DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 25

“ADA orang tu tak sabar nak jumpa cik abam
dia,” usik Muna.
“Lima hari tak jumpa, malam-malam cuma dapat
berbisik-bisik kat dalam telefon mana boleh lepas rindu tu,
Muna,” sambung Syarifah pula.
Minggu orientasi baru sahaja berakhir malam tadi.
Minggu yang padat dengan ceramah dan program yang
dianjurkan oleh pihak universiti dan kolej. Jadi kini semua
pelajar baru boleh menarik nafas lega. Bolehlah mereka
menyelesaikan tugas membasuh pakaian dan mengemas bilik
masing-masing sebelum kuliah bermula Isnin ini.
Asma ketap bibir. Dia malu tapi hatinya mengakui
setiap usikan kakak sebiliknya.
“Mestilah rindu, Kak Muna, Kak Pah. Kami baru je
kahwin. Inai pun tak hilang lagi ni,” balas Asma tidak mahu
kalah.
“Kak Muna respek kau. Baru 18 tahun dah kahwin.
Ramai yang tak sanggup. Bercinta sanggup, tapi kahwin
sanggup tangguh sampai bertahun-tahun. Macam mana kau
boleh kahwin? Bercinta sejak sekolah ya?”
“Taklah. Saya baru jumpa abang lima hari sebelum
nikah. Sebelum tu dengar cerita pasal abang pun daripada
nenek. Saya tak tahu bila nenek dan ibu berpakat nak
kahwinkan kami. Semuanya berlaku dengan pantas. Lima
hari lepas tu, kami kahwin.”
“Biar betul kau ni, Asma. Main gamble macam tu.
Sanggup awak. Kalau Kak Pah, memberontak tak nak,” ujar
Syarifah yang sedikit kaget dengan kisah perkahwinan Asma.
“Isy... kau ni, Pah. Dapat suami handsome siapa yang
tak nak? Kak Muna pun nak.”
Syarifah jelir lidah. Gatal. Prinsip hidupnya, dia
mahu kahwin dengan lelaki pilihan sendiri bukan pilihan
ibu bapa. Dia tak nak menyesal kemudian hari jika pilihan
mereka tidak kena dengan jiwanya. Biarlah dia tanggung
akibat daripada pilihan sendiri daripada menyalahkan orang
tuanya jika perkahwinannya gagal.
“Mula-mula tu saya takut juga. Tapi saya minta
petunjuk daripada Allah. Berdoa agar jodoh ini adalah yang
terbaik untuk saya. Saya fikir mudah je. Nak senangkan hati
orang tua. Tak nak mereka risaukan saya. Kalau mereka
cakap dengan perkahwinan ni, mereka mampu menarik nafas
lega sebab ada seorang lelaki yang dapat menjaga saya, saya
terima. Masa depan nanti, corak hidup bahagia atau derita
saya akan tanggung sendiri. Yang penting saya bahagiakan
hati orang yang sayangkan saya.”
Terdiam Syarifah dan Muna mendengar kata-kata
Asma itu. Asma lebih muda daripada mereka tapi pemikirannya
matang. Dia sanggup berkorban untuk melihat orang yang
menyayanginya senang hati.
“Asma tak takut ke kena tinggal nanti? Lelaki ni bila
dapat seseorang tu dengan mudah, dengan mudahnya jugak
dia tinggalkan,” tanya Syarifah.
“Ada juga kemungkinan itu. Tapi setiap yang berlaku
dalam hidup ni, ujian buat kita daripada Allah. Susah senang
kita, ujian hidup kita. Jadi kita kena laluinya juga. Saya tahu
abang baru belajar terima saya dalam hidup dia. Saya tahu
juga mungkin abang dah ada perancangan lain dalam hidup
dia. Tiba-tiba saya mencelah. Tapi saya tetap bersyukur sebab
selama jadi isteri dia, dia seorang yang bertanggungjawab.
Tunjukkan dia sayangkan saya. Jadi saya tetap anggap
dia suami yang terbaik untuk saya. Saya akan tetap setia
bersamanya melainkan dia buang saya,” jawab Asma.
“Lusa dia dah nak berangkat ke UK. Tak tahu bila
pulak akan balik. Dia kerja kat sana. Hmmm... bila fikirkan
perpisahan yang bakal tiba, saya jadi takut. Berpisah lima hari
ni pun dah tak boleh tidur... hmmm...” sambungnya lagi.
“La, tadi Asma juga cakap setiap hari adalah ujian.
Jadi ini adalah ujian kesabaran dan kesetiaan korang. Jangan
mengalah pada kata hati. Yakinlah dengan ikatan yang
mengikat Asma dan cik abam,” pesan Syarifah.
