DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Sweet & Dangerous - Bab 8

LAMA lelaki itu berdiri mendengar bicara ibu dan anak itu. Sayangnya dia tidak memahami apa-apa pun kerana dua beranak itu bercakap dalam Bahasa Perancis. Kadang kala mereka berbisik. Berkali-kali si ibu memeluk anak itu, mengusap bahunya agar dia terpujuk.
Fakhrul menghela nafas perlahan. Semenjak siang tadi, Putra tidak ingin bersua muka dengannya. Bercakap dengannya apatah lagi. Kini Humaira pula yang terpaksa menggunakan kelembutan seorang ibu untuk memujuk. Hanya dengan mamanya Putra mahu berbual.
Perlahan lelaki dewasa itu menolak pintu kamar itu. Dua beranak itu menoleh. Seperti yang dijangka, Putra mengubah air wajahnya. Dia berpaling namun Humaira lekas memegang tangan sang anak. Wanita itu menggeleng sambil merenung tepat ke dalam mata Putra.
“Please let me go!” Putra berusaha keras menarik tangannya dari si ibu.
“Please, don’t! He is your father,” ucap wanita itu separuh merayu.
“Pardonnez-moi...” balas Putra lantas menggeleng enggan.
Humaira menghela nafas panjang sambil memandang suaminya yang datang mendekat. Putra mengalih duduk. Tidak mahu memandang wajah sang ayah lagi.
Fakhrul duduk dekat dengan sang anak. Namun saat dia cuba menyentuh anak itu, Putra menepis keras tangannya.
“Please, don’t touch me!” Putra menjeling tajam.
“Papa minta maaf.”
“What for?” balas Putra dalam nada jengkel. Betapa dia cukup benci mengenangkan hakikat yang dia adalah anak kepada seorang pembunuh upahan.  
“Papa pernah tersilap arah, Putra. Tapi demi itulah papa bertemu dengan mama,” ujar Fakhrul lembut. Putra hanya pegun. Entahkan peduli entahkan tidak. Namun melihat anak itu hanya berdiam, Fakhrul menyambung semula bicaranya.
“Sebelum papa jumpa mama, papa orang susah. Papa pernah berkenalan dengan seorang perempuan. Tapi papa ditolak kerana papa bukan orang kaya. Papa cuma seorang pegawai tentera dengan gaji yang sedikit.”
Humaira tunduk mendengar cerita suaminya. Fakhrul berdiam seketika sambil memandang sang anak. Putra masih seperti tadi. Membisu tanpa sepatah kata.
 “Papa jumpa sorang lelaki. Papa pernah tolong dia. Dia tawarkan papa pekerjaan lain dengan gaji yang lebih lumayan. Papa pernah merasa dihina orang kerana tak berduit. Papa nekad terima kerja tu.”
“Kerja apa?” tanya Putra setelah dia menoleh.
Fakhrul memandang isterinya. Agak sukar untuk menjawabnya kerana kisah itu juga pahit.
“Kerja apa?” tanya Putra lagi.
“Lelaki tu mahu mama mati,” ujar Fakhrul rendah.
Berubah habis wajah Putra mendengar itu. Kemudian dia memandang mamanya. Humaira segera memegang lengan sang anak.
“Keadaan tu tak sama seperti yang Putra fikirkan. Papa tak sejahat itu, sayang. Kalau bukan kerana papa, kita semua mungkin tak ada di sini,” ujar Humaira lembut.  
“Tapi kenapa? Kenapa orang tu nak bunuh mama? Kenapa papa setuju untuk buat kerja tu?”
“Papa tak setuju. Kerana papa tak setuju kita berada di sini sekarang. Kerana papa tak setuju, kita hidup berpisah, Putra. Papa tak sayangkan anak-anak? Papa buat semua ni demi mama dan anak-anak!” ucap Fakhrul bersungguh.
“Tipu!”
“Papa cakap yang benar. Perjalanan hidup mama dan papa tak sama macam orang lain. Waktu tu... salah dan betul bukan lagi satu pilihan. Papa cuma nak mama terus hidup macam orang lain. Kadang kala papa kena pergi jauh dari mama supaya dia dapat hidup macam orang lain.”
“Kenapa? I want to know,” ujar Putra bersungguh.
