DAPATKAN TEASER PERCUMA!
Sunday, 16 April 2017
Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Prolog
“Hesy budak ni! Boleh tak, tak payah nak
mengekor abang pergi mana? Abang rimas, tahu tak?” sergah
Farouk dengan nada geram. Mata bulat adik sepupunya
yang terkebil-kebil melangut ke arahnya direnung tajam.
Geram campur rimas dengan Azzahra yang sering menjadi
bayang-bayangnya setiap kali mereka bertemu.
“Kenapa tak boleh? Ara nak ikut abang...” rengek
Azzahra. Tangan memintal-mintal ikatan tocang yang jatuh
ke bahu.
“Kau tu kecik lagi. Abang nak pergi main bola kat
padang dengan kawan-kawan abang. Ara mana boleh ikut!”
Kasar Farouk menyarungkan stoking ke kaki. Bingkas dia
bangun dari sofa.
“Nak ikut! Nak ikut!” jerit Azzahra sambil menarik
jersi yang tersarung di tubuh Farouk.
Sabar Farouk semakin menipis. Tangan halus
Azzahra yang mencengkam sejemput jersinya direntap kuat.
Menyeringai Azzahra kesakitan.
“Abang jahat!” Mata sudah mula berair.
Farouk tunduk agar matanya bertentang dengan
mata Azzahra. Jari telunjuk menuding tepat ke wajah budak
yang tidak faham bahasa itu.
“Ara jangan ikut abang! Kalau ikut, abang campak
Ara dalam sungai!”
Azzahra menelan liur. Takut akan gertakan yang
dibuat oleh Farouk. Ugutan yang pasti membuat Azzahra
kaku dan beku. Sungai?
“Abang, kenapa ni?”
Azzahra berpaling lalu memeluk wanita yang
bersuara tadi.
“Mak long, Abang Farouk jahat!”
Puan Habsah membalas pelukan anak saudaranya
sebelum mata Farouk dicari.
“Abang?”
“Mak, abang dah lambat ni. Yang dia ni asyik
nak kacau abang je. Tak padan dengan kecik, tapi gatalnya
bukan main lagi!” luah Farouk keras. Mencerlung matanya
memandang ke arah adik sepupunya.
“Abang!” Keras suara Puan Habsah. “Kalau ya pun
abang dah lambat, tak payahlah nak marah-marah pada si Ara
ni. Dia kecik lagi, apalah dia tahu?”
“Keciklah sangat!” sinis suara Farouk. “Dah
nak masuk darjah dua kut tahun depan! Dahlah, abang
pergi dulu. Layankan dia ni, satu kerja abang pun takkan
siap!” Lekas-lekas Farouk menyarungkan kasut sukan dan
membawa kaki laju meninggalkan pekarangan rumah.
Bimbang sekiranya dia dipanggil oleh ibunya yang selalu
menangkan adik sepupunya itu.
“Dahlah, Ara. Jom kita ke dapur. Kita makan kek
nak?” pujuk Puan Habsah. Tangan Azzahra dipimpin menuju
ke dapur.
“Mak long...” rengek Azzahra. “Kenapa Abang Farouk
tak suka dengan Ara?” Azzahra menghenyakkan punggung ke
kerusi.
“Eh, siapa kata Abang Farouk tak suka? Abang
Farouk tu sayang kat Ara tau.” Tangan membuka Tupperware
dan kek coklat yang dibakar petang semalam dikeluarkan lalu
disusun ke dalam piring.
“Ni kek kesukaan Abang Farouk, kan?” soal Azzahra.
Anggukan kepala daripada Puan Habsah menerbitkan
senyuman di bibir kecil Azzahra. “Nanti bila Ara kahwin
dengan Abang Farouk, hari-hari Ara akan buatkan Abang
Farouk kek coklat ni. Mesti Abang Farouk suka, kan mak
long? Nanti, mesti Abang Farouk akan sayang sangat pada
Ara.”
Tak sampai hati Puan Habsah mahu menidakkan
kata-kata anak saudaranya itu. Biarlah. Azzahra kecil lagi,
sedangkan anak sulungnya itu sudah tamat sekolah menengah.
Sepuluh tahun beza umur mereka berdua. Dunia Azzahra
masih belum terbuka. Teman-teman sekolahnya semua
perempuan. Adik-adiknya pun semua perempuan. Lelaki yang
dikenalinya, hanyalah dalam kalangan sepupu-sepupu sama
ada daripada sebelah ibunya atau bapanya. Maka tidak sukar
untuk memahami kenapa Azzahra begitu taasub dengan anak
sulungnya, Farouk.
Walaupun anak-anak Puan Habsah semuanya lelaki,
mata Azzahra hanya memandang kepada Farouk. Yang lain
tidak dipedulikan oleh Azzahra... mungkin kerana mereka
terlalu gemar menyakat anak saudaranya itu. Farouk pula,
mula-mula dulu amat menyayangi Azzahra. Namun dengan
peredaran waktu, Farouk semakin berubah.
Dan di sebelahnya, celoteh Azzahra tentang
impiannya menjadi pendamping Farouk masih menemani
halwa telinganya. Puan Habsah menyimpul senyum.
‘Biarlah... Azzahra masih kecil lagi...’
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment