DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 11

“FERHAD, lepas zuhur karang pergi ambil
Asma dan ibu dia. Tak elok pulak kalau dia datang sendiri,”
arah Nek Som ketika mereka bersarapan pagi.
“Baik, nek.”
Pagi ini, dengan bantuan Mariana, Nek Som
menyediakan nasi lemak. Sekejap lagi orang akan datang
untuk memasang khemah di depan rumahnya. Ramai jugak
yang dijemput walaupun hanya saudara-mara yang tinggal
berdekatan dan orang kampung sahaja.
“Mengada-ada. Takkan tak boleh datang sendiri?”
rungut Fatin Nur.
Nek Som jeling tajam Fatin Nur. Dia cukup tak suka
apabila ada orang mengomel apa yang dia cakapkan.
“Mengada-ada dia kena pada tempatnya. Bukan
mengada-ada kau yang manja dan tergedik-gedik macam
sotong tak ada tulang,” sindir Nek Som. Cucunya yang sorang
ni ada saja yang tak kena pada matanya. Apa yang dia cakap
ada saja dibalas dengan sinis.
“Dahlah pemalas. Malu aku nak mengaku kau tu
cucu aku. Keturunan aku.” Keras suara Nek Som memarahi
Fatin Nur.
“Kalau malu, tak payah mengaku dia ni cucu kau.
Fatin ni cucu aku. Dia masih ada seorang lagi nenek,” bela
Mariam.
Mereka yang berada di meja sarapan menikus.
Melihat wajah tegang Nek Som, mereka tidak berani bersuara.
Apatah lagi wajah besan Nek Som pun sama. Sejak dulu
mereka berdua ni tak pernah serasi. Tak boleh duduk semeja,
ada saja yang tak kena.
Wajah Fatin Nur merah. Dia bingkas bangun
meninggalkan nasi lemak yang baru sedikit terusik. Hatinya
membengkak marah. Dia benci Asma yang tiba-tiba menjadi
kesayangan neneknya. Dendamnya membara. Dia takkan
biarkan Asma terlepas begitu sahaja. Asma kena rasa apa yang
dia rasa.
“Inilah jadinya bila masa anak kecil, tak diajar
betul-betul. Jadi kurang ajar. Dengan orang tua tak reti nak
tunjuk hormat. Macam ni kau didik anak kau, Fakrul?” Nek
Som tak habis lagi dengan marahnya.
Mariana terasa dengan kata-kata Nek Som yang
seolah-olah menyindirnya. Mereka berdua ibu bapa
berkerjaya. Jadi masa dengan anak-anak terbatas, namun
pendidikan tetap dititikberatkan. Mungkin kurangnya dari
segi adab dan tingkah laku, tapi tidak ilmu pengetahuan.
“Farah, Aisyah, Isra, jangan nak ikut perangai kurang
ajar Fatin tu. Nanti tahulah nenek nak ajar korang.” Tajam
Nek Som memberi amaran kepada cucunya yang lain. Mereka
tunduk diam menyuap nasi lemak. Kepala dianggukkan
beberapa kali.

“ASMA, AIDA... Ferhad dah sampai. Cepat, jangan biarkan
dia tunggu lama,” beritahu Rohani sambil ketuk pintu bilik
Asma.
“Kejap ibu, dah siap ni. Nak pakai tudung kejap.”
“Masuk dulu, Ferhad,” jemput Rohani kepada bakal
menantunya itu.
“Tak apalah, ibu. Kat depan ni je,” balas Ferhad. Dia
suka duduk di depan rumah Rohani sambil mengadap sawah
padi. Terasa tenang. Angin pula bertiup sepoi-sepoi. Jadi
teriknya matahari tidak terasa sangat.
10 minit kemudian.
“Kami dah siap,” umum Aida dengan suara ceria.
Ferhad berkalih melihat mereka. Dia pandang Aida
sekejap sebelum pandang Asma dan Rohani.
“Mesti abang tak kenal saya, kan? Saya Aida
BFF Asma. Sebab itulah saya akan temankan dia hari ini
sehinggalah dia selamat jadi isteri abang,” gedik suara Aida
memperkenalkan diri.

