DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 21

“KENAPA kita tak bermalam kat rumah
mama dan papa abang?” soal Asma ingin tahu. Mereka tiba
tengah hari di KLIA. Ferhad menyewa kereta di KLIA untuk
membawa mereka ke Hotel Palace of The Thousand Roses.
“Nenek tak nak tidur sana. Panas.” Nek Som jawab
soalan Asma.
Mereka kini dalam perjalanan ke hotel. Menurut
Ferhad, dia telah menempah dua bilik untuk tiga hari dua
malam. Lagipun Nek Som tak nak lama-lama di KL ni.
Orang tua sepertinya memang tak sesuai tinggal di bandar
lama-lama. Itulah alasannya.
Asma pandang suaminya yang tenang memandu.
Rasa ingin tahunya kuat tapi tak sesuai pula dia bertanya ketika
ini. Ferhad pula perasan dengan kelakuan pelik isterinya itu.
Dia tepuk tangan Asma dan meramasnya seketika sebelum
kembali pegang stereng kereta.
Pagi esok, baru Asma akan mendaftar kolej.
Kemudian dia perlu menjalani minggu orientasi selama
seminggu. Jadi mereka tidak akan bertemu selama itu. Dua
hari kemudian, Ferhad akan terbang ke London.
Asma tarik nafas. Masa bersama suaminya semakin
terhad. Dalam teruja mahu menjalani kehidupan seorang
mahasiswi, terselit rasa takut mengharungi kehidupan
tanpa Ferhad di sisi. Dua minggu mereka bersama telah
memberi kesan kepada dirinya. Berpisah jauh dengan Ferhad
seolah-olah separuh jiwanya dibawa pergi. Asma larut
melayan perasaannya sendiri.
Mereka tiba di lobi hotel. Ada staf hotel membantu
mereka dan membawa barang-barang ke bilik yang telah
ditempah. Ferhad mengambil honeymoon suite untuk
mereka dan deluxe room untuk Nek Som dan ibunya. Jadi
aras bilik mereka berbeza.
“Kenapa tak ambil bilik sebelah-menyebelah?” soal
Asma tidak puas hati setelah meninggalkan Nek Som dan
ibunya di bilik mereka.
“Kita masih lagi dalam mood honeymoon, sayang.
Jadi kenalah ambil honeymoon suite,” bisik Ferhad.
Wajah Asma berona merah. Dia jeling staf hotel
yang membantu menunjukkan suite mereka, takut-takut dia
terdengar cakap Ferhad tadi. Malulah.
Ferhad seperti biasa, senyum nakal. Tubuh Asma
ditarik rapat. Dalam kepala sudah ada agenda terancang.
Mereka akan berehat di bilik dulu. Lepas asar baru keluar ke
The Mines, membeli keperluan Asma untuk kegunaan di kolej
nanti. Kemudian bawa nenek dan ibu menikmati panorama
malam di Menara KL sambil makan malam di sana.
Sampai di suite mereka, Asma kagum. Suite ni jauh
lebih besar daripada honeymoon suite di Cameron Highlands.
Ferhad puas hati. Banyak tempat dia boleh ‘cuba’ nanti. Dia
sengih gatal sambil memandang isterinya.
Asma faham maksud senyuman suaminya itu namun
hanya dibiarkan saja.
Ferhad mendekati Asma selepas memberi tip kepada
pembantu hotel tadi. Dia peluk Asma dari belakang. Tangan
dan bibirnya mula memainkan peranan. Tak pernah dia rasa
jemu, malah semakin ketagih belaian isterinya.
“Abang... kejaplah...” Asma meleraikan pelukan
mereka. Dia balikkan tubuh mengadap Ferhad.
“Kenapa tak pergi rumah mama dan papa? Abang tak
pernah bawa lagi Asma ke sana.” Asma tanya lagi. Dia tidak
puas hati dengan jawapan Nek Som tadi.
Terhenti perbuatan Ferhad. Dia tarik Asma duduk di
atas ribanya di atas katil.
“Abang takut Asma dan ibu terkejut melihat
rumah orang tua abang. Abang tak nak Asma fikirkan yang
bukan-bukan. Lagipun rumah tu siang hari cuma ada bibik
sahaja. Mama dan papa kerja. Fatin dan Farah pun kerja.
Balik malam.”
“Tapi tak salah kan kita bawa nenek dan ibu lawat
mereka? Abang telefon dululah beritahu.”
Ferhad geleng kepala.
“Tak payah. Abang dah tahu jawapan mereka.
