DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 2

“INSYA-ALLAH Nek Som. Nanti saya singgah.”
Itu sahaja jawapan yang dapat diberikannya.
Dia hulur senyum segan kepada Ferhad yang dari
tadi asyik memerhatikannya. Huh!
Cair hati dibuatnya sebaik saja melihat senyuman
manis itu. ‘Hai, tak tidur lenalah aku jawabnya malam ni,’
omelnya dalam hati.
Ferhad membalas senyuman.
‘Handsome jugak,’ puji Asma sambil tertunduk
malu.
‘Beranganlah kau hati. Orang macam Ferhad tu
takkan nak pandang gadis kampung penjual sayur macam
aku ni,’ bebelnya sendirian.
Dia selalu mendengar cerita tentang Ferhad daripada
Nek Som. Satu-satunya cucu yang selalu bertanya khabarnya
walaupun jauh di seberang laut. Ferhad yang tidak pernah
gagal menelefon neneknya seminggu sekali. Cucu yang
pernah tinggal lama dengan Nek Som di kampung itu.
Macam seperti apa yang dia gambarkan dalam
fikirannya. Ferhad kacak. Sudah tentu. Sebab Nek Som pun
masih cantik lagi walaupun dah banyak umurnya. Melihat
gambar keluarga besar Nek Som, semua anak cucunya
bertubuh tinggi dan berkulit putih. Cantik dan tampan sebab
arwah suami Nek Som dulu berdarah Pakistan.
‘Jatuh cinta pandang pertama?’ tanya Asma kepada
dirinya.
‘Huh... Sedar diri sikit, Asma. Dia tu 10 tahun lebih
tua daripada kau. Kau tu baru lepas SPM. Budak mentah
lagi. Dia takkan pandang kaulah. Kau tak sekufu dengan dia.
Jangan nak berangan jadi seseorang kepada Ferhad. Baik aku
fokus jual sayur hari ini. Cepat habis, cepat boleh balik.’
“Sayur segar. Murah... Murah...” Lantang suara Asma
berusaha menarik perhatian pembeli.
Sebaik saja tamat SPM, Asma menolong ibunya
menjual sayur di pasar. Kesihatan ibunya tidak berapa baik
sangat. Sebab itulah dia lebih suka ibunya berehat di rumah.
Sejak mereka kehilangan ayah akibat kemalangan jalan raya
5 tahun lalu, ibunya yang bekerja menampung kehidupan
mereka. Dia tidak sampai hati melihat ibu bertungkus lumus
bercucuk tanam dan berniaga sayur-sayuran di pasar setiap
hari. Oleh sebab itu, setiap petang selepas waktu sekolah, dia
akan menolong ibunya di kebun sayur di belakang rumah
mereka. Setiap pagi Jumaat dan Sabtu pula dia akan menolong
ibunya menjual sayur di pasar. Walaupun pendapatan tidak
menentu tetapi rasanya lebih daripada mencukupi bagi
menampung kehidupan mereka berdua.
“Hai, Asma...”
“Assalamualaikum, Cik Aida. Nak beli sayur ke? Segar
dan murah ni,” jawab Asma ceria. Tahu sangat dengan sikap
Aida yang suka mengacaunya ketika dia sedang menjual.
“Waalaikummussalam. Weh... kau dah tengok result
UPU ke belum?”
“Eh? Dah keluar ke?” tanya Asma blur. Dia tak ingat
langsung perkara tersebut.
“Kau ni perkara sepenting ni pun tak ingat. Ini
melibatkan masa depan kau tau.”
“Terima kasih, kak. Datang beli lagi ya,” ucap Asma
kepada pelanggan yang membuat bayaran.
“Esok-esok pun boleh tengok jugak. Kau dah check
ke yang kau punya?” Sambil berbual, tangan Asma merenjis
air ke atas sayur-sayuran agar kelihatan segar.
“Dah, aku dapat diploma perbankan, UiTM. Dan aku
check untuk kau jugak.”
Terhenti seketika tangan Asma yang sedang
menyusun sayur-sayuran. Dia pandang muka Aida seketika.
Aida masih lagi sengih-sengih tanpa ingin memberitahunya.
“Kenapa kau minta pertanian?” soal Aida ingin tahu.
“Aku dapat Diploma Pertanian kat UPM ke?” soal
Asma teruja. Itu adalah pilihan pertamanya ketika dia mengisi
borang dulu.
“Eh mana kau tahu? Kata tak check lagi tadi?”
“Hahaha... sebab itu pilihan pertama aku.”
“Gilalah kau. Result SPM kau punyalah cantik.
Pertanian jugak yang kau minta. Kau silap isi ke apa?”
“Apa salahnya? Memang aku minta pertanian. Aku
nak jadi petani moden. Berbakti pada tanah.”
“Weh, kau perempuanlah. Sama macam aku. Bertani
tu kerja lelaki.”
“Kolotlah kau ni. Lelaki perempuan sama jelah. Mak
kau pun ada juga tanam sayur dan bunga keliling rumah,
kan? Lagipun aku suka berkebun. Apa salahnya.”
Aida mencebik. Tidak puas hati dengan jawapan
Asma.

