DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Sweet & Dangerous - Bab 5

MEMANDANG sang ayah sedang berjoging sendirian, anak itu ikut berlari ke arah lelaki itu. Hakikatnya, lelaki itu berjoging, dia pula berlari macam dikejar hantu semata-mata kerana mahu menyaingi langkah lelaki itu. Fakhrul menoleh ke belakang. Kemudian dia ketawa.
“Father, stop!” jerit Putra akibat sudah kelelahan.
“Come on,” ucap Fakhrul selamba.
“I can’t...” jawab Putra sambil memegang dadanya. Sempit. Susah hendak bernafas. Spontan Fakhrul berhenti. Dia memandang lagi ke belakang. Putra sekadar berjalan ke arah lelaki itu. Fakhrul tersenyum sambil berdiri bercekak pinggang memandang gelagat Putra.
“Penat?” tanya Fakhrul sebaik sahaja anak itu berada dekat dengannya.
Putra mengangguk dengan cebikan di bibir. Dia tahu dia lemah. Fizikalnya tidak sehebat ayahnya. Sebelum ini dia melihat ayahnya bergayut di tempat tinggi. Semua itu macam tidak ada apa-apa kepada lelaki itu. Dia juga mahu belajar melakukannya.
“Putra nak jadi macam papa,” ucap anak itu tiba-tiba.
Fakhrul yang baru sahaja hendak menyambung larian, berpaling semula kepada anaknya. Riak wajahnya berubah sedikit. Jadi seperti dia? Putra tidak tahu siapa dia sebenarnya!
“Kenapa papa selalu pergi jauh? Papa tak pernah call. Mama selalu kata papa pergi kerja. Papa kerja apa?” tanya Putra kepada lelaki itu. Fakhrul terus terkaku mendengar bicara anaknya. Namun kemudian dia melambai. Meminta anak itu datang dekat kepadanya.
“Tak semua perkara mampu kita lakukan atas dunia ni,” ujar Fakhrul lembut.
“Why not?” balas Putra pantas.
“Sesetengah bahagian dalam hidup papa dan mama tidak seronok untuk dilalui. Kalau boleh papa tak mahu anak-anak jadi macam papa.”
“What do you mean?” ujar Putra lagi. Keningnya berkerut rapat saat memandang wajah anak itu.
“Kalau boleh papa nak Putra jadi macam mama. Jadi orang pandai...”
“Papa tak pandai?” celah Putra sebelum sempat ayahnya menghabiskan bicara.
Fakhrul menghela nafas panjang sebelum menarik bahu anaknya agar berjalan bersamanya.
“Putra nak tahu papa kerja apa?”
Lekas Putra mengangguk. Bersungguh!
“I was a contract killer.”
Wajah anak itu berubah dan langkahnya terhenti serta merta. Pandangan matanya mencerun tajam seolah-olah sedang mencari kebenaran dalam bicara itu.
“Liar!” desis Putra perlahan.
“It’s true,” ucap Fakhrul bersungguh. Anak itu terpacak memandang sang ayah dalam rasa terkejut yang teramat sangat dengan kenyataan itu.
“Mama?”
“Kenapa dengan mama?”
“Mama tahu?” soal Putra perlahan.
“Mama dah tahu semenjak awal lagi,” ujar Fakhrul lantas menghela nafas panjang.
“Why?”
Fakhrul diam sebentar. Mencari kata-kata yang sesuai untuk diluahkan. Keadaan tidak semudah yang mampu diteka manusia. Pekerjaannya sebagai ‘algojo’ juga tidaklah mudah dan menggembirakan. Mematikan dikontrakkan secara rahsia untuk mematikan mana-mana penjenayah yang memiliki imuniti dan tidak boleh disentuh melalui undang-undang.
“Is it fun?” tanya Putra lagi.
“What?”
“Killing people...” balas Putra perlahan. Sang ayah terdiam terus terusan mendengar bicara anaknya itu. Dua perkataan itu membuatkan dia merasakan dia adalah orang yang selayaknya dijauhi oleh anak-anak sendiri.
“Kenapa papa bunuh orang?” tanya Putra masih tidak berpuas hati.
“Papa ada alasan papa sendiri. Papa bukan orang jahat, Putra.”
“Bukan orang jahat?” tanya anak itu dalam nada memerli. Mana mungkin seorang pembunuh itu tidak jahat?
“Jadi, keluarga kita kaya kerana papa dapat duit dari kerja bunuh orang?”
Fakhrul melangkah setapak mendekati anaknya. “Suatu masa dulu papa tak pernah termimpi akan jadi seperti sekarang.”
What ever! Mama kata papa tak selalu bersama kami sebab papa sibuk. Sibuk jadi orang baik-baik!” Anak itu berpaling serta merta. Dia berlari meninggalkan ayahnya. Fakhrul terpaku memandang anak itu berlari ke arah rumah semula.
Fakhrul berpaling memandang ke arah kawasan pergunungan itu buat kesekian kalinya. Mata tidak pernah jemu memandang permandangan itu. Fikiran akan menjadi kosong. Dia masih terlalu ingat bagaFakhrula bermulanya semua ini. Dia memilih menjadi begini kerana wang. Dan juga kerana perempuan. Terlajak perbuatan tidak lagi mudah untuk dia berpaling mencari haluannya.
Entah kenapa kala ini dia merasa dunianya turut menjadi kosong!

