DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 16 April 2017

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 3

Naim memerhatikan Zayn mencampak telefon
iPhone 7 ke atas sofa bersama suatu dengusan. Punggung
dihenyak kasar ke atas sofa.
“Kenapa ni, pak cu?” soal Naim. Terganggu seketika
tumpuannya pada perlawanan bola sepak antara pasukan
Arsenal dengan Chelsea yang sedang bersiaran di kaca
televisyen.
Zayn menguak rambutnya ke belakang. Anak
saudaranya yang enak mengunyah kacang botak dikerling
sekilas.
“Pak cu kadang-kadang dah malas nak layan kerenah
orang pompuan ni. Ada je bahan nak cari gaduh!” luah Zayn
dalam nada marah. “Ni tak kena, tu tak kena. Tahu nak
meroyan je!”
Naim ketawa kecil.
“Kali ni siapa pulak, pak cu? Ni girlfriend yang
nombor berapa?” soal Naim menyindir pak ciknya.
Sejak dulu, pak ciknya memang gemar bertukar-tukar
teman wanita. Yang mana dirasakan tidak sesuai dengan
jiwanya, akan ditukar dengan perempuan yang lain.
Namun yang Naim perasan, pak ciknya jarang sekali serius
dengan mana-mana perempuan yang mendampinginya.
Seingatnya, mungkin sekali saja pak ciknya benar-benar
serius menjalinkan hubungan. Hampir juga dia mengikat
tali pertunangan suatu waktu dahulu, namun entah mengapa
rancangan itu tidak menjadi kenyataan. Naim masih di awal
sekolah menengah ketika itu, justeru tidak mengambil berat
akan hal orang dewasa di sekelilingnya.
“Hesy kamu ni! Mana pak cu tahu nombor berapa? I
don’t keep track of such trivial matters, man!”
Naim menggelengkan kepala. Trivial?
“Remeh pak cu kata? Aduh... kesiannyalah perempuan
yang jadi girlfriend pak cu ni. Asyik kena main je...” Naim
mengenakan pak ciknya. Nama saja pak cik, tapi disebabkan
jarak umur mereka yang tidak begitu jauh, hubungan mereka
lebih kepada adik-beradik atau sahabat.
“Mana ada pak cu mainkan diaorang? Pak cu
tak pernah janji apa-apa pun pada diaorang. Bagi pak cu,
diaorang tu semua kawan biasa je. Alah bang, biasalah kan.
Kawan biar ramai, tapi nak jumpa yang serasi bukan senang.
Abang apa tahu? Orang pompuan ni tak boleh bagi muka
sangat, tau. Nanti diaorang naik kepala. Ni pak cu baru tegur
sikit je. Belum marah betul-betul lagi, dah merajuk. Cepat
sangat nak sentap. Rimas pak cu!” gerutu Zayn.
Naim menekan punat alat kawalan Astro. Mati terus
cahaya yang memancar dari kaca televisyen. Wajah Zayn
dipandang.
“Selama abang berkawan dengan Ara, tak pernah
pulak dia naik kepala abang. Abang naik atas kepala dia
adalah,” tawa Naim.
Berkerut dahi Zayn tidak mengerti.
“Maksud abang?”
“Ara tu baik sangat, pak cu. Kalau abang ponteng
kelas, nota dialah abang cilok. Kalau abang ada masalah
dalam pelajaran, dialah yang sabar mengajar abang. Dia mana
pernah merungut? Kalau abang susah, dia orang pertama
yang akan tolong. Abang ramai kawan, pak cu. Kawan dari
zaman sekolah ada, kawan yang tinggal satu taman kat sini
pun ada. Kawan masa senang ramai, masa susah pun ramai.
Tapi Ara... dia lain daripada kawan-kawan abang tu. Dia ni
kira macam best buddy abanglah dalam dunia ni...”
Sukar untuk Zayn menghadam penjelasan daripada
anak saudaranya ini. Best buddy? Antara lelaki dengan
perempuan? Mustahil! Sukar untuk diterima akal. Yang selalu
didengarnya dan yang pernah dialaminya sendiri, lelaki dan
perempuan tidak mungkin dapat berkawan rapat tanpa wujud
bibit-bibit perasaan yang melibatkan hati, sama ada pada
pihak lelaki ataupun perempuan. Akhirnya, persahabatan
yang terjalin akan berkubur begitu saja dek kerana seorang
lagi itu tidak mempunyai perasaan yang sama.
