DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 5


“Kau buat apa kat sini?” Khalis terkejut melihat
kelibat Suhaila sebaik sahaja membuka pintu kondonya. Dari
mana pula perempuan ini tahu tempat tinggalnya?
Suhaila terus sahaja masuk tanpa menunggu
keizinan Khalis.
“Aku dah kena halau dari rumah. Aku tak ada tempat
tinggal.” Suhaila memberanikan diri melawan pandangan
Khalis. Nampak riak wajah kurang senang Khalis dengan
kehadirannya.
“Itu bukan urusan aku.”
“Pembetulan... aku memang urusan kau.”
“Kau keluar dari sini sekarang.” Khalis
mempersilakan Suhaila keluar. Pintu yang sejak tadi
ternganga belum ditutup.
Suhaila buat tidak tahu. Dia terus duduk di sofa
empuk Khalis.
“Kau nak aku tolak kau ke atau tarik kau keluar?”
Khalis mengugut Suhaila. Pintu rumah ditutup. Risau kalau
ada paparazi yang tiba-tiba muncul.
Suhaila buat tidak tahu lagi. Dia berbaring pula di
sofa. Alat kawalan jauh dicapai. Dia mencari-cari drama yang
menarik untuk ditonton.
Khalis mula hilang sabar. Dia mendekati Suhaila,
bersedia untuk mengheret Suhaila keluar.
“Kalau kau tak nak aku naik mahkamah dan minta
kau bertanggungjawab, baik kau diam aje. Atau lebih dahsyat,
aku buat sidang akhbar, lepas tu siarkan surat nikah kita.
Pilih yang mana satu penyelesaian yang kau nak. Dua-duanya
akan membuatkan nama Tengku Kaz tambah glamor. Tengku
Kaz jadi suami orang tiba-tiba... Tengku Kaz kena tangkap
basah...” Suhaila mengugut Khalis. Sengaja menambah
perisa untuk menakut-nakutkan suami segeranya.
Langkah Khalis terhenti. Kedua-dua pilihan akan
memakan dirinya sendiri. Dia sudah bersumpah tidak akan
membiarkan mana-mana perempuan masuk ke dalam
hidupnya. Macam mana kalau ada sesiapa tahu yang dia
sudah menikah? Menikah pula kerana tertangkap basah. Pasti
kawan-kawannya akan mengata. Satu Malaysia akan mengata.
“Arrgh... aku benci papa, aku benci orang gaji tu!”
Suhaila angkat kening sebelah. Seorang anak benci
bapanya sendiri. Kalau benci mak tiri tu biasa. Patutlah
Tengku Zabidi cakap Khalis membuatkan dia pening. Tapi apa
Suhaila peduli? Seorang isteri harus berada di sisi suaminya.
Lagipun dia terdesak mencari tempat tinggal. Malas nak cari
tempat tinggal lain.
“Okey... kau boleh tinggal kat sini dengan syarat
tak ada sesiapa boleh tahu hubungan kita. Jangan beritahu
sesiapa pun yang kau isteri aku. Kalau kau berani bongkar
rahsia ni, sila berhambus dari rumah aku.” Akhirnya Khalis
mahu bertolak ansur. Bahaya kalau rahsianya terbongkar.
“Macam itulah suami aku yang tersayang. Bilik
kita kat mana?” tanya Suhaila. Dia bangkit dari sofa dan
berpusing-pusing di sekitar ruang tamu.
“Bilik kita?” Khalis senyum senget.
Suhaila toleh ke arah Khalis. Tipikal lelaki kena
kahwin paksa. Mesti nak kata tidak mahu sebilik.
“Kalau tak ada bilik kita, bagi aku bilik lain. Tak pun
aku berkampung kat ruang tamu ni.” Tunak mata Suhaila
memerhatikan hiasan dalaman kondo Tengku Khalis. Hiasan
yang sangat ringkas tapi mewah. Perabot pun jenama Empire.
