DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 11

Suhaila jengulkan muka di pintu. Kedengaran
suara dari TV. Khalis tidak pergi kerja ke? Suhaila pandang
dinding. Sudah pukul sebelas pagi. Takkan Khalis duduk di
ruang tamu menunggunya selama tiga jam ini?
Sofa didekati. Khalis masih dengan pakaian pejabat.
Memang betul Khalis menunggunya. Mungkin Khalis masih
rasa bersalah kerana buat dia nangis. Tapi Khalis kan buaya.
Selain buaya, dia juga digelar stone. Tidak pernah bagi
peluang kalau perempuan merayu.
“Aku lapar.” Suhaila duduk di sebelah Khalis.
“Ingatkan nak berkurung dalam bilik tu sampai
malam. Kenyang makan angin aje.” Khalis sindir Suhaila. Dia
menunggu di ruang tamu dengan penuh rasa risau. Entah
apa yang dibuat isteri segeranya di dalam bilik. Dia tidak
kisah kalau Suhaila tidur atau apa. Dia cuma kisah kalau
betul-betul Suhaila tidak boleh teruskan hidup macam yang
dia dengar pagi tadi dan terus membunuh diri.
“Janganlah bising sangat. Aku lapar ni. Nanti aku
potong-potong jari kau masak sup jari, baru tahu.”
“Amboi! Dia ajak kita, lepas tu ugut kita pulak. Kau
nak masak sup pakai apa kalau rumah aku ni satu periuk pun
tak ada?” Khalis tidak mahu kalah. Perempuan ni acah-acah
garang, tapi diam-diam nangis sorang-sorang. Suhaila tidak
perasan agaknya hal malam semalam.
“Belikan aku satu periuk. Beli yang kecil aje cukup.
Boleh buat masak air ataupun rebus Maggie.”
“Beli sendiri.”
“Kedekutnya... aku tak ada duit. Tolonglah belikan.”
Suhaila sedikit merayu. Memanglah dia tidak ada banyak
duit sekarang ini. Separuh duitnya sudah lebur untuk majlis
perkahwinan tidak jadinya dan separuh lagi buat bayaran
penalti sebab berhenti tanpa notis. Dia tidak fikir panjang,
terus hantar surat peletakan jawatan. Hendak harap Mak Cik
Esah bayar duit hutangnya? Bagaikan mimpi di siang hari
agaknya. Duit yang ada kena disimpan. Manalah tahu esok
lusa dia kena halau.
“Kau memang sengaja nak perangkap aku malam tu,
kan? Mentang-mentang aku kaya, suka-suka aje kau rancang
tangkap basah diri sendiri. Kau tahu tak, kau dah musnahkan
hidup aku. Aku tak relalah kahwin dengan orang takde
maruah macam kau ni.” Khalis meninggikan suara. Rayuan
Suhaila buat hatinya bergetar.
Suhaila pandang tepat muka Khalis. Dia tidak
mampu bersuara. Mungkin kalau dia menafikan sekalipun,
Khalis tidak akan pernah percaya. Sampai sekarang dia tidak
tahu bagaimana dia boleh termasuk ke dalam bilik Khalis.
Tapi tuduhan Khalis melampau. Dia masih ada maruah dan
harga diri.
Pang!!! Satu tamparan mendarat di pipi Khalis.
Khalis terkejut. Dia raba pipinya yang perit. Mata
Suhaila sudah basah.
“Kalau pun kau tak nak bawa aku makan dan tak nak
belikan aku periuk, tak payahlah cakap aku tak ada maruah.
Kau ingat aku kemaruk sangat ke nak kahwin dengan kau?
Tak ada masa aku nak tambah masalah dalam hidup aku
ni!” Suhaila kelihatan sangat marah. Dia tidak pernah minta
hendak berkahwin dengan sesiapa pun. Hatinya masih terluka
dengan pengkhianatan Saiful dan Karlisa.