“Pak cu tak percaya abang dengan si Ara tu
sekadar berkawan rapat. Pak cu betul-betul tak percaya.”
Tergeleng-geleng kepala Zayn.
Naim tersenyum.
“Dulu pun, ramai kawan abang tak percaya yang
abang dengan si Ara tu takde hubungan apa-apa, sedangkan
kita orang berdua selalu bersama. Sejak tingkatan 3 lagi kita
orang berkawan. Kita berdua banyak minat benda yang sama
tapi abang dan Ara masing-masing sedar batasan hubungan
persahabatan kita orang. Abang tak pernah risau Ara ada
simpan apa-apa perasan pada abang, dan dia pun macam tu
jugak.” Yalah, Naim tahu hati Azzahra pernah menyimpan
perasaan terhadap Farouk. Perasaan yang sangat dalam.
Sebab itu Naim sedar yang dirinya tidak mungkin dapat
mengganti tempat Farouk di dalam hati Azzahra.
Zayn tergelak kecil. Sedar betapa Naim masih muda
dan mungkin belum betul-betul matang dalam pemikirannya.
“Abang dengar sini. Dalam hubungan antara lelaki
dengan perempuan ni, takkan ada istilah ‘teman rapat’.
Lambat-laun, mesti wujud perasaan yang lebih daripada
kawan biasa... Perasaan yang melibatkan soal hati.”
Naim sudah mula menggelengkan kepala walaupun
Zayn belum menyudahkan kata. Tidak bersetuju dengan
rumusan yang lahir dari bibir pak ciknya itu.
“Takkan abang takde perasaan langsung pada Ara
tu? Walaupun pada pandangan mata pak cu ni dia tu kasar
orangnya, tapi muka boleh tahan comel,” ujar Zayn masih
ingin menduga Naim. Memanglah ketika dalam perjalanan
pulang dari Pulau Pinang tempoh hari, perbualan Naim
dengan Azzahra begitu selamba dan tiada kelembutan
langsung. Tiada juga unsur-unsur perbualan yang lazim
antara seorang lelaki dengan perempuan yang mempunyai
suatu hubungan yang istimewa. Tetapi, yang pasti, hubungan
Azzahra dengan Naim begitu mesra.
“Takde,” balas Naim penuh yakin.
Dahi Zayn bergaris.
“Macam mana pulak dengan Ara? Entah-entah
selama ni, dia baik sangat dengan abang, selalu tolong abang,
sebab dia ada perasaan pada abang tak?”
Naim mengulum senyum. Tidak mungkin Azzahra
ada menyimpan perasaan terhadapnya, sedangkan sejak
gadis itu bisa menyimpan kenangan, ada satu nama saja
yang terpahat di dalam hati kecilnya. Cuma beberapa tahun
kebelakangan ini, Azzahra sudah seakan memadamkan nama
itu. Dan hingga kini tiada nama lain yang bisa mengambil
tempat di dalam hatinya lagi.
“Pak cu tak kenal Ara,” lafaz Naim penuh bangga.
Zayn menjongket bahu. Masih tidak yakin dengan
kata-kata Naim. Di dalam hati, dia pasti hubungan Naim
dengan Azzahra bakal dicemari dengan kehadiran suatu
perasaan yang akan meretakkan hubungan mereka. Jika
bukan sekarang, suatu hari nanti. Dia hanya perlu tunggu
dan lihat.
“Apa pun, orang pompuan ni satu spesies yang pelik.
Emosi semacam. Sampai sekarang pak cu takkan boleh faham
hati seorang pompuan ni. Pening kepala pak cu.”
“Hai, pak cu... apa dah jadi dengan idola nombor satu
abang ni? Pak cu jangan! Selama ni abang bercita-cita nak
jadi macam pak cu. Bagi abang, pak cu ni ensiklopedia untuk
spesies perempuan. Pak cu jangan padamkan impian abang
pulak.”
“Abang nak jadi macam pak cu?” soal Zayn terkejut.
“Bukan playboy macam pak cu!” tangkis Naim laju.
