DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Adel... I Love You!- Bab 5

PRETTT!!! Prettt!!!
Bunyi sumbang itu bising kedengaran dari ekzos
motosikal Honda C70. Adel asyik memulas pemutar minyak
untuk menguji motosikal tersebut. Tok Wan Hassan pula
bercekak pinggang sambil melihat kepakaran Adel membaiki
motosikal antik itu.
“Dah berapa lama wan tak start enjin motor ni?”
Adel terpaksa meninggikan suara apabila bunyi ekzos lebih
kuat kedengaran.
“Sejak motor ni buat hal. Papa kamu belikan skuter,”
jawab Tok Wan Hassan dengan nada yang sama.
“Boleh je dibaiki. Setakat pusing dalam kampung
bolehlah. Kalau nak ke pekan memang tak bolehlah,” ujar
Adel. Pemutar minyak kembali dilepaskan. Bunyi bising itu
kembali reda.
“Mana Adel belajar baiki motor?” soal Tok Wan
Hassan akan kepakaran Adel dalam membaiki motosikal.
Setahunya, Adel bukanlah pelajar dalam jurusan automatif.
Adel lepasan pelajar jurusan ekonomi. Amat jauh berbeza
akan dua jurusan itu.
“Adel main baiki je ni. Nanti Adel pergi pekan dan
tanyakan dekat mekanik di sana untuk baiki lebih elok.
Enjin ni pun kena diperiksa. Berkepul asap hitam keluar dari
ekzos.” Anak mata dilemparkan pada kepulan asap hitam.
Dia sayangkan motosikal antik itu. Banyak kenangannya
bersama-sama motosikal itu setiap kali pulang ke kampung.
Tidak sanggup dia biarkan motosikal itu tersadai rosak di
bawah rumah tanpa dibaiki.
“Adel nak test dulu. Pusing-pusing di kawasan sawah
sana.” Adel memanjat motosikal. Dengan penuh berhati-hati,
pedal gear ditekan dengan menggunakan kaki. Pemutar
minyak dipulas sedikit. Perlahan-lahan motosikal itu mula
bergerak meninggalkan halaman rumah.
Sepuluh minit kemudian, Adel kembali memandu
pulang ke rumah. Kelihatan Tok Wan Hassan masih lagi setia
menunggu Adel di anak tangga. Apabila terlihat saja kelibat
Adel, Tok Wan Hassan kembali bangun dan berdiri. Adel
memberhentikan motosikal di hadapan Tok Wan Hassan.
“Semua okey lagi. Enjin kena periksa ni. Nanti Adel
ke pekan tanyakan mekanik,” komen Adel akan hasil pandu
ujinya itu.
“Abang...” panggil Tok Embun dari jendela yang
terbuka. Adel dan Tok Wan Hassan serentak menoleh.
“Belikan kerisik dua peket di kedai,” pinta Tok
Embun.
“Tak apa. Adel pergi belikan.” Cepat-cepat Adel
memintas.
“Pergi naik skuter,” arah Tok Wan Hassan seakan
memahami apa yang bermain di dalam fikiran Adel.
“Test drive,” seloroh Adel, menolak akan arahan Tok
Wan Hassan itu.
“Adelia Zahra...” Nada suara itu sekali memberi
arahan.
“Insya-Allah tak ada apa-apa, wan. Adel nak test drive
ni.” Sememangnya Adel sangat pandai memujuk. Tok Wan
Hassan tak jadi hendak bertegas dengannya.
“Test drive elok-elok. Jangan merempit pula,” pesan
Tok Wan Hassan.
“Rempit pun best juga dengan ekzos paip macam
ni,” seloroh Adel yang suka benar mengusik Tok Wan Hassan
dan Tok Embun.
“Adel...” Meleret Tok Wan Hassan menyebut
namanya.
Mengekek-ngekek Adel ketawa.
“Jangan merempit, Adelia Zahra,” pesan Tok Embun
pula.
“Insya-Allah, tok,” sahut Adel sebelum beredar
bersama motosikal Honda C70.

