal.
“Lebur motor sebijik!” ucap Fakhrul lantas turun semula dari motor itu. Banyak kerosakan sudah berlaku semata-mata kerana duitnya. Atau sebenarnya dia ingin membalas dendam atas apa yang berlaku tadi.
“Aku nampak apa yang kau buat pada lelaki tu semua,” ucap Arman lagi. Matanya masih ralit memerhatikan Fakhrul memeriksa motornya.
 Fakhrul memandang Arman. “Apa yang aku buat?”
“Kau habiskan empat lelaki tu dalam keadaan kaki kau sakit begini. Aku kagum,” ujar Arman perlahan.
Fakhrul hanya diam. Cuba juga membetulkan apa yang boleh. Dia mahu pulang segera. Namun terkeruk-keruk lelaki itu kebuntuan. Sehingga dia terlihat kilauan lampu biru dari jauh. Fakhrul memandang lelaki yang masih sibuk mahu menempel kepadanya. Tak ingat nak balik ke?
“Aku dah call polis waktu kau tengah kena kepung tadi,” ujar Arman.
Setiba kenderaan polis, mereka disoal siasat. Kad pengenalan turut diberikan kepada pegawai polis. Namun Arman sempat memandang kad pengenalan milik Fakhrul.
Hatinya berdetik sendiri setelah jawapan yang ditagih sudah kedapatan. ‘Dia seorang pegawai tentera!’











No comments:

Post a Comment