Humaira memandang suaminya. “Ceritalah. Supaya dia tahu siapa abang sebenarnya. Tak sama seperti yang dia sangkakan.”
“Putra, papa tak mahu anak-anak lelaki papa jadi macam papa. Tapi papa mahu anak-anak papa jadi pelindung mama sekiranya papa dah tak ada lagi dengan keluarga ni,” ucap Fakhrul perlahan.
Anak itu bungkam serta merta. Bicara itu menyentak sekeping hatinya yang terlalu mengharapkan sebuah keluarga yang sempurna seperti orang lain.

PETANG itu Fakhrul kembali menapak mendapatkan motorsikalnya di hadapan kedai serbaneka seven eleven. Namun sedang dia bersiap sedia untuk menghidupkan motornya dia dikejutkan dengan tepukan di bahu. Sepantas kilat dia menoleh. Kini kelihatan seorang lelaki berkemeja putih berdiri di belakangnya.
“Badrul...” lelaki itu memberitahu namanya sambil menghulurkan tangan kepada Fakhrul.
Fakhrul segera menyambut huluran tangan lelaki itu dengan rasa hairan. Cara lelaki ini menyapanya lain macam benar. Membuatkan dia tertanya.
“Kau Fakhrul, kan?” soal Badrul.
Fakhrul mengangguk agak lambat sambil terus meneliti lelaki itu. Bagaimana lelaki itu mengetahui namanya? Rasanya dia tidak pernah melihat lelaki ini.
“Aku berkerja dengan Tuan Arman. Kau masih ingat dia, kan? Ada pesanan untuk kau,” kata Badrul lagi.
“Pesanan apa?” soal Fakhrul dengan rasa pelik yang kian melaut. tg
“Tuan Arman arahkan kau ke rumahnya sekarang. Dia ada bagi alamat dan nombor telefonnya. Dia nak jumpa kau. Penting katanya,” ucap Badrul serius.
Fakhrul memandang Badrul dengan rasa hairan. “Apa hal pulak aku nak kena pergi jumpa dia?” soal Fakhrul tanpa terus mahu menurut arahan lelaki ini atau Tuan Arman itu.
“Itu aku tak tahu. Aku hanya sampaikan pesanan dia aja. Ini ada alamatnya. Kau kena ke sana hari ini. Kalau tak dia akan terus cari kau. Walaupun sampai ke kampung kau.” Badrul menjawab serius sambil menyerahkan sekeping kertas yang diambil dari kocek bajunya.
Fakhrul terdiam sambil memandang sahaja kertas di tangan Badrul itu. Namun seketika kemudian dia mengambilnya juga. Ada sebahagian hatinya mahu dia menuruti kehendak lelaki itu. Sebahagian lagi agak sangsi dengan tujuan dia dipanggil ke sana. Dah macam orang suruhan pulak rasanya di arah ke sana ke mari.
Badrul tersenyum kepada Fakhrul. Sebelum berlalu dia sempat menepuk bahu anak muda itu. Fakhrul memerhatikan lelaki itu sehingga dia menghilang dengan keretanya yang diparkirkan tidak jauh dari situ.
Buat seketika Fakhrul termenung di atas motor. Ada sesuatu telah mengusik hati kecilnya. Beberapa minggu lalu motornya yang rosak akibat kejadian samun malam itu telah dibiayai kos pembaikannya oleh seseorang yang dia tidak tahu. Pembayar itu masih misteri. Kini dia sudah mula dapat meneka orang itu adalah Arman. Cuma dia hairan, bagaimana Arman tahu pergerakannya?
Tanpa menunggu lagi Fakhrul menggerakkan motor yamaha RXZ miliknya ke alamat yang diberikan. Sambil mengisi minyak di pam stesen, dia membelek lagi alamat yang tertera di atas kertas putih itu. Selain alamat terdapat juga nombor telefon lelaki itu. Mengikut alamat yang telah diberikan, rumah Tuan Arman terletak di Sri Hartamas.
Setelah sejam mencari Fakrul akhirnya diketemukan juga dengan rumah yang dicarinya. Buat seketika dia memandang dari luar pintu pagar. Rumah itu rupanya bukanlah rumah teres biasa-biasa yang selalu dilihatnya.
