Bila jodoh datang menyapa. Tanpa salam
dan tanpa kenal... kita kan bersama.
“ASSALAMUALAIKUM...”
“Assalamualaikum... Ani... Ooo... Ani... Asma...”
panggil Nek Som. Dia menaiki anak tangga menuju ke pintu
rumah yang terbuka.
‘Alamak! Nek Som dah sampai...’ Asma kalut. Dia
yang baru sahaja nak terlelap, terkejut dan bingkas bangun.
Dia yakin Nek Som ada di depan pintu rumahnya. Kelam-kabut
dia menuju ke pintu rumah. Muka penuh dengan masker
buatan sendiri tidak dihiraukan.
“Waalaikummussalam, nek...” Asma terus berlari
masuk menuju ke dapur, memanggil ibunya.
“Ibu... ibu, Nek Som datang. Cepatlah...” beritahunya
dengan termengah-mengah.
“Laaa... ajaklah dia masuk.”
“Nek Som datang dengan cucu dia. Malulah Asma
kalau dia tengok muka Asma yang penuh dengan telur dan
timun ni,” rungut Asma.
Rohani ketawa kecil sambil mengambil tudungnya.
Dia terbatuk-batuk kecil.
“Pergi basuh muka, lepas tu buat air,” arah Rohani
sebelum menuju ke ruang tamu. Asma yang berselubung
dengan tuala, mengekori di belakang.
Rohani menuju ke ruang tamu. Nek Som telah
selesa duduk di atas kerusi rotan. Di ambang pintu pula
seorang pemuda sedang duduk bersila sambil memandang
keluar. Angin petang menyerbu masuk ke dalam rumah,
mengurangkan haba panas matahari. Asma selalu membuka
semua jendela dan pintu depan agar rumah mereka berangin.
Biasanya Asma suka baring-baring di atas kerusi rotan itu
sambil mendengar radio. Rumah mereka menghadap sawah
padi dan membelakangi jalan kampung. Pintu dapur sengaja
dibuat menghala ke sawah padi juga. Jadi kalau ada orang
datang bertandang perlu berjalan mengelilingi rumah dulu
sebelum sampai ke pintu utama.
Sebenarnya rumah ini kecil sahaja. Dua bilik tidur,
dua bilik air, satu ruang kerja Asma dan ibunya, dapur dan
ruang tamu. Walaupun kecil tapi cukup selesa untuk mereka
dua beranak. Laman rumah dan tepi rumah pula ada ruang
yang agak lapang. Jadi Asma manfaatkan sepenuhnya dengan
menanam sayur-sayuran, pokok bunga dan pokok herba.
Dia memang minat berkebun. Itu caranya menghabiskan
masa secara sihat apabila boring mengadap kanvas di studio
kecilnya. Studio milik arwah ayahnya dulu.
“Kenapa duduk kat atas lantai tu? Mari duduk sini,”
tegur Rohani kepada Ferhad sambil menghampiri Nek Som.
Dia menghulur tangan dan mencium tangan Nek Som
dengan penuh kasih.
“Tak apalah, mak cik. Best duduk depan pintu ni.
Angin kuat,” balas Ferhad.
“Biarkan dia, Ani. Pandai-pandailah Ferhad tu nak
duduk mana.”
“Mana Asma? Terkejut Mak Som tadi. Ingatkan
siang hari pun ada hantu. Nasib baik Mak Som tak ada sakit
jantung.”
Rohani ketawa. Teringat gelagat Asma yang
terburu-buru menerjah masuk ke dalam biliknya tadi.
“Asma cakap semput kau datang lagi...”
Rohani senyum tawar. Ada sendu di hujung
senyumnya.
“Aku datang ni bawa hajat. Hajat yang aku cakap
minggu lepas.” Nek Som terus menukar cerita. Wajah sendu
Rohani sudah menceritakan apa yang tersirat di lubuk
hatinya. Kalau boleh, Nek Som tak mahu tengok wajah sendu
Rohani. Nanti dengan dia sekali berwajah sendu.
“Saya banyak susahkan Mak Som.” Perlahan Rohani
tuturkan.
“Aku dah anggap kau macam anak aku. Asma tu
cucu aku. Jika bukan aku yang kau nak susahkan, siapa lagi?”
balas Nek Som. Dia tidak suka bila Rohani bermelodi sedih.
“Aku akan cuba sedaya upaya tolong kau. Jadi kau
pun kena tolong diri kau juga. Kuatkan semangat, tabah
lawan sakit tu. Demi Asma. Asma tu mentah lagi. Dia masih
perlukan bimbingan daripada ibunya,” nasihat Nek Som.
“Jadi macam mana dengan hajat aku tu? Kau dah
cakap dengan Asma?” soalnya kepada topik asal.