Suhaila menghilangkan diri ke biliknya. Khalis
raba pipinya lagi. Suhaila nampak marah sangat. Salah dia
kerana cakap Suhaila tidak ada maruah. Tapi kalau Suhaila
gadis yang baik, bagaimana Suhaila boleh masuk ke dalam
biliknya? Dan siapa sebenarnya yang beritahu papa?
Tidak lama kemudian, Suhaila keluar. Khalis tegak
berdiri. Hendak ke mana pula perempuan ni? Baju dan
tudung masih sama, tapi di bahu Suhaila tergantung beg
tangan. Tangan Suhaila memegang dua keping kertas.
“Ni... aku tak perlukan harta kau untuk hidup
senang.” Suhaila menayangkan cek pemberian Khalis dan
seterusnya dikoyakkan menjadi kepingan kecil.
Khalis kaget. Nekadnya Suhaila mengoyakkan cek
sebanyak itu.
“Aku nak minta izin keluar.” Suhaila atur langkah
menuju ke pintu.
“Kau nak pergi mana?”
“Aku nak pergi cari makanan, lepas tu pergi cari
kerja. Aku lupa yang aku ni tak ada sesiapa pun dalam dunia
ni. So, kenalah usaha sendiri. Aku minta maaf sebab dah
susahkan kau untuk dua tiga hari ni. Izinkan aku tumpang
rumah kau ni sampai aku mampu cari tempat tinggal
sendiri.” Suhaila cuba berlagak tenang. Sebenarnya dia masih
belum kuat untuk berdiri. Dia masih lemah dan sakit. Sakit
hati yang ditanggung membuatkan dia ingin terus tidur. Dan
kalau boleh, biarlah dia tidur selama-lamanya.
“Suhaila, tunggu...” Khalis menarik lengan Suhaila.
“Lepaslah...” Suhaila cuba meronta. Tapi apa dayanya
apabila Khalis menarik seluruh tubuhnya hingga terjadi
sekali lagi adegan peluk yang tidak disengajakan.
“Diam... jangan melawan.” Khalis membawa Suhaila
menuju ke sofa.
Suhaila diam. Pelukan Khalis memang kejap hingga
tidak mengizinkannya bergerak. Tapi dia rasa tenang. Degup
jantung Khalis ibarat irama yang mendamaikan di telinganya.
Adakah hati sudah mengkhianati tuannya? Kenapa boleh
timbul perasaan tenang itu?
“Kau dah kenapa? Kau tak nak bawa aku makan,
takkan kau nak halang aku keluar sendiri pulak? Kau
memang nak aku mati kat sini ke?” Suhaila mula melenting
sebaik sahaja dia duduk di sofa.
Khalis melonggarkan pelukannya. Tapi tangan tetap
di pinggang Suhaila. Risau kalau Suhaila meluru keluar.
“Kenapa kau tampar aku?”
“Sebab kau cakap aku tak ada maruah. Kau jangan
ingat kau ada nama, ada harta, semua perempuan berebutkan
kau. Aku tak nak lelaki buaya macam kau. Aku nak lelaki yang
boleh bawa aku ke syurga. Aku tak nak jadi perempuan Tengku
Kaz.” Suhaila mula menangis. Sekali lagi dia menangis di
dada Khalis.
Khalis diam. Memang salah dia kerana menuduh
Suhaila begitu. Tapi takkan tidak ada penjelasan langsung
bagaimana Suhaila boleh masuk ke biliknya? Takkan betul
kata papanya ini semua rancangan takdir? Takkan dia hendak
habiskan sepanjang hidupnya dengan perempuan yang dia
tidak suka?
“Aku minta maaf. Tolonglah jangan menangis lagi.”
Khalis merendahkan egonya kerana Suhaila. Entah kenapa
ringan saja mulutnya meminta maaf. Selama ini kalau ada
perempuan yang menangis atau merayunya, dia abaikan
sahaja.
“Suka hati akulah nak menangis ke apa.” Suhaila
terus menangis.