Tetapi rumah seperti istana itu terletak di satu kawasan yang siap dikawal rapi oleh pengawal keselamatan. Luas kawasan rumah itu boleh jadi lebih sepuluh hektar agaknya, mungkin juga lebih. Mungkin juga lebih. Di hadapan pintu masuk ke rumah itu Fakhrul terpana seketika menatap keindahan landskap kawasan itu.
‘Macam ni rupanya rumah orang kaya. Jauh beza dengan rumah aku kat kampung...’ bisik hati Fakhrul terus dibaluti kekaguman sendiri.
Sedang dia asyik memerhati persekitaran rumah mewah melalui tirai besi itu tiba-tiba pintu pagar di hadapannya itu terbuka dengan sendirinya. Fakhrul tersentak lantas menjauhkan diri daripada pintu pagar besi yang setinggi pintu pagar penjara itu. Takut tersepit!
Lelaki itu gugup seketika kerana tidak tahu apa yang mahu dilakukan di situ. Namun matanya segera melihat kehadiran seorang lelaki yang bersut kelabu tanpa tali leher.
“Muhammad Fakrul Iman?” soal lelaki itu seolah-olah sudah menjangka akan kedatangannya itu. Dia menyambut Fakhrul dengan senyuman mesranya.
“Err... ya, saya.” Fakhrul menjawab dengan sedikit gugup. Hairan. Lelaki itu tahu namanya.
“Nama I Fernand, ketua sekuriti kat sini. Tuan Arman sedang menunggu kedatangan you. Do come in,” ucap Fernand setelah memperkenalkan dirinya.
Fakhrul mengangguk tetapi dia lantas teringatkan motorsikalnya. “Err... motor saya kena tinggal kat sini ke?” soal Fakhrul kembali. Canggung dia dengan persekitaran rumah orang berada seperti ini. Layakkah motornya yang bertayar dua itu itu dibawa masuk bersama?
Fernand ketawa perlahan dengan gelagat Fakhrul. “Kalau you larat nak jalan kaki ke dalam, tinggallah motor you kat sini. Tapi I nak ingatkan, kawasan rumah ni luasnya lebih dari sepuluh hektar,” jawab Fernand dalam tawanya. Dia perasan akan kecanggungan Fakhrul saat itu.
Ya! Fakhrul perasan Fernand sendiri tidak berjalan kaki sewaktu datang kepadanya. Lelaki itu menaiki sejenis kereta yang selalu dilihat di padang golf.
“Welcome, lieutenant. He is waiting for you,” ucap Fernand lembut. Seketika kemudian dia ke keretanya dan mengisyaratkan agar Fakhrul mengekorinya.
Fakhrul hanya akur dengan mengekori lelaki itu ke laluan yang sama setelah pintu pagar kembali tertutup. Kemudian dia diminta menunggu di hadapan pintu utama rumah sebesar istana itu.
Sekali lagi Fakhrul diserang oleh rasa kagum. Di hadapan rumah itu kelihatan beberapa jenis kereta yang berharga jutaan ringgit diletakkan berderet dan yang paling suka dilihatnya ialah porch kereta dibina di bawah tanah. Unik. Berapa biji pulak kereta yang ada di dalam tu agaknya? hati Fakhrul berkata sendiri. Orang kaya.. bolehlah buat porch bertingkat macam tu.
‘Aku? Mangkuk tandas bertingkat pun aku tak mampu nak buat...’ detik hati Fakhrul sendikit cemburu.
Kemudian lelaki itu berjalan ke arah sebuah taman. Dia ternampak seperti ada sangkar besar di dalam taman itu. tanpa sedar, Fakhrul mendekat. Jaring yang memagari sangkar itu dipaut sambil memandang ke dalam. Betapa dia terpaku melihat dua ekor harimau sedang berkeliaran di dalam sangkar itu. Terlihat dia, salah seekornya datang mendekat. Fakhrul menapak ke belakang semula.
“Dia bela harimau di laman rumah?” tanpa sengaja ucapan itu terkeluar dari ulas bibirnya.
“Kau rasa aku gila ke?” sapa seseorang dari belakang. Fakhrul pantas berpaling ke belakang. Tuan Arman tersenyum sambil mendekati Fakhrul.
“Ini harimau betul ke atau palsu?” tanya Fakhrul dalam nada lugu.
