MASING-MASING membisu. Asma pandang
jauh ke tengah sawah. Ferhad juga turut sama memandang
ke tengah sawah yang menghijau. Sesekali matanya melirik
Asma yang duduk berjarak di sebelahnya.
Ferhad teringat nasihat neneknya tentang nikah
ekspres ini, ketika beriringan menuju ke rumah Asma tadi.
“Nenek tahu, permintaan tak masuk akal nenek
ni merupakan paksaan. Nenek tahu kau memang tak nak
kahwin pun. Tapi sebab kau sayangkan nenek, dalam paksa
rela kau menurut,” ujar neneknya sebagai pembuka bicara.
Dalam perjalanan itu, sesekali mereka berpapasan
dengan penduduk kampung. Masing-masing ramah bertanya
khabar. Muafakat hidup di kampung tak sama dengan
hidup di bandar. Di bandar, jiran tetangga pun tak kenal.
Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri tanpa mahu
ambil masa bermesra dengan jiran tetangga.
“Dalam paksa rela pun, hakikatnya tugas seorang
suami ni besar. Tanggungjawabnya besar. Jika suami ni
pincang, maka pincanglah rumah tangga yang dibina.
Jika suami ni tahu erti peranannya dalam berumah tangga
dan tanggungjawabnya terhadap isteri maka bahagia dan
ketenanganlah dia akan nikmati.”
Ferhad diam mendengarnya.
“Nenek tak tahu apa perancangan kau selepas
nikah ni. Tapi nenek nak, lepas nikah nanti kau layan Asma
selayaknya sebagai isteri. Jangan pulak kau kenakan syarat
yang mengarut macam drama dalam TV tu. Dah jadi isteri
kau, nak ulit, nak uli macam mana pun dah jadi hak dan
tanggungjawab kau. Asalkan sama-sama menikmatinya. Dari
situ kau akan merasai nikmat alam rumah tangga ni. Akan
timbul cinta dan kasih terhadap pasangan. Itulah perbezaan
hidup bujang dengan berkahwin.”
Ketika itu, Ferhad hanya mampu mendengar tanpa
mencelah. Nak membantah pun, segala nasihat Nek Som itu
sememangnya betul.
“Jangan sesekali fikir nak buat macam kahwin
kontrak. Korang usaha pupuk kasih sayang, masa depan
nanti biarlah masa yang tentukan.”
Baru aje nak buka mulut, Ferhad terpaksa tutup
balik. Dia pun naik hairan, neneknya ni nama aje duduk
kampung, tapi pemikiran kalah nenek yang duduk di bandar.
Opah sebelah mamanya, kolot. Ada-ada sahaja yang dibuat
oleh cucu-cucunya serba tak kena di mata.
“Betul ke awak nak kahwin dengan saya?”
Suara halus itu mencantas memori perbualan
Ferhad dengan neneknya tadi.
“Abang. Bukan awak. Beza umur Asma dengan abang
sepuluh tahun.”
“Okey, abang. Betul ke abang nak kahwin dengan
Asma, budak kampung ni? Asma ni baru lepas sekolah pulak
tu.”
Ferhad angguk.
“Dah termaktub jodoh abang dengan Asma sejak dari
alam roh lagi. Jadi siapa abang nak tolak jodoh ini?”
“Tapi kita tak pernah kenal pun. Tiba-tiba kena
kahwin. Tak rasa pelik ke?”
“Asma, orang dulu-dulu kahwin lagi pelik. Macam
nenek dengan atuk dulu. Tak pernah tengok muka pun, lepas
akad nikah baru tengok dan kenal pasangan. Jadi kes kita
ni tak pelik pun sebab kita dah kenal. Dah jumpa sebelum
nikah.”
“Tapi kan... takkan abang tak ada girlfriend?
Senang-senang je abang terima cadangan Nek Som,” ujar
Asma lagi. Risau juga kalau Ferhad terpaksa berpisah dengan
kekasihnya gara-gara dirinya.
‘Siapa kata senang? Aku pun tak fikir soal kahwin
sebelum umur mencecah 30,’ gumam Ferhad dalam hati.
“Tak ada tapi-tapi lagi. Soal tu biar abang yang
uruskan. Asma tak perlu tahu. Yang paling penting,
persediaan Asma sebagai isteri abang. Abang cuti sebulan.
Jadi abang nak habiskan masa sebaiknya dengan isteri comel
abang ni. Sebelum Asma daftar UPM, abang nak kita nikmati
alam rumah tangga.”
Asma alih pandang ke tengah sawah. Mukanya sudah
berona merah. Malu apabila fikirkan tentang tanggungjawab
seorang isteri.
