YANGON,
Myanmar.
“Kamu tahu siapa lelaki asing itu?”
Ketiga-tiga lelaki itu menggeleng semata
dengan muka lugu.
“Saya tidak ada menyuruh kamu memukulnya.
Sekarang dia memukul kamu semula. Ini memang memalukan! Saya hanya meminta kamu
bertanya tentang dia.” Wanita itu memandang tepat ke arah tiga orang
suruhannya. Masing-masing tidak menjawab.
Wanita itu mendengus sebelum meminta
ketiga-tiganya pergi. Hati kian tertanya-tanya siapa gerangan lelaki yang
sering dilihatnya itu? Adakah benar orang itu mengekorinya? Rupa parasnya
menunjukkan dia bukanlah orang tempatan. Begitu senang lelaki asing itu
mengalahkan lima orang suruhannya.
Wanita itu mengangkat ganggang. Melalui
talian dia meminta setiusahanya itu mendapatkan sebuah kamera baru untuknya.
Petang itu wanita itu meminta pemandunya
pergi ke Restoran San Francisco. Sengaja mahu melihat jika ada lelaki itu di
situ. Tepat dugaannya. Dia terpandangkan lelaki itu sedang membelek kameranya
yang sudah rosak.
Buat seketika wanita itu memandang dari jauh.
Agak ragu untuk mendekati sementelah masih teringat kemarahan lelaki itu
kepadanya. Orang-orang suruhannya telah merosakkan kamera milik lelaki asing
itu. Malah lelaki itu sempat merasa dipukul. Namun sedar yang dia telah berbuat
kesilapan, wanita itu memberanikan diri untuk mendekat.
“Awak seharusnya ke klinik untuk mendapatkan
rawatan.”
Lelaki itu mengangkat pandangan. Tercengang.
Matanya tidak berkelip memandang ke arahnya. Entahkan terkejut. Entahkan tidak
suka.
“Nampak seperti awak perlukan kamera yang
baru, encik...” Gadis itu sengaja menggantung bicara.
“Fakhrul...”
Nama seperti nama orang islam, itu yang
sempat dibisikkan oleh hati gadis itu. Sudah diagaknya. Namun memandang dari
dekat, sungguh dia terpesona melihat sepasang mata milik lelaki itu. tajam dan
dalam renungannya. Tiba-tiba dia tunduk. Malu untuk terus menadah pandangan
lelaki itu. Namun satu hakikat membuatkan dia tersedar. Lelaki ini tidak
seharusnya didekatinya. Apatah lagi menyimpan rasa kepadanya. Dia orang Muslim.
Gadis bernama Angelina itu cuba berlagak
biasa. Agar tidak ketara rasa yang sedang dialaminya. Dia tidak kemari agar
lelaki ini terus mendekatinya. Sebaliknya dia mahu mengingatkan agar
menjauhinya. Kerana jalan di hadapan mereka nanti, tidaklah terbentang luas dan
rata!
No comments:
Post a Comment