DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Bukan Encik Sempurna - Bab 1

Finding love is like finding shoes. People
go after the good looking ones, but they end up
choosing the one they feel comfortable with.
~Unknown Author~

UMI kata, jodoh takkan datang bergolek jatuh
di depan mata dari langit. Bukan juga macam mak tok
kata, zaman dolu-dolu yang anak dara duduk senyap ala-ala
malu-malu kucing di rumah sambil menunggu rombongan
meminang datang. Waktu itu, boleh tunjuk dan pilih sahaja
nak berkahwin dengan siapa.
Drama sangat!

Kak long beria-ia gelakkan aku kerana kata kak long,
jangan mimpilah nak jumpa jodoh itu senang macam dalam
buku cerita fairy tales yang selalu dibaca sebagai bedtime
stories sewaktu kanak-kanak dahulu. Bedtime stories yang
watak puterinya selalu ditindas dan kemudiannya pasti akan
ada putera raja kacak; plot cerita cliché menurut kak long.
Seterusnya mereka akan hidup bahagia sampai bila-bila atau
popular dikenali dengan ‘they live happily ever after’.

Tambah kak long lagi, nak cari jodoh ala-ala putera
raja itu satu hal dan nak dapatkan ‘they live happily ever after’
itu bukannya semudah A-B-C. Mungkin sebab itulah kak long
memang tak galakkan si kecil Hawa membaca buku-buku
cerita kisah dongeng ini.

Hani pula kata, nak jumpa jodoh tak perlu fikir
complicated sangat. Apabila jodoh nak mai, dia akan mai.
Apabila jodoh nak pi, dia akan pi. Gaya bercakap macam dah
kahwin. Kalau jadi pi mai pi mai tang tu, tak ke haru?
Ulya Hana, kau ni dah kenapa pagi-pagi Isnin ni
berfalsafah berkenaan jodoh pula? Buang tabiat? Atau nak
buang Monday blues?

Dak aih! Aku harap sat lagi bila buka aje pintu rumah
untuk pi kerja, jodoh a.k.a. encik sempurna aku boleh jatuh
gedebuk depan mata. Mimpilah! Mimpi di pagi hari...

