DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 9

Khalis parkir kereta seperti biasa. Dia lihat
jam di tangan sudah hampir pukul 9. Patutlah dia rasa penat
sangat. Perut pun sudah terasa lapar. Bau piza menambahkan
kerancakan perutnya berlagu. Ini semua Suhaila punya pasal.
Kalau tidak kerana fikirkan isteri segeranya itu, dia tidak
perlu susah payah membeli makanan.
Selepas menekan alarm kereta, dia melangkah
menuju ke arah lif. Tiba-tiba langkahnya terhenti. Selama
ini pemandangan kosong di sebelah keretanya. Tapi hari
ini pemandangan itu berubah. Khalis berpusing. Hampir
terjatuh rahangnya melihat kereta yang terparkir di sebelah
Porsche Panamera berwarna biru miliknya. Kereta berwarna
merah putih itu membuatkan Khalis terpaksa menelan balik
kata-katanya pagi tadi.
“Range Rover Evoque...” Dia sangka kereta yang
Suhaila maksudkan Kancil. Malu pula dia buruk sangka pagi
tadi. Tapi betul ke kereta ini milik Suhaila ataupun sekadar
kereta pinjam untuk buat dia kagum? Kalau ikutkan harga
kereta ini, bukan calang-calang orang pemiliknya. Tidak
boleh jadi ni, dia mesti tanya Suhaila. Kalau terbukti kereta
pinjam, siaplah Suhaila.
“Ya Allah ya Tuhanku, berikan hamba-Mu kekuatan untuk
menjalani hidup. Bantulah hamba-Mu melupakan semuanya.
Sembuhkan luka dalam hati hamba-Mu ini ya Allah. Temukan
aku dengan jodohku ya Allah. Kurniakan hamba-Mu ini jodoh
hingga ke jannah...”
Tok! Tok! Tok!!!
Kedengaran pintu diketuk dengan kasar. Suhaila
terburu-buru mengaminkan doanya. Tanpa membuka
telekung, dia terus berlari mendapatkan pintu. Pasti Khalis
sudah balik dari pejabat.
“Waalaikumussalam...” Suhaila membuka pintu.
Dia menyorokkan separuh mukanya di balik pintu. Mengintai
Khalis dengan sebelah mata. Muka penat Khalis ini pun
cukup comel. Dia takut kalau hatinya berpaling tadah.
Bertuahlah siapa suri hati Khalis a.k.a. Tengku Kaz. Boleh
cuci mata hari-hari. Tapi cuci mata pun tidak cukup kalau
perangai tidak semenggah.
“Aku tak bagi salam pun. Kenapa kau jawab salam?”
Khalis pandang Suhaila pelik. Dia hairan kenapa Suhaila
sorokkan separuh muka di sebalik pintu.
“Aku tahu ni pintu rumah kau, tapi tolonglah ketuk
elok-elok atau bagi salam. Ni bagai nak roboh pintu kau
ketuk. Kalau ya pun nak jadi duda cepat, jangan ada niat nak
bunuh aku.”
Khalis geleng kepala. Kenapalah perempuan seorang
ini mulut tidak boleh cakap sesuatu yang manis-manis?
Kalau cakap mesti pahit bak hempedu. Kenapa papanya boleh
suka dengan perempuan tidak betul ini? Manalah dia tahu
perempuan ini tengah bersolat. Ingatkan tengah tidur.
“Aku bawa balik makanan. Jom, kita makan.”
“Alhamdulillah, kebetulan aku tengah lapar ni. Baik
jugak kau ni.” Suhaila senyum.
“Dah papa aku pesan jaga kau baik-baik. Kalau
ikutkan, aku nak campak kau dari tingkat 18 ni. Menyusahkan
aku aje.” Khalis berpaling. Perutnya juga sudah berkeroncong
lapar. Kalau tidak kerana Suhaila, dia pasti sudah terima
pelawaan Noura untuk makan malam.
Senyum Suhaila jadi kelat. Apa punya suami hendak
campak dia dari tingkat 18? Nasib baik bapa mentuanya baik.
Padan muka kena paksa kahwin. Suhaila jelir lidah dan tunjuk
penumbuk di belakang kepala Khalis yang sedang berpusing.
Khalis terpandang cermin di dinding sebelah meja
makan. Dia melompat terkejut.
“Ya Allah! Boleh tak kau buka telekung tu dulu. Buat
aku terperanjat aje!” Khalis urut dada.
Suhaila ketawa. Kelakar tengok Khalis yang
handsome ini pucat lesi. Kalaulah ada kamera atau telefon,
dia wajib ambil gambar. Lepas tu jual gambar muka pucat
Khalis. Dah tentu ramai yang hendak beli.
“Cepatlah buka telekung tu. Aku lapar ni.” Khalis
geram. Nasib baik tidak ada orang lain nampak. Kalau tidak,
jatuh peratus handsome dia.
