DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 16 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 9

“FERHAD, lepas ni jumpa papa.”
Ferhad angguk.
Fatin Nur pandang papanya yang menghilang di
sebalik pintu bilik itu dengan ekor mata. Yang lain-lainnya
turut sama beredar meninggalkan dia dan Ferhad. Fatin Nur
cuit lengan abangnya.
“Apa cerita? Bukan ke Tiffany tu kekasih abang?”
“Tiffany tu kawan, bukan kekasih.”
“Kawan?” Fatin Nur angkat kening.
“Kawan tidur sebilik, sekatil?” nadanya sinis sekali.
“Syhhh...” Ferhad letak jari telunjuk di bibirnya.
“Kau nak semua orang dengar ke?”
Fatin Nur ketawa sinis. Dia tahu sisi gelap Ferhad.
“Pandai pulak bila nak kahwin pilih perempuan
baik-baik,” sinis Fatin Nur.
“Kalau kau tak tahu apa-apa, baik diam,” marah
Ferhad dengan nada tertahan.
“Abang, tak payah nak berlagak baiklah depan nenek
bila setiap rahsia abang kat sana dalam poket Fatin.”
“Rahsia apa? Apa yang kau tahu? Kalau kau rasa
rahsia-rahsia aku yang ada kat dalam poket kau tu berbaloi
kau beritahu nenek, pergilah cakap. Abang tak kisah.
Tapi bila jadi apa-apa kat nenek, kau yakin ke kau mampu
bertanggungjawab?” bidas Ferhad. Sakit hati mendengar
ugutan adiknya.
Fatin Nur bungkam. Tajam matanya memandang
abangnya yang tersenyum sinis.
“Abang buat ni untuk nenek. Nak gembirakan hati
nenek. Terpulang pada kau nak cakap apa pun pasal abang.
Asalkan nenek tetap gembira akhirnya.” Usai berkata, Ferhad
meninggalkan Fatin Nur sendirian. Dia mencari papanya.
“Ada apa papa nak jumpa saya?” tanya Ferhad kepada
papanya yang sedang duduk di beranda rumah Nek Som.
“Duduk dulu, Ferhad,” arah Fakrul.
Ferhad bergerak mendekati papanya. Dia mengambil
tempat di kerusi di hadapan Fakrul. Angin malam bertiup
agak kuat. Membuatkan tubuh mereka agak kedinginan. Jam
sudah menjangkau pukul 10 malam.
Fakrul larut dalam fikirannya sendiri. Rumah ini
tempat dia lahir dan dibesarkan. Namun sejak dia berusia
13 tahun, dia telah meninggalkan rumah ini. Dia tinggal di
sekolah berasrama penuh, seterusnya melanjutkan pelajaran
ke Australia dalam bidang perakaunan. Jadi tidak banyak
kenangan ketika usia remaja terukir di sini. Seterusnya dia
membina hidup di Kuala Lumpur. Kampung halaman hanya
dijengah dua atau tiga kali setahun.
“Betul ke kau nak kahwin esok? Kau pasti dengan
keputusan yang kau buat ni?”
“Saya pasti, papa. Lagipun ini permintaan nenek.
Saya mahu menggembirakan nenek.”
“Jangan sebab kau nak gembirakan nenek, kau
rosakkan hidup anak orang. Papa tahu apa yang kau buat kat
UK. Papa tahu siapa Tiffany.”
Ferhad terdiam. Dia tarik nafas sebelum menjawab.
Wajah serius papa menggambarkan yang dia tidak setuju
dengan perkahwinan ini.
“Ferhad tahu apa yang Ferhad buat. Pasal Tiffany,
itu cerita Ferhad kat UK. Tak ada kaitan langsung dengan
perkahwinan ni. Lagipun Asma tak perlu tahu kewujudan
Tiffany. Tiffany pula tak perlu tahu kewujudan Asma.”
“Kau seolah-olah nak permainkan mereka.”
“Tak. Ikhlas saya katakan, saya dah mula sukakan
Asma. Tiffany pula hanya teman saya kat UK. Kami tak pernah
terikat dengan sebarang perasaan.”
“Mudahnya kau cakap. Pernah tak kau fikirkan kesan
atas setiap perbuatan kau tu?”
Ferhad geleng kepala.
“Kenapa papa tiba-tiba ambil berat tentang hidup
saya? Selama ini ada papa tegur setiap kesalahan yang saya
lakukan? Tak ada, bukan? Tanpa beri saya peluang, papa halau
saya ke rumah nenek. Jadi papa tidak ada hak nak persoalkan
apa yang saya buat.” Setelah meluahkan perasaan sebenarnya
kepada Fakrul, Ferhad diam. “Selamat malam, papa,” ucapnya
perlahan lalu meninggalkan papanya yang sudah semestinya
sedang berkecil hati dek kata-kata itu tadi.
Sampai di bilik, Ferhad melontarkan tubuhnya ke
katil. Biliknya telah berhias cantik. Malam esok, Asma akan
menemaninya. Majlis akad nikah akan diadakan di rumah ini
selepas solat isyak. Kemudian sesi bergambar dan jamuan
makan. Tak ramai yang neneknya jemput. Cuma jiran
tetangga terdekat, saudara-mara yang tinggal berdekatan dan
orang masjid. Itu pun sebagai menguar-uarkan pernikahan
mereka.
Dipandang lelangit kelambu yang baru dipasang
petang tadi. Sekuntum bunga mawar tergantung di
tengah-tengahnya. Ketika lampu ditutup, mawar tersebut
akan bercahaya. Lama dia memerhati mawar itu. Terbias
dalam mindanya wajah Asma dan Tiffany. Dua orang yang
berbeza rupa dan personaliti.
Asma yang baru dikenali dan bakal menjadi isterinya
seorang yang ceria dan berfikiran positif. Bibirnya sentiasa
tersenyum. Kadangkala berani membalas renungannya
walaupun malu. Dengan gadis itu, dia seolah-olah baru
menemui bidadari. Asma si dara pingitan yang baru mahu
mengenal dunia. Dia matang daripada usianya yang sebenar
kerana kisah hidup yang dilaluinya.
Tiffany pula gadis bermata biru yang galak dan
berani. Seksi dan berfikiran terbuka. Perhubungan mereka
tidak terbatas walaupun hanya berteman. Mereka bebas
melakukan apa sahaja. Tiffany yang banyak membantu dan
menemaninya ketika kesunyian di rantau orang. Tiffany
teman yang telah hampir 10 tahun dikenalinya sejak dia
bergelar mahasiswa. Tiffany yang dapat membaca gerak-geri
dan apa yang terlintas dalam fikirannya. Sebab itulah mereka
serasi. Tiffany tidak pernah mendesak. Tapi dia tahu Tiffany
mengharapkan sesuatu daripada perhubungan teman tapi
mesra mereka. Cuma hatinya tidak pernah terdetik rasa cinta.
Perhubungan mereka baginya hanya sahabat dan nafsu.
Dalam melayani perasaan sendiri, Ferhad tertidur.

