DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 1




“FERHAD, bangun!”
“Kejap lagilah nek, awal lagi ni,” jawab Ferhad malas.
Dia baru sampai dalam pukul 5 pagi. Selepas subuh baru tidur
dan belum pukul 8 pagi, nenek dah kejut bangun. Kepala pun
rasa berpusing-pusing ni. Tak cukup tidur. Jet lag lagi.
“Bangun. Temankan nenek pergi pasar. Balik nanti
kau boleh sambung tidur.”
Hmmm... Ferhad masih belum mahu buka mata.
Baru tadi dia sampai ke alam mimpi. Ada bidadari cantik
mengalukan kedatangannya ke taman bunga nan indah. Baru
saja nak menyambut huluran tangan, dah memetir suara
neneknya kejutkan dia bangun. Dia mengeluh kuat. Ditekup
bantal ke mukanya.
“Ferhad!” lantang suara Nek Som menjerit namanya.
“10 minit, nek. Nanti Ferhad bangun.”
“Tak ada 10 minit. 10 saat je nenek bagi. Sekarang
bangun! Cepat pergi, cepat balik.”
“Okey... okey... Ferhad bangunlah ni,” dengus
Ferhad. Nak tak nak, dia bangun jugak.
“Bagi Ferhad 10 minit, nak mandi.”
“Cepat sikit,” gesa Nek Som lagi. Bukan dia tak
kasihan. Tapi kalau lambat pergi, habis semua ikan segar di
pasar.

