DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 8

“Kau ada kunci spare tak?” tanya Suhaila.
Sudah lama dia menunggu Khalis. Sekarang saat yang
sesuai untuk bertanya. Khalis sedang merapikan pakaian dan
hendak ke pejabat.
Memang Khalis nampak hebat dengan sut pejabat.
Tidak hairanlah kalau perempuan tergila-gilakannya. Rupa
handsome, poket pun tebal. Dari atas ke bawah Suhaila
tenung Khalis. Memang tampan. Matanya seakan sukar
dialihkan. Dia suka pada mata Khalis yang setajam helang
dan lekuk di pipi Khalis yang nampak comel.
Tengku Khalis Aiman bin Tengku Zabidi. Selama
ini dia hanya dengar nama dan reputasi jejaka handsome di
depannya. Selalunya apabila dengar nama Tengku Kaz, dia
akan rasa menyampah dan meluat. Sekarang dia berdiri di
hadapan Tengku Kaz sebagai seorang isteri. Isteri kepada
lelaki yang paling dia menyampah dan meluat. Allah dah
terbalikkan semuanya dalam sekelip mata.
“Bukan ke aku dah cakap semalam, ruang tamu ni
kawasan larangan untuk kau.” Khalis bukan jawab soalan
Suhaila, tapi sebaliknya. Dia perasan pandangan Suhaila, tapi
dia langsung tidak hairan. Sudah biasa dengan pandangan
sebegitu.
“Kedekut betul. Bukan nak minta duit pun.” Suhaila
mengomel perlahan, tapi cukup untuk sampai ke telinga
Khalis.
Khalis tersengih. Suhaila kata dia kedekut?
Memanglah tidak boleh bagi. Nanti habis diangkut semua
barang-barangnya keluar. Perempuan sewel!
“Nak buat apa kunci spare?” Tidak sampai hati pula
dia mahu biarkan soalan Suhaila tidak berjawab.
“Aku nak pergi kerja. Takkanlah aku nak tinggal
rumah ni tak berkunci?” Suhaila perlu ke pejabat. Berbincang
dengan majikannya, apa tindakan yang patut dia buat. Tidak
mungkin dia boleh bekerja dengan tenang jika masih bekerja
di tempat yang sama dengan Saiful dan Karlisa. Dia juga perlu
menghantar pelan yang dijanjikan minggu lepas.
“Kau ni, tak boleh duduk dalam rumah diam-diam
ke? Kau kerja apa? Kerja bibik aje, kan? Tak penting pun.”
“Kau saja nak buli aku, kan? Tak bagi aku masuk
ruang tamu, tak bagi aku keluar. Aku nak cari makan
sendirilah. Takkan nak harap kau pulak. Rumah kau ni mana
ada apa-apa. Takkan nak minum air paip aje sepanjang hari?
Aku tahu kau tak sabar nak tengok aku mati kebuluran kat
sini. Jadi rangka. Senang kau dapat title duda tak payah
ceraikan aku.”
Khalis mati kutu untuk berlawan bicara. Lagi-lagi
soal kebulur Suhaila buat modal. Tapi memang betul pun.
Rumah dia tidak ada apa-apa. Jangan kata makanan, dapur
pun dia tidak beli. Apa-apa jadi pada perempuan ini, nama
dia juga yang dalam bahaya. Khalis beredar masuk ke dalam
bilik.
Suhaila menarik nafas lega. Kekacakan Khalis boleh
membunuh. Bahaya kalau dia terus berdua dengan Khalis.
Boleh terjatuh hati. Dia sengaja cakap pedas-pedas, biar
Khalis masam muka. Janganlah Khalis senyum, nanti dia
jatuh hati pula.
“Nah, kunci. Kau ada kereta tak?” Khalis tiba-tiba
muncul mencampakkan segugus kunci kepada Suhaila. Dasar
lelaki bengong. Nasib baik kunci itu tidak kena muka Suhaila.
“Kereta... ada. Kenapa?”
“Kereta apa? Mesti kereta Kancil, kan?” Khalis
ketawa.
Suhaila diam. Tahulah orang kaya. Kenapa mesti
pandang hina orang miskin?