“Aku tak tahu kenapa dari pagi tadi sampai tengah
hari ni kau asyik menangis. Aku rasa kat bilik tadi pun
kau nangis jugak, kan? Takkan pasal kena cium pun nak
nangis macam kena rogol? Yang sekarang ni kau nangis aku
fahamlah. Kau marah kat aku. Kau tahu tak, air mata kau tu
buat baju aku bau busuk? Dahlah takde siapa nak tolong cuci.
Ni... kot ni, kena hantar dry clean tau. ”
Suhaila tunduk. Dia berhenti menangis. Malah
dia ketawa mendengar rungutan Khalis. Dia tidak tahu
jawapan apa yang harus diberikan kepada Khalis. Perlukah
dia beritahu Khalis yang dia sedang kecewa dikhianati? Atau
perlukah dia beritahu hatinya yang mula sembuh kembali
berdarah melihat Saiful dan Karlisa pagi tadi? Dan perlukah
dia beritahu Khalis lelaki yang sepatutnya jadi suaminya
sedang bermesra dengan sahabat baiknya? Membayangkan
itu semua, dia jadi sebak. Membayangkan Saiful bersama
dengan Karlisa, dia rasa cemburu dan sakit hati.
“Nangis lagi. Kenapa ni?”
“Aku lapar.”
Khalis menarik nafas. Kasihan pula dia dengan
Suhaila yang sudah dua kali mengadu lapar. Itu saja ke
sebabnya kenapa Suhaila menangis? Dia pun lapar juga
sebenarnya. Dia belum makan apa-apa lagi sejak pagi tadi.
Nasib baik tidak ada mesyuarat atau janji temu pagi ini.
Papanya pun satu, dengar cakap cuti, laju aje kata okey. Mesti
papanya ingat dia hendak berbaik dengan Suhaila.
“Aku nak tukar baju dulu. Tapi sebelum tu...” Khalis
tunduk dan mencium dahi Suhaila.
Suhaila tergamam. Ciuman curi lagi!
“Aku akan pastikan kau jadi salah seorang perempuan
Tengku Kaz. Aku akan buat kau jatuh cinta dan menyerah
pada aku,” bisik Khalis di telinga Suhaila. Dia mencium
sebelah lagi pipi Suhaila.
Suhaila tergamam. Makin berani nampaknya lelaki
ini.
“Suka hati kaulah. Kau ingat senang nak buat aku
jatuh cinta?” Suhaila tidak mahu kalah.
Khalis senyum. Setakat ini dia tidak pernah
gagal menundukkan mana-mana perempuan yang dia
suka. Tapi tidak ada seorang pun perempuan yang mampu
menundukkannya. Takkan susah kut nak tundukkan isteri
segeranya ini? Nampak kuat, tapi hati tisu. Nampak sangat
garang Suhaila hanya dibuat-buat.
“Sebelum aku makan jari kau, baik kau cepat tukar
baju.”
“Okey... okey... tak sangka kau ni suka makan jari.”
Khalis sengih dan terus berlalu masuk ke dalam bilik.
Suhaila tarik nafas lega. Jantungnya sudah terasa
menari lagi lagu Aserehe. Dia keluar ke balkoni. Dia kena
fikirkan sesuatu. Tidak mungkin dia betah tinggal di
situ apabila tahu Saiful yang menjadi jiran mereka. Dia
nampak pandangan Saiful pagi tadi. Pasti Saiful menyangka
bukan-bukan. Hal pernikahannya dengan Khalis tiada siapa
yang tahu. Tapi bukankah sepatutnya Saiful pergi berbulan
madu? Dia yang menempah pakej bulan madu di Bali.
“Hoi, nak pergi makan ke tak nak ni? Akar dah
tumbuh dari kaki aku ni.”
Suhaila menarik pintu gelangsar dan langsir. Dia
pantas mendapatkan Khalis yang berdiri di muka pintu.

















No comments:

Post a Comment