FIRAS MELEMPARKAN pandangan ke sawah yang menghijau
terbentang luas di hadapan mata. Tanaman padi pada tahun
ini sangat menjadi. Menghijau di semua petak. Dalam hati
Firas melahirkan rasa syukur kerana rezeki penduduk
kampung melimpah ruah kerana tanaman padi.
Tiba-tiba Firas melepaskan sebuah helaan nafas.
Kemudian, anak mata berkalih ke figura yang duduk di
sebelahnya sambil menikmati buah mangga. Tetapi tidak
lama, apabila anak mata terjatuh ke arah lipatan kertas yang
berada di dalam genggaman.
“Bila Qisya akan pergi ke sana?” soal Firas dengan
wajah kerisauan.
“Abang kan dah baca surat tawaran tu tadi,” jawab
Qisya tanpa memandang wajah Firas.
“Qisya pun tahu abang tak pandai bahasa Inggeris.
Satu patah perkataan pun abang tak faham. Nama Qisya jelah
yang abang faham,” jelas Firas. Awal-awal tadi Qisya hulurkan
surat tawaran tersebut, diambilnya dan terus dibuka lipatan.
Namun tak sampai dua minit, Firas kembali melipat surat
tersebut.
“Insya-Allah Qisya akan bertolak ke sana bulan
depan. Minggu pertama!” Pandangan mata Qisya masih lagi
ke arah lautan sawah di hadapannya. Di pangkin sinilah,
tempat dia dan Firas selalu bertemu.
“Berapa tahun?” soal Firas lagi.
“Empat tahun,” balas Qisya lagi.
“Belajar di mana?” Firas tak lelah untuk bertanya.
Isi kandungan surat langsung tak difahami. Terpaksalah dia
bertanya kepada Qisya, satu per satu.
“Queen Mary University, London.” Qisya masih lagi
setia menjawab setiap pertanyaan Firas.
Firas jeda seketika. Otaknya ligat memikirkan
sesuatu. Ingin diluahkan, tetapi mulut sedikit berat. Tapi
akhirnya Firas tewas dengan desakan hati.
“Ayah suruh kita bertunang,” ujar Firas. Cadangan
ayahnya semalam membuatkan dia berfikir panjang dan
semalaman. Baik dan buruk akan cadangan itu difikirkan
semasak-masaknya.
“Ayah pun suruh kita bertunang.” Qisya turut
meluahkan cadangan ayahnya pula.
“Kalau kita ikutkan saja permintaan mereka, macam
mana? Kita bertunang,” tekan Firas dengan keputusannya.
“Kenapa tiba-tiba, abang?” pelik Qisya dengan
keputusan dan juga ajakan Firas. Malah, hal pertunangan
langsung tidak pernah mereka perbincangkan.
“Empat tahun Qisya akan ke sana. Jauh dari abang!
Macam-macam boleh jadi,” jelas Firas akan keputusannya.
“Abang tak percayakan Qisya?” Wajah Qisya sudah
berkerut apabila isu kepercayaan menjadi alasan. Semalam
beria-ia menekankan hal prinsip kepercayaan dan kesetiaan.
Tetapi, kini... kesetiaannya diragui. Qisya sedikit terkilan.
“Bukan macam tu, Qisya. Abang percayakan Qisya.
Jangan salah faham. Apa yang keluarga kita cadangkan tu kan
adalah cadangan yang baik. Semalaman abang fikirkan baik
dan buruk cadangan ayah ni.” Cepat-cepat Firas memujuk
sebelum pertelagahan mereka berdua berpanjangan.
“Selepas empat tahun?” duga Qisya akan seterusnya.
“Abang tunggu Qisya balik dan kita kahwin.
Sempatlah abang kumpul duit untuk beli rumah dan sediakan
segala kesenangan dan kemudahan untuk Qisya selepas kita
kahwin.”
Penjelasan Firas membuatkan Qisya mengukir
senyuman bahagia. Firas pun turut membalasnya dengan
senyuman. Hati Qisya kembali dipujuk. Dia berasa lega.
“Janji jangan cari yang lain. Janji abang akan setia
dengan cinta kita dan tunggu Qisya balik.” Serentak jari
kelengkeng dihulurkan.
“Insya-Allah abang janji!” Jari kelengkeng Firas
bertaut mesra dengan Qisya.
“Qisya pun janji akan setia dengan abang. Jangan
sesekali hancurkan kepercayaan abang,” pinta Firas pula. Jari
kelengkeng mereka berdua masih lagi bertaut kemas.
“Qisya janji akan selalu setia dengan abang. Dan
Qisya berjanji tak akan sesekali hancurkan kepercayaan
abang,” sahut Qisya dengan janji yang sama. Kedua-duanya
tersenyum bahagia dengan janji yang dibuat bersama.
Namun, senyuman mereka berdua tiba-tiba mati.
Bunyi sumbang dan bising itu mengganggu suasana romantis
antara mereka berdua.