“Aku boleh beri peluang untuk kau cari jawapan tu. Kau nak aku buka pintu sangkar ni?”
“Eh! Tak payahlah. Tak penting pun jawapan tu.” Terkulat-kulat Fakhrul saat memandang aksi binatang itu. Kaki hadapannya disandarkan ke jaring sangkar sambil berdiri dengan kaki belakang. Fakhrul mengerut kening. Binatang itu menggesel kepalanya ke jaring sangkar.
‘Kau ingat kau comel ke bila buat macam tu?’ Kutuk hati Fakhrul kepada binatang berwarna hitam itu.
Arman tersenyum sambil mendekat. Dengan selamba dia menghulur tangan lalu menyentuh kepala binatang itu. Perbuatannya cukup membuatkan Fakhrul tersentak. Binatang itu jinak!
“Panthera pandus ni salah satu spesis harimau yang dah pupus di negara kita. Binatang ni diselamatkan di salah satu hutan di Pahang. Binatang seperti ini penjagaannya memerlukan dana yang besar setiap tahun. Jadi, ini cara aku untuk bantu mengekalkan spesis harimau ni. Tapi sekarang dia dah jinak dengan aku. Aku hanya perlu pastikan dia sihat dan kenyang sentiasa.”
Fakhrul hampir ternganga mendengar penjelasan Arman. Arman terus mengusap kepala binatang itu.
“Man...” laung seseorang dari hadapan parkir kereta. Mereka berdua menoleh serentak. Fakhrul terpandangkan seorang wanita beraut jelita melambai Arman.
“Tunggu sekejap,” ucap Arman perlahan.
Fakhrul sekadar memandang lelaki itu mendekati wanita itu. Mereka berdua berbual seketika di tepi sebuah kereta sebelum wanita itu masuk dan berlalu. Ingin benar ditanyakan siapakah gerangan wanita itu. Tetapi hati berkata... tak payah sibuk hal orang!
 “Mari masuk. Aku dah lama nak ajak kau makan bersama aku,” ajak Arman setelah dia kembali semula ke situ
Fakhrul diam mendengar itu. Sikap Arman yang mesra masih belum mampu untuk menghalau pergi rasa canggungnya. Dia tidak rasa lelaki ini memaksa dia ke sini semata-mata untuk makan bersama.
Setelah masuk ke dalam rumah, Fakhrul ternganga lagi. Seperti mimpi pula rasanya saat memandang bahagian dalam rumah mewah itu seperti orang jakun. Hiasannya cukup melambangkan kemewahan si pemiliknya.
Arman terus membawa tetamunya ke ruangan makan. Dia mempersilakan Fakhrul duduk di kerusi yang paling hampir dengan kerusi di hujung meja. Meja makan itu boleh menempatkan seramai dua belas orang. Tetapi rumah ini kelihatan sunyi sahaja. Benaknya lantas diserbu tanda tanya. Pelik! Macam ada yang tak kena.
“Cantik rumah ni.” Fakhrul sempat juga meluahkan pujian tentang rumah besar itu.
“Ini rumah peninggalan orang tua.” Arman menjawab ringkas. Tiada yang hebat untuk rumah sebesar ini jika dalamannya hanya dipenuhi dengan kekosongan dan kesepian.
Fakhrul terdiam mendengar jawapan itu. Rumah ini rumah peninggalan orang tua? Jadi, Tuan Arman sudah tiada ibu dan ayah. Di mana ahli keluarganya yang lain? Adik beradik? Isteri? Anak-anak? Namun persoalan-persoalan itu hanya disimpannya sendiri.
Seketika kemudian ada dua orang pembantu menghampiri mereka di meja itu. Seorang segera membalikkan pinggan di atas meja buat Arman dan seorang lagi melakukan untuk Fakhrul. Fakhrul terpinga-pinga sedikit.
“Err... saya boleh buat sendiri,” ucap Fakhrul. Agak kekok dengan layanan pembantu itu. Biasanya dia makan di rumah, ambil pinggan sendiri, basuh pinggan sendiri. Tiada pembantu rumah atau pelayan seperti ini yang menghidangkan makanan untuknya. Siap cedokkan nasi lagi.
Pembantu rumah wanita itu hanya tersenyum sahaja tanpa menjawab. Dia tetap melakukannya biarpun Fakhrul menegah perbuatannya. Perbuatannya amat tertib seolah-olah telah biasa melayan tetamu-tetamu yang datang ke rumah ini.