Suhaila yang masih tidak habis dengan gelaknya
melangkah masuk ke dalam bilik. Hilang semua beban
kesedihan yang ditanggung seketika. Khalis memang terkenal
dengan reputasi tidak baiknya. Jadi dia tidak mengharap
sesuatu yang indah daripada lelaki itu. Dia pun tidak pasti
berapa lama usia perkahwinan mereka. Tapi dia pasrah andai
Khalis jodohnya.
Saiful lelaki yang paling baik dia pernah jumpa.
Seorang kekasih yang paling memahami, tapi akhirnya
berpaling juga. Hidup bahagia yang Saiful janjikan hanya
tinggal nama. Kini, Suhaila sudah jadi isteri Khalis dan
seharusnya nama Saiful harus dipadamkan dari mindanya.
“Piza aje..” Suhaila berdiri di tepi kerusi sambil
memandang dua kotak piza bersaiz sederhana bersama
makanan sampingan lain. Dia ingatkan nasi.
“Kau ni, depan rezeki jaga mulut sikit. Cuba
bersyukur dengan rezeki yang ada ni.”
Suhaila terkebil-kebil. Dia pula kena smash.
Tiba-tiba Khalis yang leka membelek telefon
mendongak. Pandangan mereka bertaut. Suhaila terkaku
sekejap. Mata setajam helang Khalis sedang merenungnya.
Terasa jantungnya ditelan mata helang itu.
“Apa yang kau pandang tu? Kau dah jatuh hati
dengan aku ke?”
“Jatuh hati dengan kau? Memang tidaklah... ramai
lagi lelaki lain lebih baik kat luar sana.” Suhaila duduk
berhadapan dengan Khalis. Betul kata Khalis, dia sepatutnya
bersyukur dengan rezeki yang ada. Kalau Khalis tidak bawa
balik makanan, terpaksalah dia berlapar sampai esok. Nak
masak pun satu barang tidak ada. Rak pinggan mangkuk
memang kosong. Alangkah kosongnya hidup Khalis.
Khalis menadah tangan untuk berdoa. Suhaila
mengikut langkah Khalis. Sebuaya-buaya Khalis, dia masih
ingat untuk berterima kasih kepada Allah. Malu pula rasanya
apabila dia asyik memandang serong terhadap Khalis. Tapi
kenapa hatinya rasa lelaki ini pelik? Buaya paling baik dia
pernah jumpa. Anak ikan depan mata, tak nak ngap. Dah sah
jadi suami, tentulah dia kena pasrah kalau kena ngap dengan
buaya.
“Kenapa asyik pandang aku? Makanlah. Nanti
kau kebulur, aku jugak yang dipersalahkan. Nanti keluar
surat khabar anak jutawan kejam sangat biarkan isteri dia
mati kelaparan.” Khalis jeling Suhaila. Dia perasan Suhaila
pandang dia semacam.
Suhaila diam. Kena lagi. Sesi membalas dendam
ke? Dia mencapai sekeping piza dan makan perlahan-lahan.
Dia tidak berani angkat muka untuk tengok Khalis. Nanti
dia dituduh jatuh hati kepada Khalis a.k.a. Tengku Kaz
yang hebat tu. Hatinya sedang luka parah, mana ada masa
hendak jatuh hati. Tapi dia bersetuju dengan pandangan
perempuan-perempuan di luar sana, Khalis memang
handsome.
Tiba-tiba dia perasan Khalis bangun. Suhaila angkat
muka. Rasanya Khalis baru makan sekeping piza, takkan
sudah kenyang? Baki berkeping-keping ini hendak buat apa
pula? Dia tidak larat hendak habiskan sorang.
“Jangan tamak sangat makan sampai habis. Aku nak
mandi dan solat isyak. Kalau kau habiskan, siaplah kau nanti.”
Suhaila angguk. Dia terus makan sambil matanya
mengekori langkah Khalis.
“Dia ingat aku ni hantu piza ke apa? Lainlah Lisa,
boleh habis satu kotak ni...” Suhaila berhenti makan. Tiba-tiba
nama Lisa terluncur dari bibirnya. Dia meletakkan baki piza
kembali ke dalam kotak. Air matanya tiba-tiba mengalir.
Dia rindukan Karlisa. Dia kenal Karlisa sejak universiti dan
sejak itu mereka berkawan baik. Segala suka duka dikongsi
bersama. Kenapa dia rindukan Karlisa sedangkan Karlisa
telah mengkhianatinya? Sakit hatinya apabila rasa ini hadir.
“Kenapa kau khianati aku, Lisa? Aku akan pilih kau
daripada Saiful kalau kau minta.” Suhaila pegang dadanya. Dia
rasa perit sangat apabila teringatkan imej Karlisa bersanding
dengan Saiful.
Suhaila bangun dan meninggalkan meja makan.
Seleranya untuk makan telah mati.
Khalis melipat sejadah. Dia puas hati kerana dapat
menunaikan suruhan Yang Maha Esa. Sekarang masa untuk
dia sambung makan. Harap-harap Suhaila tidak makan
semuanya. Perempuan macam Suhaila perangai tidak dapat
dijangka. Entah-entah datang gila Suhaila, habis dua kotak
piza dimakannya.
