DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 16 April 2017

Adel... I Love You!- Bab 3

DENGAN penuh berhati-hati, kereta dipandu
memasuki stesen minyak di tepi lebuh raya.
Setelah butang penggera keselamatan kereta
ditekan, kaki membuka langkah menuju ke pasar mini.
Setelah membeli sebotol minuman dan coklat, Adel segera
mengisi minyak kereta.
Anak mata Adel memandang ke sekeliling. Tiba-tiba,
anak matanya tertarik untuk melihat pada seorang lelaki
yang membantu membuka pintu kaca pasar mini itu untuk
seorang wanita mengandung yang sedang mengendong
seorang kanak-kanak lelaki.
Anak mata mengekori kelibat pasangan itu. Mungkin
pasangan suami isteri. Tiba-tiba, lelaki itu menyerahkan
plastik yang dijinjitnya kepada wanita mengandung itu.
Kemudian, mereka berdua berpisah haluan semasa menuju
ke arah pam minyak masing-masing.
Kelihatan seorang wanita muda di dalam pacuan
empat roda yang dipandu oleh lelaki itu. Wajahnya kelihatan
cemburut saja ketika lelaki itu menghulurkan sebotol mineral
yang dibelinya sebentar tadi. Lelaki itu seperti menutur
sesuatu dan mengukir senyuman. Tetapi tidak pula dibalas
oleh wanita yang bermasam muka itu. Riak wajahnya masih
sama. Cemburut dan masam saja.
Pasti kes cemburu! Hatinya kuat mengatakan
perkara itu. Adel memprotes akan reaksi wanita itu. ‘Niat
membantu je pun. Cemburu tak bertempat! Huh!’
Selesai mengisi minyak, sekali lagi Adel memandang
ke arah lelaki itu. Tenang saja wajah lelaki itu walaupun
wanita yang berada di dalam pacuan empat roda itu sudah
kelat saja wajahnya. Bibir pula sudah termuncung panjang.
Adel menggeleng. Menyampah pula dengan orang
yang cemburu buta tanpa usul periksa terlebih dahulu.
Adel kembali memandu kereta menuju ke Sekinchan,
kampung halaman keluarga arwah mamanya. Tok dan wan
masih lagi menetap di sana. Adel kerinduan untuk bermanja
dengan mereka berdua sementelah sudah lama tidak pulang
ke kampung ekoran sibuk dengan tugas sebagai cikgu ganti.
Lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio
menemani sepanjang perjalanan Adel. Kadangkala, Adel turut
bernyanyi kecil untuk menghilangkan rasa bosan. Apabila
terpandang akan papan tanda yang tertulis Sekinchan,
melebar senyuman Adel. Tak sabar rasanya hendak sampai
ke rumah Tok Embun dan Tok Wan Hassan, dan memeluk
kedua-duanya.

SEJAM KEMUDIAN, kereta Honda Jazz yang dipandu oleh
Adel menjalar memasuki laman luas pekarangan rumah Tok

