PELUH yang mengalir di tepi wajah dibiar tanpa
dikesat. Bibir masih lagi terkumat-kamit membaca surah
Yasin yang berada di dalam pegangan. Malah, cuaca panas dan
matahari yang terik di atas kepala langsung tidak dipedulikan.
Dia masih lagi bersimpuh di atas tikar mengkuang, di tepi
sebuah pusara.
Usai mengaminkan doa bacaan surah Yasin, dia
berteleku sebentar sambil memandang kosong pusara yang
dijaga elok itu. Tiada kesan lumut di batu nisan. Tiada
rumput-rumput kecil yang tumbuh di atas pusara itu.
“Ma... Miss you so much,” luah Adel sambil
memegang batu nisan yang tegak terpacak.
“I wish...” Adel diam sejenak. Tutur bicara dibiar
tergantung.
“Kalaulah masa dapat diputar semula. Kalaulah
mama ada dengan Adel sekarang ni. Kalaulah mama dapat
tengok sendiri kejayaan Adel. I wish... but... takdir Allah
lebih berkuasa daripada segala-galanya. Adel reda! Kita akan
bersatu semula, suatu hari nanti. Insya-Allah,” sambung Adel
meluahkan rasa yang terbuku di dalam hati. Ya, itu yang
diharapkannya. Tetapi, dia harus reda akan takdir yang telah
ditetapkan.
“Don’t worry, ma. I will be a strong woman just
like you. And, Adel akan tetap maintain cool and relax. Anak
mama bukan seorang yang cengeng dan cepat melatah. Ma...
you knew me very well, right?” bual Adel lagi. Walaupun
perasaan rindu menggunung di dalam hati, bibirnya masih
lagi mampu mengukir senyuman. Itulah Adelia Zahra yang
sebenarnya. Tenang, cool dan selamba.
Air yang diisi ke dalam jag disiram ke pusara
mamanya. Bermula dari batu nisan dari bahagian kepala
sehinggalah ke kaki. Kemudian, kelopak bunga ditabur
untuk menghiasi pusara tersebut. Air jernih yang bertakung
di kolam mata segera dikesat.
“Sorry, ma. Kadang-kadang Adel ni sensitif sikit.
Insya-Allah Adel akan kuat selepas ni. Lain kali Adel akan
datang jenguk mama lagi,” ujar Adel buat kali terakhir
sebelum beredar dari kawasan perkuburan itu.
USAI MAKAN malam, Adel menyertai keluarganya menonton
televisyen di ruang tamu. Sofa yang berangkai dua menjadi
hala tuju. Punggung dihenyak di atas sofa empuk itu. Filem
Melayu itu turut ditontonnya. Sesekali kedengaran gelak
tawa mereka sekeluarga.
“Ada juga lelaki macam ni eh? Lurus bendul!” sergah
Shah, abang tiri Adel yang tiba-tiba muncul di ruang tamu.
Dengan berseluar pendek dan bersinglet, Shah berlabuh
di atas permaidani di hadapan Adel. Sebotol minyak urut
dihulurkan kepada Adel.
“Eh? Apa hal pula?” bentak Adel dengan huluran itu.
“Please...” rayu Shah dengan wajah kasihan. Kelopak
mata dikerdip berulang kali untuk memujuk Adel. Adik
tirinya itu memang berperangai sebegitu. Nampak keras,
tetapi hatinya lembut saja. Macam span!
“Dah tahu dah lama tak rock climbing, pergi
climbing juga kenapa? Kan dah dapat sakit!” Geram Adel
dibuatnya. Setiap kali abang tirinya sakit badan, dialah yang
menjadi tukang urut.
“Sukan itu untuk menyihatkan tubuh badan,” balas
Shah selamba. Kemudian, bibir tersenyum lebar apabila
terasa urutan di kedua-dua belah bahu. Sangat nikmat!
Kadangkala sakit pula terasa apabila Adel sengaja mengurut
dengan lebih kuat.
“Adel...” panggil Nazrin, papa Adel.
“Ya, pa,” sahut Adel, memandang papanya seketika.
“Betul Adel nak balik kampung?” duga Nazrin akan
keputusan anak tunggalnya itu. Adellah racun dan juga
penawar untuknya selepas isteri pertamanya meninggal
dunia.