“Kenapa kalau aku ada kereta?” Suhaila bengang.
Perasaan hendak mencekik Khalis tidak pernah surut.
“Nak bagi remote control ni. Parking kat tingkat
satu. Tapi malulah kereta Kancil nak parking sebelah Porsche
aku.”
Suhaila rasa hendak telan Khalish hidup-hidup.
Kalaulah Khalis ni burger McChicken, dah lama dia kunyah
sampai lumat. Kenapalah perangai baik Tengku Zabidi tidak
menurun kepada anak dia? Perangai mohon penampar aje.
Oh... terlupa pula. Khalis berbaik hati belikan dia McDonald's
semalam.
“Tak kisahlah kereta apa pun, asalkan ada kereta.”
Suhaila rampas remote dari tangan Khalis.
“Aku nak pergi kerja dulu. Kau duduk free kat rumah
ni, pandai-pandailah balas budi. Kau bukan mem besar dalam
rumah ni tau,” ujar Khalis tersengih-sengih. Sempat lagi dia
melambai tangan sebelum beredar.
Suhaila melihat Khalis hingga bayang Khalis
menghilang di sebalik tembok. Pintu ditutup perlahan. Dia
menyandarkan badan di pintu dan menarik nafas panjang.
Patutlah ramai yang warning dia jangan tenung Khalis
lama-lama. Muka masam Khalis pun dah cukup handsome.
Apatah lagi kalau Khalis senyum.
Suhaila rasa lega. Khalis sudah keluar, dia boleh
mengemas rumah. Perkara pertama yang perlu dia buat ialah
mengemop rumah. Selepas mengemas rumah, dia perlu ke
pejabat. Entah pukul berapa Khalis akan balik, dia tidak pasti.
Nampaknya dia perlu biasakan diri hidup dengan lelaki yang
tidak mencintainya.
“Pelan untuk kompleks membeli-belah Nusa Jaya
tu Karlisa dah hantar minggu lepas. Lusa dia akan buat
pembentangan depan Tengku Zabidi. Katanya kamu tak dapat
nak teruskan kerja kamu, jadi dia hantar dia punya. Saya siap
dapat memo yang kamu tandatangan lagi. Memo tu tulis
kamu serahkan kepada Karlisa projek tu.”
Suhaila tersentak. Dia tidak nampak pun Karlisa
bersengkang mata menyiapkan pelan ataupun apa. Baru
dia perasan pelan kompleks membeli-belah Nusa Jaya tidak
ada di dalam biliknya. Tidak mungkin Karlisa mengambil
rekaannya. Tak mungkin!
‘Kau kejam Karlisa!’ bentak Suhaila dalam hati.
Dia gagal mengawal perasaan. Menggigil seluruh tubuhnya.
Kenapa Karlisa buat semua ini?
“Mungkin saya lupa... saya dah bagi dia projek ni,”
ujar Suhaila lemah.
“Suhaila... betul ke kamu serahkan projek ni pada
dia?” tanya Tan Sri Azman. Dia mengesan sesuatu.
Suhaila tidak menjawab. Namun air matanya sudah
cukup menggambarkan apa yang terbuku dalam hatinya.
“Saya nak berhenti kerja... sekarang jugak!”
“Suhaila... hal ni kita boleh selesaikan. Kita boleh
tunggu Karlisa dengan Saiful kembali bekerja. Kita boleh
bincang. Saya kena tahu apa sebenarnya yang berlaku.”
Tan Sri Azman serba salah. Sudahlah anak saudaranya
mengecewakan gadis ini. Sekarang ada musibah lain pula.
“Saya tetap nak berhenti kerja!” Suhaila tegas
dengan keputusannya.
“Kamu pasti dengan keputusan kamu?”
Suhaila angguk. Dia sudah tekad untuk
berhenti kerja. Perbuatan Karlisa ibarat membunuhnya
perlahan-lahan. Kalau dia terus di sini, dia akan mati. Bukan
sahaja jiwanya mati, tapi jasadnya juga akan terkubur. Biarlah
dia yang mengalah. Biar dia yang pergi.
