DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Adel... I Love You!- Bab 7

FIRAS hanya menjadi pendengar dan juga
penonton akan perbincangan di hadapannya itu. Tak ada
niat mahu mencelah. Apabila nama dia menjadi sebutan
barulah dia bersuara. Selebihnya, dia hanya serahkan segala
keputusan kepada ayah dan juga abangnya, Fatih.
“Tak rasa lama sangat ke diaorang berdua
bertunang?” Salim menyoal, usai Haji Sulaiman menyatakan
hajatnya bertandang ke rumah.
“Empat tahun tu!” tambah Salim lagi yang
merupakan ayah kepada Qisya. Terasa lama pula pertunangan
anaknya bersama-sama Firas. Tempoh empat tahun itu jika
dikahwinkan saja mereka berdua, pasti dia sudah ada cucu.
“Kau cadang nak kahwinkan saja diaorang berdua?”
soal Haji Sulaiman seakan memahami akan pertanyaan Salim
itu.
“Boleh je kan?” Salwa, emak kepada Qisya pula
mencelah.
Haji Sulaiman sedikit tersentak. Anak mata
memandang wajah Salim, Salwa dan juga Qisya yang turut
menyertai perbincangan mereka. Kemudian, Haji Sulaiman
memandang Firas yang masih lagi berlagak tenang di
sebelahnya.
“Firas... Macam mana?” Haji Sulaiman menagih
jawapan daripada anak keduanya itu. Dia pula yang
berdebar-debar. Jika Firas bersetuju, dia bakal berjauhan
dengan Firas selama bertahun-tahun. Mustahil Firas akan
melepaskan Qisya pergi ke luar negara sendirian apabila
mereka berdua sudah berkahwin. Jika Firas pergi ke luar
negara, kerja apalah yang bersesuaian dengan anaknya itu?
Sudahlah anaknya itu lemah dalam bahasa Inggeris. Tak
mustahil, Firas senang-senang saja akan diperbodohkan di
sana nanti.
Firas membawa tubuh ke hadapan dari bersandar di
sofa. Anak mata memandang wajah kedua-dua ibu bapa Qisya.
Dan akhir sekali Firas memandang Qisya pula. Dia sudah pun
bersedia dengan pertanyaan ini. Berkahwin? Bukan dia tak
nak. Dia nak! Tapi...
“Saya tak nak bebankan Qisya dengan tanggungjawab
sebagai seorang isteri pula. Cukuplah dengan tanggungjawab
sebagai seorang pelajar yang harus Qisya pikul ketika ni.
Bukan bermakna saya ragui kebolehan Qisya untuk bahagikan
masa antara seorang pelajar dan juga seorang isteri. Cuma,
saya mahu Qisya tumpukan perhatian kepada pelajaran. Itu
je,” jelas Firas akan niatnya.
Haji Sulaiman mengangguk kecil, bersetuju dengan
keputusan Firas. Kemudian, Haji Sulaiman memandang
wajah Salim dan juga Salwa pula. Dia berharap sangat
kedua-duanya tak memaksa Firas untuk melangsungkan
majlis pernikahan.
“Selama empat tahun kami berdua berjauhan,
insya-Allah saya cuba stabilkan kehidupan kami berdua pada
masa hadapan. Saya akan sediakan segala kemudahan dan
juga kesenangan untuk Qisya sebelum kami berdua menjadi
suami isteri,” jujur Firas meluahkan perancangannya demi
masa depan mereka berdua.
Salim dan Salwa diam saja. Anak mata saja yang
ralit memandang Firas. Kempunanlah mereka berdua jika
melepaskan bakal menantu seperti Firas. Walaupun tidak
berpelajaran tinggi seperti Qisya, tetapi Firas rajin bekerja.
Malah, ketika Qisya kesempitan wang semasa di universiti,
Firas juga yang rajin menghulurkan bantuan.
“Baiklah kalau begitu. Kamu berdua bertunanglah
dulu.” Akhirnya, Salim memberi kata putus dan juga
keizinannya.
“Alhamdulillah,” sahut Haji Sulaiman dengan kata
syukur.
“Dua minggu lagi kita langsungkan majlis
pertunangan diaorang berdua. Boleh, Abang Man?” Salim
menagih kata persetujuan daripada Haji Sulaiman pula.
