DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 10

IPhone 7 milik Zayn berdeting lagi. Tidak
perlu dijenguk, Zayn sudah tahu gerangan si tukang
hantar pesanan. Sejak Syawal yang lalu, tidak putus-putus
pesanan yang dikirim kepada Zayn. Walaupun tidak satu pun
pesanan-pesanan itu dibalas oleh Zayn, namun tetap juga
pesanan diterima. Tidak reti bahasa betul! Dasar perempuan
tidak tahu malu!
Ting!
‘Ada lagi?’ dengus Zayn. Dia masih enggan mengintai
pesanan yang diterima. Pemanduan diteruskan. Namun,
fokusnya sedikit terganggu. Dan ketika kereta dikemudi
masuk ke petak parkir yang kosong di hadapan suatu deretan
rumah kedai dan enjin kereta dimatikan, Zayn tidak mampu
menolak keinginan untuk membaca pesanan-pesanan yang
masuk ke dalam peti WhatsAppnya.
Tak salah belajar dpd kesalahan... Tu
kata-kata you dulu kan? I dah belajar,
Zayn. Jadi mana peluang utk I?
Don’t you miss us at all, Zayn?
I know you’re there. I tahu you baca
whatsapp I. I’m reaching out to you
now. Give me a chance, pls!
Semakin rimas Zayn jadinya. Tidak perlulah hendak
beri cadangan agar nombor telefon perempuan itu diblock
bagai! Dah pernah pun. Pesanan masih akan diterima melalui
nombor telefon yang lain pula. Jadi perlukah dia menukar
nombor telefonnya sekali lagi? Tidak sanggup rasanya, kerana
nombor itulah yang tertera pada kad nama yang telah dicetak
berkotak-kotak banyaknya bagi tujuan pekerjaannya. Ah!
Menyusahkan betul!
Seperti biasa, pesanan-pesanan yang telah dibaca
dipadam begitu saja. Langsung tidak berbekas di dalam
hatinya. Sebesar zarah pun tidak meninggalkan apa-apa
kesan. Yang ada cuma rasa rimas dan rasa menyampah
dengan gangguan yang sering diterima.
Zayn melangkah keluar dari perut kereta. Pintu
restoran KFC ditolak kasar. Daripada berfikir tentang orang
yang sudah mati di dalam hatinya, baiklah dia berbudi kepada
perut sendiri dulu. Lagi berfaedah!
Pesanan sudah dibuat. Dulang berisi makanan dan
minuman dibawa naik ke atas. Mata melilau mencari sudut
yang sesuai untuk bersendirian. Terpasak kaki Zayn tidak
dapat bergerak melihat orang yang dikenali sedang rancak
berbual sambil menjamu selera. Tanpa sedar, kaki dibawa
berjalan ke arah meja bulat di tepi tingkap kaca.
“Assalamualaikum,” Zayn memberi salam.
Spontan tiga pasang mata terangkat ingin melihat
tuan punya suara yang berbunyi tadi.
“Eh, pak cu! Pak cu ada kat Penang ke? Abang tak
tahu pun,” sambut Naim bersama senyuman lebar. “Duduklah
dengan kita orang,” ajak Naim lagi.
Zayn melabuhkan dulang ke atas meja lalu
mengambil tempat di antara Naim dengan seorang gadis
yang tidak dikenalinya. Gadis itu kelihatan tidak senang Zayn
duduk di sebelahnya.
“Pak cu ingat Ara, kan?” soal Naim.
Zayn mengangguk ke arah Azzahra yang duduk
bertentangan dengannya. Gadis itu sedang enak menyumbat
kentang goreng ke dalam mulut.
“Yang duduk kat sebelah pak cu tu, nama dia Shida.
Dia teman sebilik Ara,” jelas Naim. “Shida, ni pak cik aku.”
Shida hanya melabuhkan mata selama dua saat
saja ke wajah Zayn sebelum mata kembali dibawa ke wajah
Naim. Dan matanya itu tidak berkelip lagi. Seakan terpaku ke
muka anak saudaranya itu. Zayn mengerling ke arah Naim.
Naim seakan tidak mengendahkan perhatian yang sedang
diterimanya daripada Shida. Sama seperti Azzahra, dia sibuk
melayan makanan di atas pinggan.
“Bila pak cu sampai sini?” tanya Naim sambil
mengunyah.
“Semalam.”
“Ada kerja ke?”
“Hmmm...”
“Balik KL bila?”
“Tak pasti lagi.”