PAGI MASIH lagi terasa sejuk, walaupun matahari galak
memancarkan cahayanya. Pasar pagi seperti biasa, sibuk
dengan orang ramai membeli barang-barang keperluan
harian.
Ferhad mengeluh. Satu perkara yang dia cukup
tidak suka apabila datang ke pasar adalah baunya. Pelbagai
bau dapat dihidu. Bau hanyir ikan meloyakan tekaknya. Bau
sayur-sayuran bercampur tanah membuatkan dia terimaginasi
dalam sebuah mangkuk berisi sayur ada beberapa cacing
tanah berenang. Sebab itulah dia tidak suka makan sayur. Tak
berselera walaupun Tiffany selalu membuat salad semangkuk
besar. Jika disuakan kepadanya, jauh sekali mahu disentuh.
Hari ini dia mencemar duli mengikut neneknya
ke pasar harian. Jarang sekali dia membantah setiap ajakan
neneknya secara terus terang walaupun mulutnya mereka
berbagai alasan. Dia kasih dan sayangkan neneknya.
Satu-satunya nenek yang dia ada untuk bermanja. Neneknya
yang sentiasa menasihati dan jauh sekali memarahinya
walaupun dia punya kisah silam.
“Allah SWT sentiasa bersedia dengan tangan
terbuka untuk memaafkan setiap hambanya yang berdosa.
Jadi mengapa tidak kita sebagai hambanya juga bersedia
memaafkan mereka yang telah insaf dan kembali ke pangkal
jalan? Sebagai manusia, tidak pernah sekali terlepas daripada
melakukan kesilapan. Ia adalah ujian daripada-Nya. Ia juga
adalah ilmu kehidupan agar kita berubah menjadi lebih baik.”
Itu kata-kata nasihat yang nenek tuturkan kepadanya
ketika dia dipulaukan atas kesalahan yang tidak sengaja
dilakukan ketika dia sedang menunggu keputusan SPM
sepuluh tahun lalu. Terjebak dalam parti liar dan ditangkap
polis, sudah tentu memalukan keluarganya. Dia hampir
lunyai dibelasah oleh papanya yang sentiasa mementingkan
maruah. Neneklah yang menahan dan melarang daripada dia
terus dibelasah. Neneknya yang menjaga dan merawatnya.
Jadi dia amat berterima kasih dan terhutang budi dengan
neneknya
.
Hampir 5 tahun tidak pulang ke Malaysia, jadi rumah
neneklah yang menjadi tempat hinggap pertamanya. Namun
dia tetap memberitahu mama tentang kepulangannya.
Mungkin seminggu dua lagi dia pulang ke rumah kedua-dua
ibu bapanya di Sungai Buloh, Selangor. Itu pun kalau
emosinya okey. Dia tak berapa suka balik ke sana. Istana
hinggap yang terasa kosong. Mama dan papa sibuk 24 jam.
Disebabkan peristiwa 10 tahun lepas juga dia jarang bercakap
dengan papanya. Sakitnya masih lagi terasa.
“Cepat sikit jalan. Jangan nak berangan lagi. Nenek
ada banyak barang nak beli ni.”
Ferhad sengih. Jauh benar dia menggali kisah
hidupnya dulu.
“Ikan aya ni 2 ekor. Potong dan siang. Udang sekilo
dan sotong sekilo.”
“Siapa ni, Mak Som?”
“Ferhad. Takkan kau tak ingat? Baru sampai pagi
tadi.”
Ferhad hulur senyum.
“Assalamualaikum, Pak Ali.”
“Waalaikummussalam,” jawab Pak Ali kemudian
ketawa.
“Hampir aku tak cam kau. Dulu kurus sekarang ni
makin tegap. Makin putih sejak kerja di negara orang putih
ni. Kau sampai sini bila?”
“Subuh tadi, Pak Ali.”
Dia kenal dengan Pak Ali. Semasa dia kena pulau
dulu, dengan Pak Alilah dia belajar mengaji al-Quran dan
melaksanakan solat dengan betul. Tapi sejak kerja di United
Kingdom(UK), dia mula alpa.
Ferhad angkat tangan kanan bersalam.
“Tak payah-tak payah. Tangan Pak Ali ni busuk
dengan ikan.” Dengan mesra Pak Ali menolak huluran tangan.
“Tak apa, Pak Ali. Air ada tu, boleh basuh,” jelas
Ferhad.
Pak Ali ketawa senang.
“Ayah kau tak balik sekali ke?”
“Tak, Pak Ali. Saya sorang je,” balas Ferhad lemah
lembut.
“Budak Ferhad ni baru balik dari UK, 5 tahun kat
sana belajar dan terus kerja. Jadi bila balik sini, dia terus
datang rumah aku. Rumah bapaknya kat KL pun tak balik
lagi,” cerita Nek Som.
Pak Ali terangguk-angguk.
“Berapa lama cuti?”
“Sebulan, Pak Ali. Alang-alang cuti, ambil cuti lama
sikit. Lepas rindu kat nenek ni.”
“Baguslah. Kesian nenek kau ni, sunyi tinggal
sorang. Ada anak cucu macam tak ada. Sakit pening sendiri
kena tanggung.” Mendalam maksud Pak Ali.
“Kau ni Ali membebel kalahkan Milah. Aku ni sihat
walafiat lagi. Tak perlukan orang jaga atau temankan. Dema
semua sibuk cari rezeki. Aku pulak tak nak susahkan sesiapa.
Bukannya mereka tak ajak aku tinggal sekali tapi aku ni
sayang nak tinggalkan rumah aku tu.”
Pak Ali pandang Ferhad. Seolah-olah cuba
menyampaikan sesuatu.
“Sebab itulah Ferhad terus datang sini, temankan
nenek. Jadi tak adalah nenek sunyi lagi. Saya ajak ikut saya
ke UK, dia tak nak, Pak Ali. Bila telefon, selalu pula tanya bila
Ferhad nak balik.”
“Orang tua macam tulah, Ferhad, selalu teringatkan
anak-anak. Bila anak ajak tinggal bersama, sayang pulak nak
tinggalkan rumah sendiri. Jadi sebagai anak cucu, kita harus
mengalah.”
“Berapa semua ni, Ali?” tanya Nek Som apabila
pembantu Pak Ali menghulurkan plastik berisi ikan, sotong
dan udang yang dimintanya tadi.
“40 ringgit dahlah, Mak Som.”
“Nah. Terima kasih ya, Ali. Assalamualaikum.”
Setelah menghulurkan cukup-cukup 40 ringgit, Nek
Som bergerak pergi. Ferhad mengekor dari belakang setelah
berjabat tangan dengan Pak Ali.
Mereka pergi ke bahagian sayur-sayuran pula.
“3 ikat 5 ringgit. Murah-murah...” Ramah
penjual sayur menegur Nek Som sambil mempromosikan
sayur-sayuran yang dijual.
“Siapa ni, Mak Som?” Soalan itu lagi yang diajukan.
“Ferhad. Cucu aku,” jawab Nek Som mesra.
Dia berhenti di sebuah gerai yang penuh dengan
sayuran segar.
“Ibu kau tak meniaga hari ni, Asma?”
“Nek Som.” Gadis itu terperanjat dengan teguran Nek
Som yang tiba-tiba. Lebar senyuman gadis itu mengalukan
mereka.
“Tak. Ibu semput sikit pagi ni. Jadi Asma suruh dia
rehat dekat rumah je.”
“Nek Som nak sayur apa? Eh, siapa ni, Nek Som?”
soal Asma ramah.
“Ferhad. Cucu aku yang selalu aku duk cerita tu.”
“Ooo...” Hanya itu yang kedengaran keluar dari bibir
kecil itu. Comel. Nampak segar macam sayur-sayuran di
sekelilingnya. Entah kenapa, mata Ferhad yang hampir layu
tadi kembali segar apabila melihat senyuman Asma.
“Bagi Nek Som bayam 2 ikat. Cili padi 2 ringgit.
Halia dan lobak merah.”
Tangkas Asma mengambil dan menimbangkan
sayuran yang diminta.
Ferhad ralit memerhatikannya. Dia suka melihat
wajah ceria dan comel Asma. Seperti sekuntum bunga mawar
di taman.
“Balik nanti singgah rumah Nek Som dulu. Nanti
Nek Som buatkan sup sayur untuk ibu kamu.”
Asma sengih. Dia tahu dia tidak mampu menolak
sebarang pemberian Nek Som. Nanti merajuk pulak. Susah
pula tu nak dipujuk. Tapi mengetahui kehadiran Ferhad di
rumah Nek Som, dia jadi segan pula nak singgah.
“Dengar tak ni? Jangan tak singgah pulak,” sergah
Nek Som.

No comments:

Post a Comment