Rohani geleng kepala. Dia tidak tahu nak susun ayat
untuk memberitahu agar anaknya faham dan terima tanpa
syak wasangka. Nek Som geleng kepala.
“Ginilah, biar aku yang beritahu. Lagipun aku dah
cakap dekat Imam Mat, minta dia uruskan majlis Jumaat ni.
Esok Ferhad akan uruskan semua borang yang perlu diisi.”
Rohani tak terkata. Dia angguk dalam diam. Cekap
dan teliti Mak Som aturkan perancangannya.
“Tak cepat sangat ke Mak Som? Ferhad setuju ke
tak?” soal Rohani. Matanya dihalakan ke arah Ferhad yang
asyik memandang ke luar. Tapi dia tahu telinga Ferhad
menangkap setiap butir kata perbualannya dengan Mak Som.
Ferhad beralih pandang. Dia pandang wajah
neneknya yang penuh harapan dan wajah sendu Rohani.
Bibirnya ukir senyum. Dia tidak mampu mengelak lagi. Jadi
dia akan cuba sedaya upaya menerima apa yang bakal berlaku
dengan reda. Ini adalah terbaik untuk semua pihak.
“Saya setuju, mak cik.” Ringkas sahaja jawapannya.
“Kau dengar tu, kan? Kau tak perlu risau. Aku yakin
Ferhad dapat jaga Asma dengan baik,” ujar Nek Som. Matanya
menjeling Ferhad. Dia yakin, lepas kahwin nanti pandailah
Ferhad uruskan hubungannya dengan Asma. Paling penting,
masa depan gadis itu dah pun terjamin.
“Nek Som, maaf lambat buat air. Asma pergi ambil
limau kasturi dulu. Petang-petang ni sedap minum air asam
boi sejuk. Ni Asma buat special untuk Nek Som,” ujar Asma
ceria. Dia meletakkan dulang di atas meja di hadapan Nek
Som.
“Pandai kau ambil hati aku. Tahu je apa yang aku nak
minum petang-petang ni,” balas Nek Som.
“Sini, Ferhad. Minum air ni,” panggil Nek Som.
Tangannya mencapai gelas berisi air asam boi di hadapannya.
Sekali teguk, habis separuh gelas. Sedap. Memang kena
dengan seleranya.
“Mari duduk sebelah nenek ni, Asma. Nenek ada
benda nak cakap.”
Asma yang baru nak labuhkan punggung di sisi
ibunya, lantas duduk di sebelah kanan Nek Som. Ferhad pula
duduk di sebelah kiri Nek Som.
“Kau dah tengok keputusan masuk universiti ke
belum? Si Gayah tu cakap, keputusannya keluar hari ni,”
tanya Nek Som.
“Dah, nek. Asma dapat Diploma Pertanian, kat UPM,”
beritahu Asma dengan sengih lebar. Itu pilihan pertamanya
ketika mengisi borang UPU, tentu sekali hatinya melonjak
suka.
“Kenapa tak ambil kursus lain?” soal Ferhad tiba-tiba.
“Dah saya suka berkebun. Saya nak jadi petani
moden,” jawab Asma cepat. Dia bangga dengan cita-cita yang
akan digapainya suatu hari nanti.
“Orang perempuan, bukannya elok pun bertani.
Itu kerja lelaki,” omel Ferhad. Bakal isterinya bakal menjadi
petani. Tentu sekali dia tak boleh terima.
“Lelaki atau perempuan sama saja. Berbakti pada
tanah. Lagipun petani sekarang ni bukannya macam petani
dulu-dulu. Membanting tulang empat kerat. Sekarang
teknologi dah maju. Tanpa cemarkan tangan pun saya
boleh jadi petani yang berjaya.” Asma tetap pertahankan
cita-citanya.
“Ferhad, biarkan Asma dengan cita-cita dia tu.
Lagipun nenek dah tengok Asma berkebun. Tangannya
‘sejuk’. Tanamlah apa pun, pasti akan tumbuh subur,” bela
Nek Som.
“Jadinya bila nak daftar?” tanya wanita tua itu pula.
“Lagi 3 minggu, Nek Som. Tapi...” Asma pandang
ibunya. Dia tak sampai hati nak tinggalkan Rohani sendirian.
Nek Som ikut pandang Rohani.
“Pasal ibu kau, jangan risau. Nenek ada temankan.
Yang penting, kau kena belajar bersungguh-sungguh.”
Asma angguk.
“Jumaat ni nenek akan buat kenduri kesyukuran
sempena kau masuk UPM dan sempena perkahwinan kau
dengan Ferhad.”
Senyum yang terhias di bibir Asma tadi terus hilang.
Dia silap dengar, kan?
“Apa, Nek Som?” soal Asma namun matanya
dihalakan ke arah ibunya.
“Jumaat ni kau dan Ferhad akan bernikah.”
Fikirannya kosong. Tak mungkin!
No comments:
Post a Comment