“Kamu tahu peraturan syarikat mengatakan kamu
perlu memberi notis tiga bulan sebelum meletakkan jawatan
atau membayar wang denda selama tiga bulan gaji. Tiga bulan
gaji tu banyak Suhaila. Bukan sikit. Kamu boleh bekerja dari
rumah. Ambil projek kecil.”
“Tan Sri... saya rasa ini jalan yang terbaik untuk
semua. Pasal pelan tu tak apalah. Tengku Zabidi pun dah
setuju.” Suhaila jelas dengan syarat dan peraturan yang
tertulis dalam buku panduan kerja. Dia ada sedikit simpanan
untuk membayarnya. Dan dia tidak akan berpatah balik
dengan membatalkan keputusannya.
“Kalau macam tu, saya tak boleh nak halang kamu.
Saya doakan kamu akan selalu dapat apa yang kamu impikan.
Kamu rehatlah dulu, pergi bercuti. Saya faham apa yang kamu
lalui sangat berat. Kalau kamu nak bekerja di mana-mana,
saya akan bagi surat sokongan.”
Suhaila lemparkan senyuman buat Tan Sri Azman.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Suhaila
sayangkan kerjanya di sini. Tapi jika dia terus di sini, fokusnya
akan hilang. Mungkin juga dia akan asyik bersedih apabila
melihat Saiful dan Karlisa.
“Su... uncle minta maaf atas kelakuan Saiful dan
keluarganya. Adik uncle tak berhak nilai Su kerana masa
silam Su. Tapi tak boleh buat apa dah. Lisa dengan Saiful
dah sah jadi suami isteri. Uncle memang nak sangat kamu
jadi anak buah uncle dan warisi firma ni. Uncle yakin Nilam
Kencana akan lebih baik di tangan Su berbanding Saiful.”
Tan Sri Azman tinggalkan formaliti. Suhaila sepatutnya
jadi anak saudaranya, namun pernikahan Saiful dan Karlisa
memusnahkan segala perancangannya itu.
Suhaila senyum.
“Kami tak ada jodoh uncle. Karlisa pun bagus jugak.”
Suhaila mengemas meja kerjanya. Dia baru sahaja
balik dari HR menguruskan peletakan jawatannya. Semua
barang-barang kepunyaannya diletakkan ke dalam kotak.
Kalau ikutkan, pejabat ini sudah jadi rumah keduanya. Jadi
memang banyak barang yang perlu dikemaskan. Dunianya
sebelum ini hanya kerja dan Saiful.
“Kau nak berhenti ke Su?” Badri menjengukkan
kepala. Berita Suhaila meletak jawatan sudah pun tersebar.
“Dah viral dah berita pasal aku ni anak pelacur. Cepat
betul tersebar. Tentu semua tengah kutuk aku, kan?”
“Aku kenal kau dari kecil Su. Kita dua sama aje. Anak
tak tahu asal usul. Masa silam kita bukan ukuran siapa kita
sekarang. Tapi kita tak mampu nak halang manusia lain yang
berpandangan buruk pada kita.” Badri membantu Suhaila
mengemas.
Suhaila berhenti mengemas. Bukan salah dia kalau
ibunya betul-betul pelacur. Dia juga makhluk ciptaan Allah.
Dia pandang Badri dengan mata yang berkaca. Badri paling
memahaminya sekarang ini. Mereka dibesarkan di pusat
asuhan yang sama. Pusat asuhan anak-anak terbuang.
“Terima kasih Bad, tapi aku tak rasa aku boleh stay
kat sini. Kau pun tahu aku tak pandai nak berlakon. Aku
sensitif dan mudah terasa. Aku boleh kuat depan diaorang,
tapi aku pasti menangis kat belakang. Aku tak nak prestasi
syarikat terjejas sebab aku.”
“Kau berhenti sebab Saiful dengan Karlisa atau
sebab Karlisa curi rekaan kau?”
Suhaila berhenti mengemas. Macam mana Badri
tahu? Hati yang mula tenang kembali bergelora. Mendengar
nama dua manusia itu, dia jadi sakit.
