DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 2

“Pastikan kondo aku siap sebelum hujung
minggu ni. Kau tahu kan aku tak suka duduk hotel lama-lama.
Kalau tak siap juga, aku saman kau. Buat lantai pun sampai
dua bulan.” Khalis geram. Kalau tidak dikenangkan sepupu
sendiri, sudah lama dia saman Darien. Sibuk minta job. Tapi
kerja senang pun makan masa nak siap.
“Maaf.”
Seorang gadis melanggar bahunya. Khalis menoleh
sekilas. Gadis itu terburu-buru melepasinya. Khalis tidak
ambil kisah. Perkara tidak disengajakan pun.
“Kau dengar baik-baik. Aku nak balik kondo aku
hujung minggu ni. Hujung minggu ni! Faham tak???” Khalis
memutuskan panggilan. Boleh gila dibuatnya kalau terpaksa
tinggal di hotel lama-lama. Tinggal di rumah papa memang
kirim salam ajelah.
Khalis menyimpan telefon dalam poket. Lebih baik
dia lupakan soal Darien. Sekarang dia perlu membersihkan
dirinya. Dia mahu berendam dalam tab mandi sepuas-puasnya.
Sesi mesyuarat yang panjang hari ini membuatkan dia berasa
teramat letih. Lepas mandi, dia mahu terus tidur. Besok pagi
dia ada urusan di Klang. Cuti pun tak serupa cuti. Banyak
sangat urusan. Sabtu pun dah macam hari Isnin.
Khalis menekan butang lif ke tingkat 5. Dia
berseorangan dalam lif. Terasa hidupnya begitu sunyi. Tiada
kawan untuk berborak dan meluahkan perasaan. Hanya ada
Umie Farihah, pembantu peribadinya. Itu pun berborak cuma
soal kerja. Jarang berborak soal peribadi. Tapi dia rasa bahagia
begini. Dia tidak perlu sakitkan hati sesiapa atau rasa sakit
hati.
Pintu lif terbuka di tingkat lima. Tiba-tiba perutnya
memulas. Dia rasa tak tahan mahu membuang air besar.
Khalis melajukan langkah. Biliknya bernombor 518. Tiba di
hadapan bilik, dia tercari-cari kad akses pintu. Tak jumpa.
Diseluk poket kot. Tak ada. Dicari di dalam beg bimbit, pun
tak ada.
“Kenapa waktu ni juga kad akses ni nak hilang.
Dahlah sakit perut.” Khalis menyelongkar poket seluarnya.
Setelah puas meraba-raba, dia menarik sekeping kad yang
terselit pada buku notanya. Dalam tergesa-gesa, dia tidak
perasan buku notanya jatuh ke lantai. Dia terus sahaja
meluru masuk sebaik sahaja pintu terbuka. Beg bimbitnya
dicampakkan ke atas katil lalu terus ke tujuan utamanya
untuk ke tandas.
“Diaorang bagi makan apa ni? Memulas sangat perut
ni,” omel Khalis setelah keluar dari tandas. Entah apa yang
dia makan semasa jamuan petang tadi, sampai perutnya
memulas semacam. Mujurlah tidak berlarutan.
Tuala dicapai. Pakaiannya ditanggalkan satu per satu
hingga akhirnya dia hanya bertuala separas pinggang. Baju
dan seluar dibiarkan bersepah di atas katil. Sekarang masa
untuk berendam!
“Cik nak saya panggilkan teksi ke?” seorang lelaki menegur.
Suhaila menoleh. Daripada pakaian seragam yang
dipakai, lelaki itu pasti pekerja hotel. Suhaila menggeleng.
Rasanya dia patut pulang ke bilik dan memikirkan apa langkah
yang perlu dibuat untuk mengatur kembali hidupnya. Karlisa
sudah jadi orang asing. Tidak mungkin dia akan tinggal
serumah dengan Karlisa lagi selepas ini.
Suhaila melangkah melepasi lobi menuju ke lif.
Dia harus lupakan semuanya. Saiful dan Karlisa sudah sah
sebagai suami isteri. Dia hanya akan jadi orang ketiga.
Pintu lif terbuka di tingkat lima. Suhaila keluar dari
perut lif. Nampaknya hanya dia seorang turun di tingkat
lima. Langkah Suhaila terhenti. Air matanya gugur lagi. Dia
rasa tidak sanggup kembali ke biliknya. Enam bulan lalu, dia
membayangkan di bilik itu dia dihias dan didandan cantik
pada hari bahagianya. Sekarang semuanya hanya tinggal
mimpi.
Kenapa Karlisa sanggup menikamnya dari belakang?
Kalau Karlisa berterus terang dari awal, dia sanggup
putuskan perhubungannya dengan Saiful. Apa yang Karlisa
buat sekarang bukan setakat menghancurkan hidupnya,
tapi seakan membunuh dirinya perlahan-lahan. Mungkin
dia masih boleh bertahan jika Saiful bersanding dengan
perempuan lain. Tapi, Saiful bersanding dengan Karlisa.
Karlisa sahabat baiknya. Sahabat yang sudah dianggap
saudara.
“Ya Allah... tabahkanlah hatiku.” Suhaila
memasukkan kad akses ke dalam slot dan terus menolak pintu
bilik. Kakinya tertendang sebuah buku nota yang berada di
kaki pintu. Tanpa mengendahkannya, dia terus masuk.
