DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Sweet & Dangerous - Bab 2

BERPULUH jam berlalu mereka tiba di Paris ketika hari sudah malam. Seorang lelaki menanti ketibaan mereka.
“Bonsoir, madame...” sapa lelaki itu sebaik sahaja mereka tiba di hadapan mereka.
“Bonsoir. Où est Vanessa?” balas Humaira saat lelaki itu mengambil bagasi mereka.
“À la maison. Elle vous attend, madame.”
“Allons-y...” Humaira memandang suaminya. Fakhrul sibuk memandang sekeliling. Lengan lelaki itu direnggut lembut sehingga lelaki itu berpaling kepadanya.
“Let’s go,” ucap wanita itu kepada suaminya.
Fakhrul sekadar mengangguk sebelum ikut berlalu bersama lelaki itu. Sebastian berjalan laju di hadapan mereka. Sekali lagi mereka terpaksa menaiki pesawat. Namun kali ini jet peribadi.
Hanya sekitar sejam perjalanan mereka tiba di daerah pergunungan Cantal di pinggir kota Paris. Penat? Ya. Sudah terlalu penat dengan perjalanan yang teramat panjang! Namun kepulangan mereka disambut oleh seseorang yang teramat dirindukan.
“Mama...”
“Prince...” seru Humaira ceria. Anak berusia 10 tahun itu meluru ke arah ibunya. Wanita itu didakap erat sekali. Lama.
“Putra...”
Anak itu diam. Hanya wanita itu yang menjadi tumpuannya. Tidak hairankan ayahnya. Lelaki itu macam tidak kelihatan langsung di matanya.
I’m so tired...” ucap Fakhrul lantas meninggalkan dua beranak itu di situ begitu sahaja.
Humairah sempat merenung langkah suaminya. Lelaki itu menonong begitu sahaja ke arah tangga. 
“Papa merajuklah,” ucap Humairah perlahan.
“My name is Prince. Silly!”
“Shhtt! He is your father,” tegah wanita tidak senang dengan kata-kata anak itu. Hakikatnya nama sebenar anak itu adalah Putra. Bukannya Prince. Namun Putra sengaja mahu menunjuk protesnya dengan berbuat begitu.
Wanita itu berbisik perlahan kepada sang anak. Dengannya, Putra lebih senang dipujuk. Setelah anak itu ke kamar tidur, dia mencari suaminya. Fakhrul berada di dalam kamar anak bongsu mereka. Merenung tampang kecil yang sedang lena pulas.
“Abang...” tegur wanita itu lantas ikut masuk. Matanya ikut merenung Jordan yang sedang lena.
“Abang rindu anak-anak abang,” ucap Fakhrul rendah. Matanya dipejamkan sebelum dia menghela nafas perlahan. Sedar yang jurang terlalu besar kerana dia tidak selalu bersama anak-anak. Kerana bimbangkan keselamatan anak-anak, mereka disisihkan di sini. Jauh dari ibu bapa kandungnya. Tidak hairanlah jika Putra selalu memberontak dengannya.
“Setiap kali abang jumpa Putra, abang selalu jadi orang asing pada dia,” luah Fakhrul lagi.
“Masih ada masa untuk ubah keadaan itu, kan?” ujar wanita itu lantas mengusap belakang lelaki itu.
Fakhrul menoleh kepada isterinya. Wajah itu dipandang lama. Wanita itu tersenyum.
“Abang perlukan rehat,” ucap Humaira lembut. Tangan lelaki itu ditarik, sama-sama meninggalkan kamar itu.
Di kamar mereka Fakhrul duduk di birai katil. Membuka butang kemejanya satu persatu sementara isterinya bercakap dengan seseorang melalui telefon di meja telefon. Namun kemudian wanita itu bangun semula dari sofa lalu ke kamar mandi. Air hangat ditadah di dalam tab mandi. Kamar itu berbau harum setelah sedikit cecair beraroma dicampurkan di dalam air.
Ketika dia keluar, lelaki itu hanya bertuala menayang tubuh sasanya. Tetapi mata wanita itu sekali lagi terpandangkan satu parut berbentuk bulat di atas dada lelaki itu. Humairah mengalihkan pandangan serta merta.
Fakhrul berlalu ke kamar mandi tanpa berkata apa-apa kepada isterinya.
“Abang...” panggil Humairah sebelum lelaki itu masuk ke kamar mandi. Fakhrul sekadar menoleh tanpa menyahut.
“Berapa lama kita tak jumpa sebelum abang panggil Maira ke Kuala Lumpur?” tanya Humairah.
“Tujuh atau lapan bulan. Kenapa?” balas lelaki itu dalam nada mendatar.
“Sesekali abang bersama dengan anak-anak dan isteri, boleh tak kalau abang maniskan muka?”