BERBELAS TAHUN DULU...
Lelaki itu ralit memandang ibunya menyapu halaman itu. Suasana setiap kali menjelang pagi beginilah yang amat dirinduinya di kampung ini. Hening dan damai dalam kesibukan orang sekeliling mencari rezeki.
Tanpa sedar secebis senyuman terukir di bibirnya apabila memandang persekitaran rumah orang tuanya itu. Impiannya sudah tertunai sebahagiannya setelah melihat keadaan rumah itu. Hasratnya suatu hari nanti dia akan membangunkan sebuah rumah yang selesa untuk semua ahli keluarganya. Insya-Allah..
Mak Nab memandang anak lelakinya itu semula setelah puas dia berdiam diri. Apa yang diluahkan Fakhrul sebentar tadi sudah kerap difikirkannya semenjak kebelakangan ini.
“Bukannya mak tak suka kamu dengan Ira tu. Tapi kita ni tak setaraf dengan keluarga dia. Kamu pun kenal Pak Ayob tu macam mana. Lagipun... kamu ada kerja di luar sana, kan? Mana satu yang nak didulukan? Seeloknya lepas kamu balik nantilah baru kita bincang dengan Pak Ayob pasal ni,” ujar Mak Nab lembut. Selesai menyatukan daun kering di halaman rumah itu, dia menyimpan penyapunya. Kemudian dia duduk di pangkin bersebelahan dengan Fakhrul. Sama-sama menikmati pagi yang damai.
Fakhrul diam sahaja memikirkan bicara ibunya itu. Matanya bening memandang jauh ke hadapan. Apa yang diucapkan ibunya itu, selama ini sudah utuh berada di benaknya. Itulah yang dirasakan terbaik. Namun sayangnya tidak semua orang faham dengan situasinya. Terutama sekali Syahirah.
Kini tidak dapat tidak, dia asyik memikirkan Syahirah. Desakan demi desakan dari gadis itu mula mencabut setiap ketenangan di dalam dirinya. Resah hatinya dengan masalah yang melanda dirinya saat ini. Mampukah Syahirah menanti sehingga dia pulang dari misinya nanti? Beberapa bulan bukannya lama benar.
Tetapi sebenarnya... bagi mereka berdua yang sedang dilanda masalah, tempoh itu sebenarnya terlalu lama. Semalam sewaktu dia bertemu dengan Syahirah di pekan gadis itu sekali lagi mendesaknya agar menghantar rombongan meminang secepat mungkin kerana ayahnya sudah mula berura-ura mahu memilihkan lelaki lain buat gadis itu. Sesak dada Fakhrul mengenangkan kenyataan itu. Dia tahu Pak Ayob akan melakukan apa sahaja untuk memisahkannya dengan Syahirah. Haruskah dia mengalah sahaja?
“Dah cukup duit ke nak pinang anak dara orang?” soal Mak Nab lagi. Dia menoleh lalu merenung tampang anaknya itu lembut.
“Belum cukup lagi..” jawab Fakhrul rendah.Terbesit dengan rasa malu dengan keadaan dirinya yang kekurangan. Fakhrul lantas tunduk seketika. Sebuah keluhan dilepaskan perlahan. Perasaan serba salah semakin setia menghambat dirinya.
Mungkin aku dengan dia sebenarnya tak ada jodoh. 35 ribu tu bukannya sikit.. hati Fakhrul berbisik sendirian.
“Habis tu dengan apa kita nak masuk meminang anak dara Pak Ayob tu?” Mak Nab cuba menduga. Apakah Fakhrul mempunyai cara untuk menyelesaikan masalah yang sedang membelit dirinya itu? Semua orang kampung ini tahu sikap Pak Ayob. Lelaki itu memang angkuh. Suka meninggi diri.
Pertanyaan Mak Nab menerbitkan sebuah keluhan dari anak muda itu. Dia sebenarnya keliru dan buntu dengan apa yang harus dilakukannya. Perlahan Fakhrul menggaru kepalanya.
“Entahlah, mak...” keluh Fakhrul perlahan. Rayuan sang kekasih membuatkan dia diulit resah berpanjangan. Banyak keluh kesah yang merantai fikirannya saat ini sehingga dia tidak tahu yang mana harus didahulukan, siapa yang harus diutamakan dan siapa yang harus diikutinya. Semakin hari dia semakin keliru dan kadang kala dia merasa cukup letih dengan semua ini.
“Kamu tak terangkan pada dia ke, apa masalahnya?” soal Mak Nab. Kasihan juga dia melihat anak lelakinya ini. Lama dia menyimpan perasaan kepada si gadis. Cuma taraf keluarga yang menjadi penghalang kini.