“Kau boleh guna bilik dekat sana ataupun kau nak
guna bilik orang gaji kat dapur sana pun boleh.” Khalis
menunjuk ke arah pintu berdekatan meja makan.
“Kenapa kau tak bagi aku bilik sebelah master
bedroom tu?”
“Kalau boleh, muka kau pun aku tak nak tengok.
Kenapa aku mesti letak kau kat sebelah bilik aku? Fikir
pasal kau pun buat kepala aku semak. Apatah lagi kalau aku
tertengok kau.”
Terkebil-kebil mata Suhaila. Sekilas dia menjeling
Khalis. Lelaki ini terkenal dengan kata-kata manis, tapi
kenapa sinis sahaja nada suaranya? Mungkin ini sisi gelap
Tengku Kaz yang tidak ada siapa pun tahu. Mujur juga Allah
nak tunjuk perangai sebenar buaya darat seorang ini.
“Kau bebas bergerak kat belakang sana aje. Aku
tak izinkan kau jejak ruang tamu ni. Bilik aku lagilah, aku
haramkan terus kau pandang.”
Kejamnya Tengku Kaz. Tapi tidak kisahlah, asalkan
dia ada tempat berteduh. Suhaila terus mengheret begnya
masuk ke bilik. Barang-barang lain dia tinggalkan kat guard.
Mulanya Pak Guard tak bagi masuk, tapi tiba-tiba pula Tengku
Zabidi call Pak Guard. Maka dapatlah dia masuk. Kalau minta
izin Khalis, memang awal-awal dia kena halau.
“Tolong aku angkut barang aku kat guard house.”
“In your dream, dear wife...”
Suhaila dah jangka jawapan Khalis. Nampaknya
terpaksalah dia angkut barang-barangnya seorang diri.
Khalis setia menanti di pintu rumah dan
memerhatikan Suhaila mengangkat barang-barang. Sedetik
pun tidak timbul niat hendak menolong.
“Dah habis pun.” Suhaila melepaskan lelah sambil
meletakkan beg terakhir yang diangkutnya ke lantai.
Khalis seperti tadi, berdiri berpeluk tubuh. Semacam bos
memerhatikan anak buah bekerja.
“Banyaknya barang kau. Kau kena halau dengan
famili kau ke?”
Suhaila picingkan mata. Mana dia ada famili. Mak
Cik Esah tak sedar diri itu yang halau dia. Pertanyaan Khalis
malas dijawab. Barang-barang terus diangkut masuk ke
dalam bilik. Dia tidak sedar Khalis mengekorinya. Suhaila
mahu menanggalkan tudung, tapi dia perasan mata Khalis
melekat ke arahnya. Dah nama lelaki, kalau pandang
perempuan memang boleh tembus baju. Atau mungkin
Khalis perasan dia pakai baju semalam? Benci pula dia tengok
suami segeranya ini.
“I need privacy...” Suhaila hempas pintu.
Khalis menahan sabar apabila pintu berdentum di
depan mukanya. Perempuan pelik. Sudahlah dia terpaksa
sabar dengan Darien. Sekarang muncul pula masalah baru.
Pukul dua pagi tadi dia balik ke rumah itu kerana rasa stres
selepas terpaksa menikah. Tengok rumah sama aje seperti
sebelum ditinggalkan bulan lepas. Rupanya Darien tidak
mula kerja langsung. Duit yang diberi sudah habis dibuat joli.
Mana tidaknya dia bertambah sakit hati!
“Perempuan pelik.” Khalis sambung aktivitinya tadi.
Mujur juga hari ini hari Ahad. Hari cuti. Khalis baring di
sofa sambil menonton TV. Pandai-pandailah perempuan itu
hendak hidup.
Sebaik sahaja pintu ditutup, Suhaila menghempaskan
badannya ke katil. Dia menghamburkan tangis. Hidupnya
sudah berubah sepenuhnya. Dia impikan hidup bahagia
dengan lelaki yang dia cintai. Namun sekarang dia terpaksa
hidup dengan orang asing. Rumah tangga bahagia yang
diidam-idamkan sudah terlalu jauh untuk dia gapai. Mampu
ke lelaki bernama Khalis di luar sana membahagiakannya?