“Biarkan diri, Fakhrul. Kau tetamu aku. Itu dah tugas mereka,” kata Arman kepada Fakhrul. Dia tersenyum melihat gelagat tetamunya itu. Jelas melihat reaksi Fakhrul tidak rela atau mungkin tidak biasa dilayan seperti itu.
Pembantu itu berlalu setelah menyendokkan nasi ke dalam pinggan majikannya dan tetamu majikannya itu. Fakhrul kembali memandang tuan rumah itu. Segala pelakuan Arman dipandangnya lama.
“So, kau mesti tertanya-tanya mengapa aku ajak kau datang ke rumah aku ni.” Arman memulakan perbualan dengan nada yang agak serius sambil mengerling Fakhrul sekilas.
Fakhrul mengangguk sambil memandang Arman.
“Jemput makan,” pelawa Arman.
Fakhrul mengangguk lagi. Terkebil-kebil matanya seketika melihat hiasan di atas meja itu tidak ubah seperti restoran lima bintang.
“Ada perkara yang aku nak bincangkan dengan kau. Tapi kita makan dulu. Selepas dah kenyang nanti barulah kita boleh bercakap,” ujar Arman masih lagi memonopoli suasana.
Fakhrul mengikut sahaja rentak lelaki itu. Perutnya juga mula terasa lapar setelah melihat hidangan udang galah yang dimasak sambal di hadapannya itu. Gelagat Arman yang cukup selamba melayannya, mula membuatkan dia tanpa malu-malu makan apa sahaja yang dihidangkan di atas meja itu. Sambil makan Fakhrul terus mendengar apa sahaja yang dibualkan Arman. Sesekali dia menjawab soalan lelaki itu yang berkisar mengenai tugasnya sebagai tentera.
Selesai makan Arman membawanya ke sebuah bilik yang kelihatan seperti perpustakaan. Ada meja yang agak besar dengan komputer di atasnya dan rak-rak buku yang tersusun kemas. Arman mempelawa Fakhrul duduk di sofa di tengah ruangan itu sementara Arman mendekati meja itu dan mengambil sampul surat yang terletak di atas meja itu. Kemudian dia mendekati Fakhrul yang memandangnya. Arman duduk setentang dengan Fakhrul di sofa itu.
“Dengarnya beberapa bulan dulu kekasih kau berkahwin dengan lelaki lain.” Arman segera memulakan mukadimahnya tentang apa yang mahu dibincangkan nanti.
Fakhrul tersentak apa mendengar apa yang Arman luahkan itu. Seperti mahu tercekik dia mendengar hal peribadinya meniti di mulut lelaki yang masih belum begitu dikenalinya ini.
Arman membalas dengan senyuman selamba kepada reaksi Fakhrul itu. Matanya menatap Fakhrul dengan tenang. Sememangnya dia sudah merangka dengan baik apa yang mahu dilakukan kepada lelaki ini semenjak sebelum ini lagi. Pertemuan ini bukannya saja-saja. Ada agendanya.
“Dari mana kau tahu pasal ini semua?” ujar Fakhrul yang masih begitu terkejut dengan apa yang didengarinya tadi.
Arman sempat ketawa perlahan tanpa terus menjawab. Dalam diam dia cuba menyusun kata yang paling sesuai sebelum meneruskan bicara. Arman tahu bukan semua orang suka dengan apa yang dilakukannya ini. Namun untuk dirinya... dia lakukan apa sahaja sehingga apa yang dihajati diperolehi.
“Apa yang aku tahu mengenai kau... kau ni memang baik orangnya. Ramai orang tak faham kau. Mungkin kerana kau ni agak pendiam. Mungkin juga mereka tak tahu keupayaan kau yang sebenarnya. Pandang rendah. Aku ajak kau datang sini bukannya untuk berterima kasih atas apa yang kau dah buat hari tu sebab kau sendiri yang kata kau berada di situ bukan kerana nak tolong aku. Tapi aku ada perkara lain yang nak aku bincangkan.” Arman meluahkan bicara dengan tenang. Namun wajahnya serius.
Perbualan terhenti seketika apabila salah seorang pembantu rumah itu masuk dengan membawa air minuman buat mereka.