“KAU TERJENGUK-JENGUK mengintai apa tu? Mengintai
Uncle Irham sebelah rumah ke?”
Suara Farah yang tiba-tiba menyergah dari arah
belakang itu membuatkan aku yang sedang menyapu Nutella
pada roti gandum terkejut. Nasib baik tak terlepas roti yang
sedang kupegang.
“Apa kes pula aku nak mengintai Uncle Irham?
Unless aku nak kena tonyoh dengan cili api Auntie Asma’
yang pokoknya tengah merimbun tu.” Jawabku sebelum
melabuhkan duduk.
Farah ketawa sambil tangan selamba mengambil
sekeping roti yang sudah siap disapu Nutella.
“Tak adalah, aku tengok kau asyik sungguh
merenung ke luar jendela. Dah macam lirik lagu Apa Khabar
pula. Rumah kita ni kan hujung sekali... dan satu-satunya
jiran sebelah rumah kita ni rumah Uncle Irhamlah.”
Aku mencebik. Baik punya alasan!
“Eh, Uncle Irham tu quite handsome for an uncle
kut!”
Aku sudah menjegilkan mata ke arah Farah yang
sedang galak ketawa.
“Kalau kau nak cuba-try-test kepedasan cili api yang
Auntie Asma’ tanam tu, dipersilakan. Aku tak nak.” Kepala
otak housemate aku yang seorang ini memang tak boleh
diikutkan sangat.
“Aku gurau ajelah. Pagi-pagi Isnin ni kita kena
mulakan hari dengan senyuman. Mana boleh masam-masam
muka, nanti cepat tua.”
“Yalah tu...”
“Eh, betul apa! Yalah, berbalik kepada persoalan aku
tadi... kau mengintai siapa dekat luar rumah tu?”
Aku menjongketkan kening memandang Farah yang
sedang mengunyah roti.
“Aku tengok-tengoklah kalau ada jodoh a.k.a. encik
sempurna aku jatuh gedebuk dekat luar rumah kita ni. Kalau
ada, boleh aku pi kutip sambil menari-nari bahagia. Bulan
depan, bila aku balik kampung, telinga aku takdelah rasa
nak tertanggai dengaq sindiran-sindiran depa tu.” Jawabku
selamba membuatkan Farah tersedak-sedak.
“Kau terlebih baca buku fairy tales ke apa?”
“Adalah sikit, waktu kecik dulu.”
“Kenduri kahwin adik sepupu kau bulan depan,
kan?”
“Haah. Adik sepupu aku tu dok berbuih mulut
pesan supaya aku jangan lupa ambil cuti, jangan lupa cari
baju pengapit. Pedih hati ni, tahu tak?” Aku membuat mimik
muka sedih memandang wajah Farah yang sedang menahan
tawa itu.
“Sudahlah Haura tu langkah bendul. Tak cukup
dengan langkah bendul, dia suruh aku jadi pengapit dia pula.
Pedih hati ni...” tambahku dan Farah terus ketawa.
“Ceh! Habis tu, kau setuju ke?”
“Rela dalam paksa ajelah, beb. Bukannya kau tak
tahu yang Haura tu suka buat drama air mata dia sendiri.
Mulalah aku tak sampai hati. Kau tahu apa umi aku cakap?”
“Apa?”
“Umi kata... aku selalu sangat jadi pengapit orang
sampai aku nak naik pelamin sendiri pun payah betul.”
“Isy, minta jauh!”
“Tahu tak apa. Lepas ni aku tak nak jadi pengapit
orang dah. Jadi pengantin naik pelamin sendiri, tak apa.” Aku
tersengih-sengih memandang Farah.
“Ting-tonglah kepala otak kau.” Farah sudah
menggelengkan kepalanya.
“Tak apa, insya-Allah one fine day encik sempurna
aku akan jatuh gedebuk depan mata juga. Jodoh boleh datang
dengan cara yang tak disangka-sangka.”
Farah terus ketawa.
“Kau tak payahlah nak gelak-gelak sangat. Idea
gila siapa yang suruh buat senarai ciri-ciri encik sempurna
masing-masing dulu? Idea kau, kan?”
Farah ketawa lagi.
“Gelak banyak-banyak waktu pagi tak elok.”
“Awat?”
“Nanti cepat gila!”
Aku terus bangun dan menuju ke singki untuk
membasuh tangan.
“Hana! Jangan sebut banyak kali. Nanti malaikat
aminkan, sanggup ke kau nak tengok aku jadi gila
betul-betul?”
Aku terus ketawa.
“Pagi ni kau pergi ofis atau pergi ofis klien?” soal
Farah yang sudah bergerak ke ruang tamu untuk mencari
kasut yang sesuai untuk dipadankan dengan baju kurung
ungu yang sedang dipakainya.
“Ofis. Aku ada kick-off meeting untuk interim audit
yang akan mula esok. Kau?”
“That same client’s office. Insya-Allah ni last week
kita orang kat situ untuk field work. Documentation wise
boleh siapkan dekat ofis aje nanti.”
“Yalah, dah sebulan kan korang kat situ?”
“Haah, hampir sebulan... sampai aku dah rasa aku
salah seorang staf dekat situ dan bukannya datang untuk
audit.”
Kami ketawa. Normallah kalau berkampung di
pejabat klien setiap kali datang untuk audit. Selesai sahaja
satu klien, kami akan berpindah ke klien baru pula yang
pejabat mereka boleh terletak di mana-mana sahaja. Memang
di pejabat sendiri pun kami tidak mempunyai meja tetap.
Kebanyakan meja-meja yang ada dipanggil sebagai ‘hot seat’
dengan polisi siapa yang cepat, dia akan dapat duduk di meja
tersebut.
“So kau tak drivelah hari ni?” Farah sudah selesai
menyarung kasut dan bergerak ke Honda CR-Z miliknya yang
berwarna merah itu.
“Tak. Aku naik LRT aje, senang. Dah rindu nak naik
LRT, rindu nak berebut-rebut dengan orang nak cari tempat
duduk.” Aku sengih.
“Over sangat!”
Aku ketawa sambil menyarung Clarks berwarna
maroon di kaki.
“Aku nak singgah Lad’s, nak beli teh hijau. Kau nak
aku sampaikan salam sayang dekat Tariq tak?” Aku tayang
senyum nakal.
“Kau jangan nak macam-macam. Aku sekeh kepala
kau sat lagi. Pi beli teh hijau kau tu senyap-senyap. Jangan
buat gosip lain pula!”
Aku terus ketawa. Lad’s Café merupakan kafe milik
Tariq Hadi, seorang bekas juruterbang yang mempunyai
minat terhadap kopi dan teh. Seperti nama kafe tersebut,
semua pekerja Lad’s Café merupakan lelaki muda. Disebabkan
itu jugalah kafe tersebut sangat popular dalam kalangan
wanita-wanita berkerjaya, budak-budak sekolah dan juga
mak-mak datin. Eh???
“Aku sampaikan salam aje, bukan buat gosip.”
“Yalah tu...”
“Eh, aku nak kena gerak ni. Nanti nak beli teh hijau
favourite aku tu kena beratur panjang, macam nak tunggu
KTM. Aku kena tunggu turn nak sampaikan salam dekat Tariq
lagi.”
“Hana!”

