ASMA duduk diam-diam di belakang. Nek Som
layan bual dengan Ferhad. Mereka sedang dalam perjalanan
ke pusat bandar untuk mencari baju pengantin. Padahal butik
pengantin ada aje dekat dengan rumah. Boleh sewa baju dan
mekap sekali. Tapi Ferhad tak nak. Dia nak jugak cari yang
terbaik.
Asma yang cuba menyembunyikan senyuman,
terpamer juga di wajahnya. Sekali seumur hidup, nak merasa
dimanja dan dilayan bak ratu. Jadi apa salahnya walaupun dia
terpaksa tutup gerai sayur? Ibunya nak pergi berniaga pun dia
tak benarkan. Lagipun ibu bukannya sihat sangat. Lebih baik
duduk berehat di rumah.
Dalam masa 2 hari lagi Asma bakal berubah status.
Teruja bercampur takut. Dia tidak beritahu dekat sesiapa
pun lagi tentang hal tersebut. Rasanya nak ajak Aidalah buat
teman menahan debaran nanti. Tapi boleh ke Aida simpan
rahsia? Pernikahan ini rahsia besar dia dan keluarga. Orang
luar tak boleh tahu sehinggalah suatu masa nanti, Ferhad
mahu dunia tahu tentang status mereka.
Tapi sejujurnya, dia juga rasa malu kalau diketahui
orang. Nanti ada pula yang mengata budak tak cukup umur
dah gatal nak kahwin. Walaupun ini adalah permintaan Nek
Som. Bahkan dia sendiri pun masih rasa macam bermimpi.
Betul ke Jumaat ni dia akan menjadi isteri orang? Gadis
lain yang sebaya dengan dia sedang sibuk buat persiapan
nak sambung belajar, dia pula sibuk dengan persiapan nak
kahwin.
Tentang belajar. Satu apa pun tak buat lagi. Surat
tawaran belum print lagi. Medical check-up pun tak buat
lagi. Nanti dah kahwin, kena minta izin kalau nak ke sana
sini pula.
Malam tadi, sambil peluk pinggang Rohani, Asma
meluahkan perasaannya.
“Kenapa ibu terima pinangan Nek Som? Asma tak
bersedia lagilah nak kahwin, ibu. Asma nak jaga ibu.”
“Ibu pulak nak ada orang jaga Asma bila ibu tak ada
nanti.”
“Ibuuu... Tak naklah cerita pasal mati. Asma nak ibu
hidup seribu tahun lagi. Asma nak beri kesenangan kat ibu.
Asma nak bawa ibu pergi umrah, haji dan keliling dunia,” ujar
Asma. Kepalanya didongakkan melihat wajah ibunya. Hatinya
diserbu rasa takut. Walaupun ibunya tersenyum, wajah itu
tampak pucat sangat.
“Insya-Allah... jika diizinkan, ibu pun nak ikut Asma.
Tapi jika tidak diizinkan, ibu tahu ada suami Asma akan ikut
dan temankan Asma.”
“Tak sama. Ibu lain, suami tu lain. Mana boleh sama.”
“Ajal dan jodoh itu kita tak boleh aturkan bila dan
di mana kita mahu ia terjadi. Seperti sekarang, ibu ingatkan
anak ibu ni kecik lagi. Rupanya dah besar panjang, cukup
umur dah nak kahwin. Jadi walaupun berat hati, ibu tahu dah
sampai masa Asma kena bina keluarga sendiri. Begitu juga
ajal. Walaupun kita belum bersedia dan sudah tentu sampai
bila-bila pun kita belum bersedia, malaikat maut boleh datang
tiba-tiba mengetuk pintu, ajak roh kita pergi.”
“Jadi Asma kena sentiasa bersedia. Sebab esok
walaupun macam-macam kita dah rancang namun
perancangan Allah SWT melebihi perancangan kita.”
Asma mengamati wajah ibunya lama-lama. Terasa
macam ada sesuatu yang ibu sembunyikan daripadanya.
“Kenapa Asma rasa ibu ada rahsiakan sesuatu
daripada Asma?”
“Tak ada, sayang. Ibu mana ada rahsia apa-apa pun.
Tapi ibu tahu rahsia hati anak ibu ni.” Rohani alih topik. Dia
tidak mahu anaknya fikir yang bukan-bukan.
“Rahsia apa? Mana ada rahsia. Asma mana pernah
simpan rahsia dengan ibu.”
“Ya ke?”
Asma angguk.
“Kenapa ibu tengok wajah anak ibu merah lepas
cakap dengan bakal suami dia tadi? Senyum sorang-sorang
lepas tu? Hmmm...”
“Mana ada. Ibu ni!” jawab Asma manja.
“Adaaa...” Meleret suara Rohani mengusik. Dia dapat
meneka isi hati anaknya. Nampaknya Asma telah jatuh cinta
dengan bakal suaminya sendiri.
Kereta tiba-tiba berhenti. Ingatannya pada ibunya
pun terbang lari.