“Dah jenuh, mak. Mak, sebenarnya soal hantaran tu sebenarnya cuma alasan Pak Ayob aja. Kalau saya lambakkan duit depan dia sekarang pun belum tentu Pak Ayob nak terima saya,” balas Fakhrul. Perkara itu sudah lama duduk di kotak fikirannya. Resah hatinya mengenangkan dia mungkin akan kalah dengan Kahar yang berkedudukan.
“Kalau dah kamu tahu begitu... apa lagi yang kamu nakkan dari si Ira tu?” Mak Nab menghela nafas perlahan. Simpatinya melimpah ruah apabila melihat menungan anak bujangnya ini. Bukannya dia tidak suka Fakhrul berkahwin. Sudah tentu dia rela. Tetapi pilihannya tidak kena pula. Keluarganya terlalu kebendaan.
“Kalau dia bukan yang terbaik untuk kamu, kamu kena terima,” ucap Mak Nab lembut.
Fakhrul terus-terusan berdiam lagi memikirkan kata-kata emaknya itu. Memang benar... tetapi bagaFakhrula untuk dia melupakan gadis itu dikala hatinya terlalu sayang?
“Kamu masih nak jumpa Pak Ayob juga?” masih belum habis lagi Mak Nab mahu mencungkil isi hati anak lelakinya ini.
“Entahlah, mak..” keluh Fakhrul sendiri.
Mak Nab terus memandang wajah keruh anak muda itu.
“Saya pun ada maruah, mak. Dah banyak kali Pak Ayob menghina saya. Apa bezanya kalau sekali lagi saya jumpa dia? Selama ni pun bukannya dia suka saya kawan dengan Ira. Hina sangat saya ni,” nada Fakhrul mula merendah. Kenyang menelan caci maki lelaki itu selama ini.
‘Ah! Salah aku juga. Siapa suruh aku kawan dengan anak dara dia kalau dah tahu dia memang bencikan aku semenjak dulu?’ hati Fakhrul berbisik sendiri lagi.
“Sabarlah, Rul. Manalah tahu ada rezeki terpijak nanti..” ujar Mak Nab sekadar mahu meniup semangat anaknya ini agar tidak lumpuh semangatnya.
“Debu terpijak adalah, mak. Mana ada rezeki terpijak..” balas Fakhrul. Tidak mahu dirinya dibuai dengan harapan yang tidak pasti.
“Hish! Dalam dunia ni apa yang tak boleh jadi? Kalau Allah dah takdirkan macam tu, siapa kita nak menafikan kekuasaan Allah? Rezeki ni hak Allah, Rul. Bersabarlah.. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita,” ujar Mak Nab lembut. Selama ini Fakhrul anak lelaki yang bertanggungjawab. Setiap bulan menghulurkan duit belanja kepadanya dan suaminya. Dia tetap berbangga dengan anaknya ini walaupun Fakhrul tidak sehebat Kahar si jurutera itu. Mak Nab percaya, kalau tidak si Ayob itu.. pasti ramai lagi yang sudi bermenantukan anaknya ini yang baik budi bahasa dan elok paras rupanya. Jiran mereka, Hassan juga ada menyimpan impian untuk bermenantukan Fakhrul. Cuma Fakhrul dan Athirah sudah kenal semenjak kecil. Tidak mungkin mereka berdua mahu berkahwin.
Fakhrul menoleh kepada ibunya itu. “Mak, saya nak balik KL petang nanti. Cuti dah nak habis. Banyak yang saya kena selesaikan sebelum pergi ke sana.” Fakhrul lantas menutup bicara mengenai Syahirah. Boring lubang telinganya ini mendengar nama Ayob itu.
“Pergilah. Berkerja baik-baik. Hati-hati. Jangan kerana masalah ini, kamu gadaikan masa depan kamu. Nanti apa yang dikejarkan terlepas... yang dah ada ni pun keciciran. Berhati-hatilah sewaktu di sana nanti. Mak ni selalu risaukan kamu. Tempat tu dahlah sesak dengan perang, dengan bom sana sini. Kalau fikiran tak tenang, mulalah kerja pun jadi cuai. Mak tak nak apa-apa terjadi pada kamu. Kamulah satu-satunya harapan mak dengan abah untuk jaga keluarga ni bila kami dah tak ada nanti,” keluh ibu tua itu kepada anaknya.
“Mak ni... janganlah fikir macam tu. Saya bukannya pergi berperang.”
“Macam mana mak tak fikir begitu? Mak tahu anak mak ni macam mana. Semata-mata nak dapatkan kehendak hati, tak kisahlah apa pun ada kat depan. Kamu redah aja!”

Fakhrul terdiam pula. ‘Redah saja...’ bisik hatinya.

No comments:

Post a Comment