“Kita kerja satu bumbung dah dua tahun. Aku kenal
hasil kerja kau sejak habis universiti lagi. Aku kenal sangat
style Suhaila Al-Hakeem. Kau memang ada bakat, sebab tu
kau boleh menang pertandingan tu.”
“Kalau dia rasa orang akan puji dia sebab rekaan
aku, biarkan aje. Biar Allah aje yang balas semua perbuatan
dia. Bangkai gajah mana boleh tutup dengan daun pisang.”
Suhaila sambung mengemas. Dia mencapai bingkai gambar
yang terletak elok di atas mejanya. Gambar pertunangannya
dengan Saiful.
“Kau patut pertahankan hak kau, bukan lari macam
ni.”
“Aku bukan lari Bad. Aku cari ketenangan diri.”
Suhaila geram. Dia membaling bingkai gambar yang ada di
tangannya. Habis pecah berderai.
“Aku minta maaf. Aku...”
“Aku tak sangka Karlisa busuk hati, Bad. Aku
tak jangka semua ni daripada dia. Aku anggap dia macam
adik-beradik aku.” Suhaila tidak dapat menahan tangisnya.
Tubuhnya melorot ke lantai. Dia duduk sambil memeluk
lutut. Pengkhianatan Karlisa betul-betul membuatkannya
hilang punca.
“Su... kalau kau perlu lari sampai ke hujung dunia
untuk lupakan semua ni, kau pergilah. Aku lebih rela tengok
kau berlari dengan senyuman daripada kau bersedih macam
ni. Kau tahu kan kita dah banyak menangis sejak kecil.
Menangis sebab orang hina kita. Aku tak nak tengok kau
nangis lagi.” Badri mengambil kotak tisu lalu dihulurkan
kepada Suhaila.
Sudah lama dia tidak tengok Suhaila menangis.
Mereka terpisah sebaik sahaja dia tamat SPM. Suhaila
yang lebih muda tiga tahun daripadanya menyambung
pelajaran di politeknik sebelum melanjutkan pelajaran ke
universiti. Dia hanya memerhatikan kejayaan Suhaila dari
jauh. Dia tumpang gembira dengan kejayaan demi kejayaan
Suhaila dalam pelbagai pertandingan. Sudah hampir lapan
tahun dalam profesion ini, Suhaila sudah bergelar arkitek.
Sedangkan dia, masih lagi Graduate Architect. Tak hairanlah
kalau ada yang cemburu.
“Kau kena buktikan yang kau lebih bagus daripada
mereka. Apa kata kau berhijrah aje. Kalau kau pergi Dubai
pun okey.”
Suhaila kesat air mata dengan tisu. Kalau tidak
kerana jawatan isteri ekspres yang disandang, pasti dia sudah
beli tiket ke Dubai. Tak pun join Hakim di Jerman. Biarlah dia
bersusah di negara orang daripada terseksa di negara sendiri.
Namun tanpa izin Khalis, dia tidak mampu ke mana-mana.
“Dah, jom sambung kemas.” Suhaila bangun.
“Kalau kau nak mengadu apa-apa, datang aje rumah.
Bila-bila masa aje. Kamelia tu asyik tanya pasal kau. Sibuk
call kau tapi tak dapat, aku jugak jadi mangsa. Dari lepas kau
putus tunang kau hilang. Dia risau, aku pun risau.” Badri
menyapu serpihan kaca dari bingkai gambar yang dibaling
Suhaila tadi.
Suhaila senyum. Kamelia isteri Badri seorang
yang baik. Pernah cemburukan dia kerana terlalu kerap
bekerjasama dengan Badri. Tapi sekarang mereka kawan
baik. Suhaila memang mahu mengadu nasib kepada Kamelia,
namun apabila wujudnya suami ekspres, dia rasa tidak
patut pula membelakangkan suami. Walaupun Khalis tidak
sukakannya, selagi bergelar isteri dia harus jaga maruah
suami.
“Nanti ada masa aku call.”
Suhaila telah habis mengemas. Penuh dua kotak
berisi barang-barangnya. Biliknya sudah kosong. Gambar
kenangan pertunangannya bersama Saiful dikoyak dua.