Suhaila lihat jam di tangan. Sudah pukul dua petang,
bermakna waktu zuhur sudah lama masuk. Dia perlukan
Yang Esa untuk mengadu. Telekung dan sejadah dikeluarkan
dari beg. Tapi dia perlu mandi dahulu untuk menyegarkan
badan. Mujur bilik ini ada bilik mandi bersambung dengan
bilik sebelah. Tidak payahlah dia hendak keluar daripada bilik
itu untuk membersihkan diri.
Selepas mandi Suhaila bersiap untuk menunaikan
solat. Telekung sudah tersarung di tubuh. Dia membentangkan
sejadah. Tapi, dia tidak tahu kiblat arah mana. Hendak cari
kiblat ikut online, telefon tidak ada. Agak-agak mamat
kat luar tu tahu ke mana arah kiblat? Hidup penuh dosa,
agak-agaknya dia pandai solat ke? Astaghfirullahalazim...
Suhaila beristighfar. Tidak baik memfitnah orang begitu.
Suhaila tersedar masa makin berlalu, tapi dia pula
sibuk mencari salah orang. Segera dia keluar dari bilik
mencari Khalis.
“Awak...” Suhaila panggil Khalis yang sedang ralit
menonton televisyen.
“Apa awak-awak? Ingat saya ni burung wak-wak
ke? Bukan ke saya dah beritahu tadi, ruang tamu kawasan
larangan.” Khalis marah kerana masa senggangnya terganggu.
Dia sangkakan Suhaila akan duduk di bilik diam-diam.
Khalis menoleh. Dia agak terkejut melihat Suhaila
lengkap bertelekung. Nasib baik siang hari. Kalau waktu
malam, memang boleh melompat dia dibuatnya.
“Panggil awak, tak nak. Weh, aku nak tanya ni...
kiblat arah mana?”
Khalis diam. Dia sedar dia tersalah cakap. Tadi
elok-elok Suhaila panggil awak, dia marah. Sekarang Suhaila
tunjuk kurang ajar, panggil ‘kau-aku’ aje.
Segera Khalis bangun dari duduknya. Dia masuk ke
dalam bilik Suhaila. Suhaila mengekori Khalis.
“Kiblat menghadap tingkap sana. Dah puas hati?”
Khalis menunjukkan arah kiblat yang betul.
Suhaila senyum dan mengucapkan terima kasih.
“Kau dah solat ke belum?” tanya Suhaila.
Khalis kelihatan serba salah untuk menjawab.
“Aku tak boleh solat.” Jawab Khalis gagap. Tiba-tiba
kena serbu dengan soalan sensitif. Bukan dia tidak solat,
cuma lambat sikit aje.
“Lelaki ada uzur ke? Apa kata awak mandi wajib,
lepas tu solat.”
“Suka hati akulah nak solat ke apa.”
“Memanglah suka hati engkau, tapi takkan nak
tunggu orang solatkan kau baru kau nak solat? Masa tu
memang tak guna pun kau solat. Dan aku pun dah jadi
janda.” Selamba Suhaila menyindir Khalis. Dia menutup
mulutnya. Takkanlah dia nak jadi janda dalam usia muda.
Tapi usianya dah nak masuk tiga puluh hujung tahun ini. Apa
yang mudanya?
Khalis diam. Bisa juga mulut perempuan ini.
“Boleh tak kau jangan kacau hidup aku? Aku nak
solat ke, apa ke, suka hati akulah. Kau nak solat, pergi solat
sorang-sorang.” Khalis mengamuk. Tidak pernah ada orang
berani menegurnya sinis begitu.
“Suka hati kaulah. Kalau nak masuk neraka, kau
pergi sorang-sorang. Dah, pergilah keluar. Malas nak layan
kau.” Suhaila menolak badan Khalis.