Naim mengangguk sebelum tangan sibuk mencubit
roti kecil dari atas pinggan Azzahra.
“Hei!” jerit Azzahra geram. “Kau ni! Roti kau mana?”
“Dalam perut,” jawab Naim endah tak endah.
“Errr... Naim,” seru gadis bernama Shida. Naim
menongkat wajah. “Roti Shida ada ni. Naim nak tak? Shida
dah kenyang.”
Aduh... lembutnya suara gadis yang datang dari arah
kiri Zayn. Seperti dibuat-buat. Seakan sengaja dilagukan
dengan manja. Zayn mencuri pandang ke hadapan. Azzahra
tidak bereaksi. Masih seperti tadi. Mulut tidak henti-henti
mengunyah. Seolah-olah tidak terkesan langsung dengan
pelawaan Shida kepada Naim. Tak cemburukah dia?
“Takpelah. Aku saja nak kacau Ara je. Makan sampai
tak tengok kiri kanan!” tolak Naim sambil menjeling ke arah
Azzahra.
Shida mengetap bibir. ‘Balik-balik Ara! Asyik-asyik
Ara! Macam takde orang lain!’
“Aku lapar arrr... Pagi tadi aku tak jumpa kertas
assignment aku. Sibuk mencari sampai tak sempat nak
breakfast,” jelas Azzahra.
Kening Naim bertaut.
“Kertas yang mana?”
“Yang kau pinjam itulah!”
“Kan aku dah pulangkan.”
“Aku tahulah. Tapi aku cari tak jumpa. Sudahnya...”
“Ada je dalam bilik. Ara yang cuai,” sampuk Shida
tiba-tiba. “Macam mana nak jumpa?”
Azzahra diam. Sengaja tidak mahu berbalah dengan
teman sebiliknya di depan Naim serta Zayn. Tidak manis!
Naim mencari mata Azzahra. Azzahra menggeleng
kecil memberi isyarat kepada Naim yang dia tidak mahu
berbicara tentang hal ini. Naim tidak puas hati. Tentu ada
yang sudah berlaku antara Shida dengan Azzahra. Bukan dia
tidak tahu hubungan dingin antara mereka berdua.
“Jadi kau lambat pergi kelas pagi tadi sebab tu ke?”
tanya Naim.
Azzahra mengangguk.
“Free free je aku kena sound dengan lecturer!”
ngomel Azzahra. “Takpe, ada lori ada bas... ada peluang
aku balas...” Azzahra menggoreng peribahasa sendiri tanpa
mengangkat wajah dari pinggan. Hati yang mendongkol
geram ditahan penuh kesukaran. Bukan pertama kali
Shida mencari pasal dengannya. Dan bukan pertama kali
dia mendiamkan saja perlakuan teman sebiliknya itu demi
menjaga hubungan mereka. Yalah, nak bergaduh pun mereka
akan berlanggar bahu saban hari. Bukan Azzahra tidak
meminta untuk menukar bilik. Sudah merayu pun. Namun
tiada rezekinya untuk berenggang dengan Shida.
Shida sedar yang Azzahra menyindirnya. Tapi dia
sengaja buat-buat tidak faham. Wajah bersahaja ditayangkan.
Azzahra menolak pinggan yang kini hanya berbaki
tulang-tulang ayam yang sudah licin. Jari-jari dimasukkan ke
dalam mulut lalu dihisap. Sedapnya! Tapi kenapa dia masih
berasa lapar?
“Kau dah kenapa? Muka macam tercekik tulang je?”
soal Naim.
“Aku lapar lagi arrr...” adu Azzahra.
“Kau biar betul, Ara!”
“Ara ni memang!” sampuk Shida. “Tak senonoh
betul! Asyik nak melantak je kerja.” Kepala digelengkan
dengan wajah yang mempamerkan betapa dia jelik dengan
perangai Azzahra. Tambah menyakitkan hati, Azzahra
makanlah banyak mana pun, badan tetap kekal kurus. Bukan
sepertinya. Kena berdiet bagai.
Berkerut dahi Naim mendengar nada suara Shida.
Tidak suka Shida berkata perkara yang buruk tentang
temannya.
“Perut aku, biar aku yang layan. Kau jaga perut kau
sudah...” tegur Azzahra perlahan. Tidak perlu mengeraskan
suara. Sedar yang Shida tidak akan pernah melepaskan
peluang untuk memburukkannya di hadapan Naim.
Azzahra bingkas bangun. Beg sandang dicapai
dengan tangan kiri yang masih bersih.