Prettt!!! Prettt!!! Preeetttt!!!
Terlihat sebuah motosikal Honda C70 memecut laju
di jalan. Bunyi bising tersebut kuat kedengaran. Malah, asap
karbon turut keluar berkepul-kepul dari ekzos motosikal itu.
Firas perhatikan kelibat yang memandu motosikal
tersebut. Wajah baru! Belum lagi pernah dilihatnya. Riak
muka... ketat! Langsung tiada senyuman!
“Abang ni...” Qisya merengek manja apabila Firas
leka melihat figura yang memecut laju motosikal antik itu.
“Kenapa, Qisya?” Firas kembali memberi tumpuan
ke wajah Qisya.
“Jom makan mi rebus,” ajak Qisya. Tangan Firas
digenggam erat.
“Jom!” setuju Firas untuk menggembirakan hati
bakal tunangnya itu.

QISYA MEMARKIR motosikal di rumah Firas. Kemudian,
kedua-duanya keluar menaiki kereta pacuan empat roda milik
Firas. Ajakan Qisya untuk menaiki motosikal bersama-sama,
ditolak sementah-mentahnya oleh Firas. Dia tidak mahu
orang kampung memandang serong kepada mereka berdua.
Ketika Firas melewati di hadapan sebuah kedai,
kelihatan sebuah motosikal Honda C70 terparkir di situ.
Firas seakan mengenali motosikal itu. Bukankah motosikal
ini yang memecut laju sebentar tadi? Kemudian, anak mata
Firas mengamati nombor pendaftaran pula. Firas tersentak!
Itu motosikal lama milik Tok Wan Hassan. Tetapi,
bukan Tok Wan Hassan yang menunggangnya.
“Isy! Siapa eh?” Tanpa sedar, pertanyaan yang
bergema di dalam hati terluah di bibir.
“Siapa, abang?” soal Qisya kehairanan.
“Hah??? Tak ada apa-apalah.” Cepat Firas berdalih.
“Betul ni?” Firas memandang sekilas ke arah Qisya.
Kemudian, Firas memberi senyuman manis. Senyuman
untuk mematikan pertanyaan gadis di sebelahnya itu.
“Malam ni abang berbincang dengan ayah, Abang
Fatih dan Kak Hawa mengenai majlis pertunangan kita.
Abang nak kita buat yang simple dan ala kadar saja. Tak perlu
buat majlis besar-besar. Nanti, abang maklumkan kepada
Qisya bila ayah akan datang ke rumah untuk berbincang
dengan mak dan ayah Qisya pula,” ujar Firas.
“Kita beli barang untuk hantaran eh. Handbag
ke, kasut ke...” Belum sempat Qisya menghabiskan senarai
barangan yang dikehendakinya, cepat-cepat Firas memintas.
“Ala kadar dan bersederhana. Itu yang abang
mahukan untuk majlis pertunangan kita berdua,” tekan Firas.
“Abang ni...” Qisya menagih keizinan dengan nada
meleret manja.
Firas hanya sekadar menggelengkan kepala. Anak
mata tertumpu di jalan raya yang lurus itu. Jika dilayan
permintaan Qisya, pasti dia akan tewas dan menurut saja.
Dia hanya inginkan majlis yang ringkas dan sederhana. Tidak
perlu secara besar-besaran hanya untuk majlis pertunangan.

No comments:

Post a Comment