DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Prolog 2

Azzahra hanya mampu memandang dari jauh
si pemilik hatinya berkongsi tawa bersama rakan-rakan
yang mengiringi lelaki itu. Dia mengeluh perlahan. Farouk
nampak begitu gembira sekali. Wajah kacaknya berseri-seri.
Apa tidaknya? Dia bakal menyambung pelajaran ke peringkat
sarjana di luar negara. Bertuah betul sepupunya itu.
Jantungnya bagai dicengkam kuat. Dia bakal
berpisah dengan lelaki itu. Jenuh dia memberi alasan untuk
tidak turut serta menghantar Farouk ke KLIA ini, namun
bantahannya langsung tidak dipedulikan. Dia yakin dia
tidak mampu mengucapkan selamat tinggal kepada Farouk.
Hatinya tidak cukup kuat. Dan melihat gadis tinggi lampai
yang berdiri di sebelah Farouk dengan senyuman yang begitu
manis membuatkan luka di hati Azzahra semakin mendalam.
Azzahra mengalihkan pandangan ke arah orang
tuanya yang sedang berbual dengan orang tua Farouk. Dia
berpaling lalu bersandar di balik tiang konkrit di ruang
yang agak sepi ini. Di dalam hati, dia menyoal mengapa
masa begitu kejam terhadapnya. Mengapa dia dilahirkan
dalam jarak usia yang begitu jauh dengan Farouk? Farouk
sudah punya segulung ijazah, sudah bekerja dan kini akan
menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi,
sedangkan dirinya masih di sekolah menengah.
Tidak hairan mengapa Farouk tidak pernah mahu
memandangnya selain melalui kaca mata seorang abang
sepupu. Dari mata Farouk, Azzahra merupakan seorang gadis
yang kasar, lincah dan tidak feminin. Perwatakannya masih
kebudak-budakan dan pemikirannya langsung tidak matang.
Farouk tidak punya kesabaran setiap kali berhadapan dengan
Azzahra yang telah menjadikannya suatu bahan obsesi sejak
kecil lagi.
“Kak long? Kak long buat apa tercongok kat sini?”
tegur suatu suara.
Mata Azzahra berkalih daripada sasaran.
“Takde apa-apa. Saja je...” balas Azzahra bersahaja.
“Kak long sedih ek?”
Azzahra mengerling ke arah wajah adiknya yang
sugul. Seolah-olah adiknya berkongsi kesedihan yang sama
dengannya.
“Alah, kak long... Abang Farouk pergi dua tahun je.
Lepas tu dia baliklah,” pujuk Iman. Tangan Azzahra dicapai
lalu digenggam. “Kak long janganlah sedih...”
“Angah...” seru Azzahra perlahan. “Kak long rasa,
kak long langsung takde harapan dengan Abang Farouk tu.
Kak long ni je yang tergila-gilakan dia, tapi dia sebelah mata
pun tak pandang kak long,” keluh Azzahra. Dia tunduk. “Kak
long dengar, hubungan dia dengan girlfriend dia tu semakin
serius. Nak sambung belajar pun pergi sama-sama. Kak long
rasa, kak long nak give up jelah, angah.”
“Kak long!” Membulat mata Iman. Terkejut dia
dengan kata-kata Azzahra. Kakaknya itu seorang yang tidak
pernah kenal erti berputus asa. Bertahun-tahun Azzahra
menyimpan harapan serta berpegang pada impian yang sama,
takkan hatinya sudah berubah?
Azzahra mencari mata adiknya.
“Angah, terus terang dengan kak long. Angah rasa
kak long ada harapan tak dengan Abang Farouk?”
Lambat-lambat Iman menggelengkan kepala. Sejak
dulu dia sedar bahawa tangan kakaknya yang bertepuk sebelah,
tidak mampu berbunyi kuat kerana tidak akan sekali-kali
