DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 26

“SAYANG tak payah hantar abang ke KLIA
nanti. Abang dah telefon Fatin, minta dia yang hantarkan.”
“Hmmm...” Asma terasa hati. Suami nak pergi jauh
tapi dia tidak dibenarkan memberi lambaian terakhir. Entah
bila suaminya akan balik lagi. Dia takut nanti dia dilupakan.
Ferhad tarik Asma ke dalam pelukan apabila Asma
tidak memberi reaksi dengan kata-katanya tadi.
“Abang kalau boleh nak sayang yang hantarkan tapi,
abang ambil penerbangan malam. Sayang pula tak berapa
tahu jalan kat sini lagi. Abang tak nak abang pulak tak jadi
naik flight sebab risaukan sayang tak sampai ke kolej.”
Asma diam lagi. Dia pandang wajah suaminya lama.
Wajah ini hanya akan mampu ditatap dalam mimpi nanti.
“Kalau Asma ajak Kak Muna dan Kak Pah temankan,
boleh tak?”
Ferhad tatap dalam-dalam ke dalam mata Asma yang
penuh berharap. Namun dia tetap dengan keputusannya. Dia
senyum sambil geleng kepala.
Asma buat muka merajuk.
“Esok pagi kuliah sayang kan pagi. Nanti tak cukup
tidur. Say goodbye dalam bilik ni pun dah lebih daripada
cukup. Abang dah bagi bekalan yang cukup sehingga abang
kembali nanti.”
Asma lepaskan pelukan dan bangkit. Dia berjalan
ke sofa berangkai tiga berhampiran dengan balkoni dan
duduk di situ. Suasana malam nampak kelam sebab hujan
renyai-renyai.
Ferhad turut bangkit dan mendekati isterinya.
“Jangan buat muka masam dan merajuk macam ni.
Susah hati abang nak tinggalkan sayang nanti,” pujuk Ferhad
lagi.
“Cuti panjang nanti sayang datang UK. Abang bawa
sayang travel benua Eropah, ya?” kata suaminya lagi.
“Hmmm...” Asma hanya menjawab begitu.
“Okey, sayang?” soal Ferhad. Tak puas hati dengan
jawapan hmmm yang Asma berikan.
“Abang janji?”
Ferhad angguk.
“Janji.”
Asma senyum manis. Dia tak sampai hati pula nak
merajuk lama-lama. Lagipun hanya beberapa jam sahaja lagi
masa mereka ada.