Khalis keluar dari bilik.
“Mana pulak dia ni?” Khalis pelik apabila meja
makan kosong. Dia membuka kotak piza di atas meja. Satu
kotak piza masih belum dibuka. Satu kotak lagi hanya luak
tiga potong. Dia nampak sepotong piza yang tinggal separuh.
Takkan Suhaila tinggalkan macam itu saja?
Khalis membuka pintu bilik Suhaila. Kosong.
Ditinjau bilik air. Pun kosong.
‘Ke mana pula perginya perempuan ni. Takkan kena
culik kut?’ Khalis memeriksa pintu keluar. Tiada tanda-tanda
dicerobohi. Mungkin Suhaila keluar tiba-tiba. Tapi Suhaila
masih tidak mahir lagi dengan kawasan itu. Khalis rasa
pelik sangat. Dia mencari Suhaila lagi, namun tidak nampak
kelibat Suhaila di mana-mana.
“Tak boleh ke kalau tak susahkan orang. Kalau nak
keluar pun beritahulah.” Khalis mula naik angin. Dia berdiri
di meja makan. Lebih baik dia makan dulu. Suhaila bukan
kanak-kanak. Kalau keluar, pandailah dia balik.
Tiba-tiba dia terdengar suara tangisan halus dari
bilik kosong di sebelah bilik mandi. Dia tidak perasan lampu
yang terpasang dari bilik itu. Bilik yang sepatutnya dijadikan
bilik laundry. Khalis melangkah perlahan-lahan mendekati
arah suara itu. Diintai dari celah pintu yang sedikit terbuka.
Dia nampak Suhaila sedang duduk memeluk lutut, sedang
menangis.
“Kenapa kau khianati aku Lisa? Aku benci kau,
Lisa...”
Khalis berdiri senyap mendengar rintihan Suhaila.
‘Kenapa dia menangis? Siapa Lisa? Dia ni memang
misterilah.’
“Kalau kau nak dia, kau boleh ambil Lisa. Aku
sayangkan kau Lisa... lebih daripada dia.”
Siapakah ‘dia’ pula yang dimaksudkan Suhaila?
Kaki Khalis seakan tergam daripada mendekati Suhaila.
Dia membiarkan Suhaila menangis. Entah kenapa esak
tangis Suhaila sangat menusuk di telinganya. Apakah yang
dialami gadis ini sehingga dia rasa tangisan itu sarat dengan
penderitaan?
Khalis setia berdiri di sebalik pintu mendengar
setiap rintihan Suhaila. Kerap kali dia dengar nama Lisa
dan juga nama Saiful. Mungkin Saiful itu ‘dia’ yang Suhaila
maksudkan. Siapa mereka dalam hidup Suhaila?
Hampir setengah jam dia berdiri, suara tangisan
Suhaila sudah tidak kedengaran. Khalis mendekati Suhaila.
Gadis itu bersandar di dinding dan kelihatan tertidur.
“Suhaila...” Khalis menggerakkan bahu Suhaila.
Namun gadis itu tidak memberi sebarang tindak balas.
“Takkan aku nak angkat kut?” Khalis berfikir sambil
menggaru pelipisnya. Apa pula dia nak buat dengan Suhaila?
Takkan dia hendak membiarkan Suhaila meringkuk di sini
sampai pagi? Dia bukan kejam sangat hendak bertindak
begitu.
“Siapa yang buat kau nangis, perempuan? Luaran
nampak aje garang, tapi cengeng rupanya.” Khalis mengesat
pipi Suhaila yang basah. Rasa simpati mula hadir.
“Aku harap kau tak berat sangat.” Khalis mengangkat
tubuh Suhaila. Diperhatikan Suhaila yang terpejam. Tentu
Suhaila penat menangis sehingga tertidur.
Khalis membaringkan Suhaila ke atas katil. Dia mahu
menanggalkan tudung di kepala Suhaila, tapi dibatalkan
sahaja niatnya. Dia faham kalau Suhaila mahu menjarakkan
diri daripadanya.
“Kaulah perempuan pertama yang berani ugut aku.
Perempuan pertama yang berani tolak aku. Kenapa aku dapat
isteri yang langsung tak sukakan aku?”
Khalis memerhatikan Suhaila yang sedang lena
tidur. Apabila dilihat secara dekat, Suhaila memang
cantik sebenarnya. Tidak kurang cantiknya dengan
perempuan-perempuan lain yang pernah mendampinginya.
“Siapa yang dah lukakan hati kau? Dan siapa kau
sebenarnya?” Terbantut niat Khalis hendak bertanyakan
mengenai Range Rover berwarna merah putih yang terletak
elok di tempat letak kereta keduanya. Kalau betul kereta itu
milik Suhaila, bermakna Suhaila bukan calang-calang orang.

No comments:

Post a Comment