PERTAMA KALI dia lihat Ferhad secara dekat. Beruntung
Asma. Baginya, lelaki itu memang kacak gila. Dia pun boleh
jatuh cinta pandang pertama. Kalau kena paksa kahwin
dengan lelaki macam Ferhad tu pun dia rela sepenuh hati.
Aida tersenyum sendiri. Kenapalah dia dulu tak pernah nak
berbaik-baik dengan Nek Som? Padahal itu nenek saudara
maknya. Ada ikatan persaudaraan lagi.
‘Hmmm... menyesal sekarang tak ada gunanya
jugak,’ keluh hatinya.
“Dapat suami handsome macam dia, confirm tak
menyesal kena kahwin awal,” bisik Aida. Mulutnya tak reti
nak duduk diam.
Asma cubit lengan Aida. Gatal betul minah ni. Dari
tadi matanya asyik memandang Ferhad. Dia nak pandang
pun rasa malu, Aida boleh pula sesuka hati tenung Ferhad.
Rasa menyesal pula sebab minta Aida temankan tapi hanya
dia satu-satunya kawan baik yang Asma ada di kampung itu.
Aida gosok lengannya sambil sengih.
“Aku cakap betul apa. Bertuah kau. Nanti kau kena
belajar goda dan pikat suami kau tu supaya dia melekat
dengan kau je. Jangan bagi peluang minah lain masuk jarum.
Aku tahu dia mesti dah biasa dikelilingi gadis cantik ala
model ni.”
Asma geleng kepala. Imaginasi Aida terlalu jauh. Dia
tak ada pula fikir sampai ke situ. Asma berikan jelingannya.
Aida pula tersengih-sengih buat tak faham.
“Syuuuh... diamlah. Buat malu je kau ni!” bebel
Asma. Sudahlah dia memang berdebar-debar, dapat pula
kawan yang tak reti jaga mulut macam Aida ni. Malu rasanya.
Ferhad tersenyum. Walaupun Aida berbisik dengan
Asma, dia dapat mendengarnya dengan jelas. Sebab mereka
berada di dalam satu kereta yang sama. Dia jeling Asma yang
buat-buat tak pandangnya. Ada bunga cinta kembang dalam
hatinya. Wajah merah malu itu mengusik jiwanya.
Mereka tiba di rumah Nek Som tidak lama kemudian.
“Asma... ni mama, opah, Fatin Nur, Farah Nur...”
Ferhad memperkenalkan mereka. Asma lempar senyum
ikhlas sambil menghulur tangan. Dia cium tangan Mariana.
Mariana tarik Asma ke dalam pelukannya. Dia terima Asma
sebagai menantu sulungnya. Melihat wajah lembut Asma, dia
jatuh kasih. Tapi Mariam sebaliknya. Dia bersalaman sekadar
bersentuhan di hujung jari. Fatin Nur pula terus berpaling
masuk ke dalam.
Farah Nur tersenyum lebar. Dia senang bila Asma
jadi kakak iparnya. Walaupun beza usia 4 tahun, dia tak kisah
dapat kakak ipar lebih muda daripadanya. Farah Nur tarik
Asma ke dalam pelukannya.
“Lepas ni Kak Farah boleh minta Asma buat kek
coklat lagilah. Rindu nak makan lagi.”
Asma angguk. “Boleh, boleh.”
Fakrul dan Zainuddin datang mendekati.
“Ini papa dan ayah ngah...” Farah Nur ambil tugas
memperkenalkan ahli keluarganya kepada Asma pula.
Asma senyum. Dia segan bila jadi perhatian.
“Mak Som mana?” tanya Rohani.
“Mak ada kat dapur. Jemputlah masuk. Farah,
tunjukkan Asma bilik Abang Ferhad,” arah Mariana.
“Jom, Asma... Kak Farah tunjukkan bilik,” kata
Farah sambil tarik tangan Asma. Aida ikut dari belakang.
Ferhad minta diri ke rumah Pak Ali. Manakala Rohani
melangkah ke dapur untuk bertemu dengan Mak Som.
“Muda sangat nak jadi isteri Ferhad. Tak sepadan
langsung. Aku tak tahulah tang mana yang Kalsom tu
tengok,” rungut Mariam.
“Sudahlah tu, mak. Malam ni budak tu dah nak
kahwin. Jodoh mereka bukannya kita yang tentukan. Ingat,
Allah SWT yang tentukan,” dengus Mariana. Dia berlalu
meninggalkan maknya yang masih lagi bersungut tidak puas
hati.

No comments:

Post a Comment