Tiba-tiba iPhone Asma berkelip-kelip.
“Abang dah sampai. Saya pergi dulu. Kemungkinan
saya tak balik bilik malam ni dan esok tau.”
“Tahu dah. Pergilah lepas rindu dengan cik abam tu.
Kirim salam kat dia.”
Asma sengih sambil tunjuk isyarat okey.
Asma tersenyum apabila nampak Ferhad sedang
sabar menantinya. Dia sedang bersandar di kereta Myvi
berwarna kuning. Luruh rindu yang berbunga sepanjang
mereka tidak berjumpa. Rasa ingin dia berlari dan memeluk
erat lelaki ini.
“Assalamualaikum, sayang...”
“Waalaikummussalam, abang.” Asma hulur tangan
sebaliknya Ferhad tarik Asma ke dalam pelukan. Dia peluk
erat seketika sebelum dilepaskan. Dia perasan beberapa
pasang mata memandang perlakuan mereka.
Asma dah merah muka. Malu, tapi hatinya suka.
Bangga sebab dapat menunjukkan bahawa dia yang memiliki
lelaki ini. Orang lain boleh pandang sahaja.
Ferhad buka pintu pemandu, dia persilakan Asma
masuk. Asma pandang suaminya.
“Asma bawa. Abang nak jadi co-pilot je hari ni,” pinta
Ferhad kepada isterinya.
“Ni ke kereta Asma? Yang kita pergi beli minggu
lepas?” Asma kelihatan teruja.
“Ya, sayang. Sebab itulah abang nak Asma drive.
Kereta inilah nanti yang akan jadi teman setia sayang
sepanjang abang tak ada dekat sini.”
“Tapi mana Asma tahu jalan dekat sini lagi,” bantah
Asma.
“Sebab itulah abang suruh sayang drive. Nak
biasakan diri dengan jalan dekat sini. Masuk. Nanti abang
tunjukkan.”
Asma akur. Ferhad sudah ambil tempat di sebelahnya.
“Setkan GPS ke Taman Tasik Putrajaya,” arah Ferhad.
Terkebil-kebil Asma pandang suaminya dan pandang
GPS.
“Asma tak pandai guna GPS ni,” katanya bimbang.
“Sayang pandai baca, kan? Baca dan tengok
fungsinya. Kemudian setkan tempat,” jawab Ferhad.
Asma gigit bibir. Dia jeling Ferhad yang duduk relaks
di sebelahnya. Nak tak nak, dia ikut apa yang disuruh.
Selesai. GPS dah mengeluarkan suara menunjukkan
arah mana yang perlu diambil.
“Ha... pandai pun sayang. Abang nak tidur kejap.
Sampai kejutkan abang.”
“Ala... tak naklah. Temanlah Asma bawa kereta ni.
Lagipun Asma dah lama tak bawa kereta nenek tu. Nanti silap
jalan macam mana?”
“Hmmm... abang penatlah, sayang. Sejak kita
berpisah ni, mana abang ada tidur lena. Bila dah jumpa
sayang ni, tiba-tiba pula rasa mengantuk.” Ferhad bersandar
di kerusi sambil tutup mata.
Kereta yang dipandu oleh Asma telah mula bergerak
keluar daripada UPM menuju ke Putrajaya.
“Habis tu, Asma pun penat juga dengan program
minggu orientasi ni. Lepas tu balik bilik bukannya dapat
tidur,” keluh Asma pula.
“Abang temanlah Asma. Nanti malam Asma bagi
urutan special untuk abang.” Asma cuba memujuk suaminya.
Terbuka separuh mata Ferhad sebaik saja
mendengarnya. Sebenarnya tadi dia sengaja nak mengusik
Asma.
“Betul ni? Abang nakkan layanan istimewa daripada
isteri abang ni. Malam ni sama-sama tak boleh tidur. Ganti
balik lima hari tu.”
Wajah Asma dah merah.
Ferhad dah betulkan semula duduknya. Tangannya
pula mula merayap di atas paha Asma.
“Tangan abang jangan nak nakal-nakal. Asma tak
boleh nak bawa kereta ni.”
“Abang bagi galakan ni, biar sayang cepat biasa
dengan kereta ni,” balas Ferhad selamba. Tangannya tetap
melekap di paha Asma. Sesekali jari telunjuk menguis paha
Asma yang dilapisi seluar jean itu.
“Kalau sayang pakai kain, lagi senang... hmmm...”
“Senang apa?” soal Asma dengan mata terbeliak ke
arah Ferhad di sebelah. Pelik betullah suaminya ni.
“Senang nak buat nakal. Hahaha...”
Tangan kasar itu memang dah mula menakal. Asma
ketap bibir. Ferhad pula senyum gatal.
Ulat bulu dah naik ke daun!
“Kita terus pergi hotellah. Tak payah ke tasik,” pinta
Ferhad serius.
Pulak dah!

No comments:

Post a Comment