DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 18

MEREKA keluar bilik selepas zuhur. Itu pun
selepas makan tengah hari sekali gus sarapan pagi. Asma
memang betul-betul Ferhad kurung seharian. Dia gunakan
sepenuhnya fungsi berbulan madu ini untuk berulit di dalam
bilik.
Nak tak nak, Asma kena ikut juga. Lagipun dia suka
keadaan itu. Hati dan jiwanya melayang ke langit ketujuh
dengan layanan Ferhad yang kelas pertama ini. Cinta semakin
berakar umbi dalam hatinya. Padahal sebelum berkahwin, dia
selalu berpesan kepada hati jangan terlalu jatuh cinta tapi
jatuh suka tak apa terhadap suaminya itu. Sebab dia dah tahu
dia akan ditinggalkan nanti.
Tapi kini dia tak peduli, suaminya tentu akan
dicintainya sampai mati. Apatah lagi layanan istimewa yang
diterimanya sejak bergelar isteri kepada Ahmad Ferhad bin
Ahmad Fakrul ini. Walaupun dikurung, hatinya sentiasa
terasa bebas. Sungguh dia telah jatuh cinta kepada suaminya
sendiri. Tentang masa depan, dia tidak mahu memikirkan
lagi. Dia mahu menikmati keindahan dan kemanisan bulan
madu ini.
Ferhad memandu turun menuju ke Tringkap.
Cermin sengaja diturunkan agar mereka dapat menikmati
udara segar perbukitan ini. Cameron penuh dengan pelancong
dalam dan luar negara. Hujung minggu begini, tentu sahaja
Tanah Tinggi Cameron ini dipenuhi oleh pelancong. Jumaat
dan Sabtu ada pasar malam di Brinchang. Semasa mereka
lalu tadi, para penjaja sedang dalam proses membuka gerai
masing-masing.
Ferhad kerling Asma yang asyik melihat ke luar.
Dia senyum nipis bila melihat Asma suka dengan apa yang
dilihatnya.
“Abang... boleh tak balik nanti kita singgah pasar
malam?” pinta Asma penuh berharap. Dia mahu cari
cenderahati buat ibu, Nek Som dan juga Aida.
Ferhad geleng kepala.
Asma mengeluh. Tak apalah. Mungkin bukan
rezekinya.
“Kecuali sayang cium abang dulu,” pinta Ferhad.
Asma hampir melonjak mendengarnya. Pantas dia
paut leher Ferhad. Ciuman bertalu-talu diberikan.
“Sayang, behave... nanti tak pasal-pasal kereta jatuh
gaung.” Ferhad segera mengingatkan. Dia tak jangka aksi
spontan isterinya tadi. Nasib baik kereta dipandunya perlahan.
“Ops... sorry.” Asma segera melepaskan pautannya.
“Kalau buat aksi macam tu tadi kat dalam bilik,
confirm nanti abang balas dua kali ganda.”
Asma geleng kepala. Dia terus duduk statik. Beku.
Malu.
Ferhad pula berterusan senyum. Hatinya senang
dengan gelagat berani, malu dan nakal isterinya ini. Cukup
rencah membuatkan harinya berseri.
Mereka tiba di Lavender Garden. Asma sungguh
teruja melihat warna ungu mendominasi taman itu. Dia tidak
sabar mahu menjelajahnya. Dia mahu sentuh dan beli bunga
ungu itu. Jika ada, dia mahu beli benih bunga lavender. Dia
mahu cuba tanam di rumah ibunya. Asma segera menarik
tangan Ferhad.
Ferhad geleng kepala. Sikap keanak-anakan Asma
itu buatkan hatinya terhibur.
“Sabar, sayang. Bunga-bunga tu tak lari ke mana,”
pinta Ferhad.
“Sayang, perlahan sikit jalan tu. Putus tangan abang
ni, Asma juga yang susah,” usik Ferhad pula.
Asma berpaling dengan wajah berkerut.
“Mengada-adalah abang ni. Macamlah Asma tarik
kuat sangat,” balas Asma.
Ferhad mengekek ketawa. Dia pula paut bahu
Asma sambil mendorong masuk ke dalam. Asma tersenyum
lebar. Hiasan di dalam taman ini sangat menarik. Kiri kanan