“Aku nak beli Zinger burger kat bawah kejap. Kau
jangan balik lagi tau,” pesan Azzahra kepada Naim.
Shida mendengus sambil menjeling Azzahra yang
berlalu. Sengaja.
“Sudahnya Ara jumpa kertas assignment dia pagi
tadi kat mana?” Tajam mata Naim menikam ke wajah Shida.
Dia tidak boleh tunggu Azzahra memberikan penjelasan. Dia
perlu tahu dengan segera.
“Errr...” Terkebil-kebil Shida cuba mencari jawapan
yang tidak akan menuding jari ke hidungnya. “Sebenarnya,
Ara letak kertas assignment dia kat atas meja Shida, jadi Shida
ingatkan yang tu nota Shidalah. Jadi, kertas tu rupa-rupanya
ada dalam laci meja Shida. Mana Shida tahu?” Riak tidak
bersalah memenuhi wajahnya.
Zayn melihat perubahan di muka anak saudaranya.
Jelas yang Naim tidak percaya langsung akan penjelasan
daripada gadis di sebelahnya itu.
“Errr... Naim,” seru Shida lembut. Lekas-lekas mahu
mengubah topik perbualan. Tidak mahu Naim menyoalnya
lagi tentang kertas tugasan Azzahra. “Hari Sabtu ni kan,
kawan Shida ada buat birthday party kat rumah dia. Shida
nak ajak Naim temankan Shida, boleh? Tak bestlah pergi
sorang-sorang...” meleret ajakan Shida. Manja. Melentok
tubuhnya di kerusi.
“Sorry! Aku ada hal,” tolak Naim tanpa perlu berfikir
sama ada jadualnya kosong atau tidak pada hari Sabtu nanti.
Shida sudah menarik muka.
“Ala... tapi Shida dah beritahu kawan Shida tu yang
Naim akan datang sekali.”
“Siapa suruh kau cakap macam tu sedangkan aku tak
pernah janji pun aku akan pergi? Jadi, bukan masalah aku.”
Hairan juga Zayn mendengar nada suara Naim. Anak
saudaranya itu selalunya tidak sekasar itu ketika berbahasa,
terutamanya dengan kaum perempuan. Dengan Azzahra pun,
walaupun bahasanya kasar, namun tidak kurang ajar. Masih
kedengaran mesra di telinga. Tetapi tidak dengan Shida.
Kenapa agaknya ya?
Perbualan antara Naim dengan Shida mati begitu
saja. Wajah Shida sudah cemberut dan mulutnya memuncung.
Ketika itu juga Azzahra kembali ke meja dengan menatang
dulang.
“Lamanya kau pergi beli burger, Ara. Line panjang
ke?” Naim sekadar bertanya. Tidak mahu melayan rajuk
Shida. Burger yang baru dibeli Azzahra tiba-tiba nampak
begitu mengancam di matanya.
Azzahra menggaru pucuk hidung yang tidak gatal.
“Aku terjumpa Zack kat bawah tadi.”
“Abang Zack? Senior yang hot tu?” sibuk Shida
mencelah.
Azzahra tidak menghiraukan pertanyaan Shida.
Mulut sudah dibuka luas untuk menggigit burger panas di
tangan.
“Dia nak apa?” Naim pula bertanya. Lama pula dia
terpaksa menunggu jawapan Azzahra yang sedang enak
mengunyah.
“Dia ajak aku tengok wayang hari Sabtu ni. Lepas
maghrib,” ujar Azzahra. Mulut sudah siap dibuka lagi. Ngap!
“Kau jangan nak mengada-ada, Ara. Kau dah janji
dengan aku hari Sabtu ni,” Naim sudah melayangkan amaran.
Terbeliak mata Shida. Fahamlah dia mengapa Naim
begitu mudah menolak ajakannya. Keluar dengan Azzahra
rupa-rupanya. Cis!
“Aku tahulah! Aku dah tolak dah pun,” gumam
Azzahra.
“Bagus!” Rasa puas hati terlayar di wajah Naim.
Sedikit pun Zayn tidak mencelah perbualan tiga
orang anak muda di mejanya. Namun tajam telinganya
mendengar. Ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka
bertiga ini. Terutamanya antara Shida dengan Azzahra, dan
antara Shida dengan Naim.
“Abang Zack ajak kau dating tapi kau tolak,
Ara? Bodohnya kau!” kutuk Shida selamba. “Punyalah
berebut-rebut budak-budak perempuan kat kampus tu nak
keluar dengan Abang Zack ni, kau boleh tolak tuah macam
tu je?” Shida menggelengkan kepala. Pelik betul Azzahra ni!