Embun dan Tok Wan Hassan. Adel tersenyum lebar apabila
melihat dua batang tubuh yang sedang berehat di bawah
pohon rambutan. Kedua-duanya sedang menikmati bayu
petang.
Adel keluar dari perut kereta dan berjalan laju
menuju ke arah dua batang tubuh tersebut. Jelas kelihatan
riak terkejut di wajah kedua-duanya dengan kehadiran Adel
tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.
“Wan!” sapa Adel, tunduk menyalami tangan Tok
Wan Hassan. Kemudian, Adel memeluk seketika tubuh tua
itu untuk melepaskan rindu.
Adel beralih ke Tok Embun pula. Tangan tua itu
disalam dan dicium tipis. Sebaik saja Adel menegakkan badan
semula, laju saja Tok Embun menarik Adel ke dalam pelukan.
Dipeluknya tubuh cucu kesayangan, erat dan penuh dengan
kerinduan.
“Rindu tok dengan kamu, Adel,” luah Tok Embun.
“Adel pun rindukan tok dan wan,” akui Adel. Pelukan
dileraikan.
“Lama bercuti di kampung?” soal Tok Embun.
“Lama. Lama, sangat-sangat!” balas Adel, dengan
senyuman lebar.
“Itu yang tok nak dengar, sangat-sangat,” sahut Tok
Embun yang suka benar dengan jawapan Adel itu.
“Ribut tak ada. Hujan pun tak ada. Tiba-tiba Adel
boleh muncul pula. Papa lepaskan Adel pula eh?” usik Tok
Wan Hassan yang masak benar dengan perangai bekas
menantunya itu. Adelia Zahra, anak kesayangannya. Amat
mustahil bekas menantunya itu akan melepaskan Adel
pulang ke kampung untuk tempoh yang lama. Pasti cucunya
itu memujuk rayu untuk mendapat keizinan si papa.
“Papa bagi green light. Mula-mula tu, papa macam
berat hati juga. Ini kan, Adelia Zahra. Tahulah Adel nak pujuk
papa macam mana.” Tersengih-sengih Adel menjawab.
“Yalah! Anak kesayangan papa dia, kan?” Spontan
tangan Tok Wan Hassan mendarat di kepala Adel dan
mengusap sepenuh kasih.
“Cucu kesayangan kita juga!” seloroh Tok Embun
pula.
Adel tersengih-sengih dengan pujian itu. Punggung
dilabuhkan di atas pangkin. Lengan Tok Embun dipaut,
manja. Spontan kepala terlentok di atas bahu Tok Embun.
Anak mata melingas memandang ke laman rumah. Nyaman!
Tenang!
“Manja betul kamu ni, Adel,” tegur Tok Embun.
“Dengan tok dan wan je,” balas Adel.
“Dengan papa dan mama kamu?” duga Tok Embun.
“Papa... bolehlah. Tapi tak adalah manja macam ni.
Dengan mama, jarang. Abang Shah cemburu nanti,” jelas Adel,
kemudian tertawa kecil. Terutama sekali apabila teringatkan
wajah cemburu Shah apabila melihat Adel menempel rapat
dengan mama tirinya.
“Korang berdua ni... tak habis-habis. Macam
budak-budak.” Tok Embun dan Tok Wan Hassan ketawa kecil
dengan cerita Adel.
Tiba-tiba, Adel melepaskan pautan lengan Tok
Embun. Laju saja Adel bangun berdiri. Terpinga-pinga Tok
Embun dan Tok Wan Hassan dengan gelagat Adel itu. Tanpa
kata, Adel cepat-cepat mengorak langkah menuju ke pintu
belakang yang terbuka luas.
“Nak pergi mana pula tu?” tegur Tok Wan Hassan
yang pelik dengan tingkah laku Adel secara tiba-tiba.
“Bilik air. Kencing! Minum air banyak sangat tadi,”
jawab Adel, berpusu-pusu menuju ke tandas.
Tergeleng kepala kedua-dua mereka dengan gelagat
cucu kesayangan. Ada saja yang mencuit hati mereka
berdua. Sedang mereka berdua tersenyum sendiri, deruman
kenderaan memasuki laman rumah. Serentak kedua-duanya
menoleh ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang
baru saja diparkir bersebelahan kereta milik Adel.
“Assalamualaikum. Tok... Wan,” sapa seorang lelaki
yang keluar dari perut kenderaan tersebut. Dua bungkusan
plastik dijinjit di tangan.
“Waalaikummussalam,” sahut Tok Embun dan Tok
Wan Hassan, serentak.
“Saya ada bawakan buah mangga,” ujar lelaki
tersebut usai tunduk menyalami tangan Tok Embun dan Tok
Wan Hassan.
“Hesy... Firas! Kamu ni... buat susah-susah je,” tegur
Tok Wan Hassan.
“Tak adalah. Kebetulan saya bawa Qisya ke rumah
kakak dia di Kuala Lumpur. Saja singgah di Chow Kit,”
jelas lelaki yang bernama Firas itu. Bungkusan plastik itu
dihulurkan kepada Tok Wan Hassan.
“Banyak sangat ni, Firas.” Sekali lagi Tok Wan
Hassan menegur akan pemberian lelaki muda itu.
“Tak adalah. Memang saya belikan untuk tok dan
wan,” tekan Firas akan pemberiannya itu.
“Tok dan wan ada tetamu ke?” soal Firas apabila