“Kau tak alah dengan kopi, kan?” soal Arman sebaik sahaja pembantu itu menghidangkan kopi tanpa susu buat mereka berdua.
“Tak. Saya memang suka kopi.” Fakhrul menjawab agak perlahan. Matanya tidak henti-henti memerhatikan perbuatan pembantu rumah itu yang menghidangkan air kopi hitam bersama dengan gula dan susu segar buat mereka. Aroma kopi ini agak berlainan dari kopi yang selalu dinikmati di kampung. Kemudian dia kembali memandang Arman dengan kerutan di kening.
“Aku masih tak faham. Apa sebabnya aku disuruh ke mari?” Fakhrul akhirnya memberanikan diri menyoal lelaki itu. Terlalu lambat pula Arman mahu meneruskan bicara. Mata Fakhrul memandang tajam Arman yang sedang mengacau kopi di atas meja itu dengan sudu kecil.
“Minta maaf... aku arahkan orang-orang aku siasat tentang kau. Aku tahu serba sedikit tentang latar belakang kau. Aku tahu tentang orang tua kau di kampung, aku tahu sebahagian dari kisah lalu kau dengan Syahirah,” ucap Arman selamba tanpa mengira mungkin apa yang diucapkannya itu akan mengakibatkan ketidakselesaan Fakhrul kepadanya.
Berkerut dahi Fakhrul mendengar itu. Matanya mula mencerlung tajam memandang lelaki di hadapannya. Apa yang didengarinya tadi membuatkan darahnya bagaikan mahu menggelegak pula. Siapa lelaki ini yang berhak menyiasat tentangnya? Apa gunanya lelaki ini berbuat begini?
“Ada apa dengan aku ni sampai nak disiasat-siasat?” soal Fakhrul masih cuba untuk bertenang namun nadanya sudah berubah tajam.
Arman mengangguk seketika bagaikan amat menantikan soalan itu. Dia lantas menyorong sampul surat yang ada di hadapannya ke arah Fakhrul.
“Bukalah. Tengok apa yang ada kat dalam tu.Aku akan jelaskan sebabnya nanti,” nada Arman sudah kedengaran seperti arahan pula. Kemudian dia bersandar tenang di kerusinya sambil memandang Fakhrul yang masih tertanya-tanya.
Fakhrul membuka sampul surat itu lambat-lambat. Bukan lantaran arahan Arman yang membuatkan dia berbuat begitu sebaliknya dia keliru dengan teka teki yang dimainkan Arman.
Sebaik sahaja isi kandungannya berada di tangan dia membelek satu persatu gambar yang berada di tangannya. Spontan mulutnya terbuka sedikit. Dadanya bagaikan berhenti berdenyut apabila melihat gambar-gambar itu. Gambar-gambar itu ada yang cukup mengerikan. Mayat bergelimpangan sana sini dengan dipenuhi darah. Gambar sebuah kejadian pembunuhan. Mungkin juga pembunuhan beramai-ramai di suatu tempat.
Akhirnya pandangannya kembali bersabung dengan lelaki di hadapannya itu. Dia tidak faham apa pula kena mengena dirinya dengan kejadian di dalam gambar itu.
“Siapa dia orang ni semua?” Fakhrul menyoal dalam perasaan yang sudah tidak aman lagi.
“Ada perkara yang akan aku ceritakan pada kau. Aku minta kau dengar dengan teliti apa yang aku nak katakan.” Suara Arman mula kedengaran teralun lembut.
Fakhrul sekadar mengangguk akur. Pandangan Arman kelihatan sayu di matanya. Lelaki itu menghela nafas perlahan sebelum kembali bersuara.
“Sudah lama cerita itu tesimpan di dalam lipatan kenangan. Tetapi kali ini aku harus membukanya semula walaupun amat payah. Aku tak pernah lupa dengan peristiwa yang itu. dan aku nak menggalinya semula untuk mendapatkan keadilan untuk aku!”
“Keadilan yang macam mana?” tanya Fakhrul.
“Keadilan yang berhak diterima oleh pembunuh ibu dan ayah aku!”
Fakhrul bungkam. Kini jawapan yang dinanti sudah terbentang luas untuk dihadapnya!





No comments:

Post a Comment