berwarna-warni dengan bunga-bunga segar.
“Kita boleh petik bunga kan?” soal Asma inginkan
kepastian.
“Kalau sayang nak petik satu taman, dah tentu tak
boleh. Tapi kalau petik sekuntum dua tu dibolehkan dengan
bayaranlah,” jawab Ferhad mengusik.
“Abang ni loyar buruklah.” Asma cubit lengan
Ferhad.
“Aduh!” Bukan main kuat Ferhad mengerang
sehingga menarik perhatian beberapa orang pengunjung di
situ.
“Isy... abang ni, malulah orang tengok.” Asma
terus tarik tangan Ferhad melangkah masuk ke dalam lagi.
Mukanya memerah apabila menjadi perhatian orang sekejap
tadi.
Mereka berjalan bergandingan tangan. Sesekali
mereka berhenti dan berswafoto. Ferhad tanpa segan-silu,
menarik Asma ke dalam dakapannya. Sesekali bibirnya
singgah di atas kepala Asma. Mulanya Asma segan dan malu.
Lama-kelamaan, dia jadi tak hairan. Sebab jika dia larang
sekali pun, Ferhad tetap buat apa yang dia suka. Malah
sengaja nak menduganya.
Mereka menghabiskan masa dekat dua jam di situ.
Ferhad menghadiahkan sejambak bunga lavender kepada
Asma. Asma gembira menerimanya. Mereka juga membeli
beberapa cenderahati di situ.
Kemudian mereka naik semula ke puncak Cameron
Highlands dan singgah di pasar malam Brinchang. Suhu
sejuk semakin dirasai, membuatkan Asma menggosokkan
tangannya. Sesekali dia seluk poket seluar untuk
mengurangkan sejuk.
“Hmmm... macam mana nak ke negara empat
musim kalau suhu sejuk macam ni pun Asma tak tahan?”
Asma terdiam. Ferhad ambil tangan Asma dan
digenggam erat. Pengunjung kelihatan semakin ramai.
“Kita beli sarung tangan dekat gerai depan tu.”
“Tak payahlah, abang. Membazir. Bukannya nak
pakai selalu. Hari ni je.”
“Tapi sayang kan sejuk?”
Asma paut leher Ferhad supaya telinga Ferhad setara
dengan mukanya.
“Abang kan ada. Abang kan suka buat Asma rasa
hangat,” bisik Asma nakal.
Ferhad tersengih gatal saat mendengar bisikan
isterinya itu.
“Siaplah Asma nanti. Malam ni jangan tidur selagi
abang tak tidur,” bisik Ferhad pula.
Isyyy...
“Kat sana ada strawberi coklat. Jom beli,” cadang
Asma.
“Kita beli banyak sikit. Makan atas human plate ni
sedap,” bisik Ferhad.
“Human plate? Tak faham,” jawab Asma polos.
“Hahaha! Malam nanti abang tunjuk apa itu human
plate. Asma kena belajar tu.”
Asma angkat bahu. Mereka terus berjalan di
celah-celah orang ramai.
“Buah cinta?” sebut Asma hairan apabila melihat
nama buah di gerai yang mereka kunjungi itu.
“Buah cinta kita tak akan lahir, sayang.” Spontan
Ferhad menjawab.
Asma pandang wajah Ferhad yang sedang melihat
buah-buahan yang dijual.
‘Dah tentu tidak akan lahir buah cinta kita sebab
abang tak cintakan saya,’ bisik hati kecil Asma.
Kecil hati? Tidak. Asma tetap sedar diri. Jadi
perasaan itu dibuangnya jauh-jauh. Buat masa ini, dia mahu
menikmati kebahagiaan dan kemanisan bulan madunya.
“Apa dia, sayang?” tanya Ferhad tiba-tiba.
“Apa? Mana ada Asma cakap apa-apa,” balas Asma
pula dengan wajah polosnya.
“Betul ni?”
Asma cepat angguk.
Ferhad senyum. Asma beralih pandang ke depan. Dia
takut Ferhad dapat membaca apa yang ada dalam fikirannya.
Dia mahu Ferhad ingat perkara yang baik-baik dan bahagia
sahaja tentang dirinya nanti.
‘Tentu sekali abang mahu buah cinta kita lahir,
sayang. Tapi bukan sekarang...’ bisik hati kecil Ferhad.

No comments:

Post a Comment