Fakhrul berpaling semula tanpa membalas kata-kata isterinya. Humairah terus memandang sehingga lelaki itu menghilang. Masa telah banyak berlalu semenjak mereka bertemu dan jatuh cinta. Sikap lelaki itu juga sudah sedikit berubah. Agak keras. Namun dia tahu... lelaki itu masih terlalu sayang kepadanya.
Melihat lelaki itu lebih banyak berdiam, Humairah juga ikut berdiam. Namun setelah dia berbaring untuk merehatkan sebatang tubuhnya ini, tiba-tiba dia terasa ada seseorang mendekatinya. Fakhrul terus mengiringi menghadap isterinya.
“Kita tak jumpa dah tujuh atau lapan bulan, kan?” ucap lelaki itu lembut.
“Bila ada keinginan nak panjat isteri... ada pulak suara tu,” perli Humairah selamba. Berubah wajah Fakhrul. Sakit telinga disebat perlian isterinya.
“Tak mahu tak apalah,” ucap lelaki itu lantas berpaling ke arah lain. Bantal golek diambilnya lalu dipeluk.
“Sensitif betul abang sekarang ni,” tegur Humairah perlahan. 
“Suami akan kecil hati kalau isteri perli waktu dia berkehendak,” jawab lelaki itu selamba. Wanita itu tersenyum lalu mendekatkan tubuhnya kepada lelaki itu. Lengan Fakhrul dipautnya sebelum bibirnya dilekapkan di pelipis sang suami dengan penuh kelembutan.
“Maafkan Maira. Maira tak berniat nak kecilkan hati abang,” ucap Humairah rendah.
Fakhrul diam pula sambil menghela nafas panjang. Entah kenapa dia merasa tertekan saat ini. Hatinya tidak tenang. Tidak seharusnya dia melepaskan tekanan itu kepada Humairah.
I’m so sorry. Kita dah tak macam dulu,” bisik wanita itu lunak.
Fakhrul kembali memandang isterinya. “Macam dulu?” tanya Fakhrul perlahan.
Humairah mahu menjawab namun bunyi telefon di meja menganggu perbualan mereka dinihari itu. Dia bangun semula untuk mencapai ganggang.
“Allo?”
Wanita itu berdiam seketika sebelum menjawab dalam Bahasa Perancis kepada seseorang di hujung sana. Fakhrul tidak ambil endah. Tidak faham sangat apa yang diucapkan isterinya. Namun tidak sampai seminit Humairah kembali mendekati suaminya.
“Siapa?” tanya Fakhrul.
“Vanessa. Dia tanyakan kita. Maira minta dia datang esok pagi,” ujar Humairah lembut.
Fakhrul sekadar mengangguk. Namun kemudian dia kembali memandang ke atas.
“Maira tahu abang tak happy dengan keputusan yang abang buat. Maira sedar agak mustahil untuk Maira paksa abang jadi orang lain demi Maira dan anak-anak abang,” ujar Humaira perlahan.
“Abang happy,” ucap Fakhrul perlahan.
Really? Semenjak kita tinggalkan KL, abang nampak terlalu stress. Kenapa?”
Fakhrul diam pula. Daripada seorang pegawai tentera dia berakhir sebagai pembunuh upahan. Bagaimana dengan pandangan Tuhan kepadanya? Bagaimana jika anak-anak mereka tahu apa sebenarnya kerja ayah kandung mereka? Di kala ini usianya akan mencecah ke angka 40, tidakkah ini waktu yang tepat untuk dia cuci tangan?
“Abang memang nak bersara,” ucap Fakhrul rendah. Tubuh perempuan itu dipautnya sehingga tiada ruang di antara mereka.
“Abang nak kita macam dulu semula,” ujar lelaki itu lagi. Matanya merenung tunak wajah sang perempuan yang teramat dekat dengannya. Perempuan ini masih terlalu cantik di matanya. Terlalu baik kepadanya. Tidakkah dia juga seharusnya mengorbankan sesuatu buat sang isteri?
“Macam dulu yang macam mana?” tanya Humairah selamba.
“Dulu kita buat apa saja yang kita suka. Waktu kita baru kahwin,” ujar Fakhrul lantas tersenyum.
Humairah juga ikut tersenyum. Dahi lelaki itu dikucup berkali-kali. Usapan lembut lelaki itu mula bertukar liar. Dia tidak peduli. Pernah suatu masa dulu ketika hati terlalu cinta, cinta jugalah yang membuatkan mereka menjadi buta. Dia percaya Fakhrul juga tidak pernah lupa kisah itu. Terlalu indah. Terlalu hangat. Dan hubungan itu cukup membara bersulam asmara.
Seperti mana hangat dan membaranya sentuhan lelaki itu kepadanya saat ini.














No comments:

Post a Comment