“Bertuah ke dapat keluar dengan dia? Kalau keluar
dengan dia, maknanya aku pandailah ek? Apa-apa jelah. Aku
tak desperate macam diaorang tu semua. Daripada aku keluar
dengan dia tu, baiklah aku keluar dengan si Naim ni,” balas
Azzahra selamba. Sinis.
Azzahra mengerling ke arah Shida. Seperti yang
diduga, berubah wajah gadis itu. Naim sudah menjadi objek
yang didambakan oleh teman sebiliknya itu sejak tahun lepas
lagi. Namun tidak satu pun desakan yang dibuat oleh Shida
agar Azzahra membantunya mendapatkan Naim dihiraukan.
Prinsip Azzahra senang saja. ‘Kau yang nak, kau yang usaha
sendiri!’ Dia tidak mahu masuk campur. Apa-apa yang terjadi
nanti, dia tidak mahu dipersalahkan.
Tajam jelingan Shida. Naim sudah tersenyum puas.
Zayn pula tergigit bibir ketika mengunyah cebisan ayam
goreng tatkala mendengar kata-kata terakhir Azzahra tadi.
Dia mendecit sakit di dalam hati.
“Oh... padanlah Naim tak mahu teman Shida hari
Sabtu ni. Rupa-rupanya kau yang punya pasal.”
Kunyahan Azzahra terhenti. Sabarnya semakin
menipis. Jika tadi dia tidak mahu bertelagah di hadapan
Zayn dan Naim, namun mulut Shida benar-benar menduga
ketahanan hatinya.
“Kau jangan sedap-sedap nak kata Ara
macam-macam.” Naim bersuara sebelum sempat Azzahra
membuka mulut. Gigih mempertahankan temannya. “Aku
yang ajak Ara teman aku tengok bola Sabtu ni. Kau jangan
nak main tuduh-tuduh je!”
Wajah Shida semakin mencuka. Benci terhadap
Azzahra semakin berlipat ganda. Benci apabila Naim selalu
mempertahankan Azzahra dalam apa jua keadaan. Dan
Naim pasti akan mendahulukan Azzahra daripada sesiapa.
Walaupun Shida sedar yang Azzahra serta Naim sudah lama
berkawan, namun dia tidak mengerti mengapa Naim sedikit
pun tidak mahu memberi peluang kepadanya. Dia bukan
mahu mengganggu persahabatan Naim dengan Azzahra pun.
Dia hanya mahu menjadi kekasih Naim, bukan sahabat!
“Kalau bola, bila-bila pun boleh tengok. Tapi
birthday kawan Shida tu, setahun sekali je tau.” Shida masih
cuba mahu memujuk Naim.
“Tu kawan kau, bukan kawan aku!” keras nada Naim.
Terjongket kening Zayn jadinya.
Azzahra mengeluh di dalam hati. Wajah Shida nyata
mempamerkan dirinya yang berkecil hati dengan layanan
Naim. Kata-kata yang ingin meluncur laju di bibirnya
tadi, ditelan kembali. Terimbau kembali layanan Farouk
terhadapnya dulu. Tidak banyak berbeza dengan cara Naim
melayan Shida. Jadi, dia tahu perasaan Shida ketika ini
kerana dia terlebih dahulu pernah merasainya. Rejection is
painful! Damn painful!
“Naim, aku okey je kalau kau nak cancel Sabtu ni.
Aku tak kisah. Minggu depan pun masih boleh tengok bola,”
Azzahra beralah.
Laju Shida berpaling ke wajah Naim. Bersinar
sorotan matanya. Sarat dengan seribu harapan.
“Nope! Aku tak nak cancel!” Tegas keputusan
Naim. Tidak sanggup rasanya mahu meluangkan dua tiga
jam menemani Shida ke majlis ulang tahun orang yang
langsung tidak dikenalinya. Bukannya dia tidak tahu Shida
ada menyimpan perasaan terhadapnya. Dia tahu. Cuma dia
lebih selesa buat-buat tidak tahu saja.
Mulut Azzahra terkunci. Dia sudah mencuba. Dah
Naim menolak, dia hendak buat apa lagi?
“Pak cu, kalau pak cu tak balik KL lagi hari Sabtu
ni, jomlah join abang dengan Ara,” ajak Naim. Bibir dikesat
dengan tisu.