ADA ORANG kata, jodoh boleh datang melalui pelbagai cara
yang tak disangka-sangka. Bukanlah dengan cara kahwin
paksa sebab cara tersebut terlalu drama; pada pendapat
akulah. Jadi, aku percaya yang kebarangkalian untuk
bertemu dengan jodoh a.k.a. encik sempurna aku ada sahaja
di mana-mana.

Mungkin sewaktu aku menaiki LRT, ataupun di
kedai buku, ataupun di mana-mana kafe. Pendek kata,
kebarangkalian itu ada di mana-mana sahaja. Seperti dalam
drama, orang yang sedang duduk di sebelah aku ini juga
berkemungkinan salah seorang calon jodoh aku. Siapa tahu?
Selesai sahaja membaca Al-Mathurat, aku menyimpan
telefon pintar ke dalam handbag sebelum menoleh ke arah
orang sebelah dengan rasa yang berdebar-debar. Kelihatan
seorang pak cik kemas bersut hitam dengan surat khabar di
tangan. Ceh! Jodoh sangatlah, kan? Kau ni terlalu banyak
tengok drama Korea, Ulya Hana!

Seperti selalunya, Lad’s Café sentiasa penuh dengan
para pelanggan terutamanya waktu kemuncak sebegini.
Masing-masing yang mahu mendapatkan kopi ataupun teh
dari kafe ini sanggup beratur panjang. Alasannya mudah
sahaja. Satu, kedudukan kafe ini sangat strategik kerana
dikelilingi dengan bangunan pejabat. Dua, kerana staf-staf
di kafe ini merupakan geng-geng ‘eye-candy’ bak kata orang
putih.

“Morning, Hana. Lama tak nampak kau,” sapa Tariq
dengan senyuman manis.
Kalau dah senyum manis macam ni, tak payah
minum air bergula pun takpe. Eh, over sangat kau ni, Hana!
“One month ‘stranded’ dekat client’s office di Shah
Alam. Hari ni baru dapat balik ofis sendiri.” Jawabku bersahaja
dan Tariq ketawa. Seorang perempuan yang nampak elegan
dengan persalinan kebaya nyonya di barisan sebelahku sudah
menjeling tajam ke arahku.
“So, the usual green tea with no sugar?” soal Tariq
sambil mencapai tumbler di bahagian tepi kaunter.
“Yup. Amboi, tahu-tahu aje,” usikku sambil
tersengih.
“Regular customer kan, mestilah ingat. Lagipun kau
selalu order benda yang sama. So, no big deal to remember.”
Tariq kenyit mata sampaikan cik kebaya nyonya di sebelah
terbatuk-batuk kecil.
“Here you go, enjoy your drink.” Tumbler coklat
gelap bertukar tangan.
“Thank you.” Aku senyum dan mula berlalu dari
situ. Tiba-tiba beg laptop yang sedang kugalas dirempuh dari
belakang menyebabkan tumbler di tangan terlepas.
Aku sudah terjerit kecil. Terkejut!
“Sorry!” Lelaki yang memakai baju berhoodie
yang hampir menutupi mukanya pantas sahaja menyambut
tumbler milikku tadi sebelum dipulangkan semula kepadaku.
“L! Kau woke up from the wrong side of bed this
morning ke? Sampai customer aku pun kau tak nampak.”
Usik Tariq yang masih di kaunter.
Lelaki yang memakai baju berhoodie itu hanya
mendiamkan diri sebelum berlalu ke arah belakang kafe yang
merupakan kawasan dapur.
Aku hanya menggelengkan kepala. Monday blues
agaknya!

No comments:

Post a Comment