melemparkan pandangan ke arah kereta yang berwarna putih
itu.
“Cucu dari Shah Alam balik bercuti. Dia berlari ke
bilik air, melepaskan ‘hajat’,” balas Tok Embun.
“Kamu dan Qisya... macam mana? Qisya tak ada
bagi kata putus lagi, ajak kamu bertunang?” tanya Tok Wan
Hassan akan hubungan Firas dan Qisya.
Firas tersenyum lagi. Kali ini, senyuman manis pula
diberikan kepada Tok Wan Hassan dan Tok Embun.
“Entahlah, Tok... Wan. Kalau ada jodoh, kami berdua
bersatulah. Qisya... dia masih lagi nak belajar. Saya tak nak
halang impian dia.”
Tok Embun dan Tok Wan Hassan diam membisu.
Ada benar kata-kata anak muda itu. Qisya masih lagi muda.
Masih lagi mahu belajar. Dan Firas adalah lelaki yang sangat
baik. Dia pasti akan menuruti permintaan Qisya.
“Tak apalah, Firas. Insya-Allah tok dan wan akan
doakan jodoh kamu berdua. Insya-Allah kuat jodoh kamu
berdua kalau saling mempercayai,” ujar Tok Wan Hassan,
memujuk hati Firas semula.
“Insya-Allah, wan.” Firas tersenyum lagi. Lelaki itu
sentiasa murah dengan senyuman. Dan senyumannya itu
sentiasa menyejuk hati dan pandangan mata yang melihatnya.
“Saya beransur dululah, tok... wan. Nak singgah
kolam ikan dulu, jenguk-jenguk Abang Fatih kalau-kalau
Abang Fatih perlukan bantuan saya.” Firas memohon diri.
Tangan Tok Wan Hassan dan Tok Embun kembali disalami.
“Baiklah. Terima kasih ya, Firas. Belikan buah
mangga untuk kami berdua.” Tok Wan Hassan terharu
dengan kebaikan hati yang dimiliki oleh Firas.
‘Rajin! Peribadi diri pula baik-baik saja,’ pujinya
dalam hati.
“Assalamualaikum,” sapa Firas sebelum meloloskan
diri ke dalam perut kenderaan pacuan empat roda, Nissan
Navara.
“Waalaikummussalam,” sahut Tok Wan Hassan dan
Tok Embun, serentak.
Anak mata menghantar kepulangan Firas sehingga
kenderaan yang dipandu oleh Firas hilang dari pandangan.
Tok Wan Hassan dan Tok Embun saling berpandangan dan
tersenyum.
“Sudahlah, Embun. Abang tahu apa yang ada di
dalam kepala kamu,” tegur Tok Wan Hassan yang sudah masak
akan perangai dan juga fikiran isterinya itu. Empat puluh
lima tahun hidup bersama, mustahil dia tidak memahami
isterinya lagi.
“Isy! Abang ni...” Tok Embun berdalih.
“Tapi... tak salah kan kalau...” tambah Tok Embun
lagi.
“Kalau... dalam angan jelah, Embun,” celah Tok Wan
Hassan.
“Kalau betul-betul menjadi? Takdir Tuhan, bang.
Lain yang kita rancang, lain yang ditentukan-Nya.” Tok
Embun masih lagi dengan harapan dan rancangannya.
“Kalau betul-betul menjadi... alhamdulillah. Kenduri
besar kita! Seekor lembu abang buat kenduri. Sepuluh biji
khemah abang tempah. Tak muat di laman, kita pacak di atas
jalan masuk sana pula,” seloroh Tok Wan Hassan dengan
perancangannya.
“Amboi, bang! Mengalahkan angan-angan saya.”
Meletus tawa Tok Wan Hassan dengan omelan isterinya itu.
“Siapa tak nak budak sebaik Firas tu, Embun? Semua
orang nak dia jadi menantu. Kecil-kecil dulu memanglah
nakal. Jenuh Sulaiman tu mengejar dia keliling kolam ikan
dan bendang dengan tali pinggang. Tapi, senakal dia ada juga
sikap baiknya. Ringan tulang! Balik dari sekolah dia bantu
Sulaiman di kolam. Hari cuti sekolah, dia menjual ikan di
pasar pula,” cerita Tok Wan Hassan akan keperibadian Firas
yang disenanginya itu. Apabila besar panjang, sikap nakal itu
sudah tiada lagi. Sikap rajin pula yang mengambil alih.
Seketika kemudian, kelihatan cucu mereka datang
menghampiri.
“Wah! Buah mangga!” celah Adel dengan nada teruja
apabila melihat buah mangga yang berada di atas pangkin.
“Mana datang buah mangga? Tadi tak ada pun.” Adel
laju menghampiri. Sebiji buah mangga diambil dari plastik.
Bau harum buah mangga dihidu. Nikmatnya!
“Firas datang hantar,” balas Tok Embun.
“Firas?” Adel terpinga-pinga. Siapa Firas? Pertama
kali Tok Embun menyebut akan nama itu.
“Anak Haji Sulaiman yang buka kolam ikan tu,”
jawab Tok Embun.
“Oh...” Membulat mulut Adel dengan sahutannya
itu.
“Itu kenal atau buat-buat kenal?” tanya Tok Embun.
Adel tersengih-sengih. Dia buat-buat kenal aje. Tapi
dia tahu memang ada orang kampung yang membuat kolam
ternakan ikan air tawar. Besar pula tu kawasan kolamnya.
“Adel... Adel...” Tok Wan Hassan ketawa kecil.

No comments:

Post a Comment