“Main sebut neraka pulak. Yalah... aku pergi solatlah.
Bising aje.” Khalis keluar dari bilik itu sambil menghentak
kaki.
Suhaila ketawa mengekek. Macam budak-budak.
Pintu ditutup sebaik sahaja Khalis keluar. Masa untuk dia
menghadap Yang Maha Esa.
Selepas solat, baru dia terasa lapar. Nak makan kat
mana? Kalau dia tanya, confirm pak cik tu mengamuk. Tapi
perutnya dah terlampau lapar. Tebalkan muka ajelah.
Suhaila membuka pintu perlahan-lahan. Dia
menghendap kalau-kalau Khalis ada di ruang tamu. Betul ke
Khalis pergi solat atau cakap aje? Kalau tipu, siap dia kena
luku nanti!
Khalis tidak ada di ruang tamu. Suhaila menarik
nafas lega. Dia mencari-cari di mana letaknya dapur. Manalah
tahu kot-kot ada biskut kering ke untuk dia mengalas perut.
Akhirnya dapur ditemui. Suhaila kagum melihat
dekorasi dapur rumah Khalis. Ini deko sendiri atau siap
pasang? Kabinet pun cun melecun. Kerusi makan ala-ala bar.
Memang cantik.
Suhaila membuka satu per satu kabinet. Kosong.
Tidak ada apa-apa. Dia melihat rak pinggan, juga kosong.
Hanya ada dua biji cawan. Memang sah mamat ini kaki
makan luar. Anak orang kayalah katakan.
“Peti ais besar gedabak. Aku pun boleh menyorok
dalam ni.”
Suhaila membuka peti ais dua pintu yang terletak
di sudut dapur. Dia mengharapkan sesuatu untuk dimakan.
Sebaik sahaja dibuka, hanya terdapat sekotak Peel Fresh
Orange.
“Peti ais sikit punya besar, ada air kotak aje?
Membazir elektrik! Ingatkan boleh jumpa aiskrim ke apa.”
Suhaila memegang perutnya. Dah menyanyi lagu
kpop bertajuk lapar. Pintu peti ais ditutup dengan hampa.
Tubuhnya dipusingkan.
“Oh mak kau!” Suhaila terkejut melihat wajah Khalis
yang begitu dekat dengannya. Wah, nampak comel pula lelaki
ini pakai kopiah. Kalau macam ini selalu, kan bagus.
“Kenapa kau selongkar dapur aku ni? Kau nak
merompak aku ke?”
“Kalau nak merompak, aku terjah bilik kau... bukan
dapur. Dapur tempat orang cari makanan. Faham tak?”
“Huh...”
“Aku laparlah. Kat sini ada kedai mamak atau kedai
tomyam tak?”
“Tak tahu dan tak ambil tahu.”
Suhaila mula naik angin. Dia tanya elok-elok, jadi
tolonglah jawab. Susah sangat ke nak jawab soalannya?
Bukan kena bayar atau apa.
Dia terus mengekori Khalis yang bergerak keluar
dari kawasan dapur.
“Bagus jugak kalau aku mati kelaparan kat sini. Nanti
jiran-jiran bau busuk mayat aku. Lepas tu polis datang dan
jumpa mayat aku. Lepas tu polis siasat. Lepas tu keluar paper.
Anak jutawan biarkan isteri dia mati kelaparan. Tajuk besar
pulak tu.” Suhaila sengih sendiri. Jauh betul imaginasinya.
Khalis memerhatikan Suhaila dengan perasaan
geram. Tidak pernah dia jumpa perempuan begini. Banyak
mulut dan banyak mendesak. Suka ugut. Perempuan lain
yang kenal dia pasti akan bermulut manis dan menggoda.
Tapi perempuan ini sungguh menyakitkan hatinya!
“Jomlah, kita pergi makan.” Khalis mengalah.

No comments:

Post a Comment