Asma pandang ke luar tingkap. Butik Pengantin
Anggun & Body SPA. Asma telah liur bila tengok baju
pengantin yang terpamer di ruangan pameran berkaca di
depan butik. Menawan dan cantik. Harganya pasti berkali
ganda cantik.
Dia orang yang terakhir melangkah masuk. Dinding
bercat warna ungu lembut. Wallpaper bunga lavender
melatari dinding di belakang meja penyambut tetamu. Ada
pintu di sebelah kiri meja tersebut. Sebelah kanan pula
tergantung koleksi baju-baju pengantin. Terletak sebuah sofa
set untuk pelanggan duduk sambil memilih baju yang mereka
berkenan. Asma ralit memerhati sekeliling tanpa menyedari
semua mata yang berada di situ berpusat padanya.
Ferhad cuit lengan Asma. Pantas mata mendongak
memandang wajah Ferhad. Lelaki itu buat isyarat supaya
pandang ke depan. Dahi Asma berkerut tak faham tapi dia
ikut juga. Dia terkejut.
“Cantik bakal cucu menantu Mak Som ni. Tak payah
dah mekap tebal-tebal bila nikah nanti,” puji seorang wanita
berusia lebih kurang ibunya. Wajah manis itu tersenyum
memandang Asma atas bawah. Segan Asma dibuatnya. Untuk
menutup rasa segannya, Asma pantas hulurkan tangan untuk
bersalam.
“Ni Achik Zana, anak saudara nenek. Dialah pemilik
butik ni. Nenek dah suruh dia siapkan baju pengantin warna
putih.”
Asma pandang Ferhad, Ferhad pandang Asma.
Nampaknya mereka kena pakai apa yang dipilih oleh Nek
Som. Kemudian dia pandang Achik Zana yang masih lagi
tersenyum kepadanya.
“Kulit Asma dah cantik dan sihat. Tak perlu nak buat
rawatan kulit lagi. Tapi kena mandi bunga untuk naikkan lagi
seri.”
“Ikutlah kau nak buat apa pun, Zana. Janji Asma
ni cantik masa nikah nanti. Biar suami dia tak boleh nak
lepaskan dia.” Selamba Nek Som mengusik Asma dan Ferhad.
Achik Zana dan pembantunya ketawa kecil.
“Confirm, Mak Som. Sekarang ni pun asyik
jeling-jeling je. Nak cuit-cuit, belum dapat lesen besar lagi.”
“Dah ada lesen besar, takkanlah nak jeling-jeling
je, Achik Zana? Confirm kena kurung dalam bilik 7 hari 7
malam,” balas Ferhad tak mahu kalah. Mana boleh dia jadi
mangsa usikan orang. Selama ini dia yang kaki mengusik.
Achik Zana dan Nek Som ketawa besar. Asma pula
rasa mahu sorok muka di sebalik baju-baju pengantin yang
tergantung itu.
“Ieta, tolong bawa Asma buat rawatan muka dan
mandi bunga,” arah Achik Zana kepada pembantunya. Ieta
mengangguk lalu membawa Asma masuk ke bilik rawatan.
“Berapa lama baru siap, Zana?” tanya Nek Som.
“Lebih kurang 2 jam, Mak Som,” jawab anak
saudaranya itu. Mak Som angguk.
“Aku tinggalkan Asma kat sini dulu. 2 jam lagi
aku datang balik. Nanti boleh terus fitting baju nikah. Mari
Ferhad, ada 2 tempat lagi kita nak pergi ni,” ajak Nek Som.
Setelah memaklumkan kepada Asma, mereka pun
beredar.
“Tunang adik handsome, macam pak Arab,”
puji Ieta setelah Asma menyelesakan diri di dalam tab
berisi bunga-bungaan. Haruman lavender menyenangkan
perasaannya.
Asma hanya diam. Ieta bersedia di hujung kepala
Asma untuk memulakan rawatan kecantikan.
“Adik dengan dia nampak sama padan. Dia pun
macam sayang sangat kat adik. Pandang tak lepas tadi.”
Asma sembunyi senyum. Ieta tidak tahu yang kisah
mereka nak bernikah bukan disebabkan cinta, tapi lebih
kepada memenuhi permintaan orang tua.
“Tapi adik nampak muda sangat. Umur berapa?”
“Baru 18, kak.”
“Mudanya. Kak Ieta pun kahwin muda juga tapi
tak adalah muda macam adik ni. Kahwin muda ni kena
banyak sabar. Sebab kalau tak sabar, umur rumah tangga tak
panjang,” nasihatnya sambil mengurut-urut muka Asma.
“Paling penting jangan lawan cakap suami, ikut
cakap suami selagi tak menyalahi agama dan undang-undang.
Tapi jangan bergantung sepenuhnya pada dia. Kita patut ada
pendapatan sendiri sebagai back up masa depan.” Ieta terus
berceloteh memberi nasihat kepada Asma sambil tangannya
lincah bekerja.
‘Insya-Allah, kak,’ bisik Asma dalam hati. Dia tidak
dapat bersuara bila wajahnya sudah dilumuri masker.
No comments:
Post a Comment