Sebaik sahaja pintu tertutup, dia terduduk dan terus
menghamburkan tangis di belakang pintu itu. Dia meraung
sendirian. Tiada lagi bahu Karlisa untuk dia tumpahkan
tangis. Tiada lagi Karlisa untuk mendengar masalahnya. Dia
menangis kerana Karlisa. Adakah selama ini persahabatan
mereka tidak bermakna? Suka, duka, tangis dan tawa bersama
hanyalah sandiwara Karlisa!
Khalis rasa tenang berendam di dalam bathtub. Hilang
semua masalah yang terbeban di kepalanya. Kalau berada di
rumahnya, lagi seronok dia berendam dalam jakuzi. Tiba-tiba
ketenangannya terganggu. Kenapa dia seakan-akan terdengar
suara orang menangis? Apa yang menghairankan, suara itu
seakan-akan dekat saja.
Takkan ada orang masuk biliknya? Siapa pula nak
kenakan dia? Khalis keluar dari bathtub. Tuala diambil untuk
menutupi sebahagian tubuhnya.
Sementara itu, Suhaila yang terduduk menangis
sejak tadi bangun dan bersandar pada pintu bilik air yang
berdekatan dengan pintu masuk bilik. Dia mengesat air mata.
Cukuplah setakat ini dia bersedih untuk kedua-dua makhluk
yang mengkhianatinya. Dia tidak akan goyah hanya kerana
Karlisa merampas orang yang dia sayang.
Telefon dikeluarkan untuk menghubungi seseorang.
Tiba-tiba pintu bilik air terbuka menyebabkan Suhaila
terdorong ke belakang. Keseimbangan tubuh tidak dapat
dikawal. Telefon di tangan tercampak. Mungkin jatuh ke
dalam bathtub yang penuh dengan air. Dalam hati, dia hanya
mampu membayangkan tubuhnya bakal terasa sakit kerana
tergelincir ke lantai.
Terasa ada tangan menahannya daripada jatuh,
mata yang terpejam dibuka perlahan-lahan. Suhaila
terasa badannya ditarik ke dalam pelukan seseorang. Mata
dipejamkan semula, tidak berani bertentang mata dengan
entah siapa.
Hidungnya terbau haruman yang sangat maskulin.
Dia khayal seketika dek haruman itu. Tangannya tersentuh
sesuatu yang sejuk. Saat matanya dibuka semula, Suhaila
terkejut apabila melihat tangan sendiri sedang merayap
di dada bidang seorang lelaki. Tidak berkelip mata Suhaila
melihat wajah itu.
‘Handsomenya dia... mata tajam ibarat mata helang.
Rambut panjang dan lurus. Nampak menarik dalam keadaan
basah. Pipi berlekuk di kedua-dua belah.’
“Kau siapa? Macam mana boleh masuk bilik aku???”
Suhaila dan Khalis bersuara serentak. Mereka berdua
kebingungan.
Tiba-tiba wajah bingung Khalis bertukar girang.
Senyuman nakal terpamer di bibir. Di sebalik bingung,
Suhaila pula seakan terpukau.
“Bagus juga ada orang menyerah diri macam ni. Tak
payahlah aku nak cari lagi.” Khalis tersenyum girang sambil
memperkemaskan pelukannya terhadap Suhaila. Bukan
selalu perempuan datang menyerah begini.
Suhaila tergamam. Baru dia sedar mereka berdua
orang asing. Tidak seharusnya dia hanyut dibuai bisikan
syaitan. Dia berusaha untuk melepaskan diri. Namun sempat
juga bibir lelaki itu singgah di pipinya.
Suhaila panik dan terus menendang keting Khalis.
“Aduh!”
Kesempatan itu Suhaila ambil untuk lari keluar.
Dia berjaya membuka pintu, namun tubuhnya ditarik masuk
sehingga dia berada semula di dalam pelukan lelaki yang
entah siapa itu. Pintu yang sudah terbuka ternganga luas.
“Assalamualaikum.” Kelihatan empat orang lelaki
berdiri di luar.
Suhaila tergamam. Kenapa hari ini nasibnya begitu
malang? Dia meraung dalam hati. Dia ditangkap sedang
berada dalam pelukan lelaki asing.
“Kamu ni Aiman, kalau tak memalukan papa, tak
boleh ke? Papa kecewa dengan kamu.” Seorang lelaki berusia
menyelit antara empat lelaki tadi.
“Papa...” Khalis melepaskan Suhaila.
Lelaki yang dipanggil papa tadi kelihatan sangat
marah. Suhaila diserang rasa takut. Apa pula yang akan
terjadi selepas ini? Bagaimanakah nasibnya sekarang?
“Papa, perempuan ni orang gaji tu yang hantar. Dia
saja nak perangkap Ai.”
“Kamu sendiri yang bawa perempuan masuk bilik,
kenapa mak cik kamu yang salah? Papa nak kamu dengan
perempuan ni menikah malam ni juga!”
Seakan seketul batu besar menghempap kepala
Suhaila. Dugaan apakah lagi yang perlu dilaluinya? Kenapa
dia harus jadi isteri kepada lelaki itu? Apakah lagi ujian
yang harus dia terima hari ini? Tidak sampai sejam dia habis
menangis kerana Saiful, kini dia terpaksa menikah dengan
orang yang tidak dikenalinya pula.

No comments:

Post a Comment