Ferhad ambil kesempatan itu untuk memandang
Asma. Kulitnya mulus dan cantik. Walaupun tak secerah
warna kulitnya yang putih kemerahan, warna kulit Asma
seperti warna madu, sangat-sangat membuatkan dia mahu
merasainya. Bibirnya merah semula jadi dan lembap itu
membuatkan dia mahu melumatnya. ‘Ah belum apa-apa lagi
fikiran aku dah meraban ke lautan asmara. Parah ni.’
“Ehemmm...” Ferhad berdeham. Tekaknya terasa
kesat. Mulutnya terasa kering. Dia tidak nafikan, apabila
berada dekat dengan Asma, dia mahu terus melekat
dengannya. Seperti ada tarikan magnet.
“Esok kita pergi cari baju nikah.”
Asma berpaling melihat Ferhad. Dia ingin berkata
tapi segan. Dia mana ada duit nak beli baju mahal-mahal.
Lainlah kalau tempoh pernikahan mereka jauh lagi. Tentu
sempat nak cari duit beli kain dan minta ibu jahitkan.
“Abang nak pengantin abang cantik ketika akad nikah
nanti. Walaupun kita tak ada banyak masa, tapi abang akan
cuba menyempurnakan majlis kita ini seboleh mungkin.”
“Asma pakai baju sedia ada, boleh tak? Baru je pakai
sekali. Warna putih berlabuci pink. Baru lagi.”
Ferhad geleng kepala.
“Kita cari yang baru. Biar sedondon nanti. Semuanya
abang tanggung. Asma tak perlu risau. Asma akan jadi
tanggungan abang selepas ini. Jadi mulai hari ini, segala
perbelanjaan abang keluarkan,” ikhlas Ferhad tuturkan. Dia
sudah bersedia untuk menerima Asma dalam hidupnya.
Asma tunduk. Tidak sangka itu yang terluah dari
bibir bakal suaminya.
“Asma minta maaf sebab susahkan abang. Kalau
abang nak berundur boleh lagi. Nanti Asma cakap dengan
nenek.” Perlahan Asma bersuara. Dia mahu menghilangkan
rasa bersalah sejak Nek Som menyuarakan hasratnya tadi.
Dahi Ferhad berkerut apabila mendengar kata-kata
Asma itu.
“Asma rasa terpaksa sangat ke, sampai sanggup
jumpa nenek untuk tolak hasrat nenek tu?” soal Ferhad
semula. Terasa kecil hati pula apabila dia dengar Asma mahu
menolak hasrat neneknya itu. Sedangkan hatinya sudah mula
menerima Asma sebagai pengantinnya.
“Eh... bukan. Bukan itu maksud Asma. Asma takut
abang yang tak boleh terima Asma. Gara-gara tak sampai
hati tolak hasrat nenek, abang terpaksa terima Asma. Asma
boleh tolong abang tolak hasrat nenek tu. Sebab Asma rasa
bersalah. Nenek nak tolong Asma, tapi abang terlibat sekali.”
“Jadi Asma sanggup kecewakan nenek? Macam tu?”
Pantas Asma geleng kepala. Nek Som dah seperti
neneknya sendiri. Dia pun tidak mahu neneknya bersedih
sebab dia. Tapi dalam masa yang sama, dia juga tidak mahu
orang lain kecewa disebabkan dirinya.
“Jangan sesekali fikir nak batalkan pernikahan ini.
Abang nak Asma jadi isteri abang. Titik,” tegas Ferhad.
Asma tunduk.
“Esok kita pergi cari baju nikah. Bawa nenek sekali.
Kemudian kita cari spa kecantikan dan pakej pengantin
untuk majlis nanti. Abang nak pengantin perempuan abang
berseri dan cantik masa nikah nanti.”
“Asma boleh mekap sendiri. Mandi bunga, nanti ibu
boleh tolong buatkan.”
“Jangan susahkan ibu. Abang mampu nak hantar
Asma pergi spa. Lagipun ibu kan tak sihat. Abang mahu ibu
sihat waktu majlis kita nanti.”
‘Hmmm... belum ada ikatan lagi dah tunjuk kuasa
vetonya. Tapi aku suka. Terasa macam dilindungi.’ Asma
tersenyum dalam hati.
“Okey. Asma ikut je. Boleh tak biar Asma yang pilih
baju nikah nanti?”
“Boleh, dengan syarat abang berkenan jugak.”
“No problem,” sengih Asma lebar kepada bakal
suaminya.
Senyum manis Asma itu membuatkan Ferhad
berkali-kali menelan liur. Sah, balik nanti kena mandi air
sejuk. Lama.
No comments:
Post a Comment