Daripada sakitkan hati sendiri, lebih baik jangan.”
“Kehidupan mereka sibuk kejar harta dunia, Asma.
Mereka mana ada masa berjumpa dengan orang tanpa
memberi faedah kepada mereka.” beritahu Ferhad secara
berkias. Dia harap Asma faham maksudnya dan jangan tanya
lagi. “Asma... jangan sesekali pergi ke sana tanpa abang.
Abang tak izinkan,” sambung Ferhad lagi.
Asma renung suaminya, mencari maksud di sebalik
kata-kata itu. Namun wajah tegang Ferhad menunjukkan
dia betul-betul tidak suka Asma bertanya banyak tentang
keluarganya. Dia tahu hubungan Ferhad dengan keluarganya
tidak rapat. Tapi mereka tetap keluarga. Ada hubungan darah
yang mengikat mereka.
“Mama, papa dan adik-beradik abang lain sikit.
Lagi lama tak jumpa atau berhubung, kita orang dah jadi
macam orang asing.” Asma amati wajah suaminya sebelum
menyambung kata.
“Tapi ahli keluarga kita, biarpun dah jadi musuh, kita
tetap kata dia keluarga kita. Jauh di sudut hati, sebenarnya
ada rasa rindu dengan setiap memori bersama dengan
mereka. Dari sekecil tapak tangan sehinggalah kita dewasa.
Darah yang mengalir tetap sama jenis dengan mereka. Kita
tetap bawa nama mereka sehingga akhir hayat. Asma tahu
sikit-sikit tentang hubungan abang dengan keluarga abang.
Walau apa pun yang telah terjadi, biarlah lepas. Lagipun
masa kita nikah, mama dan papa ada pesan kat Asma supaya
jaga abang baik-baik,” balas Asma, menyangkal kata-kata
suaminya.
“Asma tak faham apa yang telah abang lalui...”
“Betul, tapi semua itu dah lepas. Mereka ada buat
silap, abang pun ada buat silap. Kesilapan itu adalah ujian
daripada Allah SWT. Kita tak boleh terus menyalahkan orang
lain sedangkan itu ujian hidup yang perlu ditempuhi.”
Ferhad terdiam. Asma kalung tangannya di leher
Ferhad.
“Asma sayang abang. Abang suami Asma dunia
dan akhirat. Asma nak kita sama-sama berusaha ke syurga
bersama. Jalan termudah ke syurga bagi anak-anak adalah
berbuat baik kepada kedua orang tuanya.” Asma ukir senyum.
Kemudian disapa pipi Ferhad dengan bibirnya.
“Abang banyak dosa, sayang. Diri abang ni banyak
tak betul. Abang lalai. Boleh ke abang ke syurga juga?” tanya
Ferhad akhirnya.
“Asma tahu. Salah satunya liat solat subuh. Tak
pernah lagi abang bangun pagi solat. Abang ambil mudah
tentang solat. Sedangkan solat ni tiang agama. Terbalik tiang,
runtuhlah iman.”
Ferhad senyum paksa. Semua kata-kata isterinya
seperti anak panah dipanah tepat terkena hatinya. Asma masih
muda tapi kata-katanya matang dan mampu menggoncang
jiwanya.
Melihat Ferhad membisu, Asma tidak mahu lagi
meneruskan kata-kata nasihatnya. Biarlah suaminya mencari
makna di sebalik apa yang dikatakan. Sekarang dia mahu
hiburkan hati suami. Lakukan apa yang disukai ketika mereka
bersama.
“Tadi Asma dah check bilik air. Tab dia besar. Muat
untuk dua orang berendam. Ada juga kelopak bunga dan
minyak bunga lavender. Jom... Asma bagi urutan cakar
harimau istimewa untuk abang.” Asma bangun dari riba
suaminya. Dia tarik tangan Ferhad supaya mengikutinya.
Ferhad pandang belakang isterinya. Asma sudah
pandai mengambil hatinya. Tahu bagaimana mahu
membuatkannya bahagia dan terasa di syurga dunia. Biarpun
baru sebentar tadi kata-kata isterinya itu tadi menusuk ke
hatinya.
Ferhad tarik Asma. Dipeluk dari belakang. Terhenti
langkah Asma. Desahan nafas Ferhad terdengar berat.
Seolah-olah memikul beban yang amat berat.
“Terima kasih, sayang. Abang akan cuba jernihkan
hubungan abang dengan mama dan papa.”

No comments:

Post a Comment