“Tapi lelaki yang penuh keyakinan bila berhadapan dengan
seorang perempuan. Yang senang nak tarik perhatian orang
perempuan, macam magnet!”
Gelak Zayn jadinya. Langsung tidak berkecil hati
digelar seorang playboy walaupun gelaran itu baginya tidak
tepat kerana dia tidak pernah menjanjikan bulan dan bintang
pada teman-teman wanitanya. Berbincang tentang hal masa
depan dengan mereka pun tidak pernah. Jadi, bukan salahnya
kalau mereka menaruh harapan yang tinggi terhadapnya.
“Sekarang ni abang tak pandai nak mengurat ke?”
“Entahlah...”
“Abang handsome apa? Apa masalahnya?”
“Abang bukan nak mengurat sesiapa je. Abang masih
menunggu for that special someone,” ujar Naim.
“Dan Ara bukan that special someone?” soal Zayn
masih ingin mengaitkan nama Azzahra.
“Bukanlah, pak cu. Ara tu special... special sangat.
Tapi dia bukan abang punya special someone.”
“Hmmm... take your time, abang. Abang muda lagi.
Takde apa pun nak dikejar. Belajar dulu, abang. Benda lain
boleh tunggu,” nasihat Zayn. Sejujurnya dia tidak mahu
Naim melakukan kesilapan yang sama yang telah dilakukan
ketika zaman remajanya. Terlalu mengikut naluri muda
sehingga membiarkan hati dan kepalanya dipijak-pijak oleh
spesies bergelar perempuan.
“Abang faham tu, pak cu. Lagipun, takde siapa di
dalam hati abang sekarang ni. Haven’t found the right girl
yet.”
Zayn membongkokkan tubuhnya ke hadapan. Mata
Naim dicari.
“Satu hari nanti, abang akan sedar yang there is no
such thing as the ‘right girl’,” sinis tutur kata Zayn. Senget
senyuman di tepi bibir. “Semua pompuan ni, walaupun
perangai lain-lain, tapi apa yang diaorang nak daripada lelaki
ni sama je. Trust me.”
“Amboi, pak cu! Cakap macam pernah patah hati je?”
sindir Naim.
Zayn bangun. Telefon bimbit yang dicampak tadi
dicapai semula.
“Pak cu masuk dulu. Nak tidur. Penat.”
Naim mengikut langkah Zayn yang masuk ke dalam
biliknya melalui ekor mata. Lazimnya, Zayn akan berkongsi
bilik dengannya setiap kali pak ciknya itu mengunjungi
keluarganya di Kuala Lumpur ini. Bukan dia tiada rumah
sendiri. Ada. Namun, disebabkan hubungan Zayn yang terlalu
rapat dengan ibu Naim sendiri, pak ciknya itu tidak akan
pernah menolak setiap kali diajak bermalam oleh ibunya.
Rumah ini pun sudah menjadi persinggahan tetap bagi Zayn.
Rumah keduanya.
Mata kembali berlabuh ke skrin televisyen yang
kosong dan malap. Kata-kata Zayn tentang perempuan
secara amnya, serta hubungannya dengan Azzahra tadi,
kembali menerpa ke minda. Pandangan Zayn terhadap kaum
perempuan tidak begitu tinggi nampaknya. Luahannya
berbaur seorang yang pernah dikecewakan... mungkin terlalu
dikecewakan sehingga tidak lagi percaya wujudnya seorang
gadis yang istimewa untuk dijadikan peneman seumur hidup.
Tiada ‘right girl’, katanya. Naim tidak percaya
akan itu. Dia sedar Allah menjadikan lelaki dan wanita
berpasang-pasangan dan tentu saja ada seorang gadis yang
sememangnya diciptakan untuk mendampinginya. Mungkin
bukan sekarang, dan mungkin juga bukan esok, tapi pasti
hari itu bakal tiba jua.
Dia turut yakin, ada seorang gadis yang telah
tercipta untuk mendampingi Zayn. Tentu ada ‘right girl’
untuk pak ciknya itu. Cuma Zayn saja yang belum bertemu
dengan gadis itu lagi. Dan selagi hati Zayn belum ditambat
gadis yang sebegitu, sampai sudahlah lelaki itu akan kerap
berganti pasangan.
Naim mengeluh kecil. Kesian pak ciknya...

No comments:

Post a Comment