“Haah, pa. Kontrak cikgu GSTT dah habis. Adel ada
apply kontrak baru. Pegawai PPD kata tunggu diaorang call,”
jelas Adel.
“Sementara nak tunggu panggilan daripada
diaorang, boleh Adel berehat di kampung. Tengok-tengok tok
dan wan di rumah. Terasa lama pula tak bercuti di kampung,”
tambah Adel lagi.
“My dear Adel...” Shah mencelah.
“Yes, my sweet Shah!” sahut Adel.
“Lulusan University of Edinburgh, United Kingdom.
Pelajar terbaik di dalam jurusan ekonomi. Tapi, bila balik
Malaysia je apply jadi cikgu. Dear, what’s wrong with you?
Tak boleh ke cari karier yang lebih sesuai dengan kelulusan
Adel?” komen pedas daripada Shah.
Sepantas kilat Adel menarik telinga Shah. Spontan
abang tirinya itu menyeringai kesakitan dengan tindakan
pantas Adel itu.
“Dude! Wa jadi best student pun disebabkan cikgu,
okey. Kalau tak ada cikgu, tak ada maknanya wa nak jadi
pandai macam ni. Cikgu mengajar dan berkongsi ilmu.
Kita sebagai pelajar, menerima pelajaran dan berusaha
untuk menjadi orang berjaya. Jangan sesekali mengecilkan
karier sebagai seorang cikgu,” tegur Adel yang sedikit tidak
menyenangi komen abang tirinya itu.
“Shahrizal... mind your words, young man,” tegur
Hayati pula, mama kandung Shah.
“Okey! Sorry. Point to be noted,” akur Shah apabila
mamanya mula bersuara. Sesungguhnya Shah seorang anak
yang baik dan patuh kepada mamanya. Cuma, perangai
mengusiknya itu yang selalu buatkan Adel rasa geram.
“Bila Adel nak balik kampung?” Nazrin kembali
menyoal.
Lelah hatinya apabila mengingatkan terpaksa
berjauhan dengan anak tunggalnya itu. Seketika dahulu
kerana Adel menyambung pelajaran di United Kingdom.
Lapan tahun tempoh perpisahan. Dia terlepas untuk
mengikuti perubahan diri Adel setiap hari dek jarak di antara
mereka berdua. Tetapi, setiap tahun pasti dia akan datang
menjenguk Adel.
“Hujung minggu ni kut. Adel nak jumpa Kirin dulu.
Dah janji dengan Kirin nak lunch di rumah dia,” balas Adel
yang masih lagi mengurut Shah.
“Bila nak balik rumah sini?” Nazrin menduga lagi.
Adel ketawa kecil. “Pa... Adel belum lagi balik
kampung, papa dah tanya bila Adel nak balik sini. Insya-Allah,
Adel akan balik sini sebulan sekali.”
“Sebulan sekali? Itu macam rancang nak stay lama
je di kampung,” bidas Nazrin, terkejut dengan jawapan Adel.
Adel ketawa lagi. Kemudian, Adel memandang mama
tirinya pula. Masing-masing membalas senyuman.
“Adel...” panggil papanya.
Adel membalas pandangan papanya. Bibir masih lagi
tidak lekang dengan senyuman. Kali ini senyuman untuk
papanya adalah senyuman penuh bermakna. Senyuman
bahagia kerana Adel tahu papanya pasti akan merinduinya.
Dan senyuman itu juga akan membuatkan papanya akan
selalu saja pulang ke kampung untuk menjenguknya.
“I will miss you, pa,” ujar Adel.
“Adelia Zahra...” Lancar Nazrin memanggil Adel
dengan nama penuh.
“I love you, pa,” sahut Adel.
“Atie tengok dia ni. Macam mana abang nak marah?
Allahuakbar! Hilang semua rasa dalam hati ni bila dia pujuk
macam tu. Yang ada hanya sayang je,” adu Nazrin kepada
Hayati.
Serentak bergema ruang tamu itu dengan tawa
Adel, Hayati dan juga Shah. Adel dan Shah langsung tidak
menyangka papa mereka manja juga orangnya.
No comments:
Post a Comment