DI RUANG bilik Asma, seorang gadis berbaring di atas katil
sambil memandang kipas yang ligat berputar. Malam semakin
dingin. Matanya masih lagi terkebil-kebil memandang ke
atas. Sejam berlalu namun matanya masih lagi berdegil. Dia
pandang jam loceng di atas meja sisi katilnya. Sudah hampir
satu pagi. Jarang dia tidur selewat ini. Biasa pukul sepuluh
malam dia sudah pun terlena dan akan bangun pukul 4.30
pagi. Itulah rutinnya sejak ayahnya meninggal dunia.
Sebenarnya dia berasa resah dan takut menunggu
hari esok. Inilah yang mengganggu fikirannya sehinggakan
dia tidak mampu lena. Dia pasrah dengan jodohnya, tapi
dalam hati masih wujud ketidakpastian. Seperti ada sesuatu
yang bakal berlaku selepas ini. Persoalan yang timbul,
mampukah dia melaluinya dengan hati tenang dan tabah?
Ferhad lelaki matang. Bakal menjadi suami dan
imamnya. Dia lelaki yang hampir sempurna di matanya.
Terasa diri amat kerdil jika dibandingkan dengannya. Dia
hanya si gadis kampung, penjual sayur. Tiada rupa yang
hendak dibanggakan. Apa lagi harta kekayaan. Pelajaran pula
tiada.
Tidak banyak yang dia tahu tentang Ferhad. Ferhad
bekerja sebagai arkitek di UK. Ferhad telah menetap di sana
hampir 5 tahun. Ferhad merupakan anak sulung kepada anak
sulung Nek Som. Dia mempunyai 4 beradik, seorang adik
lelaki dan 2 orang adik perempuan. Asma cuma kenal dengan
Farah Nur yang dipanggil Kak Farah. Adik-beradiknya yang
lain, dia tak kenal. Malah kedua-dua bakal mentuanya pun
tidak pernah berjumpa selain melihat gambar keluarga
Ferhad di rumah Nek Som.
Nek Som pula telah dianggapnya seperti nenek sendiri.
Selama hidupnya, Rohani tidak pernah bercerita tentang ahli
keluarganya. Menurut ibunya, dia dan ayahnya merupakan
anak yatim piatu. Berasal dari kampung bersempadan dengan
Thailand di Rantau Panjang. Penceritaan yang cukup ringkas
sehinggakan Asma tidak mampu membuka mulut bertanya
lebih lanjut sebab mata ibunya telah berair. Ada cerita sedih
yang ibunya tidak mahu ceritakan kepadanya. Jadi cukuplah
dengan maklumat yang sedikit itu. Dia sudah cukup bahagia
dengan kasih sayang yang diberikan kepadanya selama ini.
Ditambah pula kasih sayang Nek Som yang seperti nenek
kandungnya sendiri.
Asma berkalih badan. Jam terus berdetik. Matanya
terus segar tanpa tanda-tanda mengantuk. Dia mengalah.
Lantas bangun dan berlalu ke bilik air. Mungkin dengan
bersujud kepada-Nya mampu menjadi penawar keresahannya.
Apa pun yang berlaku hari esok dan masa depan, dia mahu
terus gagah menghadapinya. Dia tidak akan sesekali
mengalah. Bahagia adalah impiannya. Orang kata, nak
bahagia kena usaha. Nak kejayaan juga perlukan usaha. Dia
mahu kedua-duanya. Kebahagiaan dan kejayaan.
Dia mahu inilah jodohnya yang pertama dan terakhir.

No comments:

Post a Comment