Zayn melihat wajah Azzahra yang berkerut. Mata
sudah mengerling ke arah Naim, namun memandangkan
mata Naim masih di muka Zayn, Naim tidak perasan akan
isyarat yang cuba disampaikan oleh Azzahra. Jelas gadis itu
tidak berpuas hati dengan pelawaan yang dibuat oleh Naim.
Nampak sangat yang Azzahra tidak mahu dia turut serta.
Takut dia akan kacau daunlah tu!
Aksi Azzahra semakin meyakinkan Zayn bahawa
gadis itu tidak menganggap Naim sekadar seorang sahabat.
Bangga dia yang telahannya selama ini benar dan tepat. Huh!
Takde perasaan konon!
“Boleh je,” ujar Zayn. Puas hatinya melihat dahi
Azzahra yang berkerut. ‘Padan muka kau perempuan! Nak
dating sangat dengan Naim, kan?’
“Beres! Apa-apa abang roger pak cu.”
Azzahra meletakkan burger kembali ke dalam kotak.
Mati seleranya tiba-tiba. Dia menghirup air Pepsi untuk
melegakan tekaknya.
“Kau tak habis ke Ara?” Naim bertanya.
Rasa bersalah Azzahra jadinya. Tidak mahu sifat Iblis
yang gemar akan pembaziran berjangkit di dalam hatinya.
“Sure habis. Kejap, aku nak minum dulu.”
“Kalau dah kenyang, jangan paksa. Nanti muntah.
Meh aku habiskan.” Belum sempat Azzahra menahan,
burgernya sudah dicapai Naim. Dua kali ngap saja, Zinger
burgernya sudah licin.
“Hesy, kau ni!” dengus Azzahra. Walaupun dia sudah
biasa dengan perangai Naim yang gemar berkongsi makanan
dengannya, namun di hadapan orang lain, dia tetap berasa
segan. Bertambah meluatlah si Shida nanti dengannya.
Terbeliak mata Shida melihat laku Naim. Kasar dia
menolak pinggan ke tengah meja. Panas hatinya. Dia bangun
untuk ke singki.
Entah mengapa, Zayn merasa tidak senang dengan
tindakan anak saudaranya yang menghabiskan makanan
Azzahra. Langsung tidak senang!
Mata Azzahra tidak lepas dari figura Shida.
“Kau ni, Naim! Sengaja nak buat dia hangat hati,
kan?”
Naim menjongket bahu. Faham sepenuhnya maksud
Azzahra.
“Kau buat dia macam ni, aku yang kena tempiasnya
nanti, tahu tak?” gerutu Azzahra lagi. “Macam kau tak tahu
perangai dia tu macam mana? Telinga aku dah tak larat nak
tadah mulut dia!”
“Sorry, Ara...” pinta Naim sedikit bersalah. “Aku tak
boleh nak control mulut aku kalau dengan dia. Sebab aku
tahu dia selalu buat dajal dengan kau.”
“Syyy... dia datang,” bisik Azzahra memberikan
amaran.
Kuat Shida menghenyakkan punggungnya ke kerusi.
Naim bangun. Dia pula mahu membersihkan tangannya.
Sepatah kata pun tidak lahir dari bibir Shida mahupun
Azzahra. Zayn pula hanya membiarkan meja mereka dihiasi
suasana bening sehinggalah Naim kembali ke tempatnya.
“Petang ni abang ada kelas ke?” Zayn bersuara.
Naim mengangguk.
“Pukul 4 nanti...”
“Malam karang, nak keluar makan dengan pak cu?”
ajak Zayn.
Semakin laju Naim mengangguk. ‘Siapa tak nak
makan free oi?’
“Okey, nanti lepas maghrib pak cu call.”
“Kalau macam tu, abang balik kampus dululah ya,
pak cu. Jumpa malam karang,” Naim meminta diri.
“Pak cu pun nak gerak sekali ni. Ada meeting kejap
lagi.” Zayn turut bangun.
Menonong Shida berjalan mendahului mereka yang
lain. Kuat hentakan kaki yang mengiring langkahnya. Masih
tidak puas hati dengan Naim dan Azzahra. Rancangannya
untuk menempeli dua orang sahabat itu tidak menjadi
nampaknya. Dia yang terhegeh-hegeh mahu turut serta tadi.
Sudahnya, dia juga yang kecewa. Harapan untuk mengajak
Naim menemaninya tidak menjadi. Azzahra juga yang
menjadi pilihan. Benci betullah!

No comments:

Post a Comment