Gambar Saiful dicampakkan ke dalam tong sampah.
“Aku tolong kau angkat, mesti berat.” Badri
mengambil kedua-dua kotak. Suhaila hanya membawa beg
laptopnya.
Sebaik sahaja mereka keluar, para pekerja lain sudah
berkumpul di hadapan bilik. Semua kelihatan sedih dan ada
yang menangis. Suhaila turut mengalirkan air mata sebak.
“Kenapa mesti Kak Su yang berhenti? Biarlah dua
ekor monyet tu aje yang berhenti.” Jenab tersedu-sedan.
Kehilangan Suhaila bermakna tidak ada lagi geng colek buah
mangga waktu rehat. Dia pasti akan terasa apabila Suhaila
tidak ada.
Suhaila senyum. Dia memeluk Jenab erat.
“Su, kami tak pernah kisah tentang asal usul Su.
Apa yang kami tahu, Suhaila Al-Hakeem seorang arkitek
terhebat.”
Suhaila terharu apabila satu per satu rakan sepejabat
memberi kata-kata semangat. Mereka semua terkejut apabila
melihat Karlisa yang bersanding dengan Saiful, bukannya
Suhaila. Dan mereka juga menyaksikan drama Suhaila di atas
pelamin.
“Terima kasih semua. Terima kasih banyak-banyak.
Insya-Allah, ada masa nanti saya akan datang melawat.”
Suhaila dengan berat hati meninggalkan kawasan
pejabat. Badri dan Jenab membantu dia mengangkat kotak.
Jenab masih tersedu-sedan seperti tadi.
“Sudahlah Jenab, janganlah menangis macam tu.
Tuan punya badan pun okey. Kamu pulak nak menangis.”
Badri menegur.
“Saya sedih, Encik Bad. Kalaulah kawan baik saya
sendiri tikam saya, entah-entah dah arwah dah orang tu.
Selama ni Kak Su banyak tolong dia, tapi...” Jenab tidak boleh
teruskan ayatnya, malah melolong di kawasan tempat letak
kereta itu.
“Itu namanya dugaan hidup. Kalau nak berjaya, kita
mesti rebut peluang depan kita sama ada guna cara baik atau
jahat. Tapi kalau sanggup guna cara jahat, maknanya kita
sanggup buat dosa dan gadaikan maruah sendiri. Pilihan di
tangan kita, Jenab. Kita kena ingat, hidup ibarat roda. Kalau
kita tergamak menyakiti hati orang lain, tak mustahil suatu
hari nanti kita yang sakit,” ujar Suhaila. Dia penat hendak
fikir pasal Saiful dengan Karlisa lagi. Apa yang sudah terjadi
biarkan saja. Dia harus pandang ke depan dan jalani hidupnya
sendiri.
Badri dan Jenab meletakkan kotak di but kereta
Suhaila. Kereta Range Rover milik Suhaila memang
ditinggalkan di pejabat. Suhaila lebih suka naik LRT pergi ke
pejabat. Sekarang dia kena bawa balik keretanya. Terpaksalah
dia parkir di kondo Khalis.
Suhaila mengambil sesuatu dari dalam kotak.
“Ini untuk Jenab. Jenab suka sangat jam lampu gel
ada radio ni, kan?” Suhaila menyerahkan jam yang selama ini
menemaninya di pejabat.
Jenab meraung lebih kuat sehingga Suhaila terpaksa
memeluk Jenab.
“Lain kali kita jumpa lagi. Jangan nangis tau. Kerja
elok-elok.” Suhaila rasa lega apabila segaris senyuman Jenab
muncul.
“Kirim salam kat Kamelia.” Suhaila menitipkan
salam kepada Badri. “Oh ya... tolong jangan cari aku buat
masa ni. Aku nak menyendiri buat sementara waktu. Bila aku
dah okey nanti, aku call.” Suhaila senyum dari dalam kereta.
Enjin telah pun dihidupkan. Dia melambai ke arah Badri dan
Jenab.
‘Selamat tinggal Nilam Kencana. Selamat tinggal
Saiful. Selamat tinggal Karlisa...’

No comments:

Post a Comment