disambut oleh Farouk. Cuma rasa kasih dan simpati yang
terlalu mendalam terhadap si kakak membuatkan Iman tidak
berdaya menasihati Azzahra agar angannya itu dicampak saja
jauh-jauh. Farouk terlalu ke hadapan untuk dikejar... terlalu
sombong untuk didekati... dan terlalu tinggi untuk dicapai
dengan tangan.
“Angah minta maaf, kak long, tapi itu apa yang
angah rasa.” Perlahan suara Iman. Hati kecil kakaknya tidak
mahu ditambah sakitnya, namun pada masa yang sama dia
sudah tidak sanggup melihat Azzahra berpaut pada sesuatu
yang sia-sia. Lagipun pada firasatnya, Farouk bukanlah
lelaki yang sesuai dengan kakaknya itu. Farouk tidak layak
menerima hati Azzahra yang baginya terlalu baik, dan terlalu
suci untuk lelaki seperti Farouk yang tidak pernah mahu
melayan kakaknya dengan baik.
“Lagipun... Abang Farouk tu tak sesuai dengan kak
long. Dia terlalu tua untuk kak long.” Wajah Azzahra yang
tergaris pilu membuatkan Iman berasa bersalah. “Kak long,
angah...”
“Takpe angah,” celah Azzahra. “Kak long tak marah.”
Giliran Azzahra menggenggam tangan adiknya. “Bodoh kan
kak long? Boleh cintakan lelaki macam Abang Farouk tu...
sedangkan dia tak pernah layan kak long dengan baik.”
Laju kepala Iman menggeleng.
“Tak, kak long. Kak long tak bodoh!”
Tawar senyuman yang terbit di hujung bibir Azzahra.
Kepala adiknya diusap penuh kasih. Iman selalu berpihak
kepadanya. Tak kira sama ada dia di pihak yang benar ataupun
salah, Iman tidak akan pernah mahu menyalahkannya.
“Kak long, Abang Farouk nampak macam nak pergi
dah tu. Kak long tak nak ucap selamat tinggal ke?” Mata
Iman mengerling ke arah tempat keluarga mereka sedang
berkumpul.
“Takpelah, angah. Takde beza pun sama ada kak long
ucap selamat tinggal ke tak pada Abang Farouk. Dia bukannya
kisah pun...” lirih suara Azzahra. Nada seorang yang tewas...
seorang yang sudah berputus asa.
Iman menggigit bibir. Kesedihan Azzahra sudah
singgah ke hatinya.
“Angah ke sana dulu ya, kak long?”
Azzahra mengangguk. Dia tidak berganjak dari
tempat dirinya. Biarlah. Cukup dia mengucapkan selamat
tinggal dari sini sahaja. Tidak mampu dia mengiring Farouk
serta teman wanitanya sehingga ke pintu pelepasan. Matanya
berkaca. Jelas pada pandangan matanya betapa Farouk
sedikit pun tidak mencarinya, apatah lagi bertanya tentang
kehadirannya.
Lama matanya menjamah wajah Farouk, seolah-olah
dia ingin menghafal setiap lekuk, setiap rongga di wajah
lelaki itu. Sedar yang pemergian Farouk ke bumi England
bakal membuatkan kehidupannya berubah seratus peratus.
Sebelum ini, walaupun Farouk di universiti dan bekerja
seketika di Kuala Lumpur, matanya masih bisa menangkap
kelibat lelaki itu yang sering pulang ke rumah orang tua
Farouk yang tidak jauh dari rumahnya sendiri. Mereka
tinggal di taman perumahan yang sama, maka tidak sukar
bagi Azzahra untuk melepaskan rindu dendamnya. Namun
kini, semuanya akan berubah.
Azzahra melihat Farouk menyusun langkah menuju
ke pintu pelepasan antarabangsa. Air mata yang cuba ditahan
tumpah jua akhirnya.
‘Selamat tinggal Abang Farouk... Selamat tinggal...’
Dan Azzahra menutup hatinya rapat-rapat untuk insan
bernama Farouk...

No comments:

Post a Comment