“Boleh sangat-sangat!” Haji Sulaiman gembira tak
terkata. Lebih baik dipercepatkan saja niat baik itu.
“Firas?” Salim memandang Firas pula.
Firas mengangguk bersetuju. “Boleh!”
“Pak cik...” Firas bersuara lagi.
Sekeping sampul berwarna putih dikeluarkan dari
kocek seluar jean. Kemudian, Firas menghulurkan sampul
tersebut kepada Salim.
“Belanja untuk majlis nanti. Kita buat ala kadar dan
bersederhana jelah,” pinta Firas akan majlis pertunangannya
dan juga Qisya nanti.
“Errr... Baiklah.” Huluran Firas disambut oleh
Salim. Ringan sedikit bebannya untuk mengeluarkan belanja
majlis pertunangan Qisya nanti. Tanpa dipinta, senang saja
pemuda ini mengeluarkan belanja untuk majlis pertunangan
nanti. Alhamdulillah... anak muda ini amat memahami.
“Terima kasih Firas,” sambung Salim lagi.
Sebaik saja selesai perbincangan, mereka beransur
pulang. Sesampai di halaman rumah, Haji Sulaiman
menghampiri Firas.
“Firas okey?” soal ayahnya.
“Okey.” Pendek saja jawapan Firas. Sudah selesai
satu bab! Kedua-dua pihak sudah pun bersetuju. Hanya
tinggal bab perkahwinan saja. Itu pun harus tunggu selepas
empat tahun. Insya-Allah, dia mampu lagi bersabar.
“Ayah puji dan berbangga dengan keputusan Firas.”
Firas tersenyum lebar dengan pujian itu. “Firas dah
tahu Pak Cik Salim akan bertanyakan hal kahwin. Sebab
itulah Firas dah bersedia dengan jawapan dan juga keputusan
Firas.”
“Tak rasa lama sangat ke Firas dan Qisya bertunang?”
Sengaja Haji Sulaiman mahu menduga.
Sekali lagi Firas tersenyum lebar. “Empat tahun,
ayah. Lama juga tu. Tapi, tempoh tu juga yang akan mengajar
kami berdua akan kesetiaan dan juga kepercayaan. Kasih
sayang semakin berlipat ganda. Mana tahu mungkin tempoh
yang lama dan juga jarak yang jauh akan mengukuhkan lagi
hubungan kami berdua. Insya-Allah, harap-harap begitulah.”
“Insya-Allah. Kita berdoa setiap hari semoga ikatan
ni kuat dan berakhir dengan kebahagiaan.” Haji Sulaiman
menepuk lembut bahu Firas. Setiap hari dia mendoakan
kebahagiaan anak-anaknya.
“Macam mana dengan perbincangan tadi?” soal
Hawa apabila Firas sudah pun melangkah masuk ke dalam
rumah.
“Okey. Dua minggu lagi Firas dan Qisya akan
bertunang.” Senyuman masih lagi tidak lekang dari bibir
Firas.
“Sukalah tu!” usik Hawa kepada adik iparnya itu.
“Firas sendiri yang bagi duit belanja tu kepada Pak
Cik Salim,” ujar Firas.
“Bagus!” puji Hawa.
“So, Hawa tahulah pasal hal ni?” celah Fatih dengan
nada tak berpuas hati.
“Opsss...” respons Hawa, selamba. Lantas tangan
mencekup mulutnya sendiri. Dia tersenyum nakal.
Fatih menjeling tajam ke arah Hawa. Kemudian, dia
melemparkan pandangan tak berpuas hati kepada Firas pula.
Adiknya itu langsung tak berbincang perihal belanja majlis
pertunangan. Tiba-tiba saja, adiknya itu menghulurkan
belanja kepada ayah Qisya pula.
“Berapa Firas bagi kepada Pak Cik Salim?” soal Fatih.
“Dua ribu,” jawab Firas.
“Dua ribu? Kenapa banyak sangat?” Fatih meluahkan
rasa tidak berpuas hati.
“Belanja sekarang dah mahallah, Abang Fatih,”
jawab Firas lagi, bersahaja.
“Kenapa tak berkongsi belanja dengan Qisya je?
Takkanlah semuanya Firas kena keluarkan belanja?” Fatih
masih lagi tak berpuas hati. Senang-senang saja adiknya
memberikan duit belanja. Duit itu hasil penat lelah adiknya
sendiri.