BALIK BERNIAGA tengah hari itu, Asma singgah ke rumah
Nek Som. Jika tidak kenangkan janji yang dibuat pagi tadi,
tentunya dia akan elakkan diri daripada singgah ke rumah
itu. Hatinya entah mengapa bekerja kuat apabila teringatkan
wajah kacak Ferhad. Sekarang ni Ferhad berada di rumah Nek
Som. Kebarangkalian untuk berjumpa lagi memang tinggi.
‘Tenanglah wahai hati. Jangan nak memalukan diri
sendiri. Tak ada faedah pun. Bukan dia pandang kau pun.
Entah-entah rupa kau pun dia dah tak ingat. Lagipun Ferhad
tu tua sangat untuk kau,’ kata hatinya, memujuk diri.
“Assalamualaikum... Assalamualaikum... Nek Som...
Ooo Nek Som,” laung Asma. Dia matikan enjin motor dan
menongkat motor di hadapan tangga rumah Nek Som. Panas
matahari terik tengah hari ini. Panas sangat sampaikan
kepalanya berdenyut-denyut.
Asma mengesat peluh di dahi dengan hujung
tudungnya. Matanya melilau mencari Nek Som. Kalau tak
ingatkan ada orang lain di dalam rumah itu, sudah tentu
kakinya ringan melangkah masuk seperti rumah sendiri.
Cari kipas angin untuk sejukkan badan. Tapi disebabkan cucu
Nek Som ada, dia tak berani nak memandai-mandai. Segan.
Nanti apa pulak kata cucu Nek Som. Entah-entah nanti dicop
penceroboh.
“Waalaikummussalam... Nek Som tengah solat
zuhur,” jawab suara serak-serak macam orang baru bangun
tidur itu.
Terjengul Ferhad yang kusut-masai tanpa baju di
muka pintu. Pucat muka Asma melihat. Pantas dia berpaling
ke belakang.
“Masuklah dulu. Jap lagi Nek Som siap solat.”
“Er... Er... Tak apa... Tak apa. Saya tunggu kat sini
je.” Tergagap-gagap Asma menjawab. Gugup bila terpandang
Ferhad yang seksi itu.
‘Isy... Kenapalah dia ni tak pakai baju dulu sebelum
keluar?’ leter Asma dalam hati.
“Okey...” balas Ferhad sambil melangkah ke dalam
semula.
Asma mengurut dada. ‘Nasib baik dia dah masuk
ke dalam. Buatnya datang duduk bertenggek di sini jugak,
mahunya aku pengsan nanti.’
Sepuluh minit kemudian.
“La Asma, kenapa tak masuk dalam?”
“Best duduk kat luar ni Nek Som, berangin,” jawab
Asma tersengih-sengih.
“Mari masuk...” ajak Nek Som.
Asma akur.
“Duduk dulu, nenek buat air.”
“Tak apa... tak apa, nek. Biar Asma buat.” Asma
segera ambil jag di tangan Nek Som.
“Nak buat air apa, nek?”
“Buat Sunquick. Jangan bubuh gula. Buat biar pekat.
Ferhad suka Sunquick tak letak gula. Pekat-pekat baru rasa
macam jus sebenar, katanya.”
Asma angguk. Selebihnya dia segan apabila Ferhad
muncul di belakang Nek Som. Ferhad mengambil tempat di
hadapan Nek Som. Adanya Ferhad sekali di situ, membuatkan
Asma merasa serba tak kena. Canggung sangat sebab dia rasa
setiap perbuatannya diperhatikan.
“Duduk makan dulu, Asma,” ajak Nek Som apabila
Asma meletakkan jag berisi air Sunquick di atas meja.
“Tak apalah, nek. Asma minum je. Kasihan dekat ibu
kat rumah nanti tak ada orang temankan makan.”
“Ibu kau sakit lagi ke? Semput dia datang lagi?” soal
Nek Som prihatin.
Asma angguk. Semalam dia tak lena sebab ibunya
asyik batuk sehingga tak dapat tidur. Dia ajak ke klinik tapi
ibunya berkeras enggan pergi. Walaupun ibunya gesa dia
tidur, namun dia tak dapat tidur apabila mendengar batuk
yang tidak henti-henti itu.
“Dia tak nak pergi klinik jugak ke?”
Asma geleng.
“Tak nak, nek. Bila Asma paksa, dia merajuk. Asma
risau dan serba salah. Asma takut sakitnya bertambah teruk,”
adu Asma. Matanya terasa panas. Dia takut kehilangan
ibunya. Dia mahu ibunya kembali sihat seperti sediakala. Dia
tidak mahu kehilangan sekali lagi. Dia belum bersedia hidup
sendirian tanpa ibunya.
“Tak apa. Lepas asar nanti nek pergi lawat ibu kau.
Nek ajak dia pergi klinik. Jangan susah hati,” pujuk Nek Som.
Asma mengangguk sambil menahan air matanya
daripada gugur. Dia tundukkan wajahnya. Segan bila sepasang
mata Ferhad memerhatikan tingkah lakunya. Dia cepat-cepat
habiskan air minumannya.
“Asma minta diri dululah, nek.”
“Ambil mangkuk tingkat tu, lauk dan sup untuk
makan tengah hari. Nanti makan dengan ibu.”
“Terima kasih, nek. Ni yang Asma sayang nenek
sangat-sangat.” Spontan Asma memeluk Nek Som dari
belakang. Satu ciuman manis dihadiahkan ke pipi Nek Som.
“Nenek dah tahu. Nenek pun sayang Asma macam
cucu sendiri.”
Asma buka mata dan angkat muka. Ops... sepasang
mata ralit memerhati tingkah lakunya lagi. Mukanya mula
berona merah.

No comments:

Post a Comment