BERJUMPA DENGAN Fatin Nur kali kedua, sikap sinisnya
tetap tidak berubah. Dia seolah-olah tidak wujud di hadapan
adik iparnya itu. Jadi Asma ambil sikap berdiam diri. Dia
bukan seorang yang suka cari musuh. Biarpun hatinya
tertanya-tanya kenapa adik iparnya tidak boleh menerima
dirinya sebagai isteri kepada abangnya.
“Abang pergi tandas kejap. Sayang berbual dulu
dengan Fatin.”
Sebaik sahaja Ferhad berlalu, Asma pandang Fatin
Nur. Dia lempar senyum tapi Fatin Nur hadiahkan jelingan
buatnya.
“Gembiralah kau untuk kali terakhir,” bisik Fatin
Nur.
Asma senyum kelat.
“Aku tak tahu kenapa kau dengki sangat dengan aku.
Apa salah aku?” soal Asma perlahan.
Fatin Nur senyum sinis.
“Kau tak salah apa. Tapi kau tu tak sedar diri. Kau
tak layak jadi isteri abang aku. Cermin diri kau tu sikit. Kau
tu budak kampung. Memalukan abang dan keluarga aku. Kau
tahu kenapa abang aku tak bawa kau balik rumah papa?”
Kata-kata Fatin Nur itu hanya dibalas dengan
pandangan polos.
“Sebab dia tak nak memalukan diri sendiri. Tak nak
keluarga kami malu sebab ada menantu kampung macam
kau ni.”
Makan dalam setiap patah kata yang keluar dari bibir
Fatin Nur itu. Dia tahu dia gadis kampung yang tidak punya
apa. Tapi dia tak pernah mimpi pun nak jadi isteri Ferhad.
Namun jodoh ini bukan dia yang minta. Bukan dia
rencanakan untuk berkahwin ketika usia 18 tahun. Dia hanya
gadis biasa yang punya perancangan biasa-biasa. Ingin hidup
bahagia bersama ibunya selagi hayat ada.
“Aku rasa kau terlupa satu perkara. Jodoh aku dan
abang adalah jodoh yang telah Allah SWT tetapkan. Bukan
kau ataupun sesiapa. Jadi kalau kau pertikaikan jodoh kami
maknanya kau pertikaian takdir yang Allah SWT tetapkan.
Ingat, kau bukan Tuhan, aku pun bukan Tuhan. Kita
adalah hamba Allah SWT. Setiap yang berlaku ini dalam
pengetahuan-Nya.”
Fatin Nur kacip gigi. Geram dengan mulut Asma
yang berani melawan kata-katanya.
“Kau...”
“Sorry abang lambat. Dalam tandas tadi ramai orang.”
Ferhad muncul saat Fatin Nur baru hendak melepaskan rasa
geramnya.
“Tak apa, kami pun boleh berbual dulu. Kenal-kenal.
Lagipun Asma tak kenal lagi dengan Kak Fatin ni. Hmmm
kena panggil Kak Fatin ke abang?” tanya Asma sengaja beriak
ceria.
“Hmmm... patutnya Fatin yang kena panggil sayang
kakak, sebab sayang dah jadi isteri abang,” jawab Ferhad.
“Ooo... tak payah panggil kakaklah. Asma rasa
macam tua pulak. Padahal umur kita orang banyak beza.”
Asma senyum manis. Dia paut lengan Ferhad di sebelahnya.
Fatin Nur tersenyum mesra di hadapan Ferhad.
Asma senyum senget. Adik ipar yang pandai bermuka-muka.
‘Huh... nasib akulah dapat adik ipar yang tua pada usia tapi
tak matang pada sikap dan tingkah lakunya.’ Asma malas nak
ambil kisah lagi.
Ferhad dan Fatin Nur menemani Asma sehingga ke
kereta.
“Setkan GPS dulu sebelum keluar. Jaga diri
baik-baik. Kalau ada tak kena dengan kereta sayang, telefon
Michael. Abang dah suruh dia uruskan kereta ni sepanjang
ketiadaan abang nanti.”
Asma angguk. Dia sebak. Masa berpisah hampir tiba.
“Sayang jaga diri baik-baik. Abang akan cuba Skype
dan WhatsApp setiap hari,” janji suaminya.
Mata Asma merah. Ferhad raih Asma ke dalam
pelukannya. Fatin Nur melihatnya dengan wajah meluat.
“Jangan nangis, nanti abang pulak susah hati nak
tinggalkan sayang.”
“Abang janji akan Skype dan WhatsApp setiap hari,
walaupun abang sibuk sangat-sangat...” tagih Asma dengan
suara sengau.
“Ya sayang, abang janji. Dah, pergi balik...” suruh
Ferhad. Dikucup dahi dan pipi Asma. Berat hatinya untuk
berpisah. Dia tidak pernah terfikir sebaik sahaja mereka
bernikah, perasaannya seratus peratus berubah. Rasanya
lebih manis, hangat dan mendamaikan jiwanya. Cukup
segala rencah yang membuatkan dia terasa hidupnya lebih
bersemangat, jiwanya positif dan harinya berseri. Bahkan dia
mula membuat perancangan masa depannya bersama Asma.
Akhirnya Asma masuk ke dalam kereta pemberian
suaminya itu, kemudian memandu pergi. Ferhad memandang
kereta itu sehingga hilang dari pandangan.
“Bertuah badan, lepas kahwin dengan abang, iPhone
dapat, kereta dapat, duit pun dapat. Pandai dia pasang
perangkap. Pandai dia pergunakan nenek,” ujar Fatin Nur
sebaik sahaja Asma berlalu.
“Apa kau cakap ni? Asma dah jadi isteri abang.
Jadi dia patut dapat apa yang sepatutnya dia dapat. Lagipun
abang mampu nak sediakan semua tu,” balas Ferhad dengan
suara yang menahan marah. Pantang dia kalau ada yang
memburuk-burukkan isterinya itu.
“Celik mata sikitlah, bang. Abang tak rasa semua ni
perangkap Asma dengan ibunya ke? Abang balik bercuti, tapi
tiba-tiba nenek buat permintaan luar alam, kahwin dengan
budak tu dalam jangka masa singkat. Tak pernah kenal,
tiba-tiba jadi isteri abang. Lepas tu minta macam-macam.”
Ferhad jeling Fatin Nur. Dia geleng kepala dengan
sikap prejudis adiknya. Tidak pernah berubah. Selalu
merasakan dia yang terbaik.
“Sudahlah. Jangan nak mengarut. Walaupun abang
memenuhi permintaan nenek, tapi abang tak menyesal. Asma
anugerah terbaik yang pernah abang dapat.”
“Habis tu, Tiffany?” Adiknya itu cuba mengingatkan
Ferhad.
Lelaki itu mendengus.
“Berapa kali abang nak cakap, Tiffany tu kawan baik
abang.”
“Tapi dia cintakan abang. Abang sahaja yang tak
sedar.”
“Sudahlah. Jangan nak reka cerita karut dekat sini.
Asma isteri abang. Tiffany kawan baik abang.”

No comments:

Post a Comment