“Qisya tak kerjalah, Abang Fatih. Mana dia nak cari
duit untuk buat belanja majlis?” alasan Firas, jujur.
“Takkanlah tak ada duit simpanan? Tak salah kalau
menyumbang sedikit pun. Takkanlah semuanya nak harapkan
Firas seorang diri? Nanti majlis perkahwinan, nak harapkan
Firas juga untuk belanjakan semuanya ke?” Bertalu-talu
Fatih meluahkan rasa tak senang hati. Adiknya itu sangat
lembut hati!
“Fatih...” Haji Sulaiman mula bersuara, cepat campur
tangan. Fatih akan menyerang Firas dengan pertanyaan yang
bertubi-tubi. Manakala, Firas pula akan mendiamkan diri
saja.
“Soal belanja tu terletak pada keikhlasan hati kita
sendiri. Jangan berkira. Duit boleh dicari. Tapi, kasih sayang
tu sukar dicari ganti,” tegur Haji Sulaiman.
Keputusan Firas yang mahu berikan duit belanja
majlis pertunangan sudah pun diketahuinya. Firas sendiri
yang berbincang dengannya.
“Haih...” keluh Haji Sulaiman akan perangai
kedua-dua anaknya itu. Yang nyata, berbeza sekali perangai
dua beradik itu. Bagaikan langit dan bumi! Tanpa menunggu
lama, Haji Sulaiman bangun dari sofa lalu menuju ke dapur.
Fatih menghantar kelibat ayahnya dengan
pandangan mata. Sebaik saja kelibat ayahnya hilang, Fatih
beralih tempat ke sebelah Firas. Dia mendiamkan diri seketika
di sebelah adiknya itu. Kepala ligat mencari ayat yang sesuai
agar tak memanjangkan pertelingkahan tanpa niat sebentar
tadi. Pasti adiknya itu berkecil hati dengannya.
“Banyak lagi baki dalam akaun bank?” soal Fatih,
memulakan mukadimah perdamaian.
Firas tersenyum geli hati dengan pertanyaan itu.
“Bolehlah. Masih lagi cukup untuk langsungkan majlis
perkahwinan untuk kedua-dua belah pihak.”
“Berlagak!” tempelak Fatih. Sengaja.
“Tak percaya? Tanya Kak Hawa. Kak Hawa yang
simpan buku bank Firas.”
Fatih mengalihkan pandangan ke wajah isterinya.
Isterinya tersenyum dengan jongketan kening berulang
kali. Comel saja aksi isterinya itu. Nampaknya Hawa sudah
menjadi akauntan adik iparnya sendiri.
“Hmmm... Baki tu... bolehlah. Agak-agak kalau nak
beli sebuah lagi SUV Nissan Navara secara cash, lepas lagi
ni.” Hawa menyilang tangan ke dada. Simpanan adik iparnya
itu memang banyak. Firas rajin bekerja dan menyimpan duit
sejak kecil lagi.
“Jangan boros! Kena fikirkan masa depan nanti,”
perli Fatih kemudian terus bangun dan beredar dari ruang
tamu.
Sebaik saja kelibat Fatih hilang di sebalik tembok
pemisah antara ruang tamu dan ruang makan, Hawa dan
Firas ketawa bersama-sama. Hawa melabuhkan punggung di
sofa tidak jauh dari Firas.
“Nak buat apa sebagai hantaran kepada pihak
perempuan?” soal Hawa yang mengambil berat akan adik
iparnya itu.
“Terpulang pada Kak Hawa. Firas ikut je. Nanti Firas
berikan duit belanja untuk beli barang-barang untuk dibuat
sebagai hantaran. Tapi, secara eloknya ala kadar jelah. Tak
payahlah nak beri satu set persalinan bagai. Atau, kita berikan
je manisan sebagai hantaran.” Itu niatnya sejak dari awal lagi.
Ala kadar dan bersederhana. Bukan kerana dia berkira atau
kedekut.
“Okey. Nanti kita pergi beli bersama-sama.”
Hawa bersemangat! Firas sajalah satu-satunya
adik ipar yang dia miliki. Di sebelah keluarganya pula, dia
mempunyai abang dan kakak ipar saja sementelah dia anak
